- MaIn TuLiS-tUlIs LaGi! -

February 17, 2011

SEBEBAN kertas yang diletakkan Annura di atas meja dipandang dengan wajah bersahaja. Langsung tidak membantu walaupun dia sudah melihat betapa terkial-kialnya Annura membawa kertas-kertas itu tadi. Siap diberikan arahan lagi kepada gadis itu supaya berhati-hati agar tidak terjatuh. Sengaja membalas dendam gara-gara Annura begitu liat ketika diajak datang ke rumah papanya minggu lalu sedangkan jarak rumah mereka bukannya jauh mana. Hampir-hampir saja dia mengangkat bendera tanda mengalah tapi mujur juga Emran mula campur tangan. Mahu atau tidak, hari ini Annura harus pulang bersama-samanya ke Melaka. Pagi tadi pun memang dia yang membawa Annura ke tempat kerja.

Masam kelat wajah Annura ketika ditegur bakal bapa mentuanya itu, sampai sekarang seperti terbayang-bayang di matanya.

Itulah... ada hati nak lawan cakap bakal suami, kan dah bengang sendiri.

“Nanti kita nak pakai baju apa masa bersanding?” Tidak sempat minda menapis, mulutnya sudah meluah kata. Sudahnya, saat melihat mata Annura mencerun tajam ke arahnya, Dinzley hanya mampu tersengih-sengih sambil tangan mencapai kertas-kertas yang dibawa Annura tadi dan disusun elok di atas meja. Tidak cukup dengan itu, segala perhiasan Annura yang ada di situ dikemas-kemas walaupun hakikatnya semuanya tidak ada yang tidak kena, sempurna saja di mata yang memandang.

“Lama lagi kan?” Annura memilih untuk tidak marah-marah walaupun memang ada terasa hendak marah bila Dinzley hanya memandang dia mengangkat kertas-kertas yang entah berapa kilo tanpa sedikit pun membantu. Kini masih ada hati pula bertanya tentang baju perkahwinan. Sudahlah tidak kena tempat, salah pula masa yang dipilih, gerutu hati kecil Annura.

“Empat bulan awak kata lama?” Terjegil biji mata Dinzley. Wah... mudahnya Annura!

“Tak lama eh?” Annura buat-buat senyum seperti orang tidak bersalah. Sebenarnya tempoh empat bulan itu memang tidak lama. Pejam celik pejam celik saja pasti sudah sampai masanya.

Kahwin? Kahwin dengan Dinzley? Jadi isteri Dinzley? Dinzley jadi suaminya?

Huh... dia menelan liur dalam diam. Bimbang tetap juga tidak mahu pergi. Yakin tetap juga enggan mengunjunginya.

Dinzley yang mendengar pertanyaan itu semakin mendekati Annura. Ikutkan rasa geram, mahu saja dia mencubit bibir Annura. Gadis itu seperti sengaja hendak membalas dendam padanya. Tapi kalau dia mencubit bibir Annura, silap-silap dia dapat penampar gadis itu. Kalau tidak berhati-hati kecoh sampai ke rumahnya nanti dan kesudahannya di mana dia hendak meletak muka? Belum ada apa-apa sudah berani menyentuh anak dara orang.

“Kita pakai warna biru boleh?” Annura memberi cadangan.

“Biru? Alahai... saya tak suka birulah. Kita pakai warna hijau ajelah,” bantah Dinzley serta-merta. Biru dan dia, kalau dipadankan memang tidak serupa langsung. Memang ramai lelaki yang sukakan warna biru, termasuk Annura, tapi dia sejak dari kecil lagi tidak begitu gemarkan warna biru. Boleh dikatakan dia tidak ada koleksi baju berwarna biru. Kalau ada pun hanya tidak lebih sebesar ibu jari. Biru yang dia suka, hanya pada langit dan laut. Lain-lain dia memang tidak berkenan.

Mulut Annura melopong sesaat sebelum dia menutup dengan tangannya sendiri. “Saya tak suka hijaulah,” protes Annura sambil menggeleng. Di matanya terbayang-bayang warna katak pisang yang pernah meloncat di atas ribanya ketika tinggal di kampung neneknya di Melaka dulu. Berbelas-belas tahun masa berlalu, alerginya pada kejadian itu membuatkan dia jadi tidak suka pada warna hijau.

“Saya tak suka biru!”

“Saya tak suka hijau! Macam katak pisanglah...”

Katak pisang disamakan dengan warna kesukaan aku? Sabar ajelah, Annura ni! “Tak kira!”

“Ah... saya tetap tak peduli!”

“Ehem...”

Sepantas kilat Annura dan Dinzley yang sedang berusaha memenangkan diri sendiri berpaling. Melihat seraut wajah lelaki di situ, Dinzley hanya tenang bercampur serius. Sekelip mata hilang wajah ceria yang selalu dipamerkan untuk hidangan Annura dan keluarganya.

Sedangkan Annura yang melihat Razlan terasa seperti tidak tertelan air liur sendiri. Tidak percaya melihat lelaki itu ada di situ pada jam sebegitu. Selalunya, tamat saja waktu kerja Razlan terus berlalu tanpa banyak bunyi. Tapi hari ini memang luar biasa kerana sangkanya semua orang sudah balik. Dia pula masih kekal di pejabat selewat ini, pukul 7.00 malam gara-gara menyiapkan kerja yang penting kerana bercuti hari Isnin. Rasa seram tinggal sendiri di situ terus hilang bila Dinzley menawarkan diri menunggu dia sebelum mereka pulang ke kampung. Mujur akhirnya siap juga.

“Bergaduh?” perli Razlan dengan senyuman sinis.

“Tak. Tengah bergurau senda. Anyway, this is Dinzley, my fiance.” Annura membalas selamba. Dia sudah jelak memberi muka pada Razlan.

Dua tangan saling berjabat selepas diperkenalkan. “I got to go now... lain kali kalau nak bergaduh pun, carilah tempat lain. Bukan di pejabat bapa mentua I,” katanya pada Dinzley tanpa mengenalkan diri. Kemudian dia berlalu pantas tanpa berpaling lagi. Hatinya berbuku mendengar status Dinzley pada Annura.

“Kenapa tu?”
“Datang bulan!” Acuh tidak acuh saja Annura membalas. Cara Razlan pergi memang sangat kurang ajar. Sudahlah begitu masih sempat memperli Dinzley yang langsung tidak dikenali.

Dinzley yang mendengar jawapan Annura ketawa besar, geli hati dengan lawak spontan gadis itu. “Itulah ya mamat yang awak kata iri hati kat awak dulu? Nama dia Razlan kan?”

“Bila? Saya ada cerita ke? Tak ingat pun,” sangkal Annura. Dia memang tidak ingat dia ada menceritakan tentang Razlan pada Dinzley.

Dinzley menepuk perlahan tangan Annura yang berlabuh di atas meja. Bibirnya mencebik mengejek gadis itu. “Itulah banyak sangat makan semut sebab tu mudah lupa, semua perkara tak ingat,” usiknya pada Annura yang nampak bersungguh-sungguh memerah ingatan. “Alah yang buat sampai meja cium dahi awak tu?” Dia cuba mengembalikan ingatan Annura yang seperti sudah jauh tersesat.

Annura tepuk dahi perlahan, baru ingat. “Nampakkan muka dia yang iri hati?”
“Bukan iri hati, tapi cemburu.”

“Cemburu? Takkanlah... mana ada kami ada hubungan.”

Dinzley jongket bahu. Dia lelaki, Razlan lelaki, kalaupun tidak semua dia tentu dapat memahami gerak tubuh dan bicara Razlan. Annura saja yang tidak sedar perasaan Razlan yang diselindungkan dengan menyakiti hati gadis itu. “Cara dia pandang awak, saya tahu dia simpan hati pada awak,” kata Dinzley yakin. Dia pasti nalurinya tidak menipu kerana riak Razlan memang ketara.

“Ya ke?” Annura tetap juga tidak percaya. Selama ini tanda-tanda itu tidak ada pada Razlan. Dinzley saja yang membuat andaian tidak tentu hala.

“Takkanlah tak pula?”

“Tak tau... tapi nanti diam-diam saya nak tengok dia,” ujar Annura dalam senyuman. Ketika itu mereka sudah menghampiri pintu pejabat.

Langkah Dinzley terhenti. “Jangan... jangan sesekali pandang dia atau lelaki lain...”

“Tapi...”

“Dah jangan banyak cakap, mari...” Terus dicapai tangan Annura, diheret sedikit kasar. Annura baru berkata-kata, tapi kenapa dadanya terasa seperti dirempuh todak?
----------------------------------------------------------------------------------------
“Warna hijau eh?” pujuk Dinzley dengan suara yang lunak ketika mereka berdua dalam perjalanan balik ke Melaka. Perbincangan yang boleh juga dikategorikan sebagai berbincang sambil bertengkar disambung kembali selepas dirosakkan Razlan. Tempoh empat bulan sudah semakin hampir. Mamanya pun sudah mula bertanya itu dan ini padanya sedangkan dia hanya boleh memberi jawapan yang dia akan berbincang dengan Annura sebelum membuat apa-apa keputusan. Yang hendak berkahwin dia dan Annura, maka dia tidak mahu hanya membuat keputusan sendiri. Untuk itu dia mahu bersikap adil pada Annura yang tentu juga ada idea lain. Jangan gara-gara hal itu Annura terasa hati dan akhirnya membawa rajuk panjang padanya. Dia tidak berharap sepanjang mereka hidup bersama kelak, Annura hanya memendam perasaan yang berbuku.

“Saya tak suka hijaulah Dinzley.” Lunak juga suara Annura berkata. Dia betul-betul tidak suka, bukannya buat-buat tidak suka. Kalau dia tidak ada permusuhan dengan warna hijau dia juga tidak akan keberatan mengikut cadangan Dinzley. Tapi masalahnya sampai ke hari ini dia dan warna hijau masih belum berbaik-baik. Masih saling tidak boleh memandang kerana rasa gelinya masih belum hilang.

“Tapi saya suka...”

“No!”

“Nura...”

“Kalau macam tu kita tak payah ber...”

“Kita pakai warna gold! Tak ada biru tak ada hijau. Biar sama-sama tak dapat warna kesukaan masing-masing. Biar sama-sama tak sakit hati dan dapat berikan pose paling cantik kat pelamin nanti,” potong Dinzley pantas. Tidak membenarkan Annura selesai berkata-kata kerana dia seperti dapat membaca jalan fikiran gadis itu. Sedangkan mamanya dan Delaila sudah beria-ia menggambarkan suasana semasa majlis perkahwinan mereka nanti.

“Menyampah! Dia aje yang nak menang,” rungut Annura geram. Dia terus mengalihkan pandangan ke luar sebagai tanda protes walaupun dia yakin kalau dikerat jari pun Dinzley tidak akan tunduk pada permintaannya. Jika dilihat pada tahap tidak suka Dinzley pada warna biru, lebih kurang sama saja seperti dia tidak sukakan warna hijau. Tapi dia lebih rela memakai warna gold daripada warna hijau. Cuma dia tidak puas hati kerana tidak dapat mengenakan warna biru pada hari bersejarahnya nanti sedangkan warna itu sudah menjadi kesukaannya sejak di sekolah tadika lagi.

Lama masing-masing diam. Sengaja membiarkan sepi bermaharajalela. Namun sekali-sekala Dinzley menjeling juga pada Annura yang sudah pun memejamkan mata rapat-rapat. Mungkin letih, mungkin mengantuk atau mungkin juga masih mahu menunjukkan protes padanya.

“Awak kata dulu Razlan tu baik dengan awak masa baru-baru kerja kan?” tanya Dinzley, mengalah kerana tidak suka mereka diam bila berdua-duaan kerana untuk pasangan seperti mereka, banyak komunikasi diperlukan berbanding pasangan yang akan berkahwin kerana suka sama suka. Dengan komunikasi itu barulah saling memahami.

“Ya.”

“Kenapa dia tiba-tiba berubah?” Soalan lain pula yang muncul. Tipikal yang hendakkan jawapan sampai ke akar umbi.

“Manalah saya tau. Tiba-tiba aje dia dah buat perangai. Tapi... rasanya dulu dia baik sikit sebelum dia terserempak dengan saya dan Haffez....”

“Haffez? Siapa Haffez?”

Annura ketap bibir. Tidak sedar dia ada menyebut sebaris nama itu. Kepala digeleng sedikit. “Bukan siapa-siapa...” Lirih saja nada suaranya. Dia jadi ingat pada Haffez ketika ini.

Mendung di wajah Annura buat bibir Dinzley terkunci. Banyak yang ingin ditanya, tapi sudahnya dia tetap diam.

No comments:

Post a Comment