- SEDIKIT TENTANG "TERUS CINTAI AKU" -

May 28, 2012

SEBELUM sempat Zahfir masuk, cepat-cepat Khilfie memintas kerana dia mahu duduk di sisi Zalis. Dia sedar lelaki itu agak terpinga-pinga dengan tindakan spontannya, tapi dia buat-buat tidak perasan. Biarlah dia menebalkan muka kerana hanya inilah masa yang dia ada untuk bersama-sama Zalis. Selepas ini, dia harus menunggu sekali lagi keajaiban takdir kalau hendak bertemu dengan Zalis. Mengajak Zalis keluar dengannya, dia tahu sampai kucing bertanduk pun, Zalis tidak akan mahu.

“Abang...” Kata-kata Zalis terhenti. Terkedu kerana bukan Zahfir yang duduk di sisinya, tapi Khilfie.

“Ya, ada apa?” sahut Khilfie. Dia tersenyum nipis. Tidak pasti kenapa di hatinya ada bunga-bunga halus walaupun dia pasti yang Zalis bukan memanggilnya. “Awak nak apa-apa ke Zalis?” tanya Khilfie perlahan. Sengaja tidak mengendahkan kebekuan Zalis yang tiba-tiba.

“Tak ada apa-apalah, Khilfie...” balas Zalis lemah. Apa sebenarnya yang dimahukan Khilfie? Lelaki itu seperti tidak mahu melepaskannya.

“Khilfie? Bukan abang?” bisik Khilfie, tidak mahu Zahfir mendengar kata-katanya.

Pantas Zalis berpaling merenung wajah Khilfie dalam samar-samar cahaya.

Khilfie memanjangkan sedikit lehernya. “Jangan marah, saya lebih tua daripada awak. Sebaya Zahfir, kalau awak rasa nak panggil saya abang pun, saya tak kisah. Sangat dialu-alukan,” bisik Khilfie lagi. Lembut suara Zalis menyebut perkataan abang tadi meresap dalam ke jiwanya.

“Merepek!” bidas Zalis.

Lebar senyuman Khilfie. Gembira kerana dapat mengenakan Zalis. Kalau tidak disebabkan cahaya yang suram, pasti dia dapat melihat wajah Zalis yang tentu saja berubah. Malu atau marah, dia tidak tahu. Yang pasti, warna di wajah Zalis tentu saja merah. Tiba-tiba saat ini dia sangat berharap kalau tidak ada Zahfir di antara dia dan Zalis. Bimbang tersilap cakap, buku lima Zahfir naik ke wajahnya.

“Zalis...”

Serentak Zalis dan Khilfie berpaling ke arah Zahfir.

“Abang Fir keluar kejap. Nak jawab telefon.”

Wajah Zalis berubah. Zahfir keluar bermakna dia harus ditinggalkan sekali lagi dengan Khilfie. Dia tidak mahu. “Zalis ikut!” kata Zalis.

“Kejap aje...”

“Abang Fir...”

Zahfir pegang kepala Zalis walaupun di tengah-tengah ada Khilfie. “Abang Fir nak jawab telefon. Khilfie... kau jangan sentuh adik aku walaupun pegang baju dia. Kalau aku nampak, siap!” Dia memberikan amaran kepada Khilfie. Kemudian, dia terus bangun dan pergi.

Melihat Zahfir melangkah, Zalis mencapai beg tangannya. Namun Khilfie lebih pantas bertindak, pergelangan Zalis dicapai dan digenggam erat. Sudah menduga Zalis pasti mahu mengikut langkah Zahfir. “Nak ke mana? Temankan saya tengok cerita ni sampai habis,” bisiknya. Zahfir sudah memberi amaran yang dia tidak boleh menyentuh walaupun baju Zalis, tapi sekarang ini dia bukan setakat menyentuh baju adik Zahfir itu, tapi pergelangan tangan Zalis. Hangat tapak tangannya bertemu kulit halus milik gadis itu.

“Lepas!” kata Zalis tegas walaupun dalam nada perlahan.

Mata Khilfie terus melekat pada wajah bengang Zalis. “Kalau saya tak nak lepas, awak nak buat apa pada saya?” Sengaja dia mencabar Zalis kerana dia merasakan gadis itu sudah banyak kali mencabar kesabarannya.

“Lepaslah!”

“Tak mahu...”

“Khilfie...”

Khilfie senyum. Nada seperti merayu itu mencuit hatinya. Zalis tidak menggoda, tapi dia rasa tergoda. Dia sedar dia tidak boleh merasakan perasaan itu kerana antara dia dan Zalis, tidak ada apa-apa. Mereka hanya sahabat lama yang ditemukan kembali selepas lama terpisah. Dia pun sudah ada Jaznita. Tapi entah apa merasuk, dia rasa gembira dapat berdua-duaan dengan Zalis walaupun hanya seketika.

“Dulu-dulu... lebih daripada ini saya pernah buat pada awak. Tapi awak tak pernah kisah pun. Sekarang, baru saya sentuh pergelangan tangan, awak dah kecoh macam saya dah buat lebih-lebih pulak,” usik Khilfie dengan kening yang sengaja dijongketkan.

Mahu saja Zalis menampar wajah Zalis sebagai hadiah atas kata-kata lelaki itu. Khilfie fikir dia apa boleh diperlakukan sesuka hati? Waktu itu, dia masih terlalu kecil dan tidak tahu apa-apa. Takkanlah bila sudah sedewasa ini, Khilfie masih mahu memperlakukan dia begitu?

“Awak jangan lupa, Zalis. Saya lelaki pertama yang pernah cium awak, peluk awak. Tidur sebelah awak. Bukan sekali pulak tu. Setiap kali awak merajuk, saya pujuk awak dengan cara tu. Awak dah lupa?”

“Khilfie!”

“Walaupun masa tu kita sama-sama kecil, saya tetap orang pertama dapat peluang itu. Saya dah mendahului bakal suami awak,” bisik Khilfie bangga. Sebenarnya, dia tidak menyimpan niat apa-apa tapi sekadar mengusik Zalis. Teringin melihat Zalis marah-marah macam masa mereka kecil-kecil.

“Awak ni biadab!”

“Ingat... saya tetap yang pertama. Sesiapa pun tak boleh ubah hakikat tu, Zalis.” Pergelangan tangan Zalis dilepaskan kerana dia melihat Zahfir sudah semakin mendekat. Tapi tangannya sempat mencapai bekas minuman milik Zalis. Cepat saja dia menyedut air tersebut sebelum diletakkan kembali ke tempat asal. Bahkan dia hanya tersenyum melihat mulut Zalis yang seperti terlopong melihat aksi kilatnya.

“Tak lama, kan?” tanya Zahfir pada Zalis. Ada senyuman di bibirnya. Sekali lagi tapak tangannya diletakkan di kepala adiknya itu. Lama. Mungkin sejak kecil mama dan papa mereka suka meletakkan telapak tangan di kepala anak-anak setiap kali memujuk. Bila sudah dewasa, Zafran turut meletakkan tapak tangan di kepala Zulhan, dia dan Zalis. Kemudian Zulhan juga meletakkan tapak tangan di kepalanya dan Zalis. Dan kini, dia pun akan melakukan perkara yang sama pada Zalis.

Tradisi keluarga! Itulah yang sering Rubina dan Irma katakan. Tapi mereka langsung tidak kisah.

“Tak.” Khilfie yang memilih menjawab kerana dia tahu Zalis pasti masih marah dengan perbuatan dan kata-katanya semasa ketiadaan Zahfir tadi. Ditambah lagi dia meminum air milik gadis itu tanpa izin. Memang tak lama Fir, tapi sorry sebab aku terpegang tangan Zalis. Kulit adik kau lembut macam dulu-dulu juga, detik hati kecil Khilfie nakal.

Sebenarnya, jauh di sudut hati, Khilfie terasa mahu menyentuh kepala Zalis sama seperti yang dilakukan Zahfir tadi kerana dia dapat merasakan betapa dengan cara itu Zahfir menyalurkan kasih buat Zalis. Bahkan, dia pernah melihat Zafran dan Zulhan melakukan perkara yang sama pada Zalis.

Buat seketika tidak ada kata-kata daripada bibir mereka bertiga. Namun, Zalis terasa tangan kasar Khilfie mengelus lembut belakang tangannya. Sungguh, tingkah Khilfie dirasakan sangat menyebalkan. Lelaki itu seperti lupa batas yang wujud antara mereka berdua. Khilfie kelihatan seperti galak mahu mengulang sejarah mereka yang sudah semakin jauh ditinggalkan masa.

“Gatal!”

Khilfie senyum. Dia mendengar dengan jelas apa yang Zalis katakan dan dia tahu kata-kata itu ditujukan padanya. Kebetulan filem yang dipaparkan di skrin besar di hadapan mereka sedang mempamerkan aksi-aksi 18SX.

“Tulah... Abang Fir dah cakap kita tengok cerita lain. Tapi Zalis nak juga tengok cerita vampire handsome ni. Kan dah malu sendiri.”

Kali ini, Khilfie tergelak. Cukup untuk pendengaran mereka bertiga. Lega kerana Zahfir langsung tidak mengesyaki apa-apa. Dia percaya Zalis tidak akan tergamak mengadu perbuatannya pada Zahfir. Lantas dengan tidak malunya, cepat saja tangannya menggenggam buku tangan Zalis. Dia tahu dia tidak patut memperlakukan Zalis begitu. Tapi hati di dalam seperti tidak mahu membiarkan Zalis duduk dengan tenang. Mahu terus mengacau gadis yang sudah terganggu sejak melihat wajahnya tadi.

“Aduh... sakit, Zalis!” bisik Khilfie. Kalau tadi Zalis diam, hanya menahan hati, kini Zalis sudah mula membalas. Sakit lengannya dicubit gadis itu.

“Lepas!”

“Tak naklah...” Inilah peluang yang dia ada, kenapa dia harus menurut kata-kata Zalis?

“Jangan salahkan saya kalau lepas ni lengan awak biru.”

“Kalau berdarah sekalipun, saya tetap tak akan lepaskan awak.” Matanya dan Zalis bertentangan. Lama. “Janji Zalis... lepas ni, jangan mengelak daripada saya lagi. Jangan jauhkan diri daripada saya. Lepas ni kita keluar berdua. Hanya awak dan saya. Janji...” tagihnya penuh harap. Khilfie mahu terus bertemu dengan gadis itu. Bukan kerana dia mahu mengambil kesempatan seperti hari ini, tapi entahlah... dia sendiri tidak mengerti. Hanya yang pasti, dia berat hati mahu melepaskan Zalis pergi. Tidak dari hidupnya, tidak juga dari hatinya.

Gila! Ya... tapi itulah, itulah kata hatinya saat ini!

2 comments:

  1. ya, saya akui mmg saya sudah jatuh cinta dgn novel akak ni..rasa nak ulang baca.

    ReplyDelete
  2. terima kasih ya LadyD. harap akan terus ulang dan mengulang, ;-)

    ReplyDelete