- LAMA BETUL SAYA BEREHAT, ADOI... -

May 29, 2012

Penulis dengan hasil tulisan, bagaikan pencandu dengan candu. Dua-duanya mampu membuatkan orang yang terjebak di dalamnya mengunyah istilah KETAGIH dan akan terus KETAGIH selagi belum berjumpa dengan penawar. Ketagih pencandu, pasti ubatnya candu. Ketagih penulis pula, ubatnya bermula dengan keyboard dan proses-proses seterusnya.

Itu saya akui kerana saya juga seorang penulis. Saya dapat rasa bagaimana perasaan bila dah lama tak menulis. Awal-awalnya mungkin, akan rasa gembira dan bebas kerana menulis manuskrip yang biasanya berkait rapat dengan hidup & kehidupan, nampak seperti mudah. Nampak aje ya! Sedangkan hakikatnya, tidaklah seenting mana. Kalau tak percaya, cuba jadi penulis dan rasakan perasaan sukarnya menyiapkan sesebuah nukilan, apalagi nukilan yang dipanggil manuskrip novel yang menelan jumlah halaman yang besar dan menuntut masa yang bukan sedikit.

Namun beberapa lama kemudian, rasa gembira itu sedikit demi sedikit beransur-ansur pergi. Tapi kerana merasakan tempoh rehat masih belum cukup dan tak berbaloi dengan apa yang dah dihasilkan, rasa tak gembira itu diabaikan dan digantikan dengan aktiviti-aktiviti lain yang bertujuan untuk membangkitkan kembali rasa gembira yang seakan-akan hendak hilang. Berjaya! Pun, hanya seketika cuma. Rasa tak gembira kembali mengambil tempat dan seiring dengan rasa tak gembira itu, terbit pula rasa seakan-akan kosong.

Bila kosong sudah mengambil tempat, adoi... tak ada apa yang boleh dibuat lagi, aktiviti apa pun dah tak berguna. Yang perlu, duduk kembali di depan PC atau laptop dan mulalah meramahkan jari-jemari yang mungkin dah keras kematu kerana sudah agak lama berehat.

Dan saya sendiri, sejujurnya dah 6 bulan berhenti menulis, selepas manuskrip terakhir saya siapkan. Niat saya nak berehat 3 bulan berlanjutan menjadi 6 bulan dalam pada saya tak sedar. Dalam masa 6 bulan itu, aktiviti saya hanya tengok TV. Habis semua cerita di TV saya hadap. Drama, filem baru & lama, rancangan lawak-lawak, iklan yang entah apa-apa, hiburan dan semuanya saya tengok dengan penuh minat. Biasanya drama bersiri saya tak layan sangat sebab saya tak mahu terjebak, kalau ada pun saya tengok beberapa drama bersiri Hindi yang sampai sekarang tak habis-habis dan entah bilalah akan habis, saya sendiri tak tahu. Tapi dalam masa 6 bulan tu, banyak drama bersiri Melayu yang saya selesaikan dengan jayanya.

Sungguh, saya benar-benar melupakan dunia penulisan yang sangat saya minat itu. Tapi adalah saya membaca novel sikit-sikit. Pendek kata, saya benar-benar menikmati musim rehat saya yang saya sendiri cipta tanpa ada paksaan daripada sesiapa. Bukannya senang nak bersenang-lenang tanpa memikirkan tentang manuskrip. Inilah masa yang ada, hoye... hoye...

Tapi... akhir-akhir ni, saya dah tak boleh nak berehat lagi bila saya terasa GIAN nak menulis semula. Beberapa hari berfikir apa yang perlu saya tulis, saya ambil keputusan untuk tulis manuskrip novel remaja sebab saya dah lama tak menulis tentang remaja. Kalau terus tak menulis, saya bimbang skill yang ada makin menumpul sampai akhirnya, saya tak mampu lagi menulis kisah-kisah remaja. Oh, tidak! Saya sayangkan skill yang ada kerana kalau boleh saya tak nak hanya menulis novel dewasa semata-mata. Sekali-sekali mahu juga bertukar angin ke novel remaja ataupun kanak-kanak, walaupun tak sekerap mana.

Dan dua hari lalu, alhamdulillah... saya dapat menyudahkan bab pertama untuk manuskrip yang masih belum berjudul itu. Kali ini kisah apa? Hoho... yang itu kena tunggu sehingga manuskrip tersebut terbit. Hanya, mungkin ada sedikit berita baik bagi yang rindukan Atiea dan Dania, anak kembar Emelda & Aril Fatah. Tapi kalau ada yang mengharapkan Emelda & Aril Fatah menjadi watak utama, maaf... harapan nampaknya hanya tinggal harapan. Namanya saja novel REMAJA, maka yang jadi watak utama tentulah anak-anak REMAJA, kan? Tapi, adalah muncul sikit-sikit Emleda dan Aril Fatah, bergantung pada keadaanlah.

Apa pun, harap akan ada pertolongan daripada ALLAH supaya tugas saya jadi lebih mudah. Mood juga, hendaknya sentiasalah berbaik-baik dengan saya. Kawan-kawan pun, doakan saya ya? Kalau boleh saya nak siapkan kisah Atiea & Dania ni secepat mungkin supaya saya boleh memberi tumpuan terhadap novel dewasa pula, ;-)

4 comments:

  1. xsabar nak menantikan karya akak yg terbaru.. semoga terubat rindu saya terhadapt sicomel kpd emelda dan aril.. gud luck utk penulisan seterusnya=)

    ReplyDelete
  2. salam....

    wah...mesti best ceritanya kan??? sebab buah hati Emelda & Aril Fatah jadi watak utama...tak sabar nk tunggu kemunculan karya terbaru ni... apa pun semoga sukses selalu ya... :D

    ReplyDelete
  3. : SRIKANDI UTARA - terima kasih sebab tunggu, tapi lambat lagi... nanti ada berita akak akan bg tau ya, ;-)

    ReplyDelete
  4. : SEH - belum jadi lg, tak tau best ke tak, tp harap2 bestlah hendaknya. ada berita akan diinform kt sini ya, ;-)

    ReplyDelete