- RAMADAN KEDUA [2012] -

Hari ni dengan perasaan rela dan tak rela yang sama banyak, saya harus bergerak balik ke KL sebab saya hanya ambil cuti satu hari aje. Bukannya tak nak cuti lama, tapi kena beringat supaya nanti tak beraya di office. Lagipun dapat menyambut puasa pertama di Rumah Abah semalam pun dah besar rahmat buat saya.

Masa nak bergerak tu, adik bongsu saya dan Abang Ngah saya dah menyakat-nyakat saya tentang nak balik KL. Tahu benar dia orang yang saya kalau boleh tak nak balik KL. Tapi saya kata kat dia orang, saya memang dah TAK SABAR GILA nak balik KL. Siap dengan senyum-senyum lagi masa saya cakap tu. Tapi tak ada maknanya abang dan adik tu nak percaya. Lepas dengar cakap saya, dia orang ketawa-ketawa mengejek. Hem… nasib sayalah dapat adik-beradik yang memang kaki sakat. Reda dan redah ajelah!

Naik bas pukul 2.00 petang tapi awal-awal dah siap-siap supaya tak ada apa-apa yang tertinggal. Kalau baju yang tinggal tak apa juga, boleh juga ringankan beg saya. Buatnya kad Astro yang tertinggal macam puasa tahun lepas, tak ke sesak nafas jadinya. Tapi… nak salahkan siapa bila saya yang suka sangat bawa kad Astro dengan alasan Astro kat Rumah Abah tak ada pakej Mustika dan pakej Movie. Padahal, bila balik semua pakat tengok DVD daripada tengok cerita-cerita yang ada di TV.

Macam biasa, kalau balik dari KL yang ambil saya di stesen bas Abang Chik saya. Bila nak balik dari JB pula, yang hantar Abang Ngah atau adik saya yang pertama. Tapi kali ni adik saya tulah yang hantar. Bertolak agak lambat sebab ada benda yang dibuat sebelum tu. Dalam cuaca yang panas, pintu masuk parking yang pertama tutup. Terpaksalah pergi pintu kedua, itu pun jalannya macam siput sedut pulang ke rumah. Belum lagi adik saya bising-bising bila ada kereta potong queue dia.

Pukul 2.00 petang, tangan saya pun melambai-lambat sebagai tanda perpisahan. Sebab dah terlalu biasa, saya dah tak rasa apa-apa. Doa saya dalam setiap lambaian, moga mereka yang saya tinggalkan selalu diberikan kesihatan yang baik dan paling penting selalu ada dalam lindungan ALLAH. Dan sepanjang dalam bas, saya hanya tidur, tidur dan tidur dengan harapan biar cepat sampai dan cepat juga masa berlalu.

Bila sampai lebih awal daripada biasa, rasa sangat-sangat lega. Kalau lambat macam biasa pun tak adalah apa sangat sebab mak saya dah bekalkan saya dengan nasi dan lauk-pauk. Tak adalah risau sangat nak fikir apa yang patut dan tak patut dimakan masa berbuka puasa. Katanya takut saya sampai lambat. Tak cukup dengan tu, siap sudu sekali dibekalkan sedangkan saya tak terfikir pun yang saya akan makan bekalan yang dibawa dengan gembira dalam bas yang sarat dengan orang. Tapi… terima kasih sangat mak! Sayang gila kat mak…

Apa pun, puasa kedua dah saya jalani dengan jayanya. Alhamdulillah. Walaupun makan sendiri bertemankan rumah yang warnanya pink, saya tetap juga rasa kenyang sampai ke subuh. Harap-harap Ramadan kali ni membawa cerita yang lebih manis dalam diari kehidupan seorang MARWATI WAHAB a.k.a. ALEYA ANEESA. Kadang-kadang... kejutan datang tanpa diduga, kan? Tapi... biarlah kejutan yang baik, bukannya yang tak baik, ;-)

1 comment:

  1. hahaha mesti awk tulis perenggan kedua tu dgn kelam kabut, kan?

    ReplyDelete