- KASIHANNYA KAMU, DIK... –

May 25, 2012

Umur dia baru 11 tahun! Sebab umur saya dah 32 tahun, saya tak tahu nak bahasakan dia sebagai adik atau anak. Dan lagi, sebab saya pun ada anak buah berumur 11 tahun, saya jadi lagi tak tahu nak memanggil dia sebagai apa. Anak, atau adik, walaupun saya memang tak ada anak. Tapi yang pasti, saya rasa sangat simpati pada dia yang langsung saya tak kenal tu. Pasti gelap masa depannya selepas ini sebab sesiapa pun di tempat dia, tak mudah bangkit dan menerima takdir yang didatangkan dengan cara itu.

Sebenarnya, ketika dia berpindah ke kampung saya, saya dah pun belajar di tempat lain dan sampai sekarang saya tak pernah tengok dia. Dia pula duduk di hujung kampung. Yang saya selalu dengar nama ibu dan ayah dia, apalagi ayah dia kini terlantar kerana serangan angin ahmar. Kalau ada pun, mungkin saya tak perasan dia yang mana saya. Namun, sama ada kenal atau tak, sesiapa yang tahu kisah dia tentu berasa marah dan terkilan. Kanak-kanak kecil itu, tak patut diperlakukan seperti itu kerana jalannya masih panjang. Apa akan jadi bila dalam usia sekecil itu ada dugaan berat menimpa dia?

Sungguh, hati rasa sentap bila baca surat khabar yang dipamerkan dalam group belia kampung saya. Apalagi bila tengok tempat kejadian dan seingat saya, inilah julung-julung kalinya ada kejadian yang memalukan macam tu berlaku di kampung saya. Padahal, selama ni tak ada pun kejadian-kejadian teruk macam tu. Walau pelakunya orang luar, saya tetap juga rasa terkilan.

Betul, kampung makin maju, budak-budak pun makin pandai sampai dah ada pun yang belajar sampai ke luar negara. Dulu-dulu, pelajaran anak-anak langsung tak diambil berat sebab masing-masing hanya sibuk memikirkan macam mana cara nak memenuhkan perut anak-anak. Bila ada anak-anak masuk ke universiti, orang tua pasti menjadi perhatian. Tapi itu dulu, sekarang ni dapat belajar ke luar negara pun macam dah tak ada apa-apa lagi sebab dah ramai yang bijak pandai. Hanya yang terkilannya, seiring dengan kemajuan, kejadian jenayah pun jadi semakin maju juga. Kalau dulu mungkin hanya pokok rambutan atau pokok jering yang dipanjat penagih dadah, sekarang ni anak-anak kecil yang tak bersalah menjadi mangsa rakus si orang tua yang tak sedar diri.

Saya tak tahu apa sebenarnya yang berlaku, tapi dengar-dengar si tua kutuk yang mengaku bersalah ketika ditangkap, baru aje menukarkan pernyataan bersalah kepada tidak bersalah sedangkan sudah terang lagi bersuluh. Tapi saya percaya, yang jahat pasti mendapat balasan, kalau pun tak di dunia, di akhirat nanti pasti ada. Hidup kita bukan sekadar di dunia semata-mata kerana kehidupan selepas mati itulah yang akan kekal abadi. Kepada dia, harap peristiwa hitam yang berlaku tak akan menjadi penamat kepada hidupnya. Lepas hujan, matahari tentu ada kalau pun pelangi tak muncul, dik... ;-)

2 comments: