- JeLi AtAu BiSkUt? CuBa TeKa! -

- Dapat tiket last minute, pergi last minute, dapat parking dekat-dekat nak last, jadi park aje tengah jalan. Lepas yang patut dibuat kami buat, pergilah tengok bola, Malaysia Vs Biskut Lemak Cicah Kopi O [Eh, silap! Singapore] kt Stdum Bkt Jalil. Kecewa memang kecewa, tapi rasa kecewa tak atasi rasa marah pada ORANG SANA. Tak faham, tak ada angin tak ada ribut, macam mana boleh tergolek jatuh? Dan klu itulah yg dinamakan strategi, murahan sungguh! –

Itu status pertama di wall Facebook saya hari ni! Kedengaran macam kejam kan? Jahat jari-jemari pun ada kan sebab menaip kata-kata yang tak sepatutnya? Tapi memang itulah perasaan saya semalam dan rasanya perasaan yang sama masih melekat di hati saya sampai ke saat ini. Ya, saya kecewa bila Malaysia hanya menjaringkan 1 gol sedangkan negara kita memerlukan gol 2-0 [ke 3-0?] untuk layak ke perlawanan seterusnya. Sudahlah mendapatkan 1 gol, kemudian Singapore pula turut menyamakan kedudukan tak lama lepas tu. Saya tak rasa marah pada team kita, saya tahu kalau saya sebagai penonton inginkan kemenangan, mereka yang ada di padang di Stadium Bukit Jalil semalam, tentu berganda-ganda mahu menang.

Tapi apakan daya, sudah tertulis macam tu dan sudahnya saya dan mungkin penonton yang lain keluar dengan rasa yang rata-ratanya serupa dengan saya. HAMPA!

Apa yang saya nak tulis lagi ya? Tiba-tiba terasa macam kehilangan diksi. Yang saya tahu ketika kaki melangkah masuk ke dalam stadium, saya rasa sangat berkobar-kobar. Dengan keadaan orang yang ramai macam ulat, tempat duduk yang penuh dan orang berdiri di mana-mana aje, saya rasa sangat kagum. Wah... meriah betul! Mungkin sebab masa saya tengok Malaysia Vs Chelsea tempoh hari, tidaklah seramai tu jumlahnya. Di kiri dan kanan masih banyak dengan tempat duduk yang kosong.

Sebab masuk lewat, memanglah tak ada tempat kosong, tapi mujur juga kami bertiga [saya, Shanika & Des] mahir dalam bab selit-menyelit. Tau-tau aje, kami dah dapat tempat strategik walaupun terpaksa berdiri. Tak kisahlah, datang nak tengok bola dan bukannya nak cari ketenangan atau kedamaian yang selalu hilang dalam diri. Gamatnya stadium masa tu buat dada saya berdebar-debar. Tiba-tiba bimbang kalau-kalau stadium runtuh sebab melebihi muatan [tingginya imaginasi saya kan?]. Saat lagu negaraku dinyanyikan, saya rasa terharu kerana semua orang kelihatan menyanyikan lagu tu dengan bersungguh-sungguh dan suasana yang sebelumnya terlalu gamat jadi hening. Yang ada suara-suara yang seperti seia dan sekata. Kalau inilah cara yang dapat menyatukan semua orang yang ada di Malaysia, biarlah hari-hari diadakan perlawanan bola sepak. Tapi dengan syarat, pasukan negara kita harus terus mempertingkatkan mutu permainan. Masa menyerang, serang betul-betul. Masa tahan, pertahankan betul-betul. Jangan hanya dipandang bola semata-mata. Kalau tak, lengang pula stadium nanti.


Bila perlawanan dimulakan, suasana kembali gamat dengan jerit-pekik, gendang, bunyi-bunyian dan macam-macam lagi. Saya yang mulanya biasa-biasa aje tiba-tiba terasa bersemangat. Ya... saya dalam sekelip mata kelihatan macam hantu bola yang terlalu berharap supaya Malaysia menang. Orang jerit, saya jerit, orang sorak, saya sorak, orang tepuk, saya tepuk dan orang ‘boo’, saya pun ikut juga sebab saya tengok dengan perasaan, bukannya tanpa perasaan.

Saat separuh masa pertama habis, kami dapat tempat duduk. Masa tu saya dah hampa walaupun masih ada 45 minit lagi. Saya kata kat diri sendiri, mungkin kejap lagi masuk. Masa tu juga tekak rasa macam kering semacam, nak beli air takut tempat kena ambil. Mujur ada abang baik hati, dia dan isteri dia belanja kami air. Walaupun hanya air mineral, tetap dihargai.

Masuk masa kedua, debaran makin kencang. Tak henti-henti saya doa dalam hati supaya bola masuk gawang. Akhirnya masuk! Dan saya masih lagi berharap akan ada bola yang masuk lagi. Tapi tak lama lepas tu, Singapore pun masuk sama. Terkedu, dan saya rasa hampa berganda-ganda daripada tadi dan hampa tu jadi berlipat kali ganda saat masa tamat. Hampa yang bersalut dengan rasa marah. Marah sebab melihat corak permainan pihak lawan. Tak faham kenapa sekejap-sekejap ada yang jatuh macam ditimpa sakit yang amat sangat. Tak cukup dengan yang menyerang, barisan pertahanan yang sekejap-sekejap jatuh, gol keeper pun sama. Dalam hati saya kata, mulut pun ada menyebut rasanya, “Tak ada angin tak ada ribut, kenapa tergolek-golek macam buah nangka busuk?” Tapi itulah yang terjadi daripada mula sampai ke saat akhir.

Sungguh saya sakit hati! Tapi bukan hanya saya, penonton lain juga. Diam-diam saya harap botol-botol air mineral yang dibaling akan sampai ke kepala pemain pihak lawan kerana saya tahu apa yang berlaku hanya taktik murahan semata-mata. Alang-alang sakit, biarlah sakit betul-betul! Saya tak kisah kalau mereka menang tapi menang tanpa ada taktik-taktik macam tu. Atau... sebab nak menang manusia sanggup melakukan apa saja. Pun macam tu, tidaklah saya berkata yang pasukan kita dah cukup bagus. Tidak! Masih ada kurang di sana dan sini, lebih-lebih lagi untuk barisan pertahanan. Atau mungkin mereka dah habis berusaha, hanya saya yang tak arif fasal bola dan kurang juga pengetahuan tentang bola sepak. Maklumlah... saya kan dah lama pencen jadi penonton bola sepak.

Apa pun, kekalahan memang dah nyata walaupun untuk perlawanan semalam kita seri, 1-1. Nak menyesal pun macam dah tak ada guna. Terima aje seadanya dan jadikan apa yang berlaku sebagai pengajaran. Hendaknya lepas ni Harimau Malaya akan lebih cemerlang dalam setiap permainan dan saya akan jadi penyokong mereka selepas ni, insya-ALLAH, ;-)


- BuKaN mEmUjA bUlAn @ TeRuS cInTaI aKu [BaB 11] -

“EIII... tak malu cakap pasal kahwin. Kita cakap dekat ibu ya awak ajak kita kahwin,” kata Zalis sambil lidahnya dijelirkan ke arah Khilfie yang sudah merah wajah di sisi Zafran yang masih setia memegang kamera berjenama Nikon. Suka hati kerana dapat memalukan Khilfie. Dendamnya pada Khilfie kerana mengata wajahnya comot dan atas kepalanya ada lipan besar masih ada walaupun Khilfie sudah memohon maaf.

“Cakaplah, kita tak kisah pun. Ibu kita memang dah tahu yang kita nak kahwin dengan awak. Kan ibu kita selalu kata, kalau gaduh-gaduh nanti dah besar jadi suka. Kan kita dengan awak selalu gaduh? Nanti dah besar mestilah kita suka dekat awak kan?”

Dia mendongak, memandang wajah Zafran yang tersenyum panjang.

“Nanti dah besar kita kena kahwin dengan Zalis kan? Sebab kita dah selalu gaduh dengan Zalis. Kan Abang Zaf kan?” Kali ini Khilfie cuba mendapatkan sokongan Zafran setelah melihat raut tidak bersetuju Zalis. Memang itu pun yang selalu ibunya katakan setiap kali dia menyebabkan Zalis menangis. Zalis yang tidak mahu berkahwin dengannya, akan menghentikan tangisan pada ketika itu juga. Kata Zalis, dia tidak mahukan Khilfie.

“Abang Zaf... betulkan?” Khilfie tidak puas hati melihat Zafran yang tidak berkata apa-apa.

“Tak betul kan Abang Zaf?”

“Betullah!” sanggah Khilfie pantas. Dia menarik hujung rambut Zalis walaupun dia tahu Zafran ada di situ. Selalu pun kalau dia geram dengan Zalis, dia akan melakukan perkara yang sama. Zafran hanya diam, sedikit pun tidak marahkan dirinya. Tapi kalau dia melakukan di hadapan Zulhan, Zulhan akan memijak kakinya sampai dia menangis. Kemudian Zulhan akan lari sambil mengejeknya. Pernah juga beberapa kali Zulhan mengugut akan merejam dia dengan batu kalau menarik rambut Zalis lagi. Abang Zalis yang satu itu memang garang. Dia sungguh-sungguh tidak sukakan Zulhan.

“Sakitlah rambut kita,” keluh Zalis kuat. “Abang Zaf...” Dia cuba memancing Zafran supaya memarahi Khilfie yang menarik rambutnya.

“Abang Zaf tak kisah pun kita tarik rambut awak,” ejek Khilfie. Terus dia terlupa yang seketika tadi dia mengajak Zalis kahwin.

Zafran menggeleng perlahan. Geli hati melihat tingkah Zalis dan Khilfie yang dirasakan sangat lucu. Mereka berdua memang selalu bergaduh, tapi bila petang-petang Zalis selalu minta dihantarkan ke rumah Khilfie. Khilfie pun setiap hujung minggu, pagi-pagi sudah tercegat di rumahnya dengan tangan memegang makanan ringan yang mahu dikongsikan dengan Zalis.

“Kita cakap dekat Abang Han, awak tarik rambut kita lagi,” ugut Zalis dengan wajah garang.

Zulhan! Khilfie menelan liur berkali-kali mendengar nama Zulhan disebut Zalis. Kalau Zalis sudah berkata begitu, esok-esok dia tentu dibuli Zulhan. Abang kedua Zalis itu selalu bersikap macam gengster. Di sekolah pun Zulhan selalu memukul sesiapa saja yang mengganggu Zalis. Tapi kalau Zalis yang mengganggu orang lain, tidak pula Zalis dipukul Zulhan. Malah ada masa-masanya, Zalis dan Zulhan bergabung mengenakannya.

“Janganlah... awak janganlah beri tahu Han. Nanti Han belasah kita,” pujuk Khilfie.

“Kita tak peduli kita nak cakap juga!”

“Zalis...”

“Kalau macam tu, awak minta maaf dengan kita,” suruh Zalis dengan riak berlagak. Dia tahu kalau dia mengugut dengan menyebut nama Zulhan, Khilfie pasti akan takut. Dengan badan Zulhan yang besar, mudah saja abangnya itu memukul Khilfie yang kecil seperti cicak kubin, walaupun Khilfie hanya berbeza dua tahun dengan abangnya itu.

“Okey... sorry eh?”

“Tapi janji awak tak kata kita comot lagi? Janji awak tak kata yang atas kepala kita ada lipan besar?”

“Okey kita janji. Tapi...” Kepala didongakkan, dia memandang wajah Zafran dengan senyuman comelnya. “Awak pun janji tau, bila dah besar nanti awak mesti duduk atas pelamin macam tu dengan kita? Awak tak boleh duduk dengan orang lain. Kalau kita tak ada pun, awak mesti tunggu kita. Nanti kita balik semula, kita nak kahwin dengan awak,” kata Khilfie dengan wajah serius. Sekejap dia pandang wajah pengantin yang masih senyum, sekejap dia pandang wajah Zalis yang juga tersenyum-senyum, senyum mengejek.

“Kita tak berguraulah Zalis!”

Lama Zalis diam. Berfikir seperti mana kanak-kanak lain. Wajah serius Khilfie ditatap. Bibirnya mengukir senyum. “Okey kita janji, kalau bukan dengan awak, kita tak nak duduk macam pengantin tu.”

“Janji tau?” Khilfie mengunjukkan jari kelengkengnya, minta disambut Zalis dan bagaikan mengerti, dalam sekelip mata dua jari kelengkeng yang halus dan comel saling bertaut rapat. Di bibir comel masing-masing ada senyuman yang juga sangat comel kelihatan.

Zafran yang melihat panorama itu, pantas menghalakan kamera. Gambar Zalis dan Khilfie yang masih berkait kelengkeng dengan berlatarbelakangkan sepasang mempelai di atas pelamin, dirakam. Sekali, dua kali dan kemudian berkali-kali kerana dia melihat itulah panorama paling indah yang pernah dipandang semenjak dia tahu dia suka mengambil gambar apa-apa dan sesiapa saja.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Bunyi salakan anjing yang sayup-sayup kedengaran, mematikan lamunan Khilfie tentang janji yang pernah dibuat bersama Zalis bertahun-tahun dulu. Janji yang sebenarnya tidak layak pun dipanggil janji kerana dia masih begitu kecil ketika mengucapkan janji itu. Kalau Zalis mahu mengatakan dia mungkir janji dan mahu membawa kes itu ke mahkamah pun dia yakin yang dia akan menang dengan mudah. Tidak perlu ada yang membelanya kerana dia boleh membela dirinya sendiri.

Apa guna jadi peguam kalau kes semudah itu tidak dapat diselesaikan?

Tapi gila apa Zalis mahu membawa janji zaman kanak-kanak mereka sampai ke mahkamah?

Berasakan yang dia memikirkan yang bukan-bukan, dia tergelak perlahan. Ketawa dengan kebodohan diri sendiri. Jangankan janji masa kecil mereka, dia pun silap-silap Zalis sudah lupa sama seperti dia melupakan Zalis sejak lama dulu. Kalau Zalis tidak lupakan dia, tentu Zalis akan melayannya seperti dulu-dulu juga. Tapi Zalis nampak begitu kekok bila berhadapan dengannya. Bahkan Zalis dirasakan sangat berat mulut ketika menjawab semua pertanyaannya. Senyum yang Zalis lemparkan juga seperti terpaksa saja.

Jauh benar Zalis berubah, detik hati kecil Khilfie.

Tapi kalau Zalis tidak muncul hari ini, dia memang sudah tidak ingat pada gadis itu. Awal-awal tinggal dengan Raudah, dia kerap menangis teringatkan Zalis. Dia rindukan Zalis yang selalu main sembunyi-sembunyi dengannya. Pernah juga dia meminta supaya dihantar bertemu dengan Zalis. Tapi lama-kelamaan dia lupa pada Zalis kerana Zalis selalu tidak ada semasa dia sedih.

Ketika di universiti dia bertemu pula dengan Jaznita yang cantik menawan walaupun mungkin kurang sedikit dibandingkan Zalis. Dia cintakan Jaznita dan dia berharap tali pertunangan yang akan diikat esok akan membawa mereka berdua ke jinjang pelamin. Kalau dulu dia berharap dapat duduk di atas pelamin dengan Zalis, kini dia tidak mahukan Zalis lagi. Dia tidak mahu lagi menyunting gadis manis itu menjadi isterinya kerana seluruh hatinya sudah diserahkan pada Jaznita dan yakin dia tidak akan berpaling pada perempuan lain, termasuk Zalis sekalipun.

Zalis cantik! Itu hakikat yang tidak dapat dia tolak. Rupa yang sangat berbeza jika dibandingkan dengan Zalis ketika zaman kecil mereka.

Tapi kalau Zalis masih berwajah comot dalam usia 26 tahun, memanglah terasa tidak masuk akal. Kecuali jika ada sesuatu yang tidak kena pada gadis itu. Misalnya, ada wayar di mana-mana dalam kepala Zalis yang sudah putus. Yang itu, memang tidak mustahil kalau Zalis masih comot tidak kiralah berapa pun usia yang gadis itu galas.

Ya ALLAH... apa benda yang aku merepekkan pula ni?

Senyuman kecil menghiasi wajah Khilfie. Jauh di sudut hatinya, melihat Zalis yang agak kaku, dia tiba-tiba saja terasa seperti kehilangan. Kalau ditilik pada diri sendiri, dia sepatutnya tidak boleh merasakan apa-apa kerana dia yang pergi begitu saja. Meskipun tidak pernah berjanji akan kembali pada hari terakhir dia bertemu Zalis, dia sepatutnya tidak membuang Zalis begitu. Dia boleh saja sekali-sekala mengunjungi Zalis jika dia mahu kerana dia tahu Raudah akan membawanya pada bila-bila masa sahaja. Dia hanya perlu membuka mulut dan meminta.

Tapi tidak pernah diluahkan lagi keinginan itu, selepas Raudah asyik menyuruh dia bersabar, ketika awal-awal meninggalkan Zalis dulu. Selepas lama masa berlalu, dia mula berfikir, tanah kelahirannya itu hanya akan mengingatkan dia pada arwah ibu dan ayahnya.

Sungguh... dia sedih ditinggalkan mereka!

Lantaran itu, dia tidak pernah kembali. Hanya setelah 18 tahun dia nekad kembali semula kerana dia tahu dia sudah cukup kuat berhadapan dengan kehilangan kedua-dua orang tua yang sangat dia sayangi. Terlanjur pula orang yang selama ini menyewa rumah itu mahu berpindah ke Sabah. Raudah anak-beranak yang sudah dianggap seperti keluarga sendiri pun sudah tidak dapat lagi tinggal di Kuala Lumpur kerana pak usunya sudah dinaikkan pangkat dan dihantar bertugas di Johor Bahru.

“Kat KL tu, kat mana ya Zalis tinggal?”

Terkilan juga dia bila Zalis pergi begitu saja. Soalannya yang terakhir pun tidak Zalis jawab. Malah dirasakan yang Zalis memang tidak mahu menjawab kerana berat saja cara Zalis mahu membuka mulut.

Takkanlah Zalis berubah sampai macam tu sekali?

Tapi 18 tahun masa berlalu, bukankah segala-galanya mungkin?


*** SeCeBiS kIsAh DaLaM kIsAh BuKaN mEmUjA bUlAn @ TeRuS cInTaI aKu [MASIH BELUM PILIH TAJUK APA NAK DIBUBUH SEBAB BELUM MUNCUL DALAM MIMPI], SeLeBiHnYa BoLeH mEnJeNgAh Di SiNi.

- SaYa & BoLa SePaK -

Bercerita fasal bola sepak, saya sebenarnya tak tahu apa yang nak diceritakan. Tapi... saya terasa nak bercerita juga sebab bukannya hari-hari ada pengalaman tengok bola, apalagi tengok bola secara live kat Stadium Bukit Jalil. Kalau ada yang nak baca cerita tak penting ni, sangat dialu-alukan. Kalau tak rasa nak baca, tak apa & tak apa-apa. Boleh baca lain kali, bila ada cerita yang kena dengan jiwa.

Mukadimah saya, ceh! Bertahun-tahun dulu, saya memang peminat fanatik bola, tapi bertahun-tahun yang sangat jauh dah saya tinggalkan. Seingat saya, masa saya sekolah rendah, memang saya hantu bola. Tapi saya hanya minat bolah dan pemain bola sepak Malaysia. Masa tu Johor agak gah dan bila Johor makin lama makin menghampakan, saya dah tak tengok lagi bola kat TV. Saya cuma tengok kat kampung, bila abang-abang dan adik [adik nombor satu sebab adik bongsu saya tak main bola sepak, dia main kriket] saya main bola. Lain daripada tu, saya tak tengok dah.

Tapi lama lepas tu, saya tengok semula, atau dalam erti kata lain saya terpaksa tengok sebab abang-abang dan adik saya suka bola. Maknanya, nak atau tak saya terpaksa juga layan bola. Nak berebut TV dengan dia orang, rasanya saya tak mungkin menang. Saya kan adik yang baik. Perasan! Masa tulah saya mula kenal pemain-pemain bola sepak luar negara. Taklah kenal semua, tapi bolehlah kalau nak dibandingkan dengan sekarang sebab sekarang ni pengetahuan saya tentang bola, KOSONG! Pemain luar negara saya cuma tau beberapa nama sebab saya rajin bertanya bila balik kampung dan kebetulan terpaksa tengok. Pemain negara pula, pun boleh dikira dengan jari, kalau tau nama pun saya mungkin tak kenal rupa.

Last saya tengok bola yang betul-betul rasanya masa Piala Dunia tahun 2002. Masa tu kat UPM dan kebetulan ada TV, maka saya dan kawan-kawan mula buat kecoh. Lepas tu adalah sekali lagi layan kat kedai dengan Shanika, tapi masa tu saya tak tengok betul-betul sebab saya dah tak ada jiwa dengan bola sepak. Saya rasa saya akan jadi orang yang cepat marah dan tension setiap kali tengok bola. Mana taknya, mulut saya bising dan jantung asyik nak berdebar-debar. Over kan? ;-)

Baru-baru ni kat kampung, lepas hari dah petang dan budak-budak pun dah balik ke rumah, saya pun naik. Bola pun mula, Malaysia vs Liverpool. Sebab semua orang layan, saya pun layan. Dan betullah... saya memang tertekan dan mulut pun macam murai tercabut ekor. Kebetulan semua ada kat rumah, jadinya rumah saya tiba-tiba aje jadi riuh sampai mak andak saya tiba-tiba muncul depan pintu. Dia ingatkan kami anak-beranak bergaduh.

Khamis lepas pulak saya pergi Stadium Bukit Jalil tengok perlawanan persahabatan antara Malaysia dan Chelsea. Kebetulan Shanika dapat tiket free. Pukul 12 malam [semalamnya] dia SMS tanya saya nak pergi tak dan saya yang mamai-mamai sebab terjaga daripada tidur, kata okey aje. Akhirnya, saya, Shanika, Des dan Gee ke sana berempat. Sampai kat sana kami berpecah, saya dan Shanika, Des pulak dengan Gee sebab tempat tak sama. Dan seperti yang saya dah duga, memang saya rasa tension pun. Tension sebab asyik nak teka, masuk tak, masuk tak dan sudahnya masuk satu. Tapi... bola yang masuk tu saya rasa sangatlah tak cantik. Saya yang tak tau fasal bola pun terasa hampa, apa agaknya yang pemain Chelsea dan pemain negara rasa dengan sebiji gol tu?



Lepas dah balik tu, saya tertanya-tanya sendiri. Chelsea tu main betul-betul atau main main-main masa lawan tadi? Kalau main betul-betul, takkanlah macam tu corak permainan mereka? Tapi... takkanlah pulak main main-main kan? Sebabnya saya fikir... kalaulah tak ada gol, tak ke malu sebab nak bandingkan Malaysia dan Chelsea yang dah terkenal seantero dunia tu, bukankah bezanya macam langit dah bumi? Entahlah... sampai ke hari ni saya masih tak ada jawapan yang pasti, ;-)



- DIA nAk BaGi RaMa-RaMa -

Minggu ni, dalam lima hari kebelakangan ni, macam nak diterangkan ya perasaan yang terkurung dalam diri saya? Marah? Tidak! Kecewa? Tidak! Merajuk? Tidak! Kesal? Ya, sedikit! Tapi bukan kesal pada apa yang berlaku, hanya kesal dengan kecuaian diri sendiri. Mungkin saya masih belum cukup berhati-hati lagi dan selepas ini saya perlu lebih meningkatkan yang dinamakan lebih berhati-hati. Bukan hanya pada satu perkara, tapi pada semua perkara yang bakal saya buat dalam seluruh hidup saya selepas ini. Sedih? Ya, sedikit! Ralat? Ya, memang ada! Bohonglah saya kalau saya kata saya langsung tak ralat.

Ya, itulah rasa-rasa yang ada dan tak ada pada saya dalam lima hari kebelakangan ni. Rasa-rasa yang pasti akan dirasakan orang lain seandainya ada di tempat saya. Itu pun kalau orang lain itu terasa macam apa yang saya rasa. Kalau tidak, hem... tahniah! Kamu, kamu & kamu memang mempunyai jiwa yang kental, sekuat kerikil yang ada di tepi-tepi jalan. Tak macam yang bernama Marwati Wahab @ Aleya Aneesa yang mudah terasa bila sesekali menerima ujian daripada ALLAH. Isyh... kenapa saya lemah benar ya?

Sebenarnya bukanlah ada apa-apa sangat yang berlaku pada saya. Perkara kecil! Mungkin hanya sebesar zarah bagi banyak orang yang hidupnya pernah, telah dan sedang diuji dengan ujian yang sebesar gunung atau seluas lautan.

Ahad - seperti biasa, mak, abah, angah, Danish & Aqqif hantar saya ke Larkin sebab saya nak naik bas balik ke KL. Bila driver bas melaung kata bas dah nak jalan, saya pun salam abah, angah, Danish dan Aqqif. Mak memang saya tak salam dulu sebab biasanya saya hanya akan salam mak bila dah ada kat muka pintu bas. Tapi hari Ahad tu, memandangkan saya harus berkongsi tempat duduk dengan orang, maka saya pun berebut naik sebab saya nak duduk di tepi tingkap. Kalau pun duduk kat sebelah lelaki, taklah saya rasa rusuh kalau duduk sebelah tingkah. Sah! Memang lelaki pun duduk sebelah saya dan saya rasa lega.

Dari atas bas saya nampak mak dan abah tercari-cari saya dan saya terus juga melambai-lambai supaya mereka nampak saya. Kemudian seperti biasa juga, terjadilah adegan bercakap-cakap tanpa suara. Yalah, tak guna saya bercakap kuat kalau mak dan abah saya tak dengar. Dalam 10 minit duduk tu saya baru tersedar sesuatu, saya tak salam mak saya. Mula saya nak diamkan aje, nanti malam saya telefon mak kata saya terlupa sebab nak berebut sangat. Tapi beberapa saat lepas tu, saya bangun dan berjalan pantas. Siap cakap kat driver, “Saya turun sekejap”. Saya turun, salam peluk cium mak dan kata kat dia yang saya lupa. Mak saya kata tak apa. Sungguh... saya tak lupakan dia. Hanya kelam-kabut sangat masa tu!

Sampai rumah mandi dan buat apa-apa yang patut. Hidupkan laptop, tapi tak mahu menyala. Cuba berkali-kali, tetap tak mahu menyala. Sudah... laptop yang dah berjasa selama dekat 5 tahun nampaknya sudah mula membuat perangai. Mungkin marah bila saya beli PC lagi. Pergi pula ke arah PC, cuba on sebab terasa nak menulis. Pc hidup seperti biasa tapi lepas tu off, lepas tu on sendiri. Itulah yang terjadi berkali-kali. Dan saya, rasa sangat sedih! Dua-dua rosak sekali gus. Tapi tak apalah, saya cuba bertabah dan bersabar. Mujur saya masih ada lagi satu PC.

Isnin – hantar laptop pada yang lebih tahu sebab saya tak tahu apa-apa fasal baiki laptop.

Selasa – laptop siap, kenalah dalam RM200. Minta tolong juga orang yang sama baiki PC. Lama adik tu duduk kat meja saya. Dan saya, mula berlegar-legar sebab takkanlah saya nak duduk atas riba dia kan? Mahunya kena lempang! Bila dah penat mula bercakap dan penat berdiri, saya duduk kat satu meja kosong. Saya seluk poket sweater, tangan saya dah menggeletar. Duit untuk bayar laptop, dan upah adik tu dah tak ada dalam poket sweater. Saya mula rasa kalut, cari-cari tapi tak jumpa, cari kat meja tak ada, dalam beg duit pun saya cari walaupun saya tahu memang tak ada sebab saya dah keluarkan. Pergi semua tempat yang saya berdiri. Tak ada! Mahu tak mahu saya terpaksa keluarkan duit yang lain. Tapi hati saya masa tu rasa sedih sangat. Mungkin tak banyak mana, tapi kalau makanan yang saya makan harga RM5 sehari, boleh makan untuk 50 hari. Kalau kurang daripada jumlah tu, tentu boleh makan untuk banyak hari lagi. Tak apalah... mungkin bukan rezeki saya.

Rabu – saya masih menanti keajaiban! Datang-datang kerja terus tengok tempat yang saya dah tengok semalam. Memang bukan rezeki, tetap juga tak jumpa. Jadi saya teruskanlah rutin macam biasa. Masa berjalan dengan seorang kawan nak ke bangunan lama, tiba-tiba telefon bimbit saya jatuh kat jalan. Isi telefon tu berterabur mintak dikutip. Tak terkata saya masa mengutip. Mengeluh juga akhirnya! Mujur bila dipasang, masih boleh digunakan.

Khamis – galas beg tangan nak pergi kerja, hati terdetik kenapa beg tangan saya ringan sangat. Tapi terus juga melangkah. Bukak laci, terkedu bila tengok beg duit saya ada kat situ. Patutlah beg tangan saya ringan, rupa-rupanya beg duit yang banyak syiling daripada kertas tu tertinggal. Mujur balik semalam dan masa pergi kerja tadi tak ada road block, kalau tak... apa saya nak jawab bila IC dan lesen memandu tak ada? Lepas tu pergi kantin, bungkus air. Sampai kat meja, air menitik atas meja. Aduhai... bocorlah pulak plastik air tu! Cepat-cepat saya pindahkan air teh suam tu dalam mug.

Satu demi satu berlaku dalam lima hari ini, saya hanya bertanya satu aje pada diri sendiri, “Ada apa sebenarnya dengan saya?” Berkali-kali soalan yang sama bolak-balik dalam hati saya. Tapi akhirnya hari ni saya dapat jawapan yang saya cari, jawapan yang bukannya saya tak tahu, saya tahu dengan sangat jelas. Hanya biasalah manusia, selalu lalai dan alpa. Kena ada orang yang mengingatkan. Dan hari ni saya diingatkan dalam ceramah agama yang saya dan kawan-kawan pergi. Kata ustaz, “ALLAH memberikan ujian kerana DIA mahu mengangkat darjat manusia. Mula-mula dia berikan ulat bulu dan kita terasa gatal. Tapi kemudian DIA berikan pula rama-rama yang cantik sebagai ganti ulat bulu”.

Ya... saya percaya ALLAH memberikan saya ulat bulu terlebih dahulu sebelum menggantikan ulat bulu tersebut dengan rama-rama yang cantik kerana rama-rama yang cantik, asalnya daripada ulat bulu yang mampu menggatalkan anggota tubuh manusia. Hendaknya bila ujian yang lebih besar datang lagi selepas ini, saya akan terus mampu bersabar dan bertabah kerana ALLAH tak pernah kejam pada hamba-NYA, melainkan hamba-NYA yang kejam pada diri sendiri.

- SeLaMaNyA dI sInI, dAlAm HaTi! -

20 Julai 2011, hari ni... dia yang saya panggil Jaja atau nama sebenar dia Norazmaliza genap 30 tahun. Tak ada apa yang dapat saya berikan pada dia sebagai hadiah hari lahir. Bukannya saya tak nak bagi dia hadiah, jauh sekali saya kedekut. Hanya saya merasakan tak ada hadiah yang lebih bermakna selain daripada tali persahabatan yang bersalut ikatan persaudaraan yang saya dan dia pegang selama berpuluh-puluh tahun.

Segugus doa supaya dia yang bernama Jaja itu panjang umur, murah rezeki & lebih penting lagi selalu ada dalam rahmat ALLAH, tidak pernah tidak saya ucapkan setiap tahun, bahkan setiap hari. Mungkin masa dah makin jauh meninggalkan saya dan dia hingga persahabatan yang erat semakin lama terasa semakin jauh, jauh dan jauh. Bukannya saya tak cuba mendekatkan, tapi... ada perkara dalam dunia ini yang kadang-kadang langsung tidak mampu terjangkau dek dua tangan milik manusia.

Namun jauh di sudut hati saya yang paling dalam, tempat dia dalam hati saya tak pernah diambil orang lain, kalau pun ada orang yang nak ambil tempat dia, saya tak akan izinkan. Biarlah tempat itu kekal untuk dia, walaupun dia tak pernah tahu betapa saya sayangkan dia dan tak pernah tak mendoakan yang baik-baik untuk dia. Memang banyak yang dah dia tempuhi dan saya tahu betapa setiap jalan yang dia lalui itu bukan semuanya indah. Saya mahu sama-sama mengindahkan perjalanan dia walaupun jalan yang saya lalui tidak seindah mana sebenarnya, tapi apalah ertinya saya tampil jika dia memilih untuk tak memegang tangan saya.

Dan kini, saya tahu saya mungkin tak akan mampu memegang tangan dia sama seperti dulu-dulu, ketika zaman kecik-kecik jadi milik kami. Tapi saya tak pernah tak berharap, satu hari nanti saya dan dia masih mampu saling memegang tangan masing-masing pada saat-saat kesusahan dan kesedihan menjengah, biarpun mungkin kelak saya dan dia, kami sama-sama berjalan bongkok tiga kalau ada umur panjang. Kalau pun bukan sebagai sahabat lagi, biarlah sebagai sepupu sebab ikatan yang ada pasti tidak akan putus sampai bila-bila.

Untuk dia, “Selamat Hari Lahir, Moga di Mana Pun Awak Ada, Rahmat ALLAH Tetap Terlimpah Pada Awak!”

- SuNgGuH SaYa RiNdU! -

Tiga hari bercuti di kampung saya yang tercinta tu, saya sebenarnya rasa sangatlah tak puas. Dan... kalau bagi seminggu pun tetap juga saya kata saya tak puas. Tamakkan? Ya... boleh tahanlah! Tapi serius, saya memang rasa tak puas dan tak tahu kena ambik masa berapa lama bercuti di kampung untuk membuktikan yang saya rasa puas. Mungkin sebulan, setahun atau sampai bila-bila pun saya akan rasakan rasa tak puas tu. Saya percaya, orang lain pun akan rasa apa yang saya rasa, apalagi kalau orang tua kita ada di kampung. Kalau pun orang tua tak ada, mungkin masih ada saudara-mara yang lain untuk dijenguk. Kan?

Kenapa saya sangat sukakan kampung? Sebenarnya, ada banyak alasan kenapa saya suka balik kampung. Sebab yang paling utama, tentu aje sebab mak, abah, adik-beradik, ipar-ipar, anak-anak buah saya yang tersayang dan saudara-mara saya yang lain masih ada di situ [walaupun kakak, abang-abang saya tak tinggal di situ, tapi dia orang selalu balik]. Itu sebab utama! Sebab yang lain, saya rindukan kampung saya, kampung yang sudah mencatat banyak sejarah dalam hidup saya. Saya dilahirkan di kampung yang digelar Kampung Sungai Melayu itu. Saya tak kata saya dilahirkan di Hospital Besar Johor Bahru ya sebab saya dilahirkan di rumah yang didirikan dengan penuh kasih sayang oleh abah saya sendiri. Di situ, saya dibesarkan. Di situ, saya mula kenal huruf A B C, angka 1 2 3 dan sebagainya. Di situ, saya mula kenal apa erti persahabatan. Di situ, saya ketawa dan menangis. Di situ, saya terluka dan melukai. Di situ, saya mula kenal yang mana kawan, yang mana lawan. Di situ, saya belajar untuk apa itu setia dan tidak. Bahkan, di situ saya belajar main-main mata ketika belum masanya, yang akhirnya membawa kepada, seorang ke Timur dan seorang ke Barat. Hati saya dan dia tak bertemu di paksi yang sama.

Dan sepanjang tiga hari itu, saya rasa sangat tenang dan damai. Bukannya di Rumah Pink tak ada damai, tak ada tenang, ada... selalu ada! Hanya di Rumah Pink, tak ada semua yang saya sebutkan di perenggan di atas. Di Rumah Pink cuma ada saya dan dunia saya yang tersendiri. Hanya ada saya dan semua aktiviti saya seperti menulis, membaca novel, tidur, tengok TV, main masak-masak sekali-sekala dan selebihnya hanya saya semata-mata, sambil sesekali ditemani kawan-kawan yang mahu berkunjung.



Sebab lain kenapa saya suka balik, saya suka tengok budak-budak yang tentu merujuk pada anak-anak buah saya dan kawan-kawan dia orang yang mungkin ditemui dua atau tiga minggu sekali, main kat halaman rumah. Macam-macam permainan yang mereka main. Kadang-kadang mereka ketawa beramai-ramai, kadang-kadang mereka menjerit beramai-ramai. Tapi bila masa menangis, mereka tak pula menangis beramai-ramai. Sebabnya, menangis tu kan bukannya boleh dipaksa-paksa. Lagipun, menangis tak seronok dan saya percaya bukan hanya orang dewasa yang tak suka pada yang dinamakan tangisan, tapi kanak-kanak juga.

Dan setiap kali tengok budak-budak tu main beramai-ramai, saya jadi ingat pada kenangan dulu-dulu. Di situ, di tempat mereka berdiri, satu ketika dulu ada saya, Jaja, Lin, Mak Usu, abang-abang saya, adik-adik saya, abang-abang sepupu saya, adik-adik sepupu, kakak-kakak sepupu saya dan kawan-kawan yang lain. Mungkin permainan saya dan permainan anak-anak buah saya, tak sama. Tapi suasana tu, pernah saya rasa satu ketika dulu. Siapa kata anak-anak masa kini hanya tahu duduk depan laptop? Tidak! Yang lebih tepat, mereka pandai bermain laptop dan pandai juga main ‘tanah’ dalam masa yang sama. Contoh terdekat, anak-anak buah saya. Malam main laptop, tengok FB dan siang berkubang dengan tanah dan pasir.


Bezanya, saya dengan anak-anak buah saya, dulu mungkin saya dan kawan-kawan saya main ikut suka hati. Kalau nak bukak selipar, kami bukak aje. Mana kuat lari kalau pakai selipar dan tentu mudah ditangkap orang sedangkan matlamat main masa tu, jangan sampai ditangkap. Kotor? Apa ada hal! Bila kotor, balik mandi dan mak saya akan sental tapak kaki dan kaki saya sesungguh hati sampai rasa nak tercabut kulit. Tapi anak-anak buah saya dan kawan-kawan dia main tak bukak kasut. Mereka nampak seperti sangat berhati-hati dan sangat tahu menjaga kebersihan diri. Entahkan memang tahu jaga kebersihan diri, entahkan takut kena marah, hanya mereka aje yang tahu [tapi saya memang akan jadi Tarzan kalau tengok anak-anak buah saya tak pakai selipar]. Bukanlah bermakna saya dan kawan-kawan dulu pengotor, tapi masa main, kami memang akan main bersungguh-sungguh. Bukan main main-main.


Tapi tak kisahlah main main-main atau main betul-betul. Yang jelas, saya dan kawan-kawan gembira masa tu dan anak-anak buah saya pun gembira dengan permainan mereka. Dan jika ditanya pada hati, sungguh saya rindu kenangan masa lalu...



- BuKaN mEmUjA bUlAn @ TeRuS cInTaI aKu [BaB 10] -

“DULUKAN... awak suka gunakan kita bila bercakap dengan orang? Sekarang dah tukar?” tanya Khilfie bila dilihat Zalis tidak mahu mengulas apa-apa tentang usikannya tadi. Entah kenapa, dia merasakan Zalis hari ini tidak seperti Zalis yang dikenali lama dulu. Zalis yang ada dalam bayangannya seorang gadis kecil yang sangat banyak mulut sehingga dia pernah mengatakan yang Zalis meminjam mulut murai. Tapi Zalis yang sudah bertukar seperti merak kayangan ini dirasakan agak pendiam. Kalau dia diam, Zalis kekal mengunci mulut. Kalau pun bercakap, pendek-pendek saja ayatnya.

Atau, dulu Zalis memang pendiam? Dia yang terlupa kerana terlalu lama melupakan gadis itu?

“Saya dah dewasa.”

“Kalau dewasa dah tak boleh ya guna kita bila bercakap?” Redup pandangan Khilfie di wajah Zalis.

“Tak sesuai dah.”

Masih pendek jawapannya, detik hati kecil Khilfie. Satu lagi yang dia perasan tentang Zalis, gadis itu lebih banyak memandang lantai daripada wajahnya. Malukah Zalis padanya? Tapi apa pula yang hendak dimalukan? Mereka pernah rapat suatu masa dulu, tidak salah rasanya kalau mereka berdua terus berbaik-baik. Boleh juga mengimbas kenangan masa kecil mereka.

“Zalis dah berubah?”

“Hah?” Zalis angkat wajah, dahinya sedikit berkerut.

Tergelak kecil Khilfie dengan aksi spontan Zalis itu. Makin lama melihat Zalis, makin banyak kenangan masa lalunya dengan Zalis menerpa ingatan. Ke mana menghilangnya kenangan itu selama berbelas-belas tahun kebelakangan ini, dia sungguh-sungguh tidak tahu. Kalau hendak dikatakan dia lupa, saat ini boleh pula kenangan-kenangan itu menjelma. Atau sebenarnya kenangan itu ada di mana-mana, dia saja yang malas mengutip.

“Zalis dah berubah. Tak sama macam Zalis yang saya kenal dulu.”

“Taklah.” Sepatah juga yang dijawab Zalis. Dia sungguh-sungguh tidak tahu bagaimana hendak meramahkan mulut di hadapan Khilfie. Ketika ini dia berharap Khilfie tidak ada di hadapannya. Apa yang dialami ini hanyalah susulan mimpi-mimpinya terhadap Khilfie yang tidak pernah tidak mengunjunginya. Hanya kali ini Khilfie datang dalam versi dewasa, bukan kanak-kanak seperti yang dilihat selama lelaki itu meninggalkannya.

“Zalis yang dulu sangat ramah. Sangat humble. Tapi Zalis yang ni dah jadi jelita macam puteri. Cool. Malangnya... suara terlalu mahal,” komen Khilfie selamba. “Kenapa Zalis?”

Zalis senyum. Dalam hati sangat berharap ada antara abang-abangnya yang memanggil, mengajak dia pulang. Dia sudah tidak mahu berhadapan dengan Khilfie lagi. Biarlah ini yang terakhir kalinya kerana berhadapan dengan lelaki itu hanya mengundang sakit yang lebih parah dalam jiwanya. Lagipun mengetahui Khilfie sudah punya kekasih hati, dia sedar sudah tidak ada sebab untuk dia terus berharap. Dia tidak mahu lagi terus memuja bulan.

“Speechless. Tak tahu nak cakap apa.”

“Takkanlah terkejut sampai hilang kata-kata? Janganlah... buat biasa-biasa aje. Saya nak awak anggap saya macam kawan awak yang dulu. Kawan yang selalu main kejar-kejar dengan awak. Kawan yang selalu buat awak menangis, lepas tu terhegeh-hegeh pujuk balik,” kata Khilfie tenang. Memang dia pun terasa janggal berhadapan dengan Zalis kembali. Tapi mengenangkan dia dan Zalis punya banyak kenangan masa kecil, dia tiba-tiba terasa sayang hendak melepaskan semua kenangan itu. Lantaran itu dia mahu Zalis bersikap biasa dengannya. Setidak-tidaknya dia tahu dia masih punya teman lama di tanah tempat ibu dan ayahnya disemadikan.

“Buat apa sekarang? Kerja apa?”

“Akauntan.”

Bulat bersinar mata Khilfie. Bangga mendengar Zalis kini bergelar akauntan sedangkan dulu Zalis sangat lemah dalam mata pelajaran Matematik. Benarlah, masa memang benar-benar mampu mengubah manusia. Kalau dulu Zalis comot, kini Zalis sudah jadi sangat jelita. Kalau dulu Zalis tidak sukakan Matematik, kini Zalis sudah pun bergelar Akauntan.

“Bukan dulu awak sangat bencikan Matematik ke?”

Zalis ketap bibir. Berdoa supaya abang-abangnya segera datang. Dia sudah tidak kuat terus berhadapan dengan Khilfie. Khilfie ingat banyak tentang dirinya, tapi tidakkah lelaki itu ingat janji yang satu itu? Kalaupun Khilfie tidak ingat, dia ada Zafran yang boleh bangkit menjadi saksi. “Itu dulu.” Digagahkan juga bibir menjawab supaya Khilfie tidak berfikir yang dia semakin sombong.

“Kerja kat mana? Sini?”

Kepala Zalis menggeleng. Apa perlunya lagi Khilfie mengambil tahu tentang dirinya?
“KL.”

“KL? KL kat mana?” tanya Khilfie bersemangat. Mengetahui yang dia sebenarnya tinggal di bawah lembayung ibu kota yang sama seperti Zalis, dia rasa sangat gembira. Mungkin selepas ini mereka boleh bertemu bila ada masa lapang. “KL kat mana Zalis? Nanti sekali-sekala bolehlah kita minum sama-sama ya?”

“KL dekat...”

“Zalis! Jom... dah nak balik dah ni. Abang Han dah merungut-rungut tu. Papa pun dah lama tunggu dalam kereta,” panggil Zahfir sambil menghampiri mereka di ruang tamu.

“Lah... dah nak balik dah? Cepatnya! Aku belum puas lagi berborak dengan Zalis ni.”

“Dah lewatlah bro. Kena balik sekarang,” balas Zahfir sambil menarik tangan Zalis supaya bangun.

“Alah, tunggulah sikit lagi. Tak pun, kau balik dulu. Nanti aku hantar Zalis balik. Bukan jauh pun rumah kau tu. Jalan kaki pun sekejap aje dah sampai.”

Zalis pandang wajah Zahfir. Mulutnya tidak berbicara, namun matanya mengatakan yang dia tidak mahu terus berada di situ. Mengerti pandangan sayu itu, Zahfir tersenyum pada Khilfie. Kalau Zalis tidak mahu terus berlama-lama di situ, dia tidak akan meninggalkan adiknya di situ. Dia tidak akan memaksa Zalis melakukan apa yang Zalis tidak suka kerana dia sayangkan Zalis.

“Tak bolehlah Khilfie, tuan puteri ni tak boleh berembun sangat. Mudah demam,” kata Zahfir dalam gelak tidak sekuat mana. Dia bukan mahu membentangkan kelemahan Zalis pada Khilfie, tapi itu memang kenyataan. Zalis boleh melakukan aktiviti lasak, tapi Zalis tidak boleh berembun. Kalau hari ini Zalis berembun, esok pagi bersedialah membawa Zalis ke klinik.

“Zalis sakit?” tanya Khilfie ingin tahu.

“Kecuali berembun dan dekat-dekat dengan kucing, Zalis boleh buat apa saja. Termasuk panjat gunung.”
---------------------------------------------------------------------------------------
“Abang Zaf... kenapa dia nampak sedih? Bukan patutnya dia rasa gembira ke dapat jumpa Khilfie balik?” tanya Zahfir tidak senang hati. Sepanjang perjalanan balik tadi. Zalis langsung tidak bercakap. Dia dan Zulhan membuat lawak untuk memancing senyum dan ketawa Zalis, namun adik mereka itu hanya berwajah sedih. Sudahnya, dia dan Zulhan ikut diam. Pertama kali mereka terasa kereta Zulhan seperti diamuk geroda.

“Mana Fir tahu Zalis nampak sedih?” duga Zafran. Air kopi yang disediakan mama mereka sebelum masuk tidur tadi, dicapai dan dihirup perlahan.

“Oh... come onlah Abang Zaf! Orang buta pun boleh tengoklah muka dia yang macam nak nangis tu.” Agak kuat nada suara Zulhan. Dia geram, geram melihat wajah Zalis begitu. Dan seingatnya, sudah lama benar dia tidak melihat Zalis sedih. Kalaupun Zalis ada masalah, adiknya itu masih boleh senyum dan bergelak-ketawa seperti biasa. Tapi hari ini setelah kembali dari rumah itu, senyum dan ketawa Zalis bagaikan sudah dibawa pergi.

“Huh... dahsyatnya! Orang buta pun boleh tengok Zalis sedih. Memang amazing ni.” Zafran tergelak kecil. Dia lebih memilih bersikap tenang kerana dia abang, selebihnya dia tidak mahu adik-adiknya itu tahu betapa dia sebenarnya lebih gusar dibandingkan mereka berdua.

“Han seriuslah Abang Zaf!”

Zahfir yang tadinya ikut tersenyum walaupun hatinya masih susah, menutup mulut rapat-rapat. Tidak mahu meneruskan ketawa walaupun dia memang mahu ketawa lagi. Zulhan mungkin tidak akan menumbuk bahu Zafran kerana menghormati abang mereka itu. Namun Zulhan tentu saja tidak teragak-agak menumbuk bahunya kerana pangkatnya yang lebih kecil. Sebagai langkah keselamatan, biarlah dia diam saja.

Namun bayangan wajah Zalis yang sayu seperti tidak mahu meninggalkan matanya. Tapi apa puncanya? Khilfie? Pertemuan dengan Khilfie? Atau, sebab Khilfie bertunang? Takkanlah Zalis dan Khilfie pernah bercinta dulu? Bukan masa Khilfie pergi, Zalis umur lapan tahun ke? Mengarut sungguh aku ni!

“Okey, Abang Zaf minta maaf. Tapi Abang Zaf rasa dia terperanjat kot. Tak ada angin tak ada ribut tiba-tiba Khilfie muncul depan dia, mestilah dia terkejut kan? Kalau Abang Zaf pun Abang Zaf terkejut juga.”

“Itu bukan rupa orang terkejutlah Abang zaf. Itu rupa orang kecewa. Rupa orang patah hati,” bidas Zulhan. Dia bukannya budak-budak yang boleh ditipu begitu mudah. Mustahil lelaki dewasa sepertinya tidak dapat membezakan reaksi orang terkejut dengan reaksi orang kecewa.

Siapa sebenarnya yang mahu abangnya itu tipu?

“Yalah. Fir pun tak rasa dia terkejut. Masa Khilfie kata nak hantar dia balik, dia pandang Fir lama. Dia tak cakap apa-apa pada Fir, tapi Fir tahu dia tak nak terus tinggal kat situ. Pandangan dia masa tu buat Fir rasa... macam dia terluka sangat. Kalau tak ada Khilfie, Fir rasa mesti dia dah nangis masa tu,” cerita Zahfir tentang apa yang berlaku di ruang tamu rumah Khilfie. Semasa berjalan, Zalis sedikit pun tidak berpaling ke belakang, memandang Khilfie. Adiknya hanya berjalan dengan pandangan sehala. Gontai saja langkah kaki Zalis.

“Fir tak nampak dia menangis? Betul?” tanya Zafran ingin tahu.

“Tak. Tapi...”

“Tapi apa Fir?” pintas Zafran pantas.

“Masa berjalan tu Fir nampak dia macam kesat mata. Fir rasa dia nangislah. Tapi kenapa dia nangis ya?” Buntu Zahfir mencari jawapan terhadap sikap Zalis yang tiba-tiba saja berubah. Diajak lepak sambil menonton TV seperti biasa pun Zalis hanya menggeleng tanpa suara. Sungguh, tiba-tiba saja dia terasa bagaikan sudah kehilangan Zalis walaupun adiknya masih ada di ruang yang sama dengannya ketika ini. Dan dia, sungguh-sungguh tidak suka melihat Zalis seperti patah hati begitu.

“Abang Zaf, Han dapat rasa yang Abang Zaf tahu sesuatu. Baik Abang Zaf cakap dekat Han apa sebenarnya dah jadi pada Zalis. Sekarang juga!”

Sikap panas baran Zulhan sudah datang. Zafran menyedarinya dengan jelas. Jika tidak mahu seisi rumah kecoh, dia harus berhati-hati. “Manalah Abang Zaf tahu. Han tanyalah Zalis sendiri.”

“Han tak percaya!” bentak Zulhan. Dia sudah berdiri tegak di hadapan Zafran.

Zafran ketawa kecil. Maklum sangat dengan perangai Zulhan. “Okeylah, Abang Zaf cerita. Tapi janji jangan bagi tahu sesiapa. Mama dan papa pun tak patut tahu. Dan kalau Zalis tahu, Abang Zaf cari Han dengan Fir ya. Kali ni Abang Zaf tak main-main. Tak percaya kamu berdua tengoklah nanti.”

“Yalah!” Serentak Zulhan dan Zahfir menjawab.

*** SeCeBiS kIsAh DaLaM kIsAh BuKaN mEmUjA bUlAn @ TeRuS cInTaI aKu [MASIH BELUM PILIH TAJUK APA NAK DIBUBUH SEBAB BELUM MUNCUL DALAM MIMPI], SeLeBiHnYa BoLeH mEnJeNgAh Di SiNi.

- TeRaSa NaK tAmPaL mUlUt SeNdIrI -

Salam dan Selamat petang! Entah pada siapa ucap salam dan selamat petang tu saya ucap, saya sendiri tak pasti. Hanya hari ni terasa nak mengucap salam dan ucap selamat. Memang saya akui, saya amat jarang memberi salam atau mengucap selamat dalam blog ni. Bukannya saya lupa, jauh sekali tak ingat dua patah kata yang cukup bermakna itu. Tapi bagi saya, blog ni lebih berfungsi sebagai diari, sebab itulah saya jarang memberikan salam dan ucap selamat, walaupun saya tahu ada yang sudi mencuri masa melihat-lihat ke sini. Mana ada orang beri salam dan ucap selamat dalam diari kan?

Tak apalah, saya mahu tinggalkan soal salam dan ucap selamat itu kerana saya tak tahu mahu mengusap apa. Cuma yang saya tau, saya rasa hari ni adalah salah satu daripada hari yang rusuh untuk diri saya. kenapa? Entahlah, saya tak tahu nak menerangkan macam mana, hanya yang saya tahu saya agak rusuh. Rusuh yang tak pasti datangnya daripada mana.

Biarlah... saya tinggalkan juga soal rusuh itu. Tapi saat rusuh begini, saya tersedar sesuatu. Setelah bertahun-tahun, semenjak saya menginjakkan kaki ke dunia pekerjaan yang tentu sekali bermula di MPJBT kerana itulah tempat kerja yang saya anggap benar-benar tempat kerja. Sebelum ini adalah dua buah kilang saya pernah kerja, tapi saya tak anggap sebagai kerja sebab masa tu saya tak ikhlas dan kerja saya tak ubah macam kerja ‘main’main’. Tahu kenapa, sebab saya kerja ikut suka hati. Nak pergi, saya pergi dan nak ponteng, saya ponteng walaupun saya sedar, sehari aje saya ponteng, semua elaun saya dipotong. Biarlah, saya tak peduli asalkan hati saya puas! Tapi syukur, dalam pada poteng memanjang saya dapat juga mengumpul duit untuk tampung pelajaran saya masa di universiti. Dan sepanjang belajar, saya tak gunakan duit abah sebab abah pun ada banyak tanggungjawab lain. Saya tak kisah sebab saya tahu kami bukan siapa-siapa.

Kalau MPJBT kerja pertama, di DBP tentulah kerja kedua saya. Saya tak kata kerja terakhir sebab saya tak boleh nak ramal masa depan. Saya bukan peramal, Nujum Pak Belalang juga tidak. Boleh jadi di sini adalah kerja terakhir saya, saya akan menua di sini. Atau boleh jadi juga di sini bukan pengakhiran bagi kerjaya saya. Mana tau ALLAH berikan keajaiban untuk saya dengan melorongkan saya pekerjaan yang lain, yang mungkin lebih baik untuk saya. bukannya saya kata DBP tak baik ya, kawan-kawan. Cumanya, kalau ada peluang yang baik, bukankah kita patut merebutnya? Duduk di rumah sambil goyang kaki pun boleh juga dipanggil peluang pekerjaan yang baik bukan? Tapi... berpaling ke belakang, saya tak mungkin duduk goyang kaki sebab di atas pundak saya ini tergalas banyak tanggungjawab yang memaksa saya untuk kerja keras.

Saya lepaskan juga soal tanggungjawab itu kerana tidak juga mahu saya kupas. Jadi, apa sebenarnya yang mahu saya sampaikan hari ini? Tak ada! Dan, tak juga saya tahu! Hanya tiba-tiba saya terasa sesuatu, sejak saya masuk ke dunia pekerjaan yang rujuk sebagai MPJBT, saya rupa-rupanya sudah bercakap terlalu banyak atau lebih tepat lagi, sangat banyak. Yang saya cakapkan itu bukannya isi penting, hanya isi-isi yang tak pun layak dipanggil isi, sebaliknya dipanggil serdak atau habuk-habuk yang langsung tidak berguna. Jemukan bila bercakap banyak? Lantaran itu, saya secara tiba-tiba juga merasakan yang saya mahu menampal mulut saya dengan plaster supaya saya tidak dapat lagi bercakap banyak. Sebabnya, jika saya mahu bercakap banyak, saya harus meninggalkan plaster dulu. Bila buat perkara yang sama banyak kali, tentu penatkan? Jadi hari ini, sepanjang hari ini, saya seperti mahu bertanya pada diri sendiri soalan-soalan yang tentu saja memerlukan saya untuk menjadi si penjawab soalan. Tapi soalnya, dapat ke saya bertemu dengan jawapan yang saya cari?

Peningkan N3 hari ni? Tak apa... abaikan dan biarkan begitu saja. Orang rusuh memang macam ni, agaknya...

- DiA sUdAh 10 TaHuN -

Hari ni 12 Jun 2011, bermakna Nurul Hannah @ Adik Nana genap 10 tahun. Saya tak bercakap dengan dia, cuma hantar SMS kat hp dia dan saya percaya dia masih belum tengok hp sebab dia dah pergi sekolah masa saya hantar SMS tu. Agaknya apa ya AN tengah buat sekarang ni? Belajar? Main-main dalam kelas dengan kawan-kawan? Atau... main mata dengan pelajar lelaki? Hah! Apa? Main mata? Oh... tentu sekali tidak sebab AN bersekolah di sekolah yang kesemuanya perempuan. Tak sempat rasanya dia nak cuci mata, kecuali cuci mata dengan cikgu. Cuci mata dengan cikgu lelaki? Oh... rasanya sangat tak sesuai!

Kesimpulan yang saya boleh buat tentang budak berusia 10 tahun ni. Dan sebelum tu, saya mahu bersyukur lagi. Ini doa dan kesyukuran saya kali yang ke-6 untuk tahun ni sebab AN anak buah saya yang ke-6 menyambut hari lahir untuk tahun ni. Tinggal lagi satu, bulan 12 nanti sebab Muhammad Haffy Darwisy lahir bulan 12. Hendaknya, masa tu saya tak lupa dan tak hilang ingatan sebab dilanda kesibukan. Tapi... kalau diizinkan ALLAH, dalam tahun ni saya akan dapat 2 lagi anak buah, syukur.

Untuk itu saya mahu bersyukur pada ALLAH kerana kurniakan AN pada kami sekeluarga, kurniakanlah seluruh rahmat-MU buat AN kesayangan kami ini ya ALLAH, juga pada buah hati kesayangan kami yang lain. Moga mereka yang menjadi kesayangan kami itu akan menjadi anak yang bukan hanya mampu menjadi penyejuk di mata dan penyeri di hati kami semata-mata, tapi juga untuk semua yang bakal mereka temui dalam seumur hidup mereka kelak.

AN, saya tak mahu bercakap tentang berat badan dia sebab saya memang tak tahu. Tapi satu hal yang saya tahu, dia dari lahir sampailah berusia 10 tahun sangat kaya dengan tingkah. Dia pandai berlakon! Maksud saya, dia boleh jadi ratu air mata dalam sekelip mata. Bukan sekali dua dia gunakan air mata dia untuk pancing simpati kami anak-beranak. Berkali-kali! Sampai-sampai, saya dapat agak apa yang akan berlaku kalau dia dilarang daripada buat apa yang dia nak. Kadang-kadang, tengok dia nangis, kami ketawa sebab kami memang sengaja menyakat dia. Kadang-kadang, tengok dia nangis, kami ketap bibir sebab tak mahu ketawa kami pecah di hadapan dia. Sebagai orang tua, kami tahu ada masa-masanya, kerenah budak-budak macam dia tak boleh terlalu diturut. Dia harus belajar mendengar perkataan, “TIDAK” supaya bila besar nanti dia tahu bukan semua benda boleh dia dapat atau dia buat.

Tentang dia lagi, mulut dia boleh tahan pedas. Dia akan cakap apa yang nak dia cakap bila dia rasa nak tahu atau ada yang berbuku di hati. Dah beberapa kali saya terkulat-kulat bila soalan yang meluncur dari bibir dia langsung saya tak jangka. Mujur anak buah saya, kalau anak buah orang lain memang saya makan hidup-hidup. Tapi saya cuba juga menjawab soalan dia seberapa baik mungkin, walaupun ketika menjawab tu ada masa-masanya saya rasa angin satu badan. Yalah... budak lagi, tapi soalannya TUHAN aje yang tahu.

Baru-baru ni dia tanya saya bila nak balik kampung sebab dah dua bulan saya tak balik. Fikir saya, dia teringat atau rindukan saya sebab saya memang rapat dengan anak-anak buah saya. Tapi rupa-rupanya, dia nak saya balik sebab dia konon-kononnya nak sambut hari jadi dia. Terkedu saya, geram campur geli hati pun ada. Sabar ajelah budak yang satu ni. Memang tak berapa nak malu dia tu!

Banyak perkara yang dia buat mampu timbulkan geli hati pada saya. Kecik-kecik dulu, dialah satu-satunya yang berani kata, “Tak berani nak kereta dengan saya sebab saya tak bagus bawa kereta”. Tapi dia naik juga dan tak boleh saya bayangkan yang dia pakai tali pinggang keledar kat belakang, padahal... saya hanya bawa dia kat jalan kampung. Bagusnya dia, kerajaan belum wajibkan pakai tali pinggang keledar, dia dah amalkan 5 ke 6 tahun dulu. Dia jugalah yang berani menjeling saya sampai naik juling mata. Bila saya kata, jeling lagi saya korek mata dia bagi anjing makan, barulah dia tunduk. Pun dia yang selalu melawan cakap saya dan suka membanding-bandingkan saya dengan mak saudara dia yang lain. Kata dia, saya hitam, saya kedekut, saya garang, hidung tak mancung, saya gemuk dan apa-apa aje yang tak cantik dan buruk tu, ada kat tangan saya. Padahal, kalau nak bandingkan kulit dia dengan kulit saya, dia jauh lebih gelap. Kalau saya rajin, saya balas balik apa yang dia cakap fasal saya. Saya akan cari keburukan dia sebagai perisai. Kalau saya malas, saya diam aje.

Tapi tak kisahlah, tak kira macam mana keadaan AN, saya akan tetap mendoakan yang terbaik buat dia. Harapan saya, satu hari nanti dia akan jadi anak yang baik, sangat baik dan benar-benar baik bukan hanya untuk orang tua tapi untuk semua orang yang akan ditemui dalam seumur hidup dia. Untuk Adik Nana, Selamat Hari Lahir, moga seluruh rahmat ALLAH akan jadi milik Adik, ;-)

- ReViEw KASIH BENAR KASIH dArIpAdA tAuHuSuMbAt -


Al kisah… Kasih benar kasih membawa anda kepada Annura yang ditinggalkan oleh kekasihnya bernama Hafiz kerana berkahwin dengan pilihan keluarga. Annura yang berumur 29 tahun dikatakan anak dara tua kerana masih belum berkahwin dan mempunyai kekasih. Kunjungan keluarga Annura ke rumah kawan baik mamanya telah menjurus kepada perkahwinan anak-anak mereka apabila Dinzley secara berjenaka memberitahu bahawa dia hanya akan berkahwin sekiranya mama Dinzley meminang Annura. Jeng.. jeng..

Kata-kata Dinzley itu telah memberikan harapan kepada keluarga Annura dan keluarga Dinzley untuk menyatukan mereka. Ini kerana Dinzley dan Annura masing-masing tiada kekasih dan mempunyai sejarah ditinggalkan oleh kekasih hati. Dinzley yang terlajak kata telah menerima cadangan mamanya untuk cuba menerima Annura walaupun hatinya amat berat untuk sebarang ikatan.

Annura pula terpaksa menerima cadangan mamanya untuk kenal lebih rapat dan seterusnya kepada membawa kepada hubungan yang lebih serius. Annura menurut sahaja kerana tidak mahu menghampakan kedua orang tuanya. Mamanya tidak memaksa tetapi amat berharap mereka disatukan. Dinzley memulakan langkah dengan menghubungi Annura untuk berjumpa dan berbincang masalah mereka. Dari percakapan Dinzley di telefon sudah membuatkan Annura tidak menyukai Dinzley kerana seperti orang sombong dan membangga diri.

DR. DINZLEY! Seorang doctor verterinar dan mempunyai sebuah klinik haiwan. Perangai yang sangat cute, hensem dan baik hati tapi suka menyakat @ menaikkan kemarahan Annura. Paksaan daripada kedua ibu bapa mereka menyebabkan Annura menetapkan tempoh 1 tahun untuk berkahwin dan 6 bulan daripada setahun itu akan bertunang sekiranya tiada bantahan dari Annura dan Dinzley.

Setiap hujung minggu mereka akan keluar bersama untuk kenal lebih rapat. Di pejabat Annura, Razlan menantu kepada bosnya menaruh hati kepada Annura dan sering menyakiti Annura kerana cemburu tanpa pengetahuan Annura. Annura berasa berat hati apabila tempoh 6 bulan telah sampai dan dia memaksa Dinzley untuk menolak pertunangan yang dirancang. Tanpa di sangka, Dinzley telah menyatakan persetujuan untuk meneruskan pertunangan kerana menjaga hati kedua2 ibubapa mereka. Pertemuan demi pertemuan mereka masih berjalan tetapi tiada perubahan.

Pertunangan mereka mula dilanda krisis apabila Syirin iaitu bekas kekasih Dinzley pulang ke Malaysia setelah mengetahui pertunangan mereka. Dia ingin merebut kembali Dinzley yang masih dicintainya. Syirin mula menjalankan misinya dengan mengatakan kepada Dinzley bahawa operation barah rahimnya dulu berjaya dibuang tetapi sel² kanser itu masih merebak dan dia tidak boleh hidup lama.

Dinzley yang bersimpati dengan Syirin telah menerima syarat yang diminta oleh syirin iaitu perkahwinan itu perlu ditangguhkan selagi Syirin masih hidup. Dinzley sangat tertekan kerana perasaan sayang dan cinta telah hadir dihatinya untuk Annura. Annura juga tertekan kerana Dinzley telah menyepi dan tiada lagi perjumpaan di hujung minggu bahkan tarikh perkahwinan mereka semakin hampir. Dia berasa tertipu apabila terserempak dengan Dinzley bersama seorang perempuan dan Razlan juga memberitahunya bahawa sering terserempak Dinzley dengan perempuan yang sama.

Perhubungan Annura dan Dinzley berada dipenghujung apabila Dinzley meminta perkahwinan mereka ditangguhkan. Annura yang terguris hatinya telah meminta pertunangan mereka diputuskan walaupun hatinya telah diberikan kepada Dinzley. Akhirnya penipuan Syirin terbongkar dan perkahwinan Annura dan Dinzley tetap diteruskan. Annura menerima Dinzley kerana ingin membalas dendam di atas penangguhan perkahwinan mereka disebabkan bekas kekasih Dinzley.

Selama setahun dia bersikap dingin terhadap Dinzley walaupun Dinzley sering meminta maaf di atas sikapnya. Kedua ibu bapa mereka telah menggunakan Syirin untuk memulihkan hubungan suami isteri itu. Berkat kesabaran Dinzley dan bantuan ibu bapa mereka, Annura mula menunjukkan perubahan dan berita gembira untuk Dinzley apabila Annura mengandung.

Annura dapat menerima dan memaafkan Dinzley setelah setahun membeku. Syirin memohon maaf di atas perbuatannya dan cinta tak semestinya memiliki. Happy ending… lovely couple

Tunggu apa lagi dapatkan dipasaran, Novel ni memang best tidak membosankan dan antara novel yang wajib korang miliki. Kalau korang ada novel yang korang nak aku ni sinopsiskan.. tinggalkan comment korang ok. Chaiyo²…

*** Terima kasih tak terhingga pada Tauhusumbat atas komen di atas. Kawan-kawan yang budiman, kamu, kamu & kamu boleh melawat Tauhusumbat DI SINI sebab ada banyak kisah yang menarik.

- SaYa MaU mEnUlIs! -

Dah memang penulis, nak menulis apa lagi? Itu... mungkin soalan yang bermain-main di benak kamu, kamu & kamu barangkali. Betullah tu, memang beberapa tahun kebelakangan ni saya dan dunia penulisan tak dapat dipisahkan. Umpama isi dengan kuku. Pensel dengan pemadan [ada ke perumpamaan macam tu? Kalau tak ada, diam-diam sudah ya]. Bahkan sekarang pun, kalau disuruh membuat pilihan, saya akan tetap memilih dunia penulisan. Tapi... jangan pulak suruh saya buat pilihan antara dunia penulisan dengan mak abah, adik-beradik, anak-anak buah saya atau ipar-ipar saya. Kalau pilihan yang macam tu, confirm saya tak pilihan dunia penulisan walaupun saya tahu kalau tak ada dunia penulisan atau tak melibatkan diri dengan penulisan, saya pasti terasa sesak nafas. Macam mana saya ‘suka gila’ pun pada yang dinamakan dunia penulisan, saya tak akan cagarkan kaum keluarga saya sebab dia orang tetap ada tempat khas dalam hati saya.

Yang saya maksudkan dengan ‘Saya Mau Menulis’ dalam tajuk N3 kali ni, merujuk pada mood saya yang agak buruk akhir-akhir ni. Bukan bermakna saya ada masalah sebesar dunia ya. Tidak! Rasa-rasanya saya tak ada masalah sebesar tu, walaupun saya akui bahawa semua manusia di dalam dunia yang penuh dengan warna-warni ini tak mungkin dapat lari daripada diburu masalah. Saya pun sama dan ketika ini pun saya rasa saya ada masalah. Cumanya, hanya masalah enteng yang sepatutnya tak layak pun digelar masalah. Sepatutnya masalah yang enteng ini tak mampu pun bersaing dengan mood saya. Bukan tak pernah pun saya menulis tapi dalam masa yang sama di atas pundak ada masalah yang seperti tak mampu diselesaikan. Tapi seiring dengan putaran waktu, masalah yang ada...akhirnya dapat diselesaikan sedikit demi sedikit, sebab tak boleh selesai sekali gus.

Berbalik pada ‘Saya Mau Menulis’ tadi tu, rasa-rasanya sejak Projek MCK selesai [jangan ditanya apa itu Projek MCk sebab belum masanya untuk dihebahkan, bimbang kepala saya diketuk sebab jadi murai tercabut ekor], saya macam dah lama tak menulis dengan serius. Dah dua bulan lebih! Dan perasaan saya saat ni, terasa macam teruk sangat. Penulis yang tak boleh menulis walaupun hati ingin, rasanya macam tak ada makna aje, macam tak lengkap dan macam ada yang lompang dalam hidup.

Lompang? Huh... kedengarannya macam hebat benarkan? Padahal... tak adalah sehebat itu. Tapi betul, saya rasa sangat tak best sebab tak dapat menulis dengan lancar. Bukannya masa mencemburui saya. Tidak! Saya terasa macam ada banyak sangat masa lapang sebab setiap hari saya hanya melangut depan TV macam TV tu saya baru aje dapat hadiah cabutan bertuah. Tapi mood, mood macam tak mahu bekerjasama dengan saya. Encik Mood bagaikan mahu saya terus berehat-rehat macamlah setiap hari di pejabat saya terpaksa bekerja mengangkat batu-bata yang beratnya melebihi berat badan saya yang sememangnya tak ringan ni.

Kalau ditanya pada hati, hati saya berkata yang dia mahu menyudahkan BSSA?, merujuk kepada BOLEH SAYA SAYANG AWAK?, dan dalam masa yang sama saya mahu menggarap novel kanak-kanak sebab saya terasa gian. Gian nak menulis kisah kanak-kanak yang penuh dengan suka jika hendak dibandingkan dengan duka. Tapi... Encik Mood sangat jahat, dia tak mahu kawan dengan saya. Puas saya kejar, tapi makin saya kejar makin jauh Encik Mood meninggalkan saya terkulat-kulat sendiri. Sampai hati Encik Mood!

Tapi tak apalah, saya tahu Encik Mood tak sejahat tu. Kan Encik Mood kan? Kan? Kan? Sekarang ni dia lari, esok-esok saya tahu Encik Mood akan datang balik. Jadi, eloklah saya bersangka baik. Mungkin sekarang ni masa untuk saya berehat, nanti-nanti bila masa rehat saya dah tamat, saya tahu saya tak akan lena tidur sebab otak saya sentiasa berjalan dan bahu belah kiri saya akan sakit macam kena cocok dengan jarum. Cumanya, hendaknya janganlah mood saya ni hilang terlalu lama sebab saya dah gian nak menulis. Dan harapnya, ALLAH akan tolong saya seperti selalu. Kawan-kawan juga, tolong doa-doakan saya ya? Sebabnya, saya mahu sudahkan sebuah novel dewasa dan sebuah novel kanak-kanak, ;-)

- TaHnIaH kAwAn! -

Cover yang cantik, blurb yang best dan saya pasti hasil kerja kawan saya, Fatin Nabila kali ni tak akan menghampakan. Jadi... apa lagi kawan-kawan, bila novel ni dah ada di kedai, bolehlah kamu, kamu & kamu dapatkan. Untuk Fatin Nabila, tahniah lagi, lagi & lagi. Harap novel ni ada magis untuk awak, ;-)

- DiA sUdAh 2 TaHuN jUgA -

Hari ni 3 Julai 2011, bermakna Arissa Izzayani genap 2 tahun. Saya tak bercakap dengan dia, cuma hantar SMS kat mama dia, dengan doa supaya AI selalu ada dalam rahmat ALLAH. Dan rasanya, tak ada doa yang lebih indah selain daripada doa macam tu. Tapi semalam, saya dah bercakap dengan dia kat telefon, tapi biasalah... saya lebih banyak memanggil nama dia dibandingkan dia membalas panggilan saya. Budak 2 tahun, banyak manalah kosa kata yang ada dalam kepala dia. Paling-paling, dia hanya memanggil, ‘Mak tam’ berkali-kali sampai saya jemu membalas, ‘Ya... ya & ya’. Tapi kalau dia dah banyak cakap nanti, saya jadi bimbang kalau-kalau dia panggil saya ‘gemuk’ macam Aqqif selalu panggil kat saya.

Kesimpulan yang boleh saya buat tentang budak kecik ni sepanjang saya kenal dia dalam 2 tahun ni, tapi... sebelum tu, saya mahu bersyukur pada ALLAH kerana kurniakan AI pada kami sekeluarga, kurniakanlah seluruh rahmat-MU buat AI kesayangan kami ini ya ALLAH, juga pada buah hati kesayangan kami yang lain. Moga mereka yang menjadi kesayangan kami itu akan menjadi anak yang bukan hanya mampu menjadi penyejuk di mata dan penyeri di hati kami semata-mata, tapi juga untuk semua yang bakal mereka temui dalam seumur hidup mereka kelak.

AI, berat badan dia saya tak tahu tapi badan dia tak gemuk macam abang dia, Danish Hakim dan tak kurus macam abang saudara dia Mohammad Aqqif Najmie. Seingat saya, umur setahun lebih aje DH dah mula naik badan. Tapi AI, harap-harap taklah gemuk macam abang dia. Bukannya apa, bila badan terlalu berisi, bimbang banyak penyakit yang datang dan sampai ke hari ni saya masih berharap DH aku susut badan, tapi susut badan yang sihat. Bukan susut sebab sakit, mintak dijauhkan. Dan lagi... saya juga berharap AI tidak akan ada asma macam abang dia, sebab saya tak sampai hati tengok kalau asma datang mengunjungi DH walaupun kedatangan asma tu tak pernah pun diundang walaupun sekali. Mungkin keturunan sebab mama mereka berdua tu memang ada asma.

Kalau DH suka lumba lari, saya tak pasti AI suka apa. Apa yang saya nampak, sejak umur 1 tahun lebih AI suka nyanyi. Lagu kegemaran AI, ‘Burung Kakaktua’. Tapi nak dengar dia nyanyi agak seksa sebab bila kita tengok muka dia, dia tak akan menyanyi. Jadi, untuk dengar nyanyian AI yang tak berapa nak telus tu, kami terpaksa pura-pura pandang dinding atau apa aje asalkan tak tengok muka dia. Lepas tu barulah perlahan-lahan kami boleh dengar suara halus dia yang malu-malu kucing. Kadang-kadang, saya terpaksa nyanyi dulu untuk tarik perhatian dia dan lepas tu, adik ipar saya akan kata, “Comelnya suara Kak tam bila sampai pada perkataan ‘hinggap di jendela’”. Selalunya sambil ketawa saya akan kata, “Baru tau ke?” Hem... saya memang ada masa-masanya boleh jadi manusia perasan! Tapi... sebagai mak cik AI, saya tak berharap AI atau anak buah saya yang lain pilih bidang nyanyian bila dah besar nanti. Kalau boleh biarlah mereka memilih kerjaya yang lebih sesuai, bukanlah saya kata jadi penyanyi tak bagus. Tapi biarlah mereka tak terlalu dikenali, tapi mampu mengharumkan nama kami sebagai keluarga dan negara dengan cara mereka sendiri. Hidup sebagai penyanyi tentu saja penuh cabaran, saya tak mahu mereka susah.

Apa-apa pun, tak kira macam mana keadaan AI, saya akan tetap mendoakan yang terbaik buat dia. Harapan saya, satu hari nanti dia akan jadi anak yang baik, sangat baik dan benar-benar baik bukan hanya untuk orang tua tapi untuk semua orang yang akan ditemui dalam seumur hidup dia. Untuk Arissa, Selamat Hari Lahir, moga seluruh rahmat ALLAH akan jadi milik Arissa, ;-)

- ReViEw KASIH BENAR KASIH dArIpAdA FaD -


Pendapat Peribadi;
Tengok kulit novel jer terus sambar novel ni...baca sinopsis macam boleh layan dan penulis nya pula aku dah kenal so why not aku try kan...seperti dalam entry yang pernah aku tulis sebelum ni, novel alaf21 telah dinaikkan harga tapi dapat penanda buku, kira berbaloi gak lah...Kulit novel ni sangat-sangat comel...kulit novel tercomel yang pernah aku lihat di pasaran Malaysia...tahniah kepada krew Alaf21... semakin kreatif...

Aku dah pernah baca banyak novel hasil karya Aleeya Aneesa @ Mawarti Wahab...Novel-novel beliau tidak lupa untuk menyelitkan kisah-kisah kekeluargaan...kali ni sekali lagi kisah kekeluargaan diketengahkan... Watak Annura yang masih solo walaupun telah menginjak usia 29 tahun membuatkan kedua orang tuanya gusar...tapi selama ni mereka hanya memendam rasa namun selepas anak kepada rakan karib mereka "memilih" untuk berkenalan dengan annura membuatkan mereka tidak berfikir panjang... Sikap Dinzley yang suka bergurau memakan diri sendiri...kerana kata-kata gurauan dia telah memberi harapan kepada kedua belah pihak...Namun sebagai seorang anak yang taat, Dinzley tidak mahu melukakan hati mama dan papa nya...dia cuba menghubungi Annura...Pada kali pertama mereka berhubung, Dinzley sengaja membuat lagak seperti seorang lelaki yang sombong dan berlagak...dia menekankan gelaran DR yang dimilikinya...Annura semestinya tidak senang dengan cara pengenalan yang sebegitu rupa... Langkah seterusnya adalah dengan mengajak Annura keluar...Dinzley sengaja memilih tempat yang agak jauh - Gombak dan mengarahkan Annura supaya tidak terlewat walaupun seminit tetapi keadaan sebaliknya terjadi, lelaki berlagak tu yang datang lewat hampir sejam...sebenarnya dia bukan sengaja lewat tapi dia lewat kerana tertidur...sengaja dia tak nak meminta maaf untuk membuatkan annura bengang... dia janji untuk menelefon annura pada sebelah malamnya tapi bila waktu yang dijanji2kan tiba iaitu jam 9 malam tapi telefon bimbit annura masih membisu...kerana ingin mendengar jawapan yang dijanjikan oleh Dinzley tentang hubungan mereka Annura menebalkan muka untuk menghubungi Dinzley, tapi Dinzley sengaja tidak mahu menjawab...sengaja mahu menguji Annura...

Sikap Dinzley yang suka menyakat Annura dan tidak menepati masa membuatkan hati Annura semakin sebal...Annura cuba untuk mendapat sokongan daripada kakak nya supaya memujuk kedua orang tua mereka agar idea untuk menjodohkan dia dan Dinzley dibatalkan namun kakak dia yang cuba memujuk Annura supaya membuka pintu hati yang telah tertutup akibat pernah dikecewakan sebelum ini...Hafeez cinta yang terputus dipertengahan jalan...

Akhirnya Annura dan Dinzley bersetuju untuk cuba mengenal hati budi masing-masing dalam tempoh 6 bulan...sekiranya berjaya mereka akan bertunang...dalam tempoh masa yang singkat itu, mereka cuba sedaya upaya menerima dan memahami satu sama lain...akhirnya cinta mula berputik...mereka bertunang atas dasar cinta namun di saat tinggal beberapa minggu sebelum majlis pernikahan, Dinzley cuba memohon agar majlis tersebut ditangguhkan...semua ni disebabkan oleh kehadiran Syirin,bekas teman wanita Dinzley yang pernah meninggalkan Dinzley sebelum ni...Apakah yang akan terjadi selepas Dinzley mengutarakan idea yang menjatuhkan maruah Annura? nak tahu kisah selanjutnya kena dapatkan novel comel ni dekat pasaran...beli kat pesta buku dapat diskaun 20% tau...ok, tahniah Kak Mar!

*** Terima kasih tak terhingga pada Fad atas komen di atas. Kawan-kawan yang budiman, kamu, kamu & kamu boleh melawat Fad DI SINI sebab ada banyak kisah yang menarik.