Saya kenal dia lama, sangat lama, cukup lama. Mungkin sebelum dilahirkan lagi, ketika ada dalam kandungan mak lagi, saya dah kenal dia dan dia dah kenal saya. Bahkan ketika saya lahir, dia pernah kata pada mak, “Daripada mana budak ni datang? Hantarkan aje dia ke langit”. Kejamkan bunyinya? Saya baru saja diberikan peluang melihat hijaunya bumi ALLAH, segarnya udara milik-NYA, tiba-tiba saja saya mahu dihantar ke langit, kehadiran saya tak diterima. Itulah yang dikatakan dia pada bayi kecil yang baru dilahirkan. Tapi itu tidaklah bermakna saya ambil hati pada apa yang dikata kerana ketika mengucapkan kata-kata itu, dia sendiri masih kecil, tak tahu apa ertinya kata-kata yang diluahkan.
Semakin masa berlalu, dia dan saya sama-sama membesar, sama-sama belajar bagaimana caranya hendak meneruskan hidup dan bagaimana mahu menjadi manusia berguna tak kira pada siapa sekalipun. Hanya saya dan dia memilih jalan yang tak serupa, tapi matlamatnya masih sama. Saya telah menempuhi jalan saya dengan onak dan ranjau yang tersendiri. Begitu juga dengan dia kerana dia juga manusia biasa yang tidak mungkin tidak diuji ALLAH. Malah mungkin ujian dia lebih hebat dibandingkan saya.
Selama kenal dia, saya tahu dia pernah menangis dan saya pernah mendengar tangisan dia kerana seperti saya, dia juga nakal. Yang nakal dan tak mahu mendengar kata, tentu saja perlu menerima hukuman supaya pada masa-masa akan datang, tak akan berbuat kesalahan yang sama. Itu lumrah! Tapi itu dulu, lama dulu dan saya benar-benar sudah lupa bagaimana rupa dia ketika menangis dan bagaimana bunyi tangisan dia. Tapi sungguh, saya tak pernah rasa rindu nak melihat betapa buruknya rupa dia yang menangis dan betapa sumbangnya bunyi tangisan dia. Sekali pun saya tak rasa rindu sebab saya tahu, dia bukannya jenis yang ketawa sampai keluar air mata. Jika tangisan dia gugur, bermakna dia benar-benar ada dalam kesedihan. Dan saya, saya tak pernah bermimpi mahu melihat tangisan dia. Yang saya mimpikan, mahu sentiasa melihat dia senyum panjang, yang saya rindukan ketawa berdekah-dekah dia bila melihat aksi-aksi kelakar yang terpamer di depan mata dia.
Tapi hari ini, selepas entah berapa lama, saya sekali lagi dihidangkan dengan tangisan dia. Saya tak melihat air mata dia, tapi saya mendengar suara dia yang jelas dilanda sebak. Ya... akhirnya saya sekali lagi mendengar suara tangisan dia. Dan hati saya di dalam terasa bagaikan direntap ke luar. Tidak... saya benar-benar tak suka mendengar dia menangis. Saya tahu, dia tak akan membiarkan tangisan dia sampai ke telinga saya jika dia masih mampu bertahan. Tapi kali ini dia benar-benar tak dapat bertahan hingga malu yang ada terpaksa dicampak ke sisi. Hanya sebaris ayat yang mampu dia keluarkan, sebaris ayat yang tak perlu pun diungkap, saya dah tahu sebab saya memahami dia sama seperti dia memahami saya.
Saya sedih kerana melihat dan mendengar dia sedih. Saya sedih kerana saya tahu kenapa dia sedih. Saya sedih kerana saya tahu dia dah lama memendam sendiri kerana dia bukan seperti saya yang ada banyak cara untuk meluahkan kesedihan saya. Dia bukan seperti saya, kerana itu kesedihan dia tidak seenteng kesedihan saya. Tapi kenapa yang sepatutnya memahami dia tak pernah berusaha hendak memahami dia? Tak mahu sedar betapa hidup ini tak semudah ABC? Sungguh... saya tak habis fikir tentang itu. Pada dia, tolonglah... tolong jangan menangis lagi. Moga seluruh rahmat ALLAH akan jadi milik dia...
No comments:
Post a Comment