- SiRi MCK [SeDiKiT tEnTaNg "BUNGKUSAN ITU SEBENARNYA..."] –

January 8, 2012


“Awak bukan pelajar baru di sini kan? Awak tahu kan pukul berapa sepatutnya kau mesti sampai di sekolah? Awak tahu kan mula kelas pukul berapa?”

“Tahu!”

“Kalau awak tahu, pukul berapa awak ada dalam kelas?”

“Sebelum pukul 1.05 tengah hari,” balas Yassin. Dia berusaha untuk tidak mempamerkan air muka resah dan gelisah. Bimbang semakin dia kelihatan resah dan gelisah, semakin Faqihah tidak mahu melepaskannya. Sedangkan dia sangat berharap agar namanya dipadamkan daripada terus menghuni buku nota Faqihah.

“Sekarang ni pukul berapa?”

“Awak kan ada jam?” Pertanyaan Faqihah, Yassin balas dengan pertanyaan juga. Bukannya dia mahu berkurang ajar, tapi hatinya sakit bila Faqihah kelihatan beria-ia benar mahu mencari kesalahannya.

“Awak cuba nak loyar buruk dengan saya ya?”

“Saya cakap yang betul, bukannya sengaja nak loyar buruk dengan awak. Awak ada jam, kenapa awak tak tengok jam awak sendiri aje daripada sibuk nak tengok jam tangan orang lain?”

Faqihah menggigit kuat bibirnya. Geram membukit dalam dada. Sangkanya jika dia mempamerkan air muka garang begitu, Yassin akan takut padanya seperti kebiasaan pelajar lain di sekolah mereka, apalagi Yassin hanya pelajar Tingkatan 1. Bukannya Tingkatan 2 sepertinya. Namun Yassin seperti tidak gentar langsung. Tetap juga mempamerkan air muka selamba dan tenang.

Dia tak takut pada aku, desis hati kecil Faqihah.
“Sekarang jam saya tunjukkan pukul 12.55 tengah hari. Ini bermakna saya tak lewat. Malah saya ada masa lagi 10 minit sebelum kelas bermula,” ujar Yassin sambil matanya terhala tepat pada pintu pagar yang luas terbuka.

PESANAN PENUH KASIH SAYANG - Jangan lupa klik-klik [DI SINI], [DI SINI JUGA], [INI JUGA] dan [INI] tau kawan-kawan yang cantik-cantik dan kacak-kacak kalau nak tau lebih lanjut tentang Siri MCK ini.

No comments:

Post a Comment