- Encik Gastrik, ToLoNg PeRgI jAuH! -

1:57 PM

Awal-awal pagi, tak tahu apa melanda terasa macam ada yang tak kena dengan perut. Rasa tak best sangat dan saya beranggapan mungkin Encik Gastrik mahu datang melawat saya agaknya! Maklumlah, dah lama sangat saya tak didatangi kawan yang sangat saya tak suka ni. Tapi saya tahan dan gagahkan diri terus melangkah ke pejabat. Tak mungkin saya nak cuti hanya sebab sakit yang kejap terasa macam menggigit segala organ dalam perut saya, kejap hilang macam angin lalu.

Satu ketika dulu, satu ketika yang belum begitu jauh saya tinggalkan, sakit perut sampai ada masa-masanya terasa nak pitam memang dah tak begitu asing bagi saya. Bukannya saya tak makan atau minum, mestilah saya makan dan minum sebab saya adalah manusia yang rasa-rasanya tak boleh dipisahkan dengan makanan. Sampai ada kawan-kawan kata, mereka rasa nak makan sama bila tengok cara saya makan. Katanya, nampak sedap! Tapi bila ditanya sedap atau tidak, saya akan kata sedap untuk makanan yang memang sedap dan saya akan kata bolehlah daripada tak ada makan untuk makanan yang saya rasa sedang-sedang dan lebih kejam daripada itu, saya akan kata tak sedap bila makan yang saya makan tak kena dengan selera saya. Selera pun macam rasa suka juga, sedap pada saya mungkin tak sedap pada orang lain, sedap pada orang lain, mungkin aje tak sedap bagi saya.

Tapi saya nak tekankan di sini yang saya memang suka makan tapi saya bukan manusia gelojoh tau, bukan manusia yang pantang tengok makanan mula terasa kecur air liur. Tolong jangan salah faham! Dan lagi, saya manusia bermusim, sama macam saya dalam dunia penulisan. Sebabnya, ada masa-masanya saya akan makan banyak, makan apa aje yang ada kat depan mata saya dan ada masa-masanya saya tak lalu makan. Saya makan cuit-cuit aje, sekadar untuk memastikan supaya Encik Gastrik tak datang membuat lawatan tak rasmi tanpa salam. Maklumlah, Encik Gastrik datang bukan untuk membawa khabar gembira, tapi dia datang sekadar mahu menjatuhkan hukuman atas kesalahan saya yang sengaja tak makan atau terlebih makan.

Encik Gastrik ni ada masa-masanya saya rasa sangat pelik. Tahu kenapa? Ada masa-masanya, perut saya kosong dia datang dengan riang rianya. Ada masa-masanya, perut saya sedang-sedang aje dia datang dengan senyuman manis dan ada masa-masanya, perut saya terlalu kenyang pun dia datang dengan ketawa besar. Belum lagi masuk bab saya makan makanan yang saya tahu akan buat perut saya rasa sebu dan dalam sekelip mata aje perut terasa macam belon yang tentu aje tak boleh buat tubuh saya terapung-apung ke udara dengan bebas.

Dan Ramadan ke-19, akhirnya Encik Gastrik datang juga mengunjungi saya. Kalau setakat menyapa lepas tu pergi, tak apa juga, saya terima sebab saya dah terlalu biasa. Hanya kali ni dia datang macam ribut taufan. Rasanya saya macam dah lama tak kena gastrik yang agak teruk. Mulanya memang saya boleh tahan. Saya bercakap, senyum dan ketawa macam biasa dengan harapan dia pergi. Tapi ternyata semua kesibukan tu gagal mengusir Encik Gastrik supaya tinggalkan saya. Bahkan makin lama, dia terasa makin melekat kuat sampai satu tahap saya cabut ke klinik sebab saya takut makin melarat dan masa tu tak boleh ditolong dengan hanya menyapu minyak pada perut.

Antara yakin dan tak yakin, saya melangkah juga ke klinik. Saya hanya berjalan kaki sebab jarak klinik dan DBP bukannya jauh sangat. Tapi rasa yang mencucuk-cucuk dalam perut semakin hebat dan saya terus juga bertahan dengan harapan saya tak pitam tengah-tengah jalan. Teruknya saya sebab tak minta bantuan kawan untuk temankan saya. Bukannya tak sudi, cuma tak mahu menyusahkan kawan-kawan selagi saya rasa saya mampu bertahan. Mujur saya sampai dengan selamatnya dan lebih mujur lagi bila tak ada sesiapa di klinik. Doktor periksa mana-mana yang patut dan doktor sahkan andaian saya. Memang betul, Encik Gastrik sah datang berkunjung! Ah... Encik Gastrik yang jahat kenapalah dalam bulan-bulan puasa masih juga nak kejam pada saya?

Selesai ambil ubat, saya kembali berjalan balik. Masa tu rasa bukan setakat mencucuk-cucuk aje dalam perut tapi dah terasa macam perut kena rodok dengan pisau. Dalam perjalanan tak jauh mana tu, yang terdetik di hati saya, “Tolonglah... tolong jangan pitam dan tolong jangan muntah kat sini! Tolonglah bertahan...” Mujur tak walaupun saya tergocoh-gocoh berlari pergi toilet bila rasa nak termuntah sangat. Alam masa tu rasa dah gelap-gelita. Aduhai jahatnya Encik Gastrik! Tapi tak termuntah pun sebenarnya. Balik semula di tempat duduk saya, saya dah tak boleh angkat kepala, hanya letakkan kepala atas meja. Anggota dalam badan terasa nak lerai satu demi satu. Kaki dan tangan terasa nak tercabut bergelimpangan. Mahu tak mahu, saya terpaksa telefon Fida, minta supaya Fida bawa saya balik sebab saya memang dah tak larat nak bawa kereta dan memang nasib menyebelahi saya bila Fida ternyata ada di Times Square.

Jarak DBP dan Times Square tak jauh mana, tapi bila rasa sakit yang amat sangat terasa, jarak yang dekat terasa jauh yang amat. Sekali lagi saya berharap supaya cepat-cepat Fida datang sebab saya memang tak tahan. Kalau tak fikir rasa malu, nak aje saya baring atas karpet dan berguling-guling macam bantal golek asalkan rasa sakit yang kejam tu pergi tinggalkan tubuh saya. Kalau kat kampung, kalau mak saya tengok keadaan saya masa tu tentu dia akan panik semacam sebab dia pernah nak dukung saya sedangkan masa tu saya dah tingkatan 3 ke 4 semata-mata sebab saya diserang Encik Gastrik dan tak boleh berjalan balik. Masa tu saya dan mak pergi ke satu majlis. Bayangkan masa tu berat saya berapa dan berat mak saya berapa? Tapi dek kasih seorang ibu, mak saya jadi lupa kalau saya bukan lagi anak kecil dia yang boleh digendong sesuka hati.

Fida sampai agak lambat sebab jalan sesak dan saya faham sebab ada banyak traffic light yang mengambil masa yang lama. Kesian dia sebab saya ganggu dia yang nak shopping, tapi saya memang dah tak ada pilihan lain lagi. Sebelum saya nangis atau betul-betul berguling-guling kat pejabat dan seterusnya memalukan diri saya bila saya naik kerja nanti, lebih baik saya balik. Bukan juga tak ada kawan yang offer diri nak hantar saya balik, tapi saya lebih selesa dengan Fida yang memang dah biasa dengan Rumah Pink. Fida belikan saya banyak roti dan air untuk saya makan dan minum sebelum makan ubat dan kemudian saya suruh dia tinggalkan saya di Rumah Pink sebab saya nak tidur dan berehat dengan janji saya akan call dia kalau ada apa-apa hal. Sebenarnya, saya rasa bersalah sebab ganggu dia dan akhirnya dia pergi juga dengan wajah risau sebab tengok muka saya yang pucat.

Menjelang petang, saya rasa dah semakin okey walaupun sebenarnya sangat tak mudah Encik Gastrik pergi lepas datang berkunjung. Dua atau tiga hari, rasa sakit tak akan hilang. Kalau hilang pun sakit sikit-sikit tentu akan terasa juga. Tapi biarlah, biar rasa sikit-sikit daripada rasa banyak-banyak. Tapi yang lebih saya harapkan, Encik Gastrik pergi dan saya kalau boleh nak cakap macam ni pada Encik Gastrik, “ENCIK GASTRIK, TOLONG PERGI JAUH!” Sebab saya dah tak mahu kawan dengan Encik Gastrik lagi, tidak hari ni, esok, lusa dan tidak juga untuk selama-lamanya.

You Might Also Like

2 comments

  1. mujur fida ada di kl... pasni lbh jaga makan tau.. yg tak bole dimakan tu cuba elakkan.. susah kan klu sakit sorang2 sana...

    ReplyDelete
  2. tulah... mujur sangat. klu x mmg kena tebalkan muka mintak tolong sesiapa aje. tu pun kakak kt opis nk tolong antar, tapi kte x nak susahkan dia.. ;-)

    ReplyDelete