- KaSiH tAk BeRbAtAs -

December 2, 2011

Saya bukan anak tunggal [adik-adik, abang-abang dan kakak, hendak dicampak ke mana?], saya bukan anak bongsu [mengamuk pulak adik bongsu saya kalau saya mengaku anak bongsu] dan saya bukan juga anak perempuan tunggal [mesti kak long saya kata saya perasan kalau saya cakap saya satu-satu anak perempuan mak dan abah saya]. Tapi... kalau saya kata saya anak perempuan bongsu, itu betul. Tepat sekali! Tak ada yang tipu melainkan yang benar belaka. Tak percaya, boleh tanya pada saya [tak ada maknanyalah wei, tak ada orang lain ke yang boleh ditanya?].

Cumanya... pasti ada yang berkata, apalah yang istimewanya jadi anak perempuan bongsu? Apalagi anak perempuan bongsu yang kedudukannya terletak di tangga ke empat [bawah seorang kakak, dua orang abang dan atas dua orang adik]. Tak ada istimewanya langsung! Mungkin ada yang beranggapan begitu. Tapi bagi saya, anak sulung ke, anak nombor dua ke, anak tengah-tengah ke, anak tunggal ke atau anak bongsu sekalipun, tetap juga ada keistimewaan tersendiri. Kalau pun mungkin tak istimewa di mata banyak orang, tentu aje istimewa di mata orang tua. Saya pun pasti macam tu juga, walaupun mak dan abah saya tak pernah pun memuji-muji saya di depan. Entahkan mereka segan, entahkan bimbang saya jadi bertambah kembang. Ataupun... memang pada saya, tak ada apa-apa yang hendak dipuji sebab saya hanya manusia biasa yang didatangkan dengan pakej yang juga biasa-biasa aje.

Tapi biarlah, tak kisahlah kalau saya tak dipuji pun. Yang jelas, saya dapat rasakan kasih sayang orang tua saya, sama seperti orang lain dapat merasakan kasih sayang orang tua mereka kerana kasih sayang yang dipanggil ayah dan ibu itu memang tak pernah ada batas sempadannya. Tak pernah kurang kalau benar-benar sayangkan anak-anak tanpa syarat dan akan terasa kurangnya bila mereka mengharap kalau jasa dan pengorbanan yang diberikan pada anak-anak dibalas bila sampai masanya kelak.

Tajuk N3 KASIH TAK BERBATAS tu sebenarnya saya tak tujukan pada sesiapa, kecuali pada yang bernama Mahani @ Mahan Dahli a.k.a mak saya yang tersayang yang tinggal di sebuah kampung di Johor Bahru. Petang tadi, selepas 1 tahun 8 bulan memegang stereng kereta;

Saya kata kat dia [mak saya], “Minggu depan Ami balik, boleh Ami balik bawa kereta?” Lembut aje nada suara saya sebab saya dalam proses memujuk hati seorang ibu yang saya kenal dengan jelas bagaimana sifatnya.

Balas dia, “Seorang?”

Kata saya, “Ya.”

Jawapan dia, “Tak payahlah! Naik bas aje. Musim hujan ni.”

Kata saya lagi, “Okey... Ahad nanti Ami ambil tiket bas pergi dan balik.”

Kemudian saya ketawa perlahan sebab saya percaya, kalau tak hujan atau cuaca panas terik sampai hampir membakar pun belum tentu dia akan benarkan saya bawa kereta balik ke Johor Bahru sorang-sorang, kecuali berteman. Saya hanya mencuba nasib semata-mata, ‘macam untung sabut timbul dan untung batu tenggelam’ kerana saya tahu apa yang ada di minda dia. Memanglah naik kereta atau naik bas, tetap juga bahaya ada di mana-mana dan kalau sudah tertulis begitu, maka begitulah jadinya sebab kuasa mengubah takdir tak ada dalam tangan manusia. Tapi... dia yang tak pernah kurang kasihnya itu, nampaknya lebih percayakan driver bas daripada saya jadi driver, walaupun memang ada driver bas yang buat hal [hendaknya janganlah yang bawa saya dan penumpang lain juga]. Pasti dalam hati dia ada bimbang yang ada masa-masanya tak mampu seorang anak seperti saya selami. Mungkin dalam hati dia, kereta pancit pun saya dah menitiskan air mata sebab panik tak tahu nak buat apa, apa pula keadaan saya bila kereta buat hal tengah-tengah highway, malam pulak tu.

Saya pun memang tak berhajat nak membantah, jauh sekali jadi anak tegar yang tak mahu peduli pada kata-kata orang tua. Saya sudah puas jadi anak degil satu masa dulu, dan kini rasa itu dah tak ada lagi. Sekarang ini, saya percaya dalam setiap langkah yang saya ambil, saya selalu mengharapkan restu daripada dia kerana saya percaya dia yang saya panggil mak itu tak pernah tak mendoakan anak-anak. Sebagai anak pula, saya hanya mahu menggembirakan dia dan saya tahu dia akan gembira dan bahagia bila kata-katanya dituruti. Paling penting, saya tak mahu buat dia susah hati walaupun sesaat, apalagi selama hampir 4 jam dalam perjalanan saya membelah jalan raya bersama-sama kereta.

Dan saya berharap kalau kasih saya pada yang saya panggil mak itu juga tak akan pernah berbatas kerana saya mahu kasihkan dia seperti dia kasihkan saya. Untuk mak dan abah saya, moga ALLAH selalu memelihara mereka berdua dalam apa pun keadaan.

2 comments:

  1. meh kte gi sana pastu temankan awk balik bawk keta...

    ReplyDelete
  2. tak pelah... tak mau susahkan sesiapa. selama ni pun naik bas juga...

    ReplyDelete