- BuKaN mEmUjA bUlAn @ TeRuS cInTaI aKu [BaB 12] -

August 9, 2011

CINCIN di tangan dipandang lama dengan hati yang lapang. Senyuman lega terpamer di wajah lelakinya. Akhirnya setelah lebih lima tahun menyulam cinta, kini dia dan Jaznita terikat juga. Meskipun baru ikatan pertunangan, bukan perkahwinan, dia tetap berpuas hati. Bertunang bererti sebelah kakinya sudah melangkah ke gerbang perkahwinan. Hanya menanti lafaz ijab dan kabul lagi enam bulan dari sekarang bagi membolehkan sebelah lagi kakinya melangkah.

Manis wajah Jaznita yang mengenakan kebaya berwarna merah muda awal petang tadi, sampai ke saat ini terbayang-bayang di ingatannya.

Kalau ditanya pada hati, dia sebenarnya sudah tidak sabar-sabar hendak menjadi suami Jaznita. Tempoh enam bulan itu dirasakan terlalu lama. Namun bila Jaznita beria-ia minta diberikan waktu, rela dalam paksa dia akhirnya akur juga. Bukannya dia gelojoh benar, tapi mereka berdua sudah terlalu lama menjadi pasangan kekasih. Lagipun, dia tahu tempoh bertunang adalah tempoh yang sukar bagi banyak pasangan kerana akan wujud banyak rintangan. Dia bimbang semakin lama masa diambil, semakin dia dan Jaznita akan berdepan dengan halangan yang besar-besar sehingga akhirnya, dia ke timur, Jaznita pula ke barat dan sudahnya mereka tidak mungkin bergelar suami isteri.

Tapi Jaznita, tetap juga Jaznita. Tunangnya itu memang keras kepala. Kalau hitam kata Jaznita, dia terpaksa juga mengikut. Jika tidak entah berapa lama masa yang diperlukan demi memujuk sekeping hati yang sangat mudah tergores itu.

“Khilfie...” sapa Raudah perlahan. Dia melabuhkan punggung di hadapan Khilfie yang tadinya dilihat leka dengan cincin di jari. Mungkin anak saudaranya itu teruja dengan pertunangan yang baru saja berlangsung.

Khilfie yang masih leka membelek cincin di jari berpaling. Segaris senyuman dihadiahkan pada ibu saudara yang selama ini sudah membesarkannya selepas orang tuanya meninggal dunia. Ibu saudara yang begitu banyak berjasa kepada anak tidak beribu dan berayah sepertinya.

“Mak usu,” balasnya ringkas. Senyum tetap tidak hilang di wajahnya.

Raudah membalas senyuman anak saudaranya itu. “Bahagia?” usik Raudah yang memang suka menyakat Khilfie.

“Tak lagi.”

Wajah Raudah berubah. Khilfie mungkin hanya anak kepada kakaknya, namun sudah lama dia menganggap anak itu seperti anaknya sendiri. Bahkan dia pernah menyuruh Khilfie memanggilnya mama seperti anak-anaknya yang lain, namun Khilfie tidak pernah mahu melakukannya. Alasan Khilfie, kekok mahu mengubah panggilan mak usu kepada mama. Sudahnya dibiarkan saja asalkan Khilfie tidak menganggapnya orang luar.

“Tak lagi? Apa maksud Khilfie dengan tak lagi tu?”

“Selagi Nita tak jadi isteri Khilfie, Khilfie tak boleh rasa betul-betul bahagia. Kalau dah jadi, barulah boleh mak usu,” ujar Khilfie tenang.

“Oh... mak usu ingat apalah tadi. Tapi kiranya dia dah terikatlah tu. Enam bulan aje lagi kan? Dah tak sabar ya?” usik Raudah pada Khilfie yang kelihatan tersipu-sipu segan.

Khilfie sengih, sedikit segan dengan pertanyaan mak usunya yang diketahui bertujuan mahu menyakatnya. Rapat macam mana pun dia dengan Raudah, ada masa-masanya dia tetap tidak boleh bersikap selamba di hadapan ibu saudaranya itu. Tidak seperti saat dia berhadapan dengan arwah ibunya. Ditegur dan dimarahi macam mana pun, dia tetap selamba.

Ya ALLAH... rindunya aku pada ibu!

“Bukan tak sabar tapi dalam masa enam bulan tu macam-macam boleh jadi. Manalah tahu Khilfie tiba-tiba berubah hati. Tak ke haru macam tu?”

Tangan kanan Khilfie, Raudah tepuk kuat. Bibirnya diketap perlahan dengan mata sedikit mencerun. Kalau boleh mulut Khilfie yang mahu ditepuk kerana terlalu celopar. Dia tidak suka Khilfie mengeluarkan kata-kata seperti itu kerana dia percaya setiap yang lahir dari bibir adalah doa. Manalah tahu ketika Khilfie berkata-kata tadi, pintu langit terbuka, tidakkah Khilfie juga yang menerima kesannya kelak? Bukannya dia tidak tahu betapa sayangnya Khilfie pada Jaznita.

“Ada ke cakap macam tu,” tegur Raudah tidak senang.

Meletus perlahan ketawa Khilfie. “Khilfie main-main ajelah mak usu. Janganlah serius sangat. Tak lawalah nanti,” usiknya pada Raudah yang masih menunjukkan rupa tidak puas hati.

“Kalau betul-betul jadi macam mana?”

“Kalau betul-betul jadi mak usu tetap bermenantu. Tapi mungkin dapat menantu lainlah,” usiknya terus. Suka melihat Raudah yang beria-ia.

“Kamu jangan Khilfie... mak usu sayang kat Nita tu. Khilfie jangan pandai-pandai nak gantikan tempat Nita dengan orang lain. Mak usu tak nak,” kata Raudah semakin tidak senang hati. Selama mana Khilfie kenal Jaznita, selama itulah dia kenal pada gadis itu kerana Khilfie tidak pernah tidak memberitahunya dengan siapa anak itu berkawan. Jaznita pun selalu datang ke rumahnya dulu jika ada masa terluang. Lantaran itu, dia sudah menganggap Jaznita seperti anaknya sendiri walaupun dia akui yang sikap gadis itu ada kalanya sangat keanak-anakan. Ada masa-masanya juga agak memeningkan kepala Khilfie.

Tapi Jaznita itu anak tunggal, hidup pun dalam kalangan keluarga kaya. Jadi, dia memahami kalau tingkah gadis itu agak berbeza dengan gadis-gadis lain. Dan yang lebih penting lagi, Khilfie sayangkan Jaznita. Itu sudah cukup untuk dia menerima Jaznita dalam keluarganya.

“Jodoh kat tangan ALLAH, mak usu. Sayang macam mana pun Khilfie pada Nita, kalau memang tidak berjodoh, nak kata apa kan?”

“Itu mak usu tahulah. Tapi kita boleh berdoakan? Berdoa supaya jodoh kamu tetap dengan Nita?”

Khilfie angguk dengan senyuman, mengiakan apa yang dikatakan Raudah kerana kata-kata itu memang tidak ada salahnya. Namun jauh di sudut hatinya, dia sendiri terasa aneh bila dia berkata-kata seperti itu. Padahal dia tahu dia sangat ingin hidup di sisi Jaznita. Tapi tidak juga dia mahu meluahkan keanehan yang dirasakan ke telinga Raudah. Bimbang mak usunya itu berfikir yang bukan-bukan. Biarlah persoalan itu hanya berlegar-legar di kepalanya saja.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
“Tak ada pula Zalis ikut tadi. Padahal mak usu dah ajak dia malam tadi,” kata Raudah sambil menghela nafas panjang. Lega segala-galanya sudah selesai untuk saat ini. Selepas ini dia harus memikirkan soal majlis perkahwinan Khilfie yang akan berlangsung enam bulan lagi. Hendaknya majlis itu nanti pun akan berlangsung tanpa ada halangan juga. “Abang-abang dia pun tak ada juga,” tambah Raudah sedikit terkilan.

Dia memang berharap keluarga Haizah ikut ke rumah Tuan Haji Iman, bapa saudara Jaznita yang juga menetap di Johor Bahru. Jaznita pun memang mahu majlis pertunangan itu diadakan di selatan tanah air kerana tidak mahu keluarga mereka berulang-alik ke Kuala Lumpur. Cukuplah hanya majlis perkahwinan nanti yang diadakan di rumah ayahnya di ibu kota.

“Bertunang aje mak usu, bukannya kahwin pun.” Khilfie tidak mahu Raudah terlalu memikirkan tentang itu.

“Mak usu tahulah bertunang aje, tapi kita ni bukannya ada ramai keluarga kat Johor Bahru ni. Yang ramai dekat Muar tu. Dia orang itulah keluarga kita sekarang ni. Pada mereka sekeluargalah kita berharap,” luah Raudah tetap terkilan. Memang lama dia sudah tidak berhubung dengan Haizah, tapi dia tidak pernah lupakan Haizah sekeluarga. Bukan juga tidak mahu menjenguk Haizah, Khilfie yang tidak pernah bersedia kembali ke rumah yang kini diduduki dia dan suaminya.

“Mak cik dan pak cik ikut kan tadi? Cukuplah tu,” pujuk Khilfie sambil mematah-matahkan jari sendiri.

Bukan hanya Raudah yang terkilan, dia lebih-lebih lagi. Hanya dia tidak mahu menunjukkan rasa terkilannya pada mak usunya itu. Tidak mahu perkara remeh kelak akan dibesar-besarkan. Tapi hatinya tetap tertanya-tanya juga mengapa Zalis dan abang-abang Zalis tidak ikut. Sedangkan Zulhan dan Zahfir beria-ia mahu ikut rombongannya ketika diajak sebelum kenduri malam tadi. Hampa hatinya bila yang muncul di muka pintu rumah hanya Haizah dan Fadzil.

Ada apa sebenarnya yang telah berlaku?

Atau, Zalis sebenarnya bukan hanya lebih pendiam, tetap sudah sombong dan berlagak juga?

Tapi... takkanlah Zalis seteruk itu?

“Yalah... mama dan papa Zalis ada. Bukannya tak ada langsung. Mak usu malu juga sebab dia orang tetap layan kita dengan baik walaupun berbelas-belas tahun kita tak jenguk muka. Datang ke Johor Bahru selalu, tapi kaki tak pernah tergerak nak datang ke rumah mereka. Segan mak usu, tapi... nak buat macam mana lagi, mereka aje yang dekat dengan kita.”

“Bukan salah mak usu. Khilfie yang tak pernah nak ke sini. Bimbang teringat kat arwah ibu dan ayah,” luah Khilfie lirih. Tidak mahu Raudah menyalahkan diri sendiri, sedangkan mereka sama-sama tahu yang dialah punca mengapa keluarga mereka terus terputus hubungan dengan keluarga Zalis. Kini bila Zalis terasa jauh, dia sewenang-wenangnya pula mahu menyalahkan gadis itu. Padahal selama ini tidak ada Zalis pun hidupnya tetap berjalan sempurna.

Huh... aku ni memang tak logik!

“Khilfie pun tak salah juga. Mak usu faham keadaan Khilfie. Tak ada sesiapa pun yang bersalah. Dah begitu takdir yang didatangkan, kita kena terima sebab dah tertulis pun dalam rukun Iman yang kita kena percaya pada qadak dan qadar. Kita tak boleh lawan kuasa ALLAH.”

Khilfie senyum. Bohonglah kalau dia kata dia sudah tidak ingat pada ibu dan ayahnya yang sudah lama pergi. Sampai ke hari ini dan detik ini pun dia tidak pernah lupakan mereka. Tapi semakin masa berlalu dia semakin dapat menerima kenyataan bahawa setiap yang hidup di atas muka bumi ini, akan sampai masanya pergi juga. Hanya masa ibu dan ayahnya pergi agak awal.

“Esok kita pergi rumah Zalis nak?” tanya Khilfie pada Raudah. Hatinya teringin berbual-bual dengan teman masa kecilnya itu. Terasa ada begitu banyak yang mahu diceritakan pada Zalis kerana dia bukannya hilang setahun dua, tapi sudah menjangkau hampir 20 tahun. Dia teringin juga tahu bagaimana hari-hari Zalis selama dia tidak ada di sisi gadis itu.

“Memang mak usu nak ajak kamu ke sana pun esok. Mama Zalis dah berkali-kali mengajak.”

Zalis... entah kenapa seraut wajah suram Zalis melintas mata Khilfie ketika ini. Tapi yang dia ingat, dalam muram begitu pun Zalis masih sangat cantik pada pandangan matanya.

*** SeCeBiS kIsAh DaLaM kIsAh BuKaN mEmUjA bUlAn @ TeRuS cInTaI aKu [MASIH BELUM PILIH TAJUK APA NAK DIBUBUH SEBAB BELUM MUNCUL DALAM MIMPI], SeLeBiHnYa BoLeH mEnJeNgAh Di SiNi.

2 comments:

  1. ahh Khilfie .. tak mungkin sanggup Zalis menyaksikan pertunanganmu itu .. kerana hati ny hanya padamu .. hehe .. next .. next ..

    ReplyDelete
  2. kat sini ada sikit lagi sambungannya... http://aa-mw.blogspot.com/

    ReplyDelete