- CuTi-CuTi Di RuMaH sEnDiRi (1) -

February 9, 2011

Kalau orang lain memilih pulang ke kampung, pergi ke tempat-tempat menarik di dalam atau di luar negara, saya pula memilih bercuti di rumah sendiri pada CNY baru-baru ni. Tapi... bukannya saya bercuti sorang-sorang, sebaliknya semua ahli keluarga saya bawa sekali bercuti di rumah bertingkat 7 berwarna pink putih yang terletak di Kuala Lumpur. Kalau keluarga saya tak datang, tak mungkin saya dengan rela hati duduk di rumah yang menjadi tempat teduh saya selama ini. Cuti empat hari, tapi saya masih sendiri di rumah, oh tidak... saya pasti tak akan bertindak segila itu. Kalau boleh cuti dua hari pun saya nak balik kampung, cumanya jarak yang ada antara KL-JB tak memungkinkan saya bertindak segila itu.

Apa? Dekat aje jarak tu? Yup... memanglah tak jauh mana ke London. Tapi saya rasa agak tidak berbaloi atas beberapa alasan yang bagi saya kukuh. Pertama, saya tak akan puas duduk kampung hanya dengan cuti hujung minggu tu, paling tidak pun saya mahu cuti empat hari. Kedua, buat membazirkan duit aje. Ketiga, saya tak mahu letih sedangkan hati saya tak puas, walaupun memang bukan saya yang bawa bas. Saya tetap rasa letih, apalagi bukannya saya boleh tidur sepanjang jalan. Ada-ada saja yang mahu bertandang di kepala. Keempat... nantilah saya fikirkan lagi.



Sepanjang empat hari di rumah saya, tidaklah kami hanya melepak di rumah semata-mata, walaupun saya memang suka sangat duduk kat rumah tu. Ada beberapa tempat yang kami pergi. Dan destinasi pertama saya pilih I-City. Kenapa itu yang jadi pilihan, saya sendiri tak tahu. Hanya saya kira, kat JB tak ada lampu yang secantik di sana, jadi baik saya bawa mereka melihat. Tapi sebenarnya, bukanlah saya yang bawa mereka, lebih tepat lagi, abang saya yang bawa sebab saya sendiri pun tak pernah pergi I-City. Saya cuma tahun I-City tu di Shah Alam, saya tunjuk jalan ke Shah Alam. Tak tahu pun di mana I-City tu, hanya berharap pada signboard yang ada. Tapi sudahnya sebab tak yakin, saya telefon kawan dan tanya lokasinya. Mujur... walaupun keadaan jalan sedikit sesak, kami sampai juga. Dalam keadaan tiga buah kereta, saya cukup risau kalau-kalau ada yang tersesat entah ke mana-mana. Maklumlah... kecuali saya (itu pun saya hanya tahu jalan pergi dan balik kerja semata-mata), yang lain-lain semuanya tinggal di JB yang tentu saja bermaksud mereka tak arif dengan jalan-jalan yang sangat jarang dilalui.




Dan I-City, di mata saya yang tak berapa nak seni ni, sangat cantik dengan lampu yang pelbagai warna dan pelbagai bentuk. Tapi... saya hampir-hampir menangis, bila tiba-tiba terdengar jeritan seorang perempuan. Masing-masing dah terkedu bila perempuan tu nampak sangat kasihan bila tersedar anak dia hilang. Hilang anak di tengah-tengah orang yang sesak dan gelap pula tu, walaupun tak ada anak saya dapat selami perasaan perempuan tu. Silap pertimbangan mungkin boleh jadi gila. Semakin dia terjerit-jerit panggil nama anak dia, semakin hati saya rusuh. Tak tahu macam mana nak cari anak kecil yang entah ke mana. Pandang dan kira anak-anak buah saya, tujuh orang. Cukup! Saya dengar perempuan tu jerit panggil nama Marsha, mak saya dengar dia panggil Arissa dan sangka cucu dia bernama Arissa itu yang hilang sebab Arissa bukan jenis budak yang tahu duduk diam. Sedangkan Aqqif pula dengan perempuan tu jerit panggil pocong. Ya ALLAH... anak buah saya memang tinggi imaginasinya. Semuanya gara-gara bila dah berkumpul kami suka sangat tengok cerita hantu yang selalu merapu.

Melihat perempuan yang masih kalut tu, kami langsung memakukan langkah. Tak ke mana-mana dan tak juga mahu ke mana-mana, hanya menjadi pemerhati kerana kami berada di bahagian atas. Nak tolong cari, kami bukannya kenal siapa yang mahu dicari, silap-silap kami yang kalut saling mencari sesama sendiri. Tapi saya berharap, sangat berharap si ibu yang kasihan itu akan bertemu anaknya kerana saya melihat dia yang pada mulanya agresif menjerit, akhirnya terkulai layu sebab terlalu sedih dan takut barangkali. Mujur akhirnya, anak yang dicari ketemu juga. Jarak tak begitu jauh, tapi kanak-kanak yang saya andaikan berusia setahun lebih itu, tak mengerti apa-apa, jauh sekali faham rusuh hati seorang ibu.



Kemudian dengan rasa lega dan abang-abang dan adik-adik saya yang kukuh memegang anak-anak sendiri, kami bergerak. Terus meneroka I-City. Hujan yg pada asalnya renyai akhirnya reda bagaikan memahami yang kami tak mungkin bergerak dengan anak-anak kecil yang mudah terkena penyakit. Tapi sungguh... cukup hanya dengan melihat lampu, saya sudah pun terhibur. Lain kali ada umur, ada rezeki, saya pasti akan datang lagi.













1 comment: