- LELAKI MACAM NI PUN ADA KE? -

Selama ni yang saya tahu dan mungkin semua orang pun tahu, yang suka bercakap banyak sampai kadang-kadang tak ada arah dan tujuan adalah orang perempuan, termasuk diri saya sendiri yang bila bercerita, lebih banyak ketawa daripada meluahkan kata-kata sampai orang yang mendengar naik penat menunggu. Bahkan, adik saya dan adik-adik ipar saya cukup pantang dengan kebiasaan saya tu. Tapi, bukanlah saya nak mengatakan kaum perempuan kepoh, tidak! Takkanlah saya mahu merendah-rendahkan kaum sendiri. Saya sayangkan kaum perempuan sama macam saya sayangkan diri saya sendiri sebab saya pun perempuan juga. Kalau tak, takkanlah dalam setiap novel-novel saya, saya selalu menonjolkan watak perempuan yang kuat. Kuat di sini bukanlah angkat kayu balak, takkanlah kuat macam tu sekali kan? Tapi kuat dalam menghadapi setiap dugaan yang datang, tabah mengharungi hidup walau seribu satu masalah datang melanda.

Cuma, rasa-rasanya memang fitrah kejadian manusia yang bernama perempuan lebih banyak cakap daripada lelaki. Tapi saya akui, ada juga perempuan yang tidak banyak mulut, dalam erti kata lain tidak kepoh seperti saya. Entahlah... saya ni agaknya tak bercakap bila tidur aje sebab bila sorang-sorang, kadang-kadangnya saya bercakap juga. Contohnya, nasi lemak yang saya beli dan letak dalam pinggan, entah macam mana terlanggar kerusi masa saya angkat. Akibatnya, separuh daripada nasi bertabur di lantai. Dengan muka sedih [nak sangat makan banyak], saya sapu nasi tu sambil mulut kata, “Kenapa jadi macam ni?” Hem... mujur juga air mata saya tak meleleh dan nasib baik masih ada lagi separuh nasi tu dan yang lebih penting lagi, ayam goreng tak melompat keluar daripada pinggan. Tapi... tak kenyanglah! Hahaha...
Okey, berbalik pada soal cakap banyak atau dalam bahasa tak bestnya, kepoh. Kejadian ni berlaku hari Ahad baru-baru ni. Balik daripada JB, berhenti di TBS, saya terus pergi ke kaunter untuk ambik kupon teksi yang berjumlah RM15 sebab saya malas nak naik LRT. Masuk aje teksi, hanya sunyi yang jadi kawan. Tapi beberapa minit kemudian, driver teksi yang saya kira mungkin dalam anggaran umur awal 40-an pun bertanya soalan standard, “Dari mana?”. Saya jawab ala kadar aje supaya tak dikata sombong. Tapi... kalaulah saya tahu jawapan itu akan mengundang soalan-soalan lain yang berakhir dengan saya menghempas pintu teksi, saya buat bahasa isyarat aje supaya dia tak tanya apa-apa lagi sebab konon-kononnya saya ni bisu.

Lepas tanya dari mana, dia tanya kenapa saya tak bawa anak-anak sekali. Hati saya dah rasa semacam masa tu, tak suka bila orang yang tak ada kaitan bertanya hal peribadi saya. Jadinya saya diam aje. Tapi dia ulang soalan yang sama dua kali sampai akhirnya saya jawab saya tak kahwin lagi sebab tu saya tak bawak anak-anak sekali. Dia tanya lagi, kenapa saya tak kahwin dan lebih menyakitkan hati bila dia kata, kita ni tak guna banyak duit kalau tak kahwin. Dalam hati saya kata, kurang ajar orang ni. Bila masa saya kata saya banyak duit? Dekat dahi tak ada tulis dan takkanlah sebab saya naik teksi balik rumah aje saya dah dianggap kaya? Kalau nak ikut penampilan, saya hanya pakai selipar dan t-shirt. Itu semua, lambang orang kaya ke?

Malas komen, saya diam aje. Lantaklah kalau orang tu nak cakap sampai mulut tertanggal dan jatuh kat hujung kaki dia sekalipun, bukan mulut saya pun. Tapi masalahnya, dia jenis tak akan berhenti bertanya sampai dapat jawapan. Jadinya, saya pun kata yang saya dah nak kahwin dengan harapan mulutnya akan terkunci. Eh... dia terus juga bercakap soal kahwin. Entahkan pendengaran dia kurang, entahkan dah lama tak korek telinga agaknya sampai jawapan saya tu dia tak dengar.

Lepas tu, lebih menyakitkan hati dia suruh saya ubah penampilan diri kalau nak kahwin. Hoi... apa hal ada orang macam ni dalam dunia ni ya? Orang lelaki pulak tu! Dia nak suruh saya berubah macam mana lagi? Lagipun, bukan ke sama ada saya nak kahwin atau tak, nak berpenampilan macam mana pun, itu urusan saya yang langsung tak ada kaitan dengan dia yang tak penting dalam hidup saya?

Masa dah masuk kawasan rumah saya, dia kata yang dekat kawasan tu banyak askar, kenapa tak tackle sorang. Ya ALLAH... kalau yang banyak mulut tu perempuan, nak juga saya tengking kuat-kuat sebab tak faham bahasa. Akhirnya saya kata yang saya dah bertunang dan berhenti bertanya soalan yang sama sebab saya muak nak dengar. Memang kurang ajarkan ayat saya? Tapi hati saya sakit sangat masa tu. Ikutkan hati dan kalau saya punya kaki besi atau batu, nak aje saya melompat keluar daripada teksi tu. Dan rupa-rupanya, tak habis kat situ, dia cakap pula macam ni, “Baguslah dah bertunang. Boleh makan nasi minyak!” Habis aje dia bercakap, saya terus turun teksi dengan menghempas pintu sekuat mungkin. Kalau selalu saya ucapkan terima kasih, masa tu langsung tak.

Dalam hati saya terdetik masa berjalan menuju ke rumah, “Ya ALLAH... janganlah benarkan aku naik teksi orang ni lagi”. Hendaknya dalam dunia ni, tak ada orang macam driver teksi tu. Takut ada pula yang mati kena bunuh sebab mulut tak reti nak jaga.

- TERUS CINTAI AKU, GEMENTAR MASIH TAK HILANG -

Alhamdulillah... syukur tak terhingga pada ALLAH yang telah mencipta seluruh langit dan bumi, bila akhirnya dengan jari-jemari saya yang tak runcing ni [gemuk-gemuk dan pendek-pendek, serupa cawan], dapat juga saya pegang novel TERUS CINTAI AKU [TCA], novel ke-9 saya pada hari Sabtu, 17 Mac 2012 bertempat di MPH Subang Parade. Sangat detail ya maklumat yang diberi, kan? Macam jawapan nak jawab exam, sedangkan masa jawab exam betul-betul, jawapan yang diberikan sering kali aje ke laut jadinya. Contohnya boleh dilihat pada hari Isnin yang lalu. Exam apa, tak perlulah disebut-sebut di sini sebab tak ada kepentingan langsung.

Novel ke-9 dalam masa 9 tahun [dengan Alaf 21]. Aduh, tiba-tiba rasa emolah pulak! Diam tak diam, dah 9 tahun saya masuk ke dalam dunia penulisan yang sangat saya suka ni. Satu dunia yang kadang-kadang mampu buat saya ketawa, kadang-kadang pula boleh buat air mata saya titis ke pipi. Satu dunia yang ada masa-masanya, buat saya rasa suka sepanjang hari, ada masa-masanya pula buat saya rasa duka sampai menjangkau beberapa hari.

Ya, memang saya sangat-sangat-sangat sukakan dunia penulisan ni sebab saya dan penulisan [novel] sangat serasi bila digandingkan bersama [macam cincin dengan permata kot, ewah]. Tapi... dalam pada suka, macam-macam perkara, rasa dan kejadian yang terpaksa saya tempuh. Kadang saya TERASA ada di atas, kadang saya MEMANG PUN berada di bawah [bukan rasa lagi]. Tapi saya tetap juga bangkit bila rasa perih dan pedih seakan-akan menjauh. Saya tetap percaya bahawa seiring dengan masa, luka dan kesakitan pasti akan sembuh. Masa bagi saya adalah penawar paling mujarab untuk kesakitan yang melibatkan hati.

Saya tak tahu apa yang orang lain rasa. Tapi bagi saya, untuk masuk dalam dunia penulisan hari ini, kena kuat dari segi mental dan fizikal. Dari segi fizikal, sebab kita memerlukan masa yang panjang [berbulan-bulan] untuk menyudahkan sesebuah manuskrip, maka kita perlukan kesihatan dan kekuatan. Dari segi mental pula, kita perlukan ketenangan dan kedamaian supaya proses penulisan tu berjalan dengan lancar. Kalau saya, rosak mood saya maka rosaklah keinginan saya nak menulis pada ketika itu. Tak bagus sebenarnya kalau bekerja dengan mood, tapi itulah kelemahan saya dan saya percaya setiap orang ada kelebihan dan kekurangan tersendiri.

Kalau ada yang bertanya pada saya TCA mengisahkan tentang apa, saya terus terang tak tahu nak bercerita macam mana sebab saya segan walaupun semua yang berlaku dalam TCA datangnya daripada saya sendiri. Entahlah, memang dari dulu sampai sekarang saya tak reti nak memberitahu pada orang apa yang saya tulis. Bahkan, nak menyebut tajuk novel saya pun kadang-kadang lidah rasa terbelit. Bukannya tak pandai menyebut, tapi rasa malu lebih menekan. Dan lagi, yang paling saya tak gemar bila orang memperkenalkan saya sebagai penulis sedangkan orang yang diberitahu tak mahu pun tahu. Pelik tak? Tapi memang saya sangat tak gemar, kecuali pada yang mahu tahu.

Apa pun, untuk yang sudah mendapatkan TCA, sudah membaca TCA atau sudah mendapatkan TCA tapi belum berkesempatan membacanya, terima kasih sebesar dunia. Untuk yang belum mendapatkan TCA dan bakal mendapatkan TCA, selamat membaca dan semoga TCA tak menghampakan kalian. Selepas baca, kawan-kawan boleh hantar komen diemail supaya saya boleh membaiki mutu penulisan saya pada masa akan datang. Tapi kalau boleh, biarlah komen yang berhemah sebab kita sama-sama manusia yang tentunya ada hati dan perasaan. Semoga kita semua diberkati dan semoga pertolongan DIA tak pernah kurang, ;-)

- CINTA BUAT EMELDA, GEMENTARNYA RASA -

Semalam... penantian saya berakhir juga bila drama CINTA BUAT EMELDA [CBE] yang diadaptasi daripada novel KASIH ANTARA KITA [KAK] muncul di skrin TV rumah saya dan tentu aje di skrin TV rumah orang yang ada TV juga. Itu pun kalau orang tu tengok TV, kalau ada TV tapi tak dihidupkan maka tak adalah CBE tu.

Sejujurnya, masa awal-awal tahu yang KAK bakal diadaptasi menjadi sebuah drama hujung tahun lepas, saya sebenarnya terkejut. Tak ada angin tak ada ribut tiba-tiba aje pihak Alaf 21 telefon bagi tahu. Rasa macam tak percaya pun ada juga. Maklumlah... saya walaupun dah lama menulis, tetap juga terasa diri kecil. Malah selalu aje beranggapan kalau karya-karya saya masih banyak kekurangan dan saya perlu memperbaiki mutu penulisan saya. Tapi saya tetap juga menerima berita baik tersebut sebagai satu anugerah daripada DIA terhadap jerih perih saya selama ini.

Ya... bukannya mudah bergelar seorang penulis walaupun saya bukannya menulis karya hebat yang layak dipanggil karya agung, apalagi sekarang ni penulis dan penerbit di Malaysia tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Saya yang dah agak berusia dalam dunia penulisan harus kuat demi bersaing dengan penulis yang juga sama-sama memperjuangkan karya mereka. Malah, tidak cukup dengan itu terpaksa juga bersaing dengan karya-karya yang pernah saya hasilkan selama ini kerana fitrah manusia suka membanding-banding, termasuk diri saya sendiri.

Namun, di sebalik rasa gembira dengan berita daripada pihak Alaf 21 itu, saya sebenarnya gementar setiap kali mengenangkan novel setebal 500 lebih itu akan diadaptasi menjadi sebuah drama dan bakal diterbitkan oleh MIG, sebuah syarikat yang gah di tanah air. Bimbang kalau-kalau bakal mengecewakan pembaca yang pernah menghadamkan KAK. Maklumlah, sebuah novel bila diadaptasi tidak mungkin akan sama seperti dalam novel. Akan ada pengurangan dan penambahan kerana perlu sesuaikan dengan drama.

Tapi... risau macam mana pun saya, proses menyiapkan CBE tetap juga berjalan dengan seperti yang dirancang. Dan semalam... buat pertama kalinya CBE ditatap orang, termasuk saya. Tapi yang kelakarnya, saat pertama drama itu mula ditayangkan, dada saya seakan-akan sakit dipukul jantung. Sahlah yang saya memang berdebar-debar sangat. Terasa macam masuk ke dalam bilik interview aje layaknya. Mujurlah debaran itu beransur reda bila terus dilihat.

Benarlah, memang banyak yang berubah dan saya sebenarnya sudah tahu awal-awal lagi saat melihat ringkasan episod demi episod yang dikirim. Tidaklah saya terkejut sangat dan saya pun memang dah bersedia awal-awal lagi dengan perubahan tersebut. Tidak mahu terlalu mengikut hati, saya terima apa aje seadanya kerana tugas saya sudah selesai setakat perkataan tamat seperti yang terdapat dalam naskhah KAK. Lain daripada itu memang bukan kerja saya. Apa yang saya percaya, KAK bila didramakan haruslah mengikut acuan drama, bukannya ikut acuan novel kerana tidak mungkin akan jadi drama. Itu jugalah yang disebut oleh seorang yang sangat arif dalam dunia drama dan filem, Mahadi J Murad yang menjadi panel dalam Forum Sastera dan Populariti di UM yang saya hadiri siang tadi.

Dan sebagai pencetus [idea asal] lahirnya CBE, saya dah cukup berpuas hati asalkan CBE tidak membosankan dan mampu menghiburkan penonton. Dan selebihnya, kita semua dapat mengutip apa yang tersirat di sebalik yang tersurat.

- CINTA BUAT EMELDA [KASIH ANTARA KITA]... INILAH HARINYA -

Salam buat sesiapa aje yang sudi singgah di rumah saya yang dah lama tak berganti cat [malas nak ganti sebab banyak yang perlu dibuat] ni, silap-silap hilang banyak benda. Cuma nak beritahu yang hari ni 26 Mac 2012 dan seperti yang pernah saya sebut sebelum ni, drama CINTA BUAT EMELDA [CBE] yang diadaptasi daripada novel ke-2 saya, KASIH ANTARA KITA [KAK] akan ditayangkan di TV3 dalam slot AKASIA pada pukul 7.00-8.00 malam.

Jika ditanya pada saya tentang drama CBE ni, sejujurnya saya tak tahu nak komen atau nak kata macam mana. Cuma... terus terang kata, saya sukakan para pelakon yang menjayakan drama tersebut terutamanya pelakon utama walaupun ada yang kata, kenapa tak orang tu atau kenapa tak orang ni. Terlanjur saya pun tak ada kuasa untuk memilih siapa yang layak dan siapa yang tak layak berlakon dalam drama tu, jadinya saya terima aje apa adanya [mujur para pelakon menepati kehendak saya]. Tapi kalau ditanya fasal novel KAK tu, insya-ALLAH saya boleh jawab sebab novel tu sentiasa melekat di kepala saya walaupun dah bertahun-tahun masa berlalu sejak novel tu terbit. Tapi sebab usia dah makin lanjut [bongkok tiga], saya dapat rasakan ada juga hal-hal kecil yang berlaku dalam novel KAK tu yang dah makin hilang daripada ingatan. Lumrah manusia biasakan? ;-)

Jadinya, jangan ditanya pada saya antara KAK dan CBE, mana yang lebih hebat kerana saya percaya, kedua-duanya tentu ada keistimewaan tersendiri. Kalau ada kelebihan, tentu juga ada kekurangan. Tak ada mana-mana dan apa-apa karya di dalam dunia ni yang sempurna kerana sifat manusia sendiri memang tak ada yang sempurna.

Hanya yang pasti, ketika novel tu ditulis saya masih tinggal di Johor Bahru, tapi... saat novel tu terbit, saya dah pun tinggal di Kuala Lumpur. Tapi apa kaitannya kan? Tak ada! Sekadar nak bagi tahu semata-mata walaupun langsung tak ada kepentingan pada sesiapa pun.

Apa pun, saat ni saya sedang menyediakan mental dan fizikal saya untuk berdepan dengan apa saja yang berkaitan dengan drama dan novel ni. Debaran di hati pun tak tahu nak gambarkan macam mana, memang cuak gila. Tapi... hendaknya, janganlah saya yang ‘dihempuk’ kalau ternyata ada jurang yang dalam antara drama dan novel. Dan hakikatnya, antara novel dan drama, memang banyak bezanya walaupun masih berada pada akar yang sama. Harap pembaca KAK juga maklum akan hakikat itu, ;-)

- REVIEW “TERUS CINTAI AKU” DARIPADA ANITA -

Karya terbaru seorang penulis yang sentiasa saya nantikan. Memang saya terlebih excited sebab menerima naskhah ini dari penulis berserta tandatangan sekali hehhee. Senyum meleret-leret.

Memang berbaloi-baloi mendapatkan novel ni. Bagi peminat novel, saya percaya anda juga tidak akan menyesal, percayalah. (Bukan nak promote lebih-lebih tetapi saya mengatakan yang sebenarnya).

Apa Yang Saya Rasa?

Rasanya inilah novel kedua yang saya baca bagi tahun 2012 yang boleh membuat saya tidak sanggup berhenti membaca sehingga ke akhirnya. Rasanya tidak sampai 10 jam saya telah habis membaca novel yang setebal 577 muka surat ini. Malah sanggup berjaga hingga jam 3 pagi. Percayalah, sekali anda telah memegang novel ini, anda tidak akan sanggup berhenti sehingga ke pengakhirannya.

Saya suka semua watak dalam novel ini. Saya suka ikatan kekeluargaan yang sangat rapat dan harmoni dalam keluarga Zalis. Zalis sungguh bertuah mempunyai orang tua yang memahami dan abang-abang yang sangat menyayangi dan melindungi. Saya juga suka watak Khilfie walau dia bukan digambarkan sebagai lelaki yang serba sempurna . Suka watak Jaznita yang mengada, degil dan perengus tetapi akhirnya boleh berubah tenang apabila menyedari hakikat hubungannya dengan Khilfie.

Mungkin bagi sesetengah orang memegang janji yang dibuat sewaktu kecil sehingga dewasa adalah tidak munasabah. Tetapi itulah yang Zalis buat. Setia pada janji yang dibuat oleh Khilfie walau berbelas tahun dia tidak mendengar khabar dari Khilfie. Berbelas tahun juga nama itu diharamkan disebut oleh keluarganya namun tidak pernah tidak hatinya menyeru nama Khilfie.

Saya rasa saya terlebih beremosi ketika membaca novel ini sejak dari bab awal sehinggalah ke bab yang terakhir. Setiap kali Zalis bersedih kerana Khilfie memilih perempuan lain dan bukannya dia, saya turut merasakan betapa hancur dan terlukanya hati Zalis. Malah dada saya rasakan turut sesak apabila Khilfie berperang dengan perasaan yang dia sendiri tidak fahami. Mengapa setiap kali Zalis menjauhkan diri, dia seolah-olah sentiasa ingin mendekati Zalis sedangkan tempoh berbelas tahun dia meninggalkan Zalis, tidak pernah hidupnya rasa kekurangan tanpa Zalis. Mengapa di saat dia telah memilih Jaznita, pertemuan dengan Zalis selepas 16 tahun telah membuat hatinya sentiasa mengingati Zalis. Malah saya turut merasakan betapa huru-haranya hidup Khilfie apabila Zalis menghilang.

Oh... nasib baik juga bukan Khilfie yang memutuskan pertunangannya dengan Jaznita walaupun dia memang sudah berniat begitu. Sekurang-kurangnya dia tidaklah kelihatan sebagai lelaki yang sangat teruk kerana telah menghancurkan hati dua wanita. Ya, memang Khilfie sangat jahat kerana dia pernah melupakan Zalis, teman rapatnya semasa kecil. Namun, Khilfie juga sangat manis ketika dia berusaha mendekati Zalis yang sentiasa ingin menjauhkan diri. Namun aturan takdir siapa yang dapat mengubahnya.

Apa-apa pun tahniah kepada penulis kerana beliau telah membuatkan hati saya sentiasa berdebar-debar dan tidak menentu ketika membaca novel ini. Sebuah novel yang sangat best.

PESANAN/UCAPAN PENUH KASIH SAYANG UNTUK ANITA : Terima kasih tak terhingga atas review di atas. Kawan-kawan yang cantik-cantik dan manis-manis macam madu, bolehlah melawat Anita [DI SINI] sebab ada banyak lagi review novel yang menarik. Bolehlah kalau nak jadikan panduan sebelum membeli sesebuah novel.

- UNTUK YANG MAHUKAN SIGN SAYA -

Saya tak jual novel sebab saya tak reti nak jadi peniaga dan rasa-rasanya tak ada bakat pun nak jadi peniaga berjaya. Bimbang kalau saya berniaga, perniagaan saya lingkup macam tu aje sebab saya memang seorang yang agak malas. Lagipun memikirkan kos pos yang naik mencanak-canak, lagilah saya tak ada rasa nak meniaga sebab saya tahu kos pos akan jadi satu bebanan pada pembaca. Padahal, harga novel di kedai jauh lebih murah dan tak ada kos pos lagi.

Tapi... mungkin sebab minat yang mendalam terhadap dunia penulisan, ada yang bertanya-tanya dan katanya mahu mendapatkan tandatangan saya. Untuk itu, pada yang mahu mendapatkan novel-novel saya, terutamanya novel TERUS CINTAI AKU berserta TANDATANGAN saya, saya akan usahakan untuk mendapatkan novel-novel tersebut untuk kalian secepat mungkin. Jadinya untuk yang berminat;

1) NOVEL TERUS CINTAI AKU – Harga buku RM26/ RM29 [harga asal RM23]

Semenanjung Malaysia - RM26 [diskaun 10% + RM6.00 (pos laju)]
Sabah & Sarawak – RM29 [diskaun 10% + RM9.00 pos laju)]

2) NOVEL-NOVEL LAIN
- KASIH BENAR KASIH - RM21.00 [15% diskaun] - RM23/ RM27

- TANPAMU AKU RINDU – RM19.90 [15% diskaun] - RM22/ RM26

- AKU MAHU KAMU – RM19.90 [15% diskaun] - RM22/ RM26

- HANYA DIA TAHU – RM19.90 [15% diskaun] - RM22/ RM26

- SEGALANYA UNTUKMU – RM19.90 [15% diskaun] - RM22/ RM26

- JANJIKU BERSAMAMU – RM19.90 [15% diskaun] - RM22/ RM26

- KASIH ANTARA KITA – RM19.90 [15% diskaun]- RM22/ RM26

- SEMUSIM RINDU – RM18.00 [15% diskaun] - RM20/ RM24

Untuk kos pos, sama seperti di atas juga. Semenanjung Malaysia RM5 dan Sabah & Sarawak RM9.

Bagi yang betul-betul berminat, boleh email atau pm saya di FB. Kemudian saya akan berikan nombor akaun bank untuk bank in. Selepas pembayaran dibuat mohon kirimkan butiran pembayaran seperti NAMA, ALAMAT, NO. TELEFON & BUKU APA YANG NAK DIPESAN dan EMAIL ke;

1. aleyaaneesa@yahoo.com.my
2. FB

PESANAN PENUH KASIH SAYANG : KALAU BOLEH EMAIL PADA SAYA DULU NOVEL APA YANG NAK DIORDER, JANGAN MASUKAN DUIT DULU SEBAB BIMBANG ADA NOVEL YANG TAK ADA, ;-)

PESANAN LAGI : Mungkin saya tak jual novel-novel tu untuk masa yang panjang sebab saya bukan peniaga, ;-)

- REVIEW "TERUS CINTAI AKU" DARIPADA FAD -

“BAGI SESIAPA YANG MEMANG PENGIKUT SETIA KAK ALEYA ANEESA KENALAH DAPATKAN NOVEL NI... CARA PENCERITAAN YANG MATANG DAN JALAN CERITA YANG BEST SEMESTINYA TAK AKAN MENGECEWAKAN”

Membaca novel ni seolah-olah mengingatkan aku kepada kenangan lalu...aku seperti Zalis yang cintanya tak berbalas... walaupun cinta tak berbalas tapi tetap setia menunggu, dan terus menunggu... Zalis tak pernah menerima mana-mana lelaki yang cuba hadir dalam hidupnya kerana "janji" zaman kanak-kanaknya dengan Khilfie... meskipun Khilfie telah pergi jauh setelah kematian ibu bapanya namun Zalis masih setia menunggu...

Setelah hampir bertahun-tahun lamanya, mereka dipertemukan kembali... tapi kali ni Zalis cuba menjauhkan diri...bukan kerana cintanya yang kian pudar tapi kerana rasa kecewa bila melihat hati Khilfie telah diisi dengan cinta Jasnita... tapi siapalah dia untuk melawan takdir tuhan... akhirnya mereka tetap dipertemukan... nak tak nak Zalis terpaksa berdepan dengan kenyataan...

Saat pertemuaan itu, Khilfie terasa ada sesuatu yang mengganggu dirinya tapi dia masih tak sedar... Jaznita pula mula mengesyaki sesuatu...walaupun mereka pernah keluar berempat termasuk Rehimi yang merupakan bos kepada Zalis dan pada ketika itu Zalis diperkenalkan sebagai kawan lama Khilfie namun hati dia merasakan sesuatu...seolah-olah Zalis dan Khilfie mempunyai hubungan yang lebih daripada kawan lama...

Selepas pertemuan itu, Khilfie sering kali mengajak Zalis untuk berjumpa dan pernah juga dia datang ke rumah Zalis, walaupun hanya duduk di halaman luar...sehingga satu hari, rahsia yang selama ini dipendam oleh Zalis terbongkar... Petikan janji yang dicatit di belakang gambar mereka di atas pelamin semasa zaman kanak-kanak dulu telah dibaca oleh Khilfie... gambar tersebut telah dikoyak-koyak oleh Zalis...dia malu sangat...dia sedar dia tiada tempat di hati Khilfie... Perasan malu yang menebal membuatkan dia menghalau Khilfie... Khilfie pula tidak puas hati, baginya itu janji "bodoh" yang tak perlu dipandang serius...Khilfie mengajak Zalis keluar untuk berbincang dan sesi perbincangan itu hanya menambahkan luka di hati Zalis.. Zalis berjanji untuk tidak mahu melayan Khilfie lagi, biar nama Khilfie terus terkubur dari hidupnya... Dia juga tidak mahu dianggap sebagai perempuan murahan/perampas...

Namun, setelah lama tidak bertemu, kini Khilfie sedar...dia mencintai Zalis bukannya Jaznita... dia perlukan Zalis dalam hidupnya... Jaznita pula rasa dirinya dikhinati... dia rasa kecewa kerana dia telah mengetahui kebenaran... Zalis cinta akan Khilfie dan begitu juga sebaliknya...nak tahu apa yang terjadi seterunya kena dapatkan novel ni di pasaran...setakat semalam, hanya nampak kat MPH Subang Parade je...novel ni berharga RM23...bagi sesiapa yang memang pengikut setia kak Aleya Aneesa kenalah dapatkan novel ni... Cara penceritaan yang matang dan jalan cerita yang best semestinya tak akan mengecewakan...Tahniah kak Mar!

p/s- Aleya Aneesa merupakan novelis Kasih Antara Kita yang telah diadaptasikan menjadi drama Cinta Buat Emelda. Drama ini akan mula ditayangkan pada akhir bulan Mac di slot Akasia, jam 7.00pm-8.00 setiap Isnin hingga Khamis...

PESANAN/UCAPAN PENUH KASIH SAYANG UNTUK FAD : Terima kasih tak terhingga atas review di atas. Kawan-kawan yang cantik-cantik dan manis-manis macam madu, bolehlah melawat Fad DI SINI sebab ada banyak lagi review novel yang menarik. Bolehlah kalau nak jadikan panduan sebelum membeli sesebuah novel.

- KETINGGALAN ZAMAN BETUL, AWAK NI TAU! -

Akhirnya, semalam dengan jayanya tepat pukul 10.10 malam, saya berjaya menamatkan filem The Lord Of The Rings: The Return Of The King (2003). Itu bererti saya dah menghadamkan kesemua kisah itu [The Lord of the Rings: The Fellowship of the Ring (2001), The Lord of the Rings: The Two Towers (2002)], daripada A sampai Z.

Ya... ya... saya tahu saya dah ketinggalan zaman. Sebabnya dah 11 tahun usia filem tu, baru semalam selesai saya tengok. Bukannya dulu-dulu tak ada CD atau DVD, ada. Malah, masa filem tu keluar dulu dan abang saya tengok, saya sibuk baca novel walaupun saya ada depan TV. Saya memang tak pernah teruja nak tengok sebab saya rasa filem tu agak membosankan kerana terlalu banyak bercakap. Padahal filem tu sangat heboh dikatakan sebagai sebuah filem yang ‘wajib tengok’.

Tapi macam biasa, ada masa-masanya saya memang agak pelik. Sampailah dua minggu lepas, buka TV2, kebetulan tengah tayang The Lord of the Rings: The Fellowship of the Ring, saya pun layanlah. Itu pun saya dah terlepas 15 minit. Layan punya layan, saya terjatuh cinta dan mula berangan untuk mendapatkan dua filem yang lain.

Minggu berikutnya, tengok pula The Lord of the Rings: The Two Towers, pun di TV2. Saya layan dengan abang dan adik saya yang berkesudahan saya tengok sorang-sorang sebab abang saya tidur. Adik saya pun tidur juga, saya kata kat adik saya, tidur boleh tapi atas sofa aje dulu dan jangan tinggalkan saya sorang-sorang kat ruang tamu. Bukanlah saya penakut benar, tapi takutlah juga sebab rumah abah saya tak jauh daripada kubur [ayat seorang penakut]. Padahal, selama ni okey aje rumah tu, tak ada pun kejadian-kejadian pelik berlaku.

Tak sabar menunggu The Lord Of The Rings: The Return Of The King di TV, saya akhirnya cari DVD kat kedai di JB, malangnya semuanya tak ada. Hampa jugalah rasa hati. Bila kebetulan pergi Kulai, saya masuk satu kedai jual DVD. Hem... pencarian saya berakhir, saya dapat set lengkap bagi filem tu. Bonusnya, saya dapat set beberapa filem lain yang kebanyakannya saya tak tengok. Saya mula tertanya-tanya sendiri, selama 10 tahun kebelakangan ni, saya tengok filem apa aje ya? Kalau awal 2000 tu, kira okeylah sebab saya belajar. Tapi lepas habis belajar, saya tak tengok TV atau wayang ke? Pelik betul... ;-)

- CINTA BUAT EMELDA [KASIH ANTARA KITA], AKHIRNYA PASTI... -



Saya tak pasti sebenarnya berapa orang yang menunggu drama yang diadaptasi daripada novel KASIH ANTARA KITA [KAK] ni. Tapi saya tetap nak bagi tahu yang drama CINTA BUAT EMELDA [CBE] ni, kalau tak ada aral di saat-saat akhir [fitrah manusia, memang selalu pandai merancang sedangkan ada DIA sebagai perancang utama], akan ditayangkan pada 26 MAC 2012 PUKUL 7.00-8.00 MALAM. Ya, ya... saya tau memang ditayangkan pada waktu maghrib, tapi... kuasa memilih masa bukannya ada di tangan saya. Jadi, bagi yang tak dapat tengok pada waktu tu, mungkin kawan-kawan boleh melayari internet, pasti ada nanti, sama macam drama-drama yang lain.

Drama ni ada 24 episod. Apa yang terkandung dalam setiap episod, tak dapat saya jawab. Tapi saya akui memang ada pengurangan dan penambahan yang dibuat. Atas alasan apa, tentu aje mereka yang terlibat dalam drama CBE tu lebih tahu sebab itu bidang mereka, bukan bidang saya. Sebagai penulis, saya hanya mengharapkan yang terbaik untuk CBE dan untuk KAK juga. Saya tahu, drama dan novel memang datang daripada akar yang sama, tapi... cabangnya berbeza. Jadinya, kalau ada yang tak sama, harap yang pernah membaca KAK faham, ;-)

Di bawah ni, saya sertakan sedikit sebanyak tentang KAK. Pada yang mungkin terlupa jalan ceritanya, mungkin dapat ingat balik lepas baca N3 ni. Dan saya sendiri, sebenarnya... ikut sama menghadamkan KAK yang dah berusia 6 tahun sebab nak tengok apa kelainan yang terdapat dalam CBE [sebenarnya kalau tak baca pun, saya ingat lagi sebab saya tak dapat lupa kalau pun saya terasa nak lupa]. Hem... dah boleh masuk tadika ni. Hahaha, ;-)

“Emelda sama sekali tidak menduga ketentuan takdir yang sudah tertulis dalam hidupnya. Namun dia rela dengan setiap ujian yang datang. Lantaran itu, dia rela berkorban untuk meringankan derita yang ditanggung oleh kakaknya, Emira.

Atas rasa tanggungjawab, akhirnya dia rela menjadi isteri Aril Fatah. Perkahwinan tanpa cinta ini demi kebaikan anaknya, Dania. Dia tahu, suatu hari nanti bila kebenaran terbongkar, dia akan karam sendiri menanggung semua musibah.

Dalam waktu yang sama, Aril Fatah pula memikirkan kata-kata tulis Hakimi yang lebih kepada cabaran. Kalau benar dia sayangkan Emelda, dia mesti berusaha untuk mendapatkan cinta isterinya itu.”

- BEIJING - KENANGAN TERINDAH [3] -

Hari ketiga di Beijing, pagi-pagi lagi saya dan kawan-kawan dah bersiap-siap sakan. Katanya mahu melawat ke salah satu tempat yang ‘mesti’ dikunjungi kalau datang ke Beijing. Kalau tak, kunjungan ke Beijing dianggap tak selesai dan tentu aje kena datang lagi. Itu menurut kata pemandu pelancong yang ada bersama-sama kami sepanjang jalan-jalan menghabiskan duit kali ni. Tempat yang saya maksudkan, Forbidden City yang sangat luas itu.

Macam hari sebelumnya, hari tu sejuk juga. Malah rasanya lebih sejuk lagi. Mujur juga awal-awal lagi dah diingatkan supaya pakai baju tebal. Sekali lagi saya sarungkan si purple yang sama yang pernah saya pakai masa pergi Korea dulu. Tak nak beli yang baru sebab harganya bukannya murah dan selagi tak rosak, selagi tulah saya akan pakai, pakai dan terus pakai. Tak cukup dengan pakai si purple, saya siap pakai tutup telinga yang berbulu-bulu itu. Aduhai... jasa si bulu-bulu itu sangat besar bila sejuk yang terasa seakan-akan diserap ke dalamnya. Cumanya, saya tak berapa berani buka sarung tangan sebab jari-jemari saya terasa macam beku dan kebas.

Terus terang kata, Forbidden City sangat luas. Tapi yang bestnya, saya langsung tak terasa sakit kaki berjalan. Entahkan cuaca yang buatkan rasa sakit kaki tu tak terasa, entahkan rasa teruja yang buat saya rasa seronok aje meneruskan perjalanan sambil sesekali berhenti bila Kak Oda suruh saya beraksi depan kamera. Memang banyak gila gambar yang diambil dan Kak Oda memang suka ambil gambar dan tentu aje saya jadi modelnya. Tapi okey juga ada Kak Oda, kalau tak... tak mungkinlah saya akan ambil gambar sendiri kan?

Sepanjang jalan, kami semua sentiasa dihidangkan dengan sejarah dan kisah-kisah yang berlaku di Frobidden City. Ada yang hanya macam angin di telinga saya, ada juga yang saya masih ingat. Bukanlah tak berminat nak tau, minat juga. Cumanya... saya lebih teruja melihat apa yang dihidangkan di depan mata dan seboleh mungkin mahu mengabadikan semuanya sebaik mungkin. Tentang sejarahnya pula, kalau saya nak tau saya pasti menjengah Encik Google seperti biasa.

Tapi sungguh... saya kagum melihat binaan yang tersedia di Forbidden City. Nampak sangat cantik di mata saya. Atau, saya ni yang sebenarnya pencinta sejarah. Sebabnya, saya memang sangat sukakan subjek Sejarah masa kat sekolah dulu, padahal... ramai benar yang tak suka subjek tu.










Sebelah petang, kami semua bergerak pula ke Beijing National Stadium, stadium yang digunakan masa Olimpik 2008. Tak semua turun sebab tak ada apa yang menarik di sana, kecuali bentuknya yang seperti sarang burung. Tapi saya, tentulah tak nak lepaskan peluang. Bukannya hari-hari pun saya berkunjung ke Beijing. Tapi yang tak bestnya, saya dan kawan-kawan asyik dikejar penjual layang-layang. Dah kata tak nak pun tetap juga dikejar. Mungkin dia tak faham apa yang kami katakan, tapi dah buat isyarat geleng-geleng dan tangan kanan digoyang-goyang tanda tak mahu. Tapi nampaknya tetap juga tak faham. Akhirnya, teringat anak-anak buah saya, saya beli juga layang-layang tersebut, itu pun saya beli masa dah naik bas. Harap-harap, tak akan ada peniaga macam tu di Malaysia sebab rasanya sangat tak selesa diikut terus-menerus.






Di bawah ni pula masjid yang saya dan kawan-kawan sempat pergi. Kalau nak dibandingkan masjid di sana dengan di sini, memang tak sama. Yang samanya, sana dan sini... tujuannya satu, menyerahkan diri pada DIA, ;-)

- CINTA BUAT EMELDA, adaptasi KASIH ANTARA KITA -



PESANAN PENTING - Hanya nak berkongsi, tapi... masih tak tahu tarikh yang tepat bila CBE ini akan ditayangkan, ;-)

- JOM BERTEMU MESRA! -

Ini bukan ajak main-main ya, ajak-ajak ayam jauh sekali sebabnya saya manusia yang lengkap dengan akal fikiran. Tak mahu saya disamakan dengan ayam yang bertelur sebiji riuh sekampung tu. Bikin malu kaum ayam-ayam sedunia aje.

Makanya dengan rasa teruja, saya mahu ajak kawan-kawan yang dekat dan punya kelapangan untuk datang ke sesi Temu Mesra Bersama Penulis dan Novelis Grup Buku Karangkraf yang bertempat di MPH Subang Parade pada 17 Mac 2012, pukul 2.00-4.00 petang. Kalau makin ramai yang nak datang, makinlah saya alu-alukan dan saya akan sangat berbesar hati. Untuk itu, saya ucapkan terima kasih awal-awal lagi ya, supaya ada yang tertarik hati nak datang gara-gara ucapan ni [macam bagus aje kan saya ni?].

Tapi sungguh, saya memang harapkan kedatangan kawan-kawan. Kalau tak ada yang datang, nampaknya terpaksalah saya menyorok bawah meja sebab segan orang tak mahu jumpa saya [hahahaha]. Bila dah malu, saya terpaksa juga pandang kanan, pandang kiri, pandang kanan balik, lepas tu... cepat-cepat buat aktiviti, jalan laju-laju tanpa pandang orang sambil kata dekat diri sendiri, “Nasib baik saya bukan Aleya Aneesa, kalau tak malu orang tak nak datang”. Hahaha... nampaknya kepala saya ni macam dah masuk air, sebab tu merapu yang bukan-bukan.

Apa pun tak kisahlah! Kalau ada masa, datang jangan tak datang tau kawan-kawan. Dua jam aje... ;-)

- BeIjInG - KeNaNgAn TeRiNdAh [2] –




Dah seminggu lebih saya balik dari Beijing dan ini merupakan N3 kedua tentang saya di sana, di bumi orang yang pada akhirnya membuatkan rasa cinta saya pada bumi sendiri makin menelar. Ya... hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri, baiklah di negara sendiri. Tapi kalau masa saya di Beijing, ada hujan emas, pasti saya tadah dengan apa aje bekas yang ada. Lepas tu bila balik Malaysia, saya pergi kedai emas dan minta buatkan saya rantai, subang, cincin, gelang tangan, gelang kaki dan apa aje asalkan berbentuk cantik. Sayangnya... berangan memang tak kena bayar. Jangankan hujan emas, hujan salji pun tak jumpa, ;-)

Hari kedua di Beijing, sebetulnya saya terasa sangat malas nak bangun pagi. Itu pun lepas subuh, saya tidur balik. Sebabnya, malam sebelum tu kami sampai pun dah lewat, lepas tu tengok pula keadaan bilik yang kata Kak Lah, macam bilik orang bersalin [satu-satunya kenangan tak best masa di Beijing]. Semuanya berlaku sebab salah faham, mujur juga hanya semalam aje kami di tempatkan tiga orang dalam 1 bilik. Malam-malam berikutnya, Kak Lah tidur di bilik berasingan dan saya dengan Kak Oda, seperti biasa duduk dalam 1 bilik.

Pagi tu, cuaca rasa sangat sejuk. Ikutkan hati mahu aje berpatah balik ke bilik, tarik selimut dan tidur lagi. Kalau dah orang Malaysia, tetap juga orang Malaysia. Kalau sejuk di DBP pun saya dah tak tahan, apa lagi kalau suhu mencecah -5 darjah Celsius. Tapi kalau datang sekadar nak tidur, baik tak payah datang kan? Buat menghabiskan duit aje. Jadinya... dengan menggagahkan diri, saya bergerak seiring dengan kawan-kawan yang lain. Keluar aje hotel, mulut dan hidup pun berasap. Tak payah susah-susah bakar paru-paru [hisap rokok]. Dua kali menghadapi keadaan yang sama [masa pergi Korea dan Hangzou-Suzhou-Shanghai], saya tak adalah rasa excited sangat. Tapi memang saya rasa agak seronok tengok asap yang berkepul-kepul walaupun hanya dengan menarik dan menghembus nafas.




Destinasi pertama saya dan kawan-kawan, Summer Palace yang terletak di pinggir bandar Beijing. Apa yang saya lihat ada di Summer Palace, balai teater, kuil, istana, jambatan gaya China, seni taman, jeti, perahu naga, arca kerbau dan banyak lagi. Tapi yang paling saya suka, sudah semestinya tasik yang meniru reka bentuk West Lake yang terletak di Hangzhou. Tapi saya rasa, West Lake lebih cantik walaupun ketika sampai di sana hujung tahun lepas, cuaca agak berkabus dan hujan pun turun rintik-rintik. Cumanya, disebabkan tourist guide tiba-tiba angin satu badan, tak banyak gambar yang dapat saya ambil masa pergi ke West Lake tu. Jadi, masa di Summer Palace, saya dan dua lagi kawan saya bagaikan membalas dendam. Penat mulut saya senyum sebab nak nampak cantik dalam gambar. Melampau kan? Tapi memang itu pun yang berlaku.

Satu lagi yang buat saya kagum, disebabkan cuaca yang sejuk, air tasik jadi beku. Selalunya yang tengok, air beku bila dimasukkan dalam fridge. Bila satu pak cik yang sama-sama tunjukkan ais yang dikutip kat tasik, bulat mata saya. Kalau dah macam tu rupanya, tak hairanlah kalau ada beberapa orang yang berjalan selamba di atas tasik yang dah beku tu. Bahkan, ada juga yang main ski di atasnya walaupun tanda amaran dah pun ditulis. Manusia kan, bukannya mudah nak diajar?


Tepat masa yang diberikan, kami pun bergerak semula ke bas. Makan tengah hari, solat dan lepas tu pergi pula ke Silk Center. Kalau dulu saya pergi ke kilang membuat kain sutera, kali ni kedai menjual pelbagai sutera aje. Disebabkan sutera bukan kegilaan saya, saya hanya melihat-lihat dan mendengar-dengar semata-mata. Lepas tu balik ke hotel sebab ada kawan-kawan yang nak cari barang-barang keperluan di pasar raya tepi hotel. Saya dan dua kawan lagi, ikut pergi. Sebab harga baju sejuk agak murah, saya capai dua. Bolehlah saya melaram-laram sikit. Lagipun di Malaysia, baju yang hampir sama, harganya berganda-ganda. Dah beli kali ni, lain kali saya tak perlu beli lagi. Hoho... gaya cakap macam nak jalan lagi aje ya? Sudah semestinya! Hanya perlu dilihat pada rezeki dan masa yang sesuai. Keluar dari pasar raya, naik bas dan pergi makan malam.