- BoLeH sAyA sAyAnG aWaK? [PROLOG] -

August 18, 2011

Dalam cinta tak ada istilah ‘try and error’. Sekali terjebak, harus menelan istilah, ‘I love you’ sampai hujung nyawa.

“BERHENTI buat apa?” tanya Ilham dengan suara yang tidak begitu kuat. Terjegil matanya memandang Najid yang berhenti di pertengahan tangga. Kukuh dua tangannya memegang pinggang sendiri. Sekejap Najid pandang ke atas, sekejap kemudian Najid pandang pula wajahnya yang berdiri tegak di bawah. Najid nampak macam serba salah. Resah tidak menentu. Entah apa yang ada di benak Najid ketika ini, dia sungguh-sungguh tidak tahu.

“Tadi Najid kata okey, ni kenapa tak okey pulak?” rungut Ilham geram. Dia mengetap bibir kuat. “Macam lalang betullah dia ni,” sambung Ilham. Tetap juga memegang pinggang. Kalau Najid dapat dicapai, memang dicepuk kuat-kuat.

“Pak su...”

Najid tetap juga berdiri di atas tangga. Tangan kanannya memegang anak tangga. Tangan kiri pula kukuh memegang empat biji belon berwarna-warni. Bimbang kalau-kalau belon itu terbang bebas ke udara sebelum sempat diserahkan pada Najihah. Ikutkan hati dia memang mahu terus memanjat sampai ke puncak, tapi separuh lagi hatinya seperti tidak yakin. Bukannya dia gayat berada di tempat tinggi, jadi lelaki mesti berani. Tapi dia bimbang penerimaan Najihah. Takut makin dia mendekat, makin Najihah menjauh.

“Kalau Jiha mengamuk macam mana?” bisiknya perlahan. Tidak mahu kata-kata itu singgah di telinga Ilham yang seperti sudah mahu mengamuk di bawah.

“Teruskanlah panjat tangga tu Najid! Najid nak tunggu apa lagi kat tengah-tengah tu? Kepala pak su dah sakit ni asyik terdongak-dongak. Karang berkecai impian pak usu nak ke London kalau kepala pak usu senget. Cepatlah panjat Najid!” suruh Ilham dalam nada suara yang sama. Sakit pula hatinya bila Najid tetap juga kaku. Ikutkan hati dia mahu saja menjerit kuat biar Najid takut dan kembali meneruskan langkah yang terhenti, tapi dia tidak mahu kalau-kalau jeritannya sampai ke telinga Najihah. Bimbang lain yang dia dan Najid rancang, lain pula yang bakal terjadi. Silap-silap gaya, Najid bakal ke hospital kalau Najihah mendengar jeritannya. Dia tahu benar yang ketika ini hati Najihah benar-benar bengkak dengan tingkah dan kata-kata Najid.

“Kalau Jiha jawab tak boleh macam mana? Kat mana Najid nak letak muka nanti? Kalau dia tambah meradang macam mana?”

Ilham merengus. Kalau kaki Najid boleh dicapai, dia akan capai. Biar Najid jatuh menyembah rumput, biar tangga besi yang tidak seberat mana itu menghempap badan Najid yang dirasakan sangat menyebalkan. Tadi dilihat Najid seperti sudah berkobar-kobar dengan rancangan yang dibuat. Kononnya sanggup berbuat apa saja demi Najihah. Kini, baru separuh tangga besi yang susah payah diusung dari stor belakang rumah tadi dipanjat, Najid kelihatan seperti hendak mengalah. Kalau dia tidak ada di situ, pasti awal-awal lagi Najid sudah turun kembali agaknya.

Buat penat aku atur rancangan aje, rengus Ilham dalam hati.

“Belum cuba belum tahulah, Najid!”

“Kalau dia kata tak boleh macam mana? Pak su nak ke bertanggungjawab kalau Jiha kata tak boleh?” ulang Najid lagi. Ada risau dan gusar dalam nada suaranya.

“Najid cuba ajelah dulu. Pak su yakin yang Jiha tak akan kata tak boleh. Dia mesti kata boleh tu.”

“Kalau tak macam mana?”

“Najid!” Tinggi sedikit nada suara Ilham. Semakin geram dengan tingkah Najid yang tidak tetap pendirian.

Najid terus pandang wajah Ilham tanpa berkelip mata. Dia tidak takut kalau tiba-tiba Najihah muncul dari balkoni, kemudian dengan senyuman sinis menolak tangga yang sedang dipijak. Yang dia takut kalau-kalau kata ‘tak boleh’ muncul dari ulas bibir comel milik Najihah. Itu yang dia tidak ingin dengar. Baginya, biarlah dia jatuh tersembam di atas rumput daripada harus menerima penolakan Najihah. Bahkan kalau dengan cara menolaknya ke bawah Najihah akan berkata ‘boleh’, dia sanggup ditolak berkali-kali.

“Najid tak beranilah pak su...”

“Pengecut!” marah Ilham dengan wajah merah padam. Bersusah payah dia memikirkan jalan untuk Najid. Sekarang, setelah separuh usaha mereka hampir berjaya, boleh pula Najid kata tidak berani. “Najid lelaki kan?”

“Habis tu pak su ingat Najid perempuan ke?”

“Dah tu kenapa pulak tak berani? Kalau tau Najid tu lelaki, mana boleh muncul perkataan tak berani tu.”

Mata Najid membuntang. Sakit hati bila Ilham seperti sengaja mahu mengejeknya. Lain yang dia maksudkan, lain pula yang Ilham fikir. Bapa saudara Najihah itu memang suka bercakap dan berfikir yang bukan-bukan.

“Kalau Najid bukan lelaki, Jiha tu tak akan...”

“Baik Najid panjat tangga tu sekarang juga!” potong Ilham pantas. Tidak mahu mendengar Najid terus membebel sedangkan kaki tetap juga terpaku tidak bergerak di anak tangga seterusnya. Dia sudah memegang tangga besi berwarna silver di hadapannya itu dengan hati mendongkol marah. Kalau dia jahat memang ditolak tangga itu supaya Najid tahu langit itu tinggi atau rendah.

Najid sama aje macam Jiha, suka menyakitkan hati aku, suka buat aku marah. Tapi kalau ada apa-apa hal, aku juga yang dicari mereka berdua, desis hati kecil Ilham sakit hati.

“Kalau Najid tak nak terus panjat, pak su tarik tangga ni biar Najid jatuh tergolek ke bawah. Kalau Najid dah jatuh nanti, pak su pijak Najid sampai muntah air sebab Najid dah sakitkan hati pak su,” ugut Ilham dengan wajah serius.

“Hah?” Dahi Najid berkerut. Tidak percaya Ilham sanggup mengugutnya dengan ugutan kejam begitu.

“Najid cuba nak cabar pak su ya?”

“Mana ada!” bantah Najid pantas. Hatinya berdebar-debar dalam diam. Berkali-kali dia menelan liur tanpa pengetahuan Ilham yang tetap berwajah serius. Dia tahu kalau dia terus berdegil, Ilham akan mengotakan apa yang dikata kerana marah Ilham padanya masih belum reda walaupun Ilham bersedia membantunya.

Dia tidak mahu dipijak Ilham, tapi dia tidak juga mahu mendengar penolakan daripada Najihah sebentar saja lagi.

“Najid...”

“Ya... ya! Kejaplah, bagi peluang Najid tarik nafas dulu. Lepas dah okey nanti Najid terus panjatlah tangga ni.”

“Nafas apa lagi yang Najid nak tarik? Pak su suruh Najid panjat tangga tu, bukannya pak su suruh Najid terjun gaung ataupun lompat api.” Ilham tunduk, dia mencapai beberapa biji batu yang ada di bawah kakinya. Kalau Najid terus berdegil, dia akan membaling Najid dengan batu tersebut. Najid memang degil dan Najid tidak akan sedar kalau tidak disedarkan.

“Macamlah Najid nak kalau pak su suruh Najid terjun gaung ataupun lompat api!”

Semakin kuat Ilham menggenggam batu di dalam tangannya. Tidak percaya dalam keadaan darurat begitu pun, Najid masih sempat menjawab kata-katanya. Najid seperti sengaja mahu mencabar kesabarannya yang memang senipis kulit bawang. Sengaja menyuruh dia bertindak kasar.

“Najid cabar pak su ya?”

“Mana ada!”

Sebiji batu Ilham layangkan ke atas, tepat terkena belakang Najid yang sudah memandang ke atas.

“Apa pak su baling Najid dengan batu ni?”

“Padan muka Najid!”

Masam mencuka wajah Najid. Geram bila Ilham masih berwajah selamba walaupun selepas membaling dia dengan batu. Langsung tidak ada tanda-tanda bersalah pada wajah Ilham. Mujur juga tidak sakit, kalau sakit tentu pegangannya pada tangga terlepas dan kemudian dia bakal jatuh tersembam ke bawah. Kalau tersembam di atas badan sasa milik Ilham tidak mengapa juga, mungkin keadaannya selesa dan dapatlah dia membalas dendam pada Ilham. Tapi buatnya tersembam atas rumput walaupun tebal, mahu sakit juga pinggangnya nanti.

Kalau dipijak pula oleh Ilham sesudah dia jatuh, tidakkah nasibnya nanti lebih malang daripada Lebai Malang?

“Pak su kira sampai tiga! Kalau Najid tak panjat pak su baling lagi Najid dengan batu. Kali ni pak su akan pastikan batu ni kena atas kepala Najid. Biar Najid jatuh dan lepas tu pak su nak pijak Najid.”

“Pak su ni jahat betul!”

“Satu...” Ilham menunjukkan satu jari ke atas.

“Pak su kejam!”

“Jangan cakap banyak sangat Najid! Pak su tak suka dan tolong jangan buat pak su marahkan Najid lagi.

“Pak su memang teruk pun. Itu kenyataan yang pak su kena terima. Mana boleh asyik pak su aje yang nak menang kan? Pak su kena juga ambik kira pendapat orang lain sama tau. Barulah boleh hidup dengan adil,” bebel Najid terus seakan-akan lupa kalau mata Ilham yang sudah besar semakin besar kerana mendengar kata-katanya yang seperti tidak mahu berhenti.

“Dua...”

Satu batang lagi jari Ilham naikkan ke atas. Wajahnya tetap juga serius kerana dia tidak main-main dengan apa yang dia katakan tadi. Kalau Najid tetap berdegil, dia memang akan membaling Najid dengan batu yang ada di tangannya. Bukan sebiji-sebiji, tapi semua sekali akan dilayangkan ke tubuh Najid. Biar Najid sakit kerana Najid sudah pun menyakitkan hati banyak orang, bukan hanya Najihah semata-mata.

“Najid tak tahulah macam mana Jiha boleh tahan hidup dengan pak su selama ni. Kalau Najid jadi Jiha, dulu lagi Najid dah lari dari rumah. Patutlah Jiha selalu merungut kata pak su buli dia selama ni. Rupa-rupanya pak su memang layak pun kalau digelar kaki buli. Kalau kat sekolah, dah lama pak su kena buang sekolah. Kalau dekat jalan raya, dah lama pak su kena belasah sampai lembik. Kalau...”

“Ti...”

“Okey! Okey... Najid panjat sekarang juga,” potong Najid pantas. Tajam matanya menatap wajah Ilham yang sudah pun menjongketkan kening. “Tapi kalau Jiha kata ‘tak boleh’ macam mana?”

“Tiga!”

Pantas kaki Najid memijak satu anak tangga lagi. Dia tidak mahu dibaling dengan batu oleh Ilham kerana dia percaya Ilham tidak main-main dengan apa yang dikata. Melihat tampang Ilham saat ini pun dia tahu Ilham benar-benar sudah bersedia menarik tangga yang dipijak, kemudian memijak pula tubuhnya kalau dia terjatuh.

11 comments:

  1. terima kasih, harap cete ni x menghampakan nanti...;-)

    ReplyDelete
  2. wow...ehehe.. prolog best in the world..

    ReplyDelete
  3. harap bukan prolog je yg best kan ain? hehe...

    ReplyDelete
  4. sedang menanti yg seterusnya... cepat .. hehe =)

    ReplyDelete
  5. hehe..najihah..nama saya! hahaha ok novel akan datang ke? sila la cepat keluar di pasaran ye :)

    ReplyDelete
  6. sama ya giha. sabar ye, sampai masa pasti keluar kt pasaran...;-)

    ReplyDelete
  7. erm .. ok .. di tunggu tunggu yg seterus ny jugak ..

    ReplyDelete
  8. ok, akan diusahkan sehabis baik, terima kasih sudi baca...;-)

    ReplyDelete