- DoN’t JuDgE a BoOk By ItS cOvEr -

December 4, 2011

Keluar rumah tok tadi, hujan dah mula lebat yang amat. Sempatlah setitis dua menimpa kepala saya sebelum melangkah masuk ke kereta. Dalam hati, saya berharap hujan akan segera mereda, kalau perlu titis pun biarlah hanya titis-titisan halus seperti salji yang nampak begitu cantik. Sebabnya, sekarang ni banjir sudah ada di mana-mana, bukan lagi semata-mata di Pantai Timur. Mereka yang menjadi mangsa banjir saya kira sudah sangat kasihan kerana kehilangan banyak benda dalam hidup. Memanglah itu sebahagian daripada ujian dalam hidup. Tapi saya tetap kasihan juga.

Tiba di tempat tunggu bas dengan Fida dan Dewi, hujan jadi lebih lebat lagi sampai-sampai kami terpaksa masuk ke dalam kedai sebab tempias mula membasahi kaki seluar kami. Mujur saja tak dihalau kerana menghalang laluan orang yang hendak membeli barang. Tapi sebenarnya memang tak ada orang pun nak beli barang dalam keadaan hujan yang menggila. Lebih baik membungkus diri dalam selimut tebal sebab dalam hujan lebat, tak ada yang lebih nikmat selain daripada mengejar mimpi yang entahkan indah, entahkan ngeri agaknya.

Hampir sejam menjadi penunggu, bas pun tiba. Lambai tangan pada Fida dan Dewi [Sedihnya rasa], saya pun terasa nak memanggil lena. Tapinya, seorang kakak di sisi seperti mahu mengajak saya jadi teman berbual-bual. Saya pun, okey aje! Layan pertanyaan demi pertanyaan yang dimuntahkan keluar. Ketika mengatakan saya tinggal di ‘rumah biasa’ tapi boleh digelar ‘rumah sendiri’ walaupun sebenarnya rumah DBP sebab hutang saya pada DBP masih banyak dan makan masa berpuluh-puluh tahun untuk lunas, kakak tu tepuk tangan saya. Katanya, “Eh... itu pun dah kira okey daripada akak yang masih lagi menyewa.”

Saya senyum aje sebagai tanda saya bersetuju dengan apa yang dikata. Meskipun Rumah Pink, hanya rumah biasa, saya bahagia menjadi penghuninya kerana di sini ada damai yang sama seperti di kampung, walaupun saya tak bohong bila saya kata saya ada masa-masanya diulit sunyi juga. Maklumlah, saya kan hanya manusia biasa yang ada hati dan perasaan. Bukannya robot buatan manusia yang diberikan ilham oleh DIA.

Beberapa minit lepas tu, saya senyap dan kakak tu pun senyap juga dan saya pun mula memejamkan mata. Perjalanan hampir dua jam jadi lebih daripada itu sebab hujan turun dengan sangat lebat. Entah berapa kali saya tidur dan kemudian jaga semula, hujan tetap juga tak berhenti-henti bagaikan memuntahkan apa yang disimpan selama bertahun-tahun lamanya, bagaikan melepaskan dendam kesumat, walau hakikatnya Malaysia memang tak akan dapat lari daripadanya yang dinamakan hujan.

Sampai di Pudu, saya mula bergerak ke stesen LRT sebab nak menapak mencari teksi tentu sukar sebab saya tak bawa payung. Di stesen LRT, melihat orang berpusu-pusu, saya terasa macam nak pengsan. Entah daripada mana agaknya orang-orang itu datang. Ada juga pengumuman yang mengatakan LRT tak lalu di Ampang. Mungkin sebab hujan atau air yang dah mula naik. Mujur juga saya menuju ke Sri Petaling. Jadinya, saya gagahkan kaki berdiri dalam barisan yang macam ular dipalu. Retak rasanya hati bila yang bertugas di kaunter kata untuk laluan ke Salak Selatan, saya perlu membeli token di mesin. Rasa nak marah pun ada juga sebab kenapa tak diberitahu awal-awal, kalau tidak, tak perlulah saya dan orang lain ikut beratur memenatkan kaki. Bukannya semua yang beratur panjang tu selalu naik LRT dan tahu bahawa sekarang ni untuk menaiki LRT, hanya menggunakan token berwarna biru, bukan lagi sekeping tiket.

Dapat token, saya melangkah lagi. Berpuluh-puluh minit menanti, LRT ke Sri Petaling tak sampai-sampai lagi sedangkan sudah banyak LRT ke Sentul Timur meninggalkan kami yang masih menanti. Bila berhenti pula, sarat betul dengan orang. Tapi saya masuk juga sebab kalau nak menunggu LRT kosong, memang mustahil. Bukan hanya saya yang nak balik ke rumah.

Sampai di Stesen Salak Selatan, masalah datang lagi! Hari dah hampir pukul 8.00 malam, cuaca dah sangat gelap. Tapi... teksi tetap tak muncul-muncul lagi. Orang pun dah ramai di tempat saya menunggu. Aduhai... pukul berapalah saya boleh dapat teksi ni? Hujan pun tetap juga menggila dan saya hampir meraung sebab tangisan langit yang tak sudah. Makin lama menunggu, hujan makin lebat dan orang pun makin ramai orang. Dalam ramai-ramai orang, ada seorang budak lelaki yang saya kira dalam usia awal 20-an yang berpakaian serba hitam dengan celak yang lengkap di mata dan lengkap juga segala aksesori silver, asyik pandang ke arah saya. Wajahnya agak ganas di mata saya. Saya sedikit menjauh sebab saya bimbang. Bukan prasangka tapi hanya berhati-hati.

Tapi benarlah kata orang, “DON’T JUDGE A BOOK BY ITS COVER”, melayang prasangka saya bila dia yang saya gerunkan itu panggil saya dengan menggamit tangan dan cakap macam ni, “Akak beratur depan saya. Bila ada teksi datang, akak naik terus.” Tak tertelan rasanya liur saya. Rasa bersalah dan malu pada diri sendiri pun ada juga. Saya menilai adik tu hanya dengan melihat penampilan dirinya. Sedangkan dia, nampak ikhlas saja memberikan tempatnya pada saya. Padahal, kalau saya menunggu lama, dia tentu lebih lama lagi kerana semasa saya sampai, dia sudah pun beratur. Tak lama lepas tu, teksi datang dan saya pandang belakang seketika sambil mengucapkan terima kasih dengan senyuman. Kalau bukan sebab dia, entah pukul berapa agaknya baru saya sampai rumah.

[Hanya gambar hiasan semata-mata ya. N3 ni tak ada kaitan dengan AKU MAHU KAMU ni]

Saya tak kenal adik tu siapa, tapi saya harap kebaikan dia pada saya akan dibalas ALLAH satu hari nanti sebab saya yakin dia punya sekeping hati yang baik. Dan hujan... terus juga menangis bagaikan menangisi nasib malang yang tak sudah, saya pun hujan juga [gerimis] sepanjang langkah menuju ke rumah. Ada satu rasa mencengkam dalam diri, ya... hanya saya yang mengerti kenapa dan untuk apa rasa itu perlu wujud!

2 comments: