- MANUSIA BERJIWA HAIWAN! -

July 2, 2012

“Seorang bayi lelaki berusia tiga bulan, patah tangan dan kaki kiri hingga terpaksa ditahan di wad kanak-kanak Hospital Sultan Ismail (HSI), dipercayai didera pengasuh di sebuah rumah di Taman Bukit Dahlia di sini, Jumaat lalu

Kecederaan mangsa, Muhammad Zafran Anaqi Muhammad Razali atau Zafran dikesan bapanya, Muhammad Razali Hamzah, 32, ketika membawanya keluar dari rumah pengasuh yang juga jirannya kira-kira jam 12.30 tengah hari.”

Saya tak tahu berita tersebut lebih lanjut kerana saya ambil petikan itu dari status seorang rakan di FB pagi tadi. Ada banyak lagi yang ditulis, tapi saya hanya ambil setakat itu semata-mata. Saya juga tak tahu kesahihannya lebih lanjut. Hanya saya ada juga dengar berita yang sama di Hot FM, juga pagi tadi. Dalam kemeriahan bola sepak Spain vs Italy, mereka masih sempat update kezaliman yang berlaku pada anak kecil yang langsung tak tahu apa-apa.

Yang nak saya sentuh bukanlah penderaan yang berlaku pada si kecil itu semata-mata, atau si kecil-si kecil yang lain. Tapi yang nak saya sebut, betapa manusia hari ini dah makin hilang kemanusiaan di tengah-tengah hiruk-pikuk dunia yang makin celaru. Kalau benar masih punya rasa kemanusiaan, tak mungkin tak tahu membezakan seorang anak manusia yang bernyawa dengan seekor anak lipas atau seekor anak semut.

Alangkan lipas atau semut, kadang-kadang tak sampai hati nak dibunuh tanpa sebab, inikan pula nak mendera anak-anak yang polos. Saya sungguh-sungguh tak faham kenapa ada manusia sebegini. Patutnya, mereka yang tak berhati dan berakal ini tak perlu wujud di atas muka bumi kerana hadirnya mereka hanya menyusahkan orang lain. Dan, kalau mereka perlu dijatuhkan hukuman, jatuhkanlah mereka dengan hukuman yang seberat-beratnya supaya yang masih punya hati dan akal dapat menjadikan apa yang berlaku pada mereka sebagai iktibar. Biar lain kali berfikir dulu sebelum bertindak.

Bagi ibu bapa kandung – mengajar anak-anak, memang perlu tapi ajaran yang diberikan biarlah secara berhemah dan berpada-pada. Kalau pun perlu menaikkan tangan, janganlah sampai keterlaluan hingga mencederakan. Untuk apa ketika mereka sakit, kita berusaha mahu menyembuhkan mereka, sanggup mengeluarkan wang ringgit dengan alasan kita-sayang-anak-kita. Tapi pada saat mereka sihat, kenapa perlu disakitkan mereka? Kenapa tak dibiarkan aje mereka terkedang tak berdaya di atas katil.

Bagi pengasuh – korang diamanahkan untuk menjaga anak orang, maka pikullah amanah yang diberikan dengan bersungguh-sungguh. Kalau rasa tak sanggup menghadapi kerenah anak-anak yang pelbagai, tak perlu kata sanggup ketika ditanyai. Carilah sumber pendapatan yang lain kerana korang tak layak. Berikan amanah tersebut pada yang layak dan ikhlas mahu menjadi pengasuh. Lebih daripada itu, apa rasanya kalau anak korang pula yang didera, diseksa atau dizalimi? Kalau sekarang korang tak ada anak dan korang tak rasa apa-apa, sampai satu masa korang akan rasa juga bila korang benar-benar bergelar ibu atau bapa. Masa tu, korang lihatlah cermin dan kata pada cermin, “Dulu pun aku buat perkara yang sama pada anak orang”.

Ya, saya percaya... memang ada masa-masanya manusia tak dapat kawal perasaan dan rasa marah, apalagi bila masalah datang sebesar gunung datang dan bergabung pula dengan tingkah anak-anak yang sukar nak diramal. Makin dikata jangan, makin galak mereka beraksi kerana itulah anak-anak kecil. Maka, lahirlah kejadian-kejadian kejam serupa itu. Tapi... biar stress dan dilanda emosi sehebat mana pun, pandai-pandailah beringat, belajarlah mengawalnya. Masalah yang datang tak akan selesai hanya dengan mematahkan kaki dan tangan anak-anak kecil atau menghantuk kepala si kecil ke dinding atau ke mana-mana saya objek keras. Kalau pun puas, rasa-rasa kejam itu hanya akan datang seketika waktu. Bila yang dizalimi itu cedera, maka... bersedialah untuk menanggung akibat kerana negara kita masih punya undang-undang.

Dan jahat, balasannya tentu saja jahat kerana hidup ini adil. Hari ini menyeksa anak orang, esok lusa anak-anak kita pula diseksa orang. Moga semua anak-anak dalam dunia ini akan dilindungi ALLAH. Untuk anak-anak buah saya, Mak Tam doakan yang baik-baik untuk kalian, moga nasib kalian selalu baik...

No comments:

Post a Comment