- Ya... SaYa SuDaH tEnGoK! -

December 9, 2011

Hari ketiga Ombak Rindu ditayangkan di Layar Perak, saya pun terkedek-kedeklah menuju ke panggung wayang. Itu pun beberapa jam sebelum pergi, terhegeh-hegeh saya booking tiket sebab tak mahu hanya memandang cerita tu dalam gambar yang ditepekkan di luar panggung wayang semata-mata, gara-gara tiket habis.

Syabas Mar @ Aleya... awak semakin lama semakin maju dalam hidup dan kehidupan. Pandai benar dah aktiviti booking-membooking online sekarang ni. Kalau nampak barang yang berkenan kat mata pun, cepat-cepat aje ya awak buat aktiviti klik-mengklik. Tau-tau aje, muncung awak panjang bila sedar dalam akaun awak hanya tinggal RM38.00 dan masa tu, mulalah awak salahkan orang tu, awak salahkan orang ni. Padahal, awak sendiri yang salah. mata awak selalu aje sinar-bersinar bila nampak apa yang cantik dan boleh buat hati tertawan. Kalau dapat bertahan pun, malamnya tentu awak tak dapat tidur selagi tak dapat apa yang awak nak. Sudahnya esok pagi-pagi, awak klik-klik lagi apa yang patut diklik dengan bantuan mouse yang langsung tak bersalah tu.

Dan Ombak Rindu... bagi saya yang dah baca novelnya berkali-kali satu ketika dulu masa saya memang obsess dengan novel [sekarang pun masih obsess, hanya masa yang cemburu buta], okey dan boleh dilayan. Menitis-nitis jugalah air mata sebab saya kan seorang yang agak sentimental [Ke... masa tu memang jiwa saya kacau?]. Tapi yang sebenarnya, OST Ombak Rindu tu yang buat saya rasa sangat sedih bila digabungkan dengan adegan-adegan yang memang menyentuh hati yang tentunya datang daripada Izzah [Maya Karin]. Janganlah hendaknya ada orang yang malang macam dia.

Cerita dan lagu-lagu yang dihidangkan, memang kena dengan jalan cerita. Cumanya... bagi seorang saya, saya yang dah dewasa, ada adegan-adegan yang tak sesuai ditonton golongan yang tak sepatutnya, terutamanya kanak-kanak ribena. Memanglah adegan-adegan tu tak seteruk filem Inggeris yang ada di pawagam atau TV, tetapi tau ajelah kita ni, terlebih bertindak atau berbuat sesuatu tentu akan jadi ‘gempak’.

Kalau tanya saya sama ada suka atau tak filem, saya kata ya, hanya... saya lebih-lebih-lebih-lebih sukakan novel sebab dalam novel, adegan-adegan yang tak sepatutnya meskipun membawa maksud yang sama, disampaikan dengan cara yang halus hingga kita sebagai pembaca tak terasa kita dah melepasi ‘adegan-adegan’ itu. Tapi saya tak salahkan filem kerana antara filem dan novel memang tak sama. Lagipun, dalam filem kita hanya gunakan mata semata-mata, sedangkan novel kita lebih banyak menggunakan fikiran dan hati, walaupun membaca guna mata juga. Itu pendapat saya, tak semestinya betul sebab sebagai rakyat Malaysia, saya kira saya boleh berpendapat apa saja asalkan pendapat saya tak memudaratkan apa-apa dan siapa-siapa.

Apa pun, tahniah pada yang terlibat. Walaupun bukan saya yang menulis Ombak Rindu, sebagai penulis novel juga [suam-suam kuku] saya tumpang bangga. Dan saya percaya, kerana filem tu filem adaptasi, maka panggung wayang gamat dengan orang beberapa hari kebelakangan ni, apalagi novel tu sendiri memang jadi kegilaan banyak orang, termasuk juga saya.

PERINGATAN - Ni bukan review filem atau novel sebab saya tak dilahirkan sebagai pengulas filem atau novel okey!

3 comments:

  1. Hei orang , mungkin Mungkin AS jauh jauh lebih baik menempel ke Suriah Assad ?

    ReplyDelete
  2. berbakat sebagai pengulas film, salam...

    ReplyDelete