Hari ni 15 Februari 2011! Itu bermakna Nurul Husna, anak buah saya yang sulung sudah genap mencecah usia 11 tahun. Ya... sedar tak sedar Kakak rupa-rupanya sudah besar. Tingginya aje sudah hampir menyamai ketinggian saya. Cepatnya masa berlalu, langsung tak mahu menunggu manusia walaupun sedetik.
Kakak... itu gelaran yang kami anak-beranak gelarkan untuk dia kerana dia cucu yang sulung. Saya ingat lagi, ketika dia lahir saya memang gembira. Tapi seiring rasa gembira itu, ada juga rasa tak gembira bertapak. Bukan sebab saya tak suka dia, tidak sama sekali! Anak-anak buah saya, semuanya saya sayang. Hanya ketika itu, bila dia lahir saya terasa macam ada sesuatu yang hilang. Mungkin selepas ini perhatian Kak Long saya akan lebih banyak padanya dan saya pasti akan sedikit tersisih. Tapi saya silap, kehadiran Kakak sebenarnya dah membuatkan ikatan saya dan Kak Long jadi lebih erat kerana Kak Long selalu bercerita tentang dia. Saya pun selalu excited nak tahu perkembangan dia. Bahkan saya jadi lebih rajin tidur di rumah Kak Long bila cuti semester hanya dengan alasan mahu bermain dengan dia.
Tapi itu dulu. Sekarang ni Kakak dah besar dan disebabkan badan dan tingginya yang hampir menyamai saya, selamba aje dia rembat baju dan seluar saya. Bahkan dengan muka tak malunya, dia bawa balik baju yang saya beli dengan harga yang mahal dan baru pakai 3 kali. Saya yang terkedu, hanya mampu ketap bibir. Sabar ajelah anak buah sulung saya ni. Tapi nak marah pun tak guna sebab dia kata dia suka baju tu. Takkanlah saya nak bergaduh dengan budak umur 11 tahun hanya sebab baju? Sedangkan kalau boleh, saya pun nak memberi bulan dan bintang pada dia dan anak-anak buah saya yang lain. Lagipun, dulu-dulu pun saya suka rembat baju ibu dia. Cumanya, jari saya tak naik macam ketam untuk ketip lengan dia macam yang pernah Kak Long saya buat pada saya. Entahlah... ketika itu, saya rasa semua baju Kak Long cantik dan ketika ini, mungkin itu jugalah yang Kakak fikir.
Tapi tak kisahlah macam mana pun dia rembat baju saya dan selepas rembat baru bagi tahu, saya akan tetap mendoakan yang terbaik buat dia. Harapan saya, satu hari nanti dia akan jadi anak yang baik, sangat baik dan benar-benar baik bukan hanya untuk orang tua tapi untuk semua orang yang akan ditemui dalam seumur hidup dia. Untuk Kakak, Selamat Hari Lahir, moga seluruh rahmat ALLAH akan jadi milik Kakak, ;-)
No comments:
Post a Comment