- SIAPA PUN IBU KITA, KITA PASTI SAYANG... -

July 16, 2012

Cerita ni mungkin cerita basi. Cerita tahun lepas yang baru hari ni mahu diabadikan. Kalau tak salah saya, pertengahan tahun lepas. Ceritanya bermula di Semua House. Hahaha... hampeh gila bila buat stail penglipur lara macam ni. Sebenarnya saya ikut kawan saya pergi beli barang-barang untuk hantaran anak dia. Betul, kawan-kawan saya semuanya mak-mak aje kat sini. Tak banyak yang saya bantu sebab tak pandai dalam soal tu. Saya lebih banyak jadi pemerhati. Tapi bila tengok situasi macam tu, saya terfikir alangkah beruntungnya anak kawan saya tu sebab semua mak dia yang keluarkan duit, mak dia yang fikiran apa barang sedangkan si anak cuma tetapkan warna dan hanya menanti kat rumah semata-mata.

Tiba-tiba teringat pada mak saya yang tak segah kawan saya tu. Mak saya hanya sekolah sampai darjah 5. Tak berpeluang nak sambung belajar bila tanggungjawab pada adik-adik menuntut mak supaya berkorban. Dari cakap-cakap mak, saya dapat rasakan yang mak kecewa sebab dia pandai belajar tapi tak ada peluang. Dan saya dapat rasa yang mak memang bijak sebab bukan mudah nak kelentong dia. Hanya nasib mak tak sebaik nasib kawan saya tu. Seumur hidup mak tak pernah kerja, sedangkan kawan saya tu pegawai kerajaan.

Dan satu hal yang saya pasti, kalau ditakdirkan saya bertemu jodoh satu hari nanti, mak tak mungkin akan keluar beli barang untuk hantaran kahwin saya. Mak tak ada kemampuan bila hidup mak pun bergantung pada anak-anak. Tapi... biarpun mak tak mungkin akan keluarkan duit untuk hantaran saya nanti [kalau ada jodohlah, kalau tak ada tu tak adalah], saya tetap bersyukur sebab mak jadi mak saya. Bukannya orang lain. Biarpun mak cuma sekolah sampai darjah 5, saya tetap gembira sebab dia jadi mak saya. Sebabnya, dia seorang ibu yang sangat baik. Ibu yang jarang meminta apa-apa pada saya. Ibu yang tak pernah menyusahkan saya dan anak-anak yang lain. Ibu yang sentiasa tak lupa mendoakan anak-anak. Pendek kata, dialah segala-galanya bagi saya. Kekurangan dia, adalah kelebihan di mata saya. Sungguh tak tipu, siapa pun mak, saya tetap sayang gila pada mak, sama macam saya sayangkan abah. Moga seluruh rahmat ALLAH terlimpah atas kedua-dua orang tua saya tu.

2 comments:

  1. setuju dgn kak aleya.
    siapa pun ibu kita, pendidikan dia, dialah ibu kita pengalaman hidup lg berharga drpd tgg mana pun pendidikan kita yg tinggi tu..
    ibu kaulah segalanya :)

    ReplyDelete
  2. ada mcm rasa nak nyanyi lagu ibu... ibu... engkaulah ratu hatiku, hehehe... :-)

    ReplyDelete