- BeTuL, sAyA tAk TiPu! -

December 15, 2011

Rupa-rupanya, Cik Dis dah di pertengahan kan? Padahal... macam baru aje rasanya saya menulis tentang Cik Dis yang baru aje nak menjengahkan wajah. Ertinya, lagi 16 hari daripada sekarang Cik Jan pula akan mengambil tempat dalam hati kita semua. Memang kenyataan bila masa tak pernah menunggu manusia, sebaliknya manusialah yang perlu bersaing dengan manusia. Soal menang atau kalah, bukan soal penting asalkan keinginan untuk tak tertinggal di belakang masa itu ada dalam hati setiap orang. Tapinya, keinginan semata-mata juga tak akan ke mana-mana jika tak disusuli dengan usaha. Bila sudah berusaha, barulah kita layak menyerah dan pasrah kerana tugas kita hanya sampai situ semata-mata.

Dan Cik Dis... setakat ni alhamdulillah dah berjaya saya lalui dengan mudah tanpa ada laluan-laluan ganas yang memerlukan saya bekerja keras untuk melepasinya, walaupun saya akui ada berbelas-belas hari lagi harus saya jalani sebelum sampai ke angka 31. Tapi tak kisahlah, saya hanya mahu berkata apa yang sudah dan sedang saya lalui setakat saat ini. Hari depan sesungguhnya tak ada dalam tangan saya walaupun sebagai manusia saya boleh merancang, merancang beria-ia pun boleh. Hanya kalau boleh, saya mengharapkan hanya perkara-perkara baik aje yang berlaku, meskipun kedengarannya sangat tak logik. Mana ada bumi yang tak ditimpa hujan kan kawan-kawan?

Tapi sebetulnya saya tak mengharapkan terlalu tinggi di sepanjang melewati Cik Dis ni. Bagi saya cukuplah andai dapat menjalani rutin harian seperti biasa kerana seingat saya dalam dunia ini tak ada manusia yang mahu diri ditimpa masalah, musibah jauh sekali. Adat manusia kan, mahunya hanya perkara gembira, perkara sedih kalau boleh mahu aje dibuang jauh-jauh ke dalam gaung.

Tapi syukurlah bila saya mendapat beberapa perkara lebih daripada sepatutnya di bulan ni. Kadang-kadang, apa yang berlaku memang di luar jangkaan kita. Kita mengharapkan sesuatu itu jadinya begini, tapi kemudian yang kita dapatkan ternyata berlawanan sama sekali. Namun, itulah yang dipanggil rahsia ALLAH yang tak mampu kita terokai. Kuat mana pun kita mencuba, kita tetap tidak boleh melakukannya kerana lama mana pun menapak di bumi bertuah ini, kita tetap manusia biasa. Ada kelebihan tersendiri, tapi tak akan mungkin terlalu berlebihan kerana kita di dunia ini didatangkan dengan pakej. Ada baik dan juga buruk. Terlalu lebih pasti akan membuatkan kita jadi manusia yang sombong dan riak hingga memperlekehkan orang kurang. Boleh jadi bukan?

Apa yang saya dapatkan dalam Cik Dis ni, biarlah hanya menjadi rahsia saya dan orang terdekat yang memang sangat-sangat dekat dengan saya sebab ada sesetengah perkara yang berlaku dalam hidup, tak mungkin mampu dikongsikan dengan semua orang. Tapi yang berani saya katakan, saya sangat gembira dengan apa yang dah saya dapatkan. BETUL, SAYA TAK TIPU!

Dan lagi, mendapat tahu, buku ELLA GADIS PENCEGAH MAKSIAT [Siri MCK 1] masuk carta terlaris di Karangkraf Terlaris Minggu ini [Retail Karangkraf Mall], minggu ni yang bermaksud minggu lepas, saya rasa sangat gembira. Dan kegembiraan saya bertambah-tambah bila mendapat tahu hari ni, KASIH ANTARA KITA [KAK], masuk carta Terlaris Minggu ini [Online Karangkraf Mall]. Syukur, alhamdulillah! Sebenarnya tak adalah hebat mana pun dan tak ada apa pun yang dibanggakan sebab bukannya setiap minggu buku-buku saya tercalon sebagai tanda bukan ramai pun yang sudi dapatkan nukilan ALEYA ANEESA. Tapi tak pedulilah sama ada banyak atau tak, pentingnya sebagai penulis saya rasa gembira, lebih-lebih lagi KAK bukan sebuah novel baru. Kalau diberi umur tahun hadapan KAK dah pun boleh melangkah ke darjah 1. Syabas KAK... awak dah semakin besar sekarang ni!


Tapinya, bukanlah bermakna sepanjang 15 hari ni saya hanya senyum dan ketawa aje. Tidak! Seperti biasa, tetap ada perkara berlaku dan hujan gerimis pun turun tanda ada hati yang terhiris, baik di pihak saya mahupun di pihak satu lagi. Ya... saya tau saya tak sempurna, saya ada begitu banyak kelemahan. Ada masa-masanya saya buat silap tanpa saya sedar. Ada masa-masanya saya berniat baik, tapi di hujungnya niat baik tu hanya memakan diri sendiri dan orang di sekitar saya. Tapi nak buat macam mana bila saya dah berusaha melakukan yang terbaik walau pada akhirnya, langkah saya silap lagi. Saya buat salah lagi, lagi dan lagi.

Tak tahu dan entahlah... sukarnya mahu menjelaskan apa yang kabur dan menjernihkan apa yang kelabu. Tali yang ada seakan-akan kian berbelit-belit melingkar diri. Hanya yang berani saya kata, saya tak pernah BUANG sesiapa dari hidup saya kerana saya sayang setiap yang dekat dengan saya. Cumanya... bila orang memilih MEMBUANG diri sendiri dari hidup saya, saya tak ada daya nak menghalang. Memaksa, tak pernah ada dalam kamus hidup saya. Orang datang saya terima, orang pergi saya tak akan halang kerana itu hak masing-masing sebagaimana saya juga tak suka bila saya dikongkong orang. Dan lagi, saya tak pernah lupa pada yang pernah hadir dalam hidup saya. Sepi saya bukan bermakna saya benci atau marah. Tapi sepi saya kerana saya dah tak tahu harus berbuat apa lagi untuk meneruskan apa yang ada. Memujuk orang bukan keahlian saya, apalagi bila saya merasakan saya tak melakukan apa-apa kesalahan.

Makanya... saya hanya berdoa, walau apa dan di mana pun, saya dan orang-orang sekitar saya berada, moga kita semua diberikan kesihatan yang baik, kalau pun sakit biarlah cepat sembuhnya. Bagi saya, saya gembira melihat orang gembira walau dalam kegembiraan itu, nama dan wajah saya tak wujud...

2 comments: