- ADUHAI, LEGANYA RASA! -

Sejujurnya... ketika dilantik menjadi pengurus projek untuk acara “Sejam Bersama Penerima S.E.A Write Award Tuan Syed Mohd Zakir Syed Othman (S.M. Zakir)”, hati kat dalam terasa berat nak terima. Bahu nampak kosong, tapi... terasa macam ada batu besar menumpang, minta di bawa ke mana-mana saja saat kaki melangkah. Kalaulah boleh dikata tak nak, alangkah mudahnya hidup. Tapi sudahnya yang keluar dari bibir, bolehlah. Segan pula nak sebut lain daripada perkataan tu. Bukanlah saya ni tak suka, cumanya... kalau disuruh buat pilihan, saya lebih pilih jadi Pengerusi AJK daripada Pengurus Projek, walaupun ada yang akan memantau kerja saya. Maklumlah, mana ada orang yang suka kerja berat-berat kan? Semua nak ringan aje, termasuk juga saya.

Bermula daripada keluarnya kata ‘bolehlah’ [Kenapa ada ‘lah’ ya? Nampak benar wujud keterpaksaan di situ. Adoilah...], bermulalah rutin sebagai pengurus projek. Mulalah meeting, meeting dan meeting. Lepas tu mula juga jumpa orang tu, jumpa orang ni, jumpa orang di sana, jumpa orang di sini dan pendek kata, jumpa orang di mana-mana, orang yang berkaitan dengan acara tersebut. Tak cukup dengan tu, kerja-kerja membuat surat lantikan, memo dan macam-macam lagi semata-mata nak memastikan semuanya sempurna. Belum lagi dengan kerja-kerja menghubungi mereka yang terlibat. Sungguh... lelah memang terasa.

Dan bila tiba harinya, 5 Mei 2012 bertempat di Pentas Legar, PWTC, ada debaran memukul hati. Bimbang kalau-kalau yang dirancang tak menjadi. Lebih merisaukan kalau-kalau acara tu akhirnya akan memalukan saya dan seluruh Bahagian Buku Sastera. Orang mungkin tak tahu, tapi lutut saya ketar, lebih-lebih lagi bila mereka yang terlibat masih belum sampai. Tapi mujurlah, segala-galanya berjalan sempurna sampai ke sudah. Saya benar-benar rasa lega dan penat yang memang bukan sedikit, terasa bagaikan dicabut keluar sampai-sampai orang ajak makan pun, saya tak nak sebab perut saya dah kenyang dengan rasa lega yang bukan sikit.

Apa pun, untuk mereka yang terlibat dan kawan-kawan yang sudi berganding bahu dengan saya, terima kasih daun keladi ya, ;-)

No comments:

Post a Comment