- Oh, SaYa TeRkIlAn -

February 24, 2011

- KADANG-KADANG -

Kadang-kadang
kesepian ini memaksa aku
menyelak kembali lembar demi lembar
kisah kita yang ditinggalkan masa

Akukah terlalu memuja?
Mengangankan yang indah-indah
Yang hanya ada dalam dongeng
Yang cuma ada dalam mimpi
Lalu… akukah yang alpa?
Lupa kau hanya insan biasa
Ada lebih ada kurang

Sayangnya…
Kasih itu membunuh silapmu
Rindu itu menyingkir egomu
Sayang itu menyirna lemahmu
Pada mata hati ini

Kadang-kadang…
Kesunyian ini menjadikan aku benci
Pada kau dan kenangan itu
Pada masa dan kelalaianku

Tapi kadang-kadang
Aku tetap jua bersyukur
Tanpa kau
Mungkin aku tak kan jadi aku
Apalagi jadi seperti hari ini.

Oleh : Marwati Wahab, 2006

Sebenarnya saya tak tahu sama ada, bait-bait di atas boleh digelar sebagai puisi atau bukan, barangkali lebih kepada luahan perasaan semata-mata. Tapi... tak peduli sama ada puisi atau bukan, yang jelas itu hasil karya saya. Saya yang memikirkan diksi demi diksi sebelum melakarkannya di atas kertas putih dan kemudian memindahkannya di komputer dengan menggunakan jari-jemari saya yang gemuk-gemuk ni sebagai perantara.

Seingat saya, saya menulis puisi itu, (kalau boleh saya gelarkan sebagai puisi kerana definisi puisi di mata saya tak terlalu tinggi), semata-mata mahu meluahkan apa yang terbuku di hati saya selama bertahun-tahun. Ditujukan pada seseorang? Ya... memang ditujukan pada seseorang yang pernah rapat dengan saya satu ketika dulu. Seseorang yang membuatkan saya belajar banyak dalam hidup dan lebih tepat lagi, menjadikan saya sekuat hari ini. Kuat bukan dari segi tenaga fizikal kerana saya tak mungkin dapat mengangkat sebuah kereta atau menghumbankan sebuah rumah ke mana-mana. Tapi kuat dalam erti kata tak takut lagi pada kegagalan walaupun berkali-kali jatuh tersembam mencium tanah. Kini, saya dan seseorang itu... kami memilih jalan masing-masing kerana memang itu pun yang telah tersurat. Seseorang itu pun sudah lama pergi dari hati dan fikiran saya. Tapi sesekali jika kenangan dulu menyentuh minda dan hati, saya kira itu sesuatu yang normal kerana saya hanya manusia biasa sama seperti kamu, kamu dan kamu. Makanya, disebabkan sentuhan kenangan itulah puisi di atas saya lakarkan. Tanpa niat apa-apa, hanya sekadar menulis semata-mata kerana saya dan tulisan ibarat lagu dan irama.

Yang sebetulnya, puisi itu saya pernah hantar di sebuah majalah 5 tahun lalu. Disebabkan tidak ada khabar berita, saya fikir tidak diterima ataupun ditolak. Tapi semalam di YM, Fatin Nabila mengatakan pernah membaca puisi saya. Masa tu dia masih tak kenal saya. Saya tak percaya, bahkan saya kata yang FN sudah tersilap orang. Dalam masa yang sama saya semak email saya kerana saya masih ingat yang saya pernah menghantar sebuah puisi saya. Mujur masih ada dan sebaik melihat judul puisi tersebut, saya mula beramah mesra dengan En. Google. Hasilnya... ya, FN tak buat salah. Memang puisi tersebut sudah pun diterbitkan pada tahun yang sama iaitu 2006.

Terkilan! Itu yang saya rasa sebab saya hanya tahu tentang itu setelah 5 tahun masa berlalu dan tahu pula dalam keadaan yang tak dijangka begitu. Mungkin saya silap sebab saya tak beli majalah tu setiap minggu. Tapi... saya kira apalah salahnya jika penulis diberi tahu supaya kami boleh mendapatkan majalah tersebut untuk dijadikan sebagai koleksi peribadi. Setidak-tidaknya, bila tua kelak saya boleh tunjukkan pada anak cucu saya (tak kira anak cucu betul atau anak cucu sedara). Dan bukanlah apa-apa sangat, tapinya melihat hasil karya yang ditulis bertukar rupa, saya atau sesiapa aje tentu akan rasa puas hati. Bayaran untuk puisi itu pun bukanlah saya tagih, saya hanya mahu menyimpan majalah tersebut yang kini saya rasa sangat mustahil kerana dah terlalu lama. Tidak mungkin ada di jual di kedai, kalau ada pun mungkin sudah dijual longok kerana sudah boleh dianggap sebagai barang antik yang kemudiannya bakal dilupuskan. Tapi sungguh, kalaulah ada yang masih menyimpan majalah tersebut, saya masih berharap saya dapat memiliki majalah tersebut, ;-)

No comments:

Post a Comment