- 2 JaDi 1 -

December 18, 2011

“Saya tak kira, apa pun jadi, awak mesti bertanggungjawab!”

Langkah yang mahu diatur terhenti, dia berpaling ke belakang. Redup matanya memandang lelaki itu. Kemudian keluhan meniti di bibir nipisnya. Dia sudah pun meminta maaf, apa lagi yang lelaki itu mahu? Mahu dia bertanggungjawab bagaimana lagi? Bukankah ungkapan maaf itu lebih berharga daripada yang lain-lain? Lagipun, dia bukannya sengaja hendak melanggar lelaki itu?

“Bukankah saya dah minta maaf tadi?”

“Tak cukup!”

Dahinya berkerut seribu. “Jadi awak nak apa lagi?”

Bulat mata lelaki itu merenung ke wajahnya yang hanya tenang, walau di hati terasa sabarnya seperti sudah goyang. Dia sudah cukup malu hendak berlama-lama di situ membiarkan diri menjadi bahan tontonan orang. Tapi lelaki itu pula seperti sengaja menambah malu yang ada. Jatuh tergolek dalam dakapan lelaki yang langsung tidak dikenali, sesiapa pun kalau di tempatnya akan rasa malu. Tapi perkara dah terjadi, hendak diapakan lagi? Anak kecil bertocang dua itu pun bukannya sengaja melanggar dirinya tadi hingga dia hilang imbangan badan.

“Awak kena bertanggungjawab!”

“Kenapa saya perlu bertanggungjawab kalau awak tak rugi apa-apa. Kurang ke duit awak kena langgar dengan saya tadi? Ada cedera kat mana-mana ke kat tubuh awak tu? Ada cacat ke kat mana-mana?”

“Awak dah raba saya!”

Mata yang tadinya redup mula membesar. Wajahnya terasa seperti disimbah dengan minyak panas. Bercupak-cupak mata yang melihat dan mendengar kata-kata lelaki yang tidak dikenali itu kelihatan mula berbisik-bisik sesama sendiri sambil mata terus melekat pada drama tanpa tajuk lakonan dia dan lelaki itu. Entah apa anggapan mereka padanya, dia sungguh tidak tahu. Hanya yang dia pasti, tentu saja anggapan yang tidak elok berpihak kepadanya.

Aku raba dia? Gila!

“Tidak!”

“Awak raba saya!”

“Hei...” Pantas Qhalis meluru ke arah lelaki yang masih mempamerkan raut tidak bersalah setelah menuduh dia dengan tuduhan yang sangat mengaibkan. Kalau ikutkan hati, mahu ditampar wajah itu berkali-kali bagi meluahkan rasa geram yang kian berbuku di hatinya. Takkanlah lelaki itu tidak mengerti kalau dia tidak sengaja. Dia tidak meraba lelaki itu, hanya memaut pinggang itu semata-mata setelah gagal mengimbangkan badan. Dan sudahnya, dia dan lelaki itu sama-sama tergolek kerana masing-masing tidak bersedia. Takkanlah lelaki itu begitu lurus bendul? Tapi kelihatan seperti bergaya benar.

“Apa?”

“Saya tak raba awak!”

“Awak raba saya!”

“Tidak!”

“Ya!”

“Tidak!”

“Ya... saya dapat rasa!”

Semakin kuat suara-suara di kiri kanan di dalam restoran makanan segera itu. Malu yang Qhalis rasa semakin menebal saja. Rasa marah dan mahu menangis terasa sama banyak. Malang apa nasibnya hari ini hingga bertemu dengan lelaki yang satu ini. Harapkan muka saja polos, tapi perangai teruk yang amat. Sudahlah tadi dia kehilangan pelanggan gara-gara datang lambat dalam janji temu, kini terpaksa pula berdepan dengan lelaki yang tidak berperasaan itu. Lupakah lelaki itu kalau dia perempuan? Jatuh air mukanya kalau dimalukan sampai begitu sekali di hadapan orang ramai. Lebih-lebih lagi saat ini, restoran tempat mereka berpijak ini sarat dengan manusia. Kalau ada antara mereka yang dia kenal, hendak diletak ke mana mukanya?

“Penipu!” Sedikit kuat suara Qhalis. Kalau boleh ditelan, memang tamat riwayat lelaki yang masih menayangkan wajah selamba di hadapannya. Dapat apa dia kalau meraba seperti yang dituduh?

“Awak raba saya!”

“Diam!” jerit Qhalis sekuat-kuat hati.

“Qhalis...”

Qhalis segera berpaling, pucat wajahnya sebaik saja melihat seraut wajah hairan di sisi kirinya. Di sisi kanan wanita itu, berdiri sekujur tubuh yang mempamerkan wajah yang tenang. Ya, dalam apa pun keadaan, ayah memang tidak pernah menayangkan air muka yang lain daripada itu. Tapi masihkah ayah boleh tenang kalau mendengar tuduhan tidak berasas tentang anak gadis sendiri?

“Ibu... ayah...”

“Kenapa ni? Ibu dengar Qhalis menjerit tadi. Apa masalah Qhalis ni? Apa dah jadi?”

“Qhalis...” Kata-kata Qhalis terhenti, sekejap dia memandang wajah ibunya, sekejap pula ayahnya. Kemudian, dia memandang ke hadapan. Bibir digigit kuat. Sakitnya hati kala ini tidak terkira. Kalau bukan disebabkan lelaki yang satu itu, dia tidak perlu tersepit seperti ini. Mungkin saat ini dia sudah pun berehat di rumah sambil menenangkan diri yang kalut dengan kecewa. Kecewa bila pelanggan berlalu begitu saja tanpa mahu mendengar penjelasan tentang kelewatannya. Padahal, memang bukan salah dia bila kemalangan berlaku hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

“Qhalis... cuba cerita dengan ayah, nak...”

“Qhalis...”

“Qhalis raba saya pak cik, mak cik...” potong lelaki itu pantas. Langsung tidak menunggu Qhalis habis berkata-kata. Wajahnya tetap juga selamba. Tidak ada senyuman, tidak ada juga kemesraan, jauh sekali rasa bersalah atau serba salah.

“Hah?”

“Ya... dia raba saya tadi. Semua yang ada di sini melihat. Dia orang boleh jadi saksi yang anak pak cik dah raba saya...”

“Bohong!”

Khaledah dan Zawir saling berpandangan. Ada kerut di dahi masing-masing. Lama selepas itu mereka membuang pandang pada Qhalis dan lelaki yang langsung tidak mereka kenali itu.

Qhalis meraba lelaki itu? Tidak! Rasanya anak gadis mereka tidak mungkin bersikap begitu kerana dengan tangan merekalah Qhalis membesar selama ini. Jangankan meraba lelaki, memegang tangan lelaki pun Qhalis tidak mahu. Sejak kecil, anak yang satu itu sudah diajar yang mana halal dan yang mana haram. Qhalis bukan juga jenis anak yang ingkar. Pasti ada salah faham yang berlaku hingga anaknya dituduh sebegitu sekali.

“Dia raba saya!”

“Tidak!” Serentak dengan kata-kata itu, Qhalis mengangkat tangannya. Dia mahu menampar mulut yang membuat tuduhan. Dia tidak rela dirinya terus-terusan dituduh dengan tuduhan melulu begitu. Dia masih ada harga diri dan dia tidak harap harga dirinya diranapkan orang lain sesuka hati. Mujur juga tangannya cepat disambar Zawir. Kalau tidak, pasti lelaki itu pulang hari ini dengan membawa tanda di pipi.

“Sudahlah... jangan macam ni. Tak ada masalah yang tak boleh diselesaikan,” katanya pada Qhalis.

Turun naik nafas Qhalis kerana menahan marah.

“Kurang ajar dia ni, ayah!”

“Qhalis...” pujuk pula Khaledah. Kedua-dua tangan Qhalis diraih dan digenggam erat-erat. Senyuman paling manis dihadiahkan buat satu-satunya anak perempuan yang dia ada itu. Sangat berharap panas yang ada di hati itu akan surut perlahan-lahan. Dia tidak tahu apa sebenarnya yang telah berlaku, tapi dia tidak percaya kalau anak gadisnya sanggup berkelakuan tidak senonoh begitu. Dia yang melahirkan anak itu, dia kenal Qhalis melebihi orang lain. Anak itu, sejak kecil tidak pernah mengecewakan dia dan suaminya.

“Nama pak cik, Zawir. Ayah pada Qhalis. Anak ni siapa?”

“Thaqif!”

“Beginilah Thaqif, mari kita bincang di tempat lain. Kat sini dah tak sesuai sebab banyak mata yang berminat nak tahu hal kamu dan anak pak cik. Boleh kita ke tempat lain?”

Thaqif angguk dengan wajah tenang. Namun anak matanya tajam menikam pandangan Qhalis yang menyinga.

P/S - Ini kisah apa, jangan ditanya sebab setakat ni saya sendiri tak pasti apa yang saya conteng. Hanya saya fikir... eloklah jika saya mula meramahkan jari-jemari sebab saya bimbang terlalu lama 'berehat' jari-jemari tak runcing saya ni bakal beku dan kaku hingga bersambung sampai ke otak. Apa dan bagaimana saya nak menyambung kisah ni, biarkan minda yang dah lama tak bekerja buat kerja dia.

Dan harapnya... saya akan selalu dapat sokongan daripada kawan-kawan sebab tanpa kalian, siapalah saya ni kan.

2 comments: