- KARNIVAL BUKU KARANGKRAF 2012 [1] –

Ketika diberitahu yang saya akan diberikan sebuah booth sepanjang Karnival Buku Karangkraf 2012 berlangsung, harus menghias sendiri booth tersebut, harus memikirkan sendiri konsep yang mahu saya buat dan semuanya harus dilakukan dalam masa yang singkat, saya sebetulnya terasa cuak, cuak sangat-sangat. Bahkan, kalau diikutkan hati saya mahu aje menolak ketika itu juga. Tapi... entah apa yang mendorong, saya bersetuju walaupun saya sendiri tak pasti.


Sejujurnya, ada beberapa hal yang membimbangkan saya. Pertama, sebab saya tak pandai nak menghias booth tersebut. Hias-menghias bukan kemahiran saya, maka jadilah saya seorang manusia pemikir dan perengus. Dan bila saya terlalu memikirkan hal itu, bahu terasa seakan-akan ada batu yang sangat besar. Ke man-mana dan di mana-mana pun saya ada, bermula daripada mendapat panggilan daripada pihak Grup Buku Karangkraf, saya betul-betul tak dapat berfikir dengan betul. Bolak-balik fikiran dan perasaan saya. Malah, tak malu saya mengaku yang ada masa-masanya saya terasa nak menangis sebab panik dan blur.

Kedua, apa aktiviti yang nak saya buat untuk pastikan booth saya tak lengang bagaikan dilanda geroda. Kalau ditakdirkan lengang, di mana saya nak sorokkan muka kan? Kalau dalam baju, tak mungkin sebab mustahil saya boleh berjalan kalau tak menggunakan mata. Kalau hendak berpurdah, saya tak sanggup kalau semata-mata kerana terpaksa. Bagi saya, kalau pun benar hendak berpurdah, biarlah kehendak itu lahir dari dalam diri.

Ketiga, ada ke yang nak datang ke booth saya nanti sebab saya tahu di mana tahap saya. Saya bukan penulis hebat walaupun saya dah menghasilkan beberapa buah karya. Saya hanya penulis biasa-biasa aje dan dengan pakej yang juga biasa-biasa.

Keempat, sebelum dan semasa hari kejadian [Karnival Buku Karangkraf 2012], siapa yang nak membantu saya? Saya memang ada keluarga, tapi keluarga saya semuanya ada di JB, tak ada seorang pun yang bersisa di KL ni. Kawan-kawan memanglah ada, tapi... saya tak tahu nak minta tolong macam mana. Bimbang tak ada yang mahu bangkit membantu. Kalau pun ada, mungkin saya akan berfikir berkali-kali kerana saya tak mahu silap meminta. Tak mahu pisang berbuah dua tiga kali. Cukuplah sekali pertolongan yang saya pinta, orang ungkit sampai hati di dalam terasa begitu kecil. Itukah yang dinamakan sahabat dan persahabatan? Bukannya saya ego, tapi saya jenis manusia yang tak mahu jatuh di tempat yang sama berkali-kali. Bagi saya, saya hanya akan meminta pertolongan pada yang sudi dan saya tahu benar-benar mahu menghulurkan bantuan.



Tapi syukurlah... bila yang saya jangka ternyata meleset sama sekali. Meski dalam panas terik dan dalam keadaan saya yang langsung tak bawa peralatan seperti gunting, tukul, paku, benang dan sebagainya, booth saya siap juga. Saya tak tahu nak kata macam mana, tapi saya benar-benar berterima kasih pada yang sudi membantu, terutamanya Kak Hana, Awin, Kak Ruby, Moon, Mala, Yatie [Alaf 21/Karangkraf], Fida, Dewi, Kak Azie, Mira dan Kak Izzatul [kawan-kawan saya]. Jerih perih kalian sangat saya hargai, moga ALLAH membalas segala-galanya.

Dan pada hari pertama Karnival Buku Karangkraf 2012 berlangsung, saya akhirnya mampu menarik nafas, tanda lega. Walaupun hari Jumaat, ramai juga yang datang berkunjung, minta tandatangan dan bertanya serba sedikit tentang dunia penulisan saya. Sungguh, hati saya sangat-sangat lapang, selapang padang bola [sebab tu senyum dan ketawa saya lebar aje, hahaha]. Kedatangan mereka dengan senyuman buat hati saya rasa kembang setaman. Rasa penat-lelah saya seperti berbaloi-baloi. Terima kasih sangat!


- YaHoO... sAyA bErJaYa! -

Wah... bunyinya macam dapat nombor 1 dalam larian 100 meter aje kan? Tak pun dalam lontar peluru. Ataupun, dah berjaya menyeberangi Selat Tebrau. Tapi sebenarnya... tiga-tiga tu tak betul sama sekali! Nampak benar tipunya sebab saya dah lama tak buat larian 100 meter [last kat sekolah], dah lama tak angkat besi bulat tu dan dah lama juga tak berenang di kolam di tempat tinggal saya, lebih mustahil sampai berenang di Selat Terbrau.

Yang betulnya, saya gembira macam dah diberi bulan dan bintang sebab saya dah berjaya menampalkan road tax kereta dalam masa tak sampai 5 minit. Itu pun dengan senyuman lebar dan tanpa ada kerut di dahi seperti tahun lepas. Rasa dalam hati, memang bangga bagai tak ingat dunia sebab memang itu pun tekad yang saya buat masa saya tampal road tax buat pertama kalinya dalam hidup, tahun lepas.

Kalau dikenang-kenang, rasa macam nak ketawa tergolek-golek pun ada juga sebab geli hati. Tak sangka saya gelabah sampai macam tu sekali. Yalah, mula-mula saya terkial-kial tanggalkan road tax tahun sebelumnya sampai siap telefon abang. Lepas tu, naik rumah ambil air dan sabun sebab kesan yang tinggal pada cermin, lepas tu naik ambil gunting sebab nampak lambang gunting pada road tax baru, sedangkan boleh tanggalkan macam tu aje. Lepas tu... baca [DI SINI] ajelah sebab saya tak larat nak menaip kembali apa yang pernah saya taip tahun lepas.

Tapi satu hal yang saya pegang, manusia selalu belajar daripada pengalaman kerana pengalaman mengajar kita supaya lebih berhati-hati agar tak melakukan kesilapan yang sama.

- SeLaMaT hArI lAhIr -


22 Januari 2012 - "SELAMAT HARI LAHIR YANG KE-4 TAHUN. MOGA PANJANG UMUR, MURAH REZEKI, JADI ANAK YANG BAIK DAN HENDAKNYA SELURUH RAHMAT ALLAH AKAN JATUH PADA MOHAMMAD AQQIF NAJMIE"

PESANAN PENUH KASIH SAYANG PADA AQQIF - Sorry, tahun ni Mak Tam tak dapat membebel panjang-panjang macam tahun lepas sebab Mak Tam sangat sibuk. Tapi nak bagi tahu walaupun Aqqif cuma boleh baca pesanan ni bila dah sekolah nanti, Mak Tam nak kata yang Mak Tam SAYANG SANGAT kat Aqqif...

- TaK sErUpA tApI sAmA, dAtAnG jAnGaN tAk DaTaNg TaU! -

Yang di atas tu jemputan ke FESTIVAL PENULIS GRUP BUKU KARANGKRAF yang akan diadakan pada 27-29 Januari 2012 dan bertempat di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf. Kalau tak nampak apa yang tertulis sebab tulisan di dalamnya comel-comel, boleh lihat di bawah. Dua-duanya menconteng perkara yang sama. Hanya rupa aje yang berbeza. Datang jangan tak datang ya kawan-kawan, ;-)

- KuTiP-kUtIp DiAlOg DaLaM “BOLEH SAYA SAYANG AWAK?” -


Kata Najihah, “Dalam mimpi abang! Jiha tak nak jadi wife Najid. Kami kawan, kawan baik aje. Tak lebih daripada itu okey!”

Kata Najid, “Siapa yang nak kahwin dengan Jiha? Kalau Jiha aje perempuan yang tinggal dalam dunia ni, Najid tetap tak naklah kahwin dengan Jiha.”

Kata Najid, “Alah... duduk dalam kereta yang tak ada air-cond sekejap, apalah salahnya. Jiha bukan puteri lilin pun. Tak ada cairnyalah...”

Kata Najid, “Okey... okey... Najid minta maaf. Lepas ni Najid janji bawa Jiha pergi shopping dan Jiha boleh ambik apa aje yang Jiha suka. Asalkan, Jiha berhenti mogok suara dengan Najid dan Jiha makan roti telur ni.”

Kata Najid, “Najid dengarlah apa yang Jiha cakap tadi. Jiha kata Jiha nampak Munirah dengan suami dia pagi tadi. Masa tu suami Munirah hantar Munirah pergi kerja. Jiha kata Jiha seronok sangat tengok Munirah dan suami dia mesra walaupun dah lima tahun berkahwin. Jiha kata kalau Jiha kahwin nanti, Jiha nak dapat suami baik macam suami Munirah walaupun suami Jiha nanti mungkin hanya orang biasa yang tak belajar pandai dan bergaji besar.”

Kata Najihah, “Kalau Jiha tak dapat suami kaya dan pandai pun tak apalah, asalkan Jiha boleh gembira dan bahagia macam Munirah.”

Kata Najihah, “Kaya tu sebenarnya ujian kan Najid? Jadi... kalau ditakdirkan pasangan Jiha nanti tak kaya atau cukup-cukup makan aje, Jiha akan terima dia. Kurang dan lebih dia, Jiha akan terima seadanya.”

Kata Najid, “Kan Najid pernah cakap pada Jiha yang Najid tak akan tangkap gambar perempuan lain selain daripada Jiha? Dah lupa ya?”

Kata Najihah, “Bila masa Jiha kata Najid perempuan? Apa kaitan kalau kamera ni Jiha bagi nama Kiki dengan jantina Najid? Lainlah kalau Jiha kata nak panggil Najid dengan gelaran Kiki. Itu barulah Najid boleh marah. Entah apa-apa.”

Kata Najid, “Lelaki pegang kamera nama Kiki, tak ke teruk dengarnya tu? Kalau kawan-kawan kita tahu, mana Najid nak letak muka?”

Kata Najihah, “Siapa kahwin dulu, kira menang dan siapa yang kalah kena bagi hadiah mahal tau.”

Kata Najihah, “Jiha nak datinglah, bukannya nak suka-suka. Karang Rayyan tengok Najid dia ingat Najid boyfriend Jiha pula. Langsung dia tak jadi nak dekat-dekat dengan Jiha nanti.”

Kata Najid, “Jom... Najid janji akan bersikap baik hari ni. Jangan risau, Najid tak akan kacau Jiha dengan Rayyan.”

Kata Najihah, “Najid sedar tak yang Najid langsung tak bagi peluang Jiha cakap dengan Rayyan tadi? Asyik-asyik Najid aje yang bercakap macamlah Rayyan ajak Najid keluar?”

Kata Najihah, “Najid tahu tak berapa susahnya Jiha nak dapat peluang keluar makan dengan Rayyan tu? Susah tahu! Dan Najid, dah hancurkan satu-satunya peluang yang Jiha ada. Najid memang teruk!”

Kata Najid, “Apa pulak? Najid nak juga kenal Rayyan tu macam mana. Sesuai ke tak dia dengan Jiha. Takkanlah itu pun Jiha nak berkira sangat?”

Kata Najid, “Kalau dia betul-betul baik, dia tak kisahlah Najid ikut sama sebab Najid kan kawan baik Jiha. Tapi dia tu... belum apa-apa dah tayang muka tapai basi. Nampak sangat Rayyan tu bukan lelaki yang baik.”

Kata Najid, “Kalau Jiha jadi dengan Rayyan, mesti lepas ni Rayyan tu tak kasi Jiha kawan dengan Najid lagi. Mesti Jiha pun tak akan pedulikan Najid lagi.”

Kata Najihah, “Okey... nanti kalau Najid dating, Jiha nak ikut juga. Jiha nak tengok macam mana perempuan yang Najid pilih. Lantaklah kalau Najid tak nak bagi ikut pun! Najid dah hutang Jiha, jadi Najid kena bayar dengan cara yang sama juga.”

Kata Najid, “Ikutlah, siapa kata Najid tak nak bawa Jiha.”

PESANAN PENUH KASIH SAYANG – Motif saya kutip dialog dalam kisah “BOLEH SAYA SAYANG AWAK?”, apa ya? Macam tak ada kepentingan aje kan? Eh, tapi adalah! Tentulah sebab saya nak kawan-kawan yang sudi menjenguk blog saya kenal dengan watak-watak dalam manuskrip saya, yang mungkin satu hari nanti akan bertukar rupa menjadi sebuah novel dan boleh dihadamkan oleh mereka-mereka yang sudi. Kalau terasa mahu berkenal-kenalan dengan lebih jauh lagi, bolehlah melawat [DI SINI] dan saya akan cuba masukkan bab baru bila sampai masanya. Saya juga akan petik dialog-dialog lain kalau saya rajin. Kalau lebih rajin lagi, saya akan kutip-kutip pula dialog dalam kisah"BUKAN MEMUJA BULAN" yang linknya boleh dapat dilihat [DI SINI]. Selamat membaca kawan-kawan!

- BiLa BuKaN kAkI sHoPpInG pErGi ShOpPiNg -

Shopping... saya tau tentu ramai yang suka dengan perkataan yang satu tu, terutamanya yang bergelar PEREMPUAN. Ada yang kata, dengan shopping dapat hilangkan tension. Ada yang kata shoppinglah yang paling best dalam dunia. Ada pula yang kata kalau tak shopping, rasa hidup macam tak lengkap. Tapi kata kawan baik saya pula, “Jangan shopping kalau perut lapar sebab kita cenderung membeli barang yang banyak sebab nafsu lapar sudah berpindah ke arah yang lain”. Saya pula kata, “Tak payah pergi shopping kalau tak ada duit sebab window shopping tak best macam betul-betul shopping”.

Saya pula, sebenarnya saya sendiri tak tahu sama ada saya boleh dikategorikan sebagai seorang yang SUKA shopping atau tak. Sebabnya, saya bukannya jenis sekadar mencuci-cuci mata, melihat barang-barang yang dijual di shopping complex tanpa ada apa-apa tujuan. Tapi tipulah juga kalau saya kata saya langsung tak pernah pergi ke tempat-tempat seumpama itu tanpa sebab. Pernah! Cuma... jarang-jarang sekali saya lakukan. Selalunya, bila saya nak beli sesuatu barulah saya ke shopping complex. Saya tengok lebih kurang apa yang saya mau, lepas tu bayar dan jalan terus balik. Sebab itu agaknya saya lebih suka beli barang sorang-sorang tanpa ditemani sesiapa. Kalau dah berdua, bertiga, berempat atau bersepuluh, saya percaya apa yang nak saya beli terus tak jadi dibeli. Terlalu banyak pendapat buat saya jadi keliru, dan ada kalanya, saya suruh orang lain pilihkan untuk saya sebab saya memang hancur dalam bab pilih-memilih ni.

Dan bila saya terpaksa shopping di Nilai 3 [Jauh kan? Macam tak ada tempat lain kan? Tapi... itu aje tempat yang paling sesuai sebab kebanyakkan barang yang saya perlukan ada di sana] siang tadi, sebenarnya saya terasa patah kaki tangan. Blur dan sungguh-sungguh tak tahu harus bermula dari mana sebab saya dan shopping nampaknya memang sangat tak sepadan. Itulah yang terjadi sepanjang hari ni. 12 jam di luar rumah semata-mata nak mencari barang untuk keperluan Festival Penulis Grup Buku Karangkraf yang akan berlangsung pada 27-29 Januari 2012 nanti, saya sungguh-sungguh penat. Mulut asyik membebel itu dan ini, sedangkan Fida yang temankan saya selalu aje cool sampai suruh saya bersabar lagi.

Entahlah... agaknya bila disuruh buat apa yang kita tak mahir, misalnya bershopping sesuatu yang kita tak tahu dengan jelas barang-barangnya ada di mana, dan memerlukan kita bergerak dari satu kedai ke satu kedai dalam keadaan yang panas, hati mudah goyah dan memberontak. Apalagi bila bertanya dari satu orang ke satu orang sedangkan orang yang ditanya sendiri pun tak tahu atau tak jual apa yang nak saya beli. Kan bagus kalau semua barang tu ada dijual di kedai yang sama? Tapi... itu mustahil kan? Kedai karpet tentulah Cuma menjual karpet, kedai kain tentulah hanya menjual kain, begitu juga dengan kedai-kedai yang lain.

Tapi sebetulnya, kalau disuruh pergi kedai buku setinggi tiga tingkat atau banyak-banyak tingkat, agaknya tak rasa macam tu sebab saya sangat sukakan kedai buku, terutamanya yang jual novel dan segala macam bagai pen. Disuruh duduk di atas lantai tanpa apa-apa lapik pun saya sedia dengan rela hati. Disuruh pergi lagi pada keesokan harinya pun sangat rasa teruja.

Dan setelah hampir 12 jam, saya akhirnya pulang juga ke Rumah Pink dalam keadaan kaki yang sakit dan badan yang sangat lesu. Hampir ke semua barang yang dicari saya jumpa, ada yang tak cari pun jumpa juga. Terjebak dan sengaja menjebak diri, memang tak boleh dipisahkan dengan manusia agaknya. Hendaknya... pada hari berlangsungnya Festival Penulis Grup Buku Karangkraf nanti, adalah yang datang dan kedatangan kawan-kawan sangat dialu-alukan. Kalau tak, kesian kaki saya sebab penat lelah dia tak berbaloi, ;-)

- DrAmA "CINTA BUAT EMELDA" aDaPtAsI DaRipAdA nOvEl "KASIH ANTARA KITA" -

Rasa-rasanya ada yang dah tahu yang novel KASIH ANTARA KITA [KAK], yang diterbitkan oleh Alaf 21 [Karangkraf] pada tahun 2006 diadaptasi oleh Metrowealth International Global [MIG] dengan tajuk baru, CINTA BUAT EMELDA [CBE] kerana saya dah pun memaklumkan berita itu di [SINI] dan di [SINI] dua hari lalu.

Setakat ini katanya, CBE yang membariskan pelakon seperti Fizo Omar, Almy Nadia, Mia Sara, Amran Ismail, Nuremy Ramly, Mustafa Kamal, Diana Emir dan ramai lagi itu akan ditayangkan di TV3 untuk slot Akasia [7.00-8.00 malam] pada bulan Februari 2012. Bulan depan! Sama ada tarikh itu akan berubah atau sebaliknya, saya tak dapat nak pastikan sebab saya pun tak tahu. Hanya saya percaya, setiap berita tentang CBE tentu akan dimaklumkan oleh penerbit drama tersebut.

Sebenarnya saya tak tahu nak tulis apa tentang drama yang diarahkan oleh Ismail Bob Hashim ni walaupun KAK hasil nukilan saya sebab drama dan filem bukan bidang saya. Bidang saya hanya penulisan dan lain daripada itu saya tak tahu apa-apa. Cumanya, sebagai penulis novel tu saya mengharapkan yang terbaik dan yang baik-baik juga berlaku semasa proses penggambaran yang sedang berlaku sekarang ni dan juga semasa proses tayangan nanti. Kerja saya menyudahkan NOVEL KASIH ANTARA KITA sampai ke titik akhir, dah selesai hampir 6 tahun dulu. Sekarang ni, kerja team DRAMA CINTA BUAT EMELDA pula menyudahkan kerja mereka yang baru saja bermula. Semoga mereka semua berjaya dengan jayanya, ;-)

- Dalam Drama CINTA BUAT EMELDA, Fizo Omar pegang watak Aril Fatah dan Mia Sara jadi Dania. Kiranya, ini... pasangan bapa dan anak. Harap mereka berdua akan jadi pasangan yang hebat ya -

- Ini pula, Almy Nadia yang akan jadi teraju utama sebagai Emelda dan juga Emira, Amran Ismail yang akan jadi adik Emelda dengan nama Emeriz dan yang cilik itu tentulah Mia Sara yang jadi Dania -

PESANAN PENUH KASIH SAYANG - Kalau terasa mahu tahu tentang perkembangan drama CBE ini, bolehlah lihat-lihat di [SINI] atau [SINI].


- SiRi MCK [SeDiKiT tEnTaNg "SEKARANG AKU KISAH!"] –


“Budak muka macam kayu tu, takkanlah tak kenal. Kelas sebelah aje pun.

“Muka kayu?” Sedikit kuat pelajar yang seorang lagi bertanya.

Muka Mei Hwa bertambah merah. Bibirnya digigit kuat.

“Macam manalah aku tak kata muka dia macam kayu. Muka dia tak ada perasaanlah. Marah, sedih, suka, semuanya sama aje. Tak suka bercampur orang. Tanyalah kat sekolah ni berapa orang kenal dia. Cikgu pun silap-silap ramai tak kenal dia tau. Harapkan pandai belajar aje nak buat apa kan? Aktiviti kokurikulum langsung tak nak buat.”

Mei Hwa pandang wajah Siti Hajar, dia teringat apa yang pernah Siti Hajar katakan padanya.

Dan Siti Hajar yang memahami maksud pandangan itu, tiba-tiba saja terasa menyesal mengucapkan kata-kata itu minggu lalu. Kalaupun benar, dia tidak sepatutnya meluahkannya kerana itu hak Mei Hwa. Mahu aktif atau tidak, biarlah Mei Hwa yang membuat keputusan.

Tiba-tiba, Mei Hwa tersenyum. Tapi Siti Hajar tidak mampu membalas kerana dia masih dihantui rasa bersalah. Dia memegang lengan Mei Hwa, lantas mereka berdua berpaling, memandang dua orang pelajar yang terpinga-pinga. Terperanjat melihat Mei Hwa ada di hadapan mereka.

“Cakap sesuatu,” suruh Siti Hajar pada Mei Hwa.

“Kau berdua jangan banyak main dan jangan banyak sangat buat aktiviti kokurikulum tau. Nama yang kau kejar tak penting sangat sebab nama tu tak boleh buat kau masuk ke universiti nanti.”

“Nak tambah sikit,” kata Suman tiba-tiba. “Mulut tu jangan jahat sangat. Tak baik!”

PESANAN PENUH KASIH SAYANG - Jangan lupa klik-klik [DI SINI], [DI SINI JUGA], [INI JUGA], [INI] dan [INI] tau kawan-kawan yang cantik-cantik dan kacak-kacak kalau nak tau lebih lanjut tentang Siri MCK ini.

- KaTaNyA... sUdAh PeNuH! -

Salam dan Selamat Hari Isnin kawan-kawan! Diam tak diam, hari Isnin tiba juga dan mahu tak mahu, kita dah pun berada di angka ke-9 di bulan Januari untuk tahun 2012. Cepat aje kan masa bergerak meninggalkan kita? Diam-diam menjalani bulan Januari, kemudian sedar-sedar kita dah pun berada di bulan Disember, penghujung bagi setiap tahun dan tahu-tahu 2013 menyapa dengan kata ‘Hai semua!’

Dan Isnin... saya percaya bukan hanya saya aje yang selalu rasa berat hati mengenangkan hari Isnin bakal tiba dan bila Isnin bebar-benar tiba, bukan lagi rasa berat hati yang muncul tapi berat segala-galanya sampai nak melangkah pun macam dah tak larat benar. Bukanlah atas sebab apa-apa sangat. Cuma lepas dua hari bercuti di hujung minggu, mood nak naik kerja semula selalu hilang tertinggal di depan skrin TV atau berbungkus dalam selimut tebal atas katil, atau juga... terkaku kat meja makan.

Okey, saya tinggalkan soal mood yang memang tak menentu ni. Yang nak saya sebutkan sekarang ni tentang FACEBOOK [FB] atau dalam bahasa kita yang tercinta ni, Cinta Muka Buku. Eh... bukan Cinta Muka Buku [teringat Najwa Latif yang comel itu], tapi laman sosial Muka Buku.

Saya tak tahu bila tarikh sebenar FB wujud sebab tarikh tu tak masuk dalam exam dan saya sendiri pun dah lama tak ambil exam. Kali terakhir mungkin 5 tahun lalu untuk pengesahan jawatan. Selepas tu tak ada lagi dan itu bermakna saya tak naik-naik pangkat lagi [Dalam hati tertanya-tanya, bilalah nak naik pangkat ni?]. Lagipun tarik tersebut bukan tarikh penting dalam hidup saya, makan tak perlu diingat-ingat memandangkan otak saya sendiri ada masa-masanya sangat tepu sampaikan perkara-perkara yang penting pun saya abaikan begitu-begitu aje.

Saya ada akaun FB, seingat saya pada tahun 2008. Saya buka akaun tu atas sebab gatal-gatal tangan tanpa ada tujuan yang pasti. Bagi saya, orang ada... saya pun nak ada juga. Sama macam akaun Twitter yang baru beberapa bulan lepas saya buat dan lepas tu saya jarang-jarang tengok sebab tak tahu apa yang nak ditulis di situ. Tapi lepas buat akaun FB tu, saya tak masuk-masuk sebab saya malas. Hanya setahun lepas tu saya masuk balik sebab kawan saya kata, “Nak tengok gambar ‘jalan-jalan menghabiskan duit’ di Pulau Mabul & Sipadan, tengok di FB dia”. Mahu tak mahu, saya pun masuk juga dan selepas itu FB saya mula aktif melebihi saya aktif dalam sukan.

Bermula hari tu juga saya mula conteng-menconteng status di FB tu. Ada masa-masanya, status saya gembira, ada masa-masanya sedih dan tak kurang juga ada ketika-ketikanya marah. Tapi... marah saya marah terkawal okey! Tak ada maki-hamun, tak ada sindir-sindiran pedas walaupun sebagai manusia biasa memang ada juga rasa-rasa nak memaki-hamun bila hati tengah marah, marah yang membara. Cumanya... saya tak luahkan sebab saya tahu apa yang tertulis sebenarnya itulah cerminan diri saya. Saya tak mahu orang kenal saya hanya dengan status-status yang kurang elok begitu. Kalau orang kenal saya, biarlah bukan dengan sisi gelap walaupun saya akui sebagai manusia biasa, saya memang ada kekurangan dan kelemahan macam orang lain juga. Kalau tau sikit-sikit, tak apa dan saya taklah berapa kisah sangat. Malah, di situ jugalah saya mendengar komen-komen tentang karya saya dan juga saling bertukar-tukar pendapat dengan kawan-kawan dan juga pembaca tentang apa saja. Terima kasih pada yang dah banyak membantu okey!

Dan kini, saya dah ada 5000 kawan dalam FB yang banyak juga melihat jatuh dan bangun saya sejak dua tahun lalu. Saya tahu bukan semuanya saya kenal dan ada masa-masanya saya teragak-agak juga sama ada nak terima atau tak bila ada yang nak jadi kawan. Tapi mengenangkan mungkin mereka pembaca novel saya, saya terima. Cumanya... ada jugalah yang jadi mangsa remove atau block daripada saya sebab ada ketika-ketikanya mereka mengatakan apa yang tak sepatutnya mereka katakan pada saya. Bagi saya, setiap orang punya had tersendiri. Melepasi tahap itu, maka... “Maaf, saya terpaksa hilangkan kamu dari list kawan-kawan saya”.

Cumanya sekarang ini, dari sehari ke sehari saya melihat pertambahan ‘request’ di FB tu hingga dah mencecah 200 orang lebih [duduk di atas pagar], sedangkan saya tak boleh nak ‘approve’ lagi walaupun hati terasa nak. Bahkan, dah ada yang mula bertanya kenapa saya tak terima mereka jadi kawan sedangkan diaorang pembaca novel saya yang tegar. Bila saya terangkan yang FB saya dah full, diaorang tanya pula, “Kenapa saya tak wujudkan akaun FB kedua, misalnya macam ni, “ALEYA ANEESA [II]?’”

Memang idea yang sangat saya alu-alukan. Tapi... maaf, saya bimbang tak terjaga kalau banyak sangat akaun FB. Hidup dan keadaan saya kadang-kadang tak menentu. Sebab itulah saya wujudkan[PAGE DI ATAS TU] dengan harapan yang tak menjadi kawan atau tak mau jadi kawan masih boleh tahu serba sedikit tentang saya dan karya-karya yang saya hasilkan. Saya akan selalu cuba update segala aktiviti saya dan penulisan saya di situ. Mungkin... di sana juga saya dan kawan-kawan dapat bertukar-tukar pendapat dan segala jasa baik semua sangat saya hargai kerana tanpa kalian, Aleya Aneesa tak mungkin dapat bertahan sampai ke hari ini. Ceh... macam bagus aje kan saya ni sampai buat page bagai? Padahal... tak adalah bagus mana pun. Tapi, boleh kan? Sekurang-kurangnya dapatlah saya kongsi apa yang patut dengan pembaca saya, ;-)

- SiRi MCK [SeDiKiT tEnTaNg "BUNGKUSAN ITU SEBENARNYA..."] –


“Awak bukan pelajar baru di sini kan? Awak tahu kan pukul berapa sepatutnya kau mesti sampai di sekolah? Awak tahu kan mula kelas pukul berapa?”

“Tahu!”

“Kalau awak tahu, pukul berapa awak ada dalam kelas?”

“Sebelum pukul 1.05 tengah hari,” balas Yassin. Dia berusaha untuk tidak mempamerkan air muka resah dan gelisah. Bimbang semakin dia kelihatan resah dan gelisah, semakin Faqihah tidak mahu melepaskannya. Sedangkan dia sangat berharap agar namanya dipadamkan daripada terus menghuni buku nota Faqihah.

“Sekarang ni pukul berapa?”

“Awak kan ada jam?” Pertanyaan Faqihah, Yassin balas dengan pertanyaan juga. Bukannya dia mahu berkurang ajar, tapi hatinya sakit bila Faqihah kelihatan beria-ia benar mahu mencari kesalahannya.

“Awak cuba nak loyar buruk dengan saya ya?”

“Saya cakap yang betul, bukannya sengaja nak loyar buruk dengan awak. Awak ada jam, kenapa awak tak tengok jam awak sendiri aje daripada sibuk nak tengok jam tangan orang lain?”

Faqihah menggigit kuat bibirnya. Geram membukit dalam dada. Sangkanya jika dia mempamerkan air muka garang begitu, Yassin akan takut padanya seperti kebiasaan pelajar lain di sekolah mereka, apalagi Yassin hanya pelajar Tingkatan 1. Bukannya Tingkatan 2 sepertinya. Namun Yassin seperti tidak gentar langsung. Tetap juga mempamerkan air muka selamba dan tenang.

Dia tak takut pada aku, desis hati kecil Faqihah.
“Sekarang jam saya tunjukkan pukul 12.55 tengah hari. Ini bermakna saya tak lewat. Malah saya ada masa lagi 10 minit sebelum kelas bermula,” ujar Yassin sambil matanya terhala tepat pada pintu pagar yang luas terbuka.

PESANAN PENUH KASIH SAYANG - Jangan lupa klik-klik [DI SINI], [DI SINI JUGA], [INI JUGA] dan [INI] tau kawan-kawan yang cantik-cantik dan kacak-kacak kalau nak tau lebih lanjut tentang Siri MCK ini.

- SiRi MCK [SeDiKiT tEnTaNg "MAMA MACAM MANA NI?"] -

“Sekarang ni, nenek nak tanya kamu... kamu tahu tak ni apa?” Nek Janah menunjukkan sesuatu yang ada di tapak tangannya.

“Bintang!” jawab Virda selamba. Dia tersengih-sengih.

Nek Janah menggetap bibir. Ikutkan hati mahu saja diketuk kepala cucunya itu. Virda memberikan jawapan tidak sampai pun dua saat. Malangnya, jawapan yang Virda berikan tidak betul, hanya membuatkan dia rasa geram. Ada ke patut bunga lawang digelar bintang.

“Kenapa nek? Salah ke?” tanya Virda dengan sengihan yang tidak mahu hilang.

“Siapa ajar kamu kata ni bintang?”

“Tak ada orang ajar. Tapi Virda tengok rupa dia macam bintang. Ada banyak penjuru. Itu yang Virda teka bintang. Apa benda tu sebenarnya?” tanya Virda. “Hem... Virda tanya mama boleh?”

Terjegil biji mata Nek Janah. Dia ada di hadapan, Virda masih mahu bertanya pada Jalena.

“Maaf...”

“Ini namanya bunga lawang. Bukannya bintang! Kalau ada periksa di sekolah memang kamu tak lulus kalau bagi jawapan macam tu,” kata Nek Janah sambil menggeleng kepala. Benar-benar aneh dengan cucu nan seorang ini. Nama saja perempuan tapi semua perkara tidak tahu. Bukannya tidak diajar, tapi semua yang diajar tidak pernah masuk di kepala Virda.

“Nasib tak masuk periksa kan nek?”

“Kamu ni... memang patut dihantar ke sini,” kata Nek Janah lagi.

PESANAN PENUH KASIH SAYANG - Jangan lupa klik-klik [DI SINI], [DI SINI JUGA] dan [INI JUGA] tau kawan-kawan yang cantik-cantik dan kacak-kacak kalau nak tau lebih lanjut tentang Siri MCK ini.

- RiNdU yAnG pErGi... -

Dulu...
Aku punya ladang mawar merah yang luas
Aku menjaganya tiap detik
Penuh kasih sayang yang tak berbelah bahagi
Segenap jiwa ragaku tumpah padanya
Hendaknya biar ia subur hingga hujung nyawaku kelak

Bila 6 tahun usianya
Kulihat ada yang tak kena dengan mawar merahku
Lalu segera kutebar baja
Kusiram air tepat pada masanya
Biar bentuknya kembali ke asal
Aku tidak mahu ia mati
Aku tidak mahu melihat warnanya bertukar kecoklatan
Kerana aku terlalu menyayanginya
Sayangnya ia tetap juga begitu
Langsung tak mengerti hati ini

Kecewa, lantas aku biarkan ia kering
Hiduplah aku dengan hati yang walang
Walau sesekali mataku menjeling penuh kesal
Pada ladang gersang lagi kontang itu

Kini 6 tahun masa berlalu
Satu hari bajuku terkait duri di jalanan
Kuamati sungguh-sungguh dengan dada berselirat gentar
Mawar putih rupanya!
Berpaling lantas aku meninggalkannya
Tekadku tidak mahu menjadi peladang lagi
Tapi saat kaki menapak, hatiku sayu
Tak sampai hati membiarkan ia dibalut dingin malam
Lalu kubawa pulang

6 bulan usianya saat ini
Baru, masih terlalu baru barangkali
Namun... entah angin apa melanda aku tersadung akarnya
Tubuhnya kulihat condong sedikit
Lalu kutegakkan kembali dengan air mata
Walau jari pedih terkena duri, aku rela
Aku tidak mahu ia mati
Sayangnya, bila kulihat esok harinya
Ia tetap juga condong seperti semalam
Aku kembali rawan
Terasa aku seperti akan kehilangan sekali lagi
Tapi salah apa aku?
Padahal, aku benar-benar sayang pada mawar putih itu
Cumanya mawar putih itu tak pernah mengerti hati ini
Atau tak akan mengerti sampai bila-bila.

AA, 14 September 2006

*** PESANAN PENUH KASIH SAYANG - Puisi [bagi saya, mungkin hanya luahan perasaan bagi orang yang memang pandai berpuis] lama, sengaja ambil dari blog lama dan tepekkan di sini, hari ni sebab mood tak berapa elok, ;-)

- BuKaN mEmUjA bUlAn [16] -

“SAYA cuma kenangan masa kecil awak. Mungkin bagi awak, tak ada apa yang menarik pada kenangan tu. Sebab itu awak pergi, lepas tu awak langsung tak kembali. Awak terus lupa pada kawan baik yang awak tinggalkan. Awak langsung lupakan dia macam langsung tak ada erti.”

Perlahan, sangat perlahan Zalis mengungkapkan kata-kata. Namun Khilfie terasa wajahnya seakan-akan ditampar bertalu-talu. Benar kata Zalis, dia sudah lama lupa pada Zalis dan kenangan masa lalu mereka berdua. Zalis dan kenangan itu dirasakan langsung tidak ada kepentingan dengan dirinya. Kini setelah mereka kembali bertemu, dia mula meminta yang bukan-bukan pada gadis itu. Alangkah tidak malunya dia.

“Boleh saya tanya awak sesuatu Khilfie?”

Khilfie angguk perlahan. Pudar sinar di wajahnya kerana ada kesal bertapak.

“Pernah tak... pernah tak dalam 18 tahun awak pergi, awak ingatkan saya?”

“Saya...”

“Kalau awak tak ingatkan saya tak apa. Tapi sekurang-kurangnya, pernah tak awak ingat kenangan zaman kanak-kanak yang pernah kita tempuh dulu?” Hatinya tercalar. Melihat betapa beratnya mulut Khilfie menyusun kata, dia tahu Khilfie langsung tidak ingat padanya selepas meninggalkannya hari itu. Padahal dia meraung-raung seperti orang gila mengejar kereta Raudah yang kian menghilang. Namun tidak mahu lukanya kian berdarah, dia membangkitkan juga soal kenangan yang pernah mereka ada. Kalau Khilfie tidak ingat padanya, tidak mengapa. Tapi hendaknya janganlah Khilfie lupa pada kenangan mereka.

“Zalis saya.... saya...”

Zalis pejam mata rapat-rapat dengan luka yang seperti tidak mampu dijahit lagi. Dalam hati dia sangat berharap yang air matanya tidak akan tumpah di hadapan Khilfie. Biarlah luka itu tidak sampai pada Khilfie. Tapi kejamnya Khilfie! Sampainya hati lelaki itu melupakan semua yang berkaitan dengannya. Kalau benar Khilfie tidak ingat padanya dan kenangan mereka, kenapalah lelaki itu tidak berbohong sahaja supaya dia tidaklah sampai terasa sakit begini sekali. Sampai hati awak, Khlifie... sampai hati awak...

“Zalis maaf...”

“Awak dah nak balik kan?” tanya Zalis pantas. Entah kenapa saat ini dia tidak mahu mendengar apa-apa daripada Khilfie. Semua kata-kata yang keluar dari bibir lelaki itu terasa hanya membuatkan luka hatinya tambah dalam, dalam dan terus dalam. Sebelum Khilfie terus berkata-kata, biarlah dia bertindak mencantas.

“Belum. Saya masih nak ada di sini.” Biar malunya terasa, biar wajahnya memerah, dia tetap tidak mahu ke mana-mana. Mahu tetap duduk di hadapan Zalis dan mahu mendengar semua yang mahu gadis itu luahkan. Memang salahnya kerana lupakan Zalis. Lupa pada kenangan yang dicipta bersama-sama Zalis walaupun dia mengaku dulu dia sangat sayangkan Zalis. Selebihnya dia mahu mengorek keluar isi hati Zalis yang saat ini tidak lagi mempamerkan senyuman.

Lain yang Zalis harap, lain pula yang Khilfie mahukan. Sangkanya lelaki itu akan cepat-cepat pergi selepas terkelu lidah, tidak mampu menjawab pertanyaannya. Tapi Khilfie, degilnya tetap juga seperti dulu. Lelaki itu masih mahu bertahan meskipun memang bohong kalau Khilfie tidak melihat riak wajahnya yang berubah. Dia memang bukan pelakon yang hebat. Bahkan kalau boleh saat ini juga dia mahu meninggalkan lelaki itu. Tapi tidak juga dilakukan kerana dia tidak mahu Khilfie memikirkan yang bukan-bukan tentang dirinya. Lebih dia tidak ingin Khilfie tahu, rahsia hati yang berbelas-belas tahun disimpan sendiri.

“Kalau awak belum nak balik tolong tengok-tengokkan laptop saya. Saya nak pergi sekejap.”

Khilfie dongak wajah, memandang Zalis yang sudah pun menolak kerusi ke dalam. “Awak nak ke mana? Awak nak balik?”

Zalis geleng perlahan.

“Awak nak ke mana Zalis?” Khilfie sudah ikut bangun. Kalau boleh dia tidak mahu Zalis pergi begitu saja. Ada begitu banyak yang ingin dikatakan pada Zalis walaupun dia masih belum tahu harus memulakan kata dari mana. Paling penting dia mahu Zalis memaafkannya kerana pernah lupa pada Zalis. Padahal dulu dia sangat rapat dengan gadis itu.

“Saya akan datang sini semula. Tolong tengok-tengokkan laptop saya,” pinta Zalis sekali lagi.

Tidak sempat Khilfie menjawab, Zalis sudah mengatur langkah meninggalkan Restoran Seri Selera. Sedikit pun gadis itu tidak berpaling padanya walaupun Zalis tahu matanya memandang. Dia tiba-tiba rasa sangat kehilangan walaupun dia tahu Zalis akan kembali semula kerana masih ada barang-barang Zalis yang tertinggal di situ.
Inikah yang Zalis rasa saat dia melangkah pergi dulu? Ketika pergi pun dia langsung tidak pernah mengatakan yang dia akan kembali. Bahkan dia tidak pun memujuk Zalis walaupun dia melihat tangisan Zalis yang menjujuh-jujuh di pipi. Raungan Zalis juga berkali-kali menampar gegendang telinganya ketika itu.

Tidakkah Zalis rasa lebih kehilangan lagi sebab aku tak tinggalkan apa-apa pesan?
-------------------------------------------------------------------------------------------------
“Eh... ini laptop Kak Zalis kan? Kak Zalis mana?” tanya Ayun sambil membawa minuman yang dipesan Zalis. Turut dibawa Nescafe panas yang diminta Khilfie awal-awal tadi. Kepalanya berpusing ke kanan dan ke kiri mencari kelibat Zalis. Bimbang kalau-kalau Zalis marah dan meninggalkan restoran kerana dia lambat menghantar air. Bukannya dia sengaja, hanya hari ini dua orang pekerja ibunya bercuti dan mereka kekurangan kaki tangan.

“Kak Zalis marahkan saya ya?” tanya Ayun pada Khilfie walaupun dia sebenarnya baru pertama kali melihat lelaki itu.

Kepala Khilfie menggeleng. Hatinya masih terkilan kerana dia dapat merasakan betapa sedihnya Zalis bila tahu dia melupakan gadis itu.

“Dah tu Kak Zalis pergi ke mana sampai tinggalkan semua barang-barang dia. Tengok... blog dia pun terdedah macam tu aje,” bebel Ayun sambil mata memandang skrin laptop Zalis. Jelas tertera blog berwarna coklat cair yang isinya tersusun cantik. Dia memang tahu kewujudan blog Zalis itu kerana Zalis pernah memberikan alamat blog itu kepadanya. Itu pun setelah dia puas memujuk rayu Zalis dengan membuat muka sedih. Kalau tidak meminta simpati dengan cara begitu, pasti tidak akan dilayan Zalis.

“Kejap lagi dia balik sini semula.”

“Kak Zalis ni... mana pernah dia macam ni sebelum-sebelum ni. Main tinggal macam tu aje.” Ayun terus juga membebel. Kertas-kertas yang sedikit berselerak dicapai. Dia mahu mengemas sedikit meja yang terletak di sudut restoran itu kerana dilihat sedikit bersepah.

Khilfie senyum hambar. Geli hati melihat gadis muda seperti Ayun membebel mengalahkan murai tercabut ekor. Murai? Ditelan liur berkali-kali. Suatu ketika dulu dia pernah mengatakan Zalis meminjam mulut murai. Setiap kali dikata begitu, Zalis akan menangis mengadu pada ayahnya. Sudahnya ayahnya memujuk Zalis dengan mengatakan yang Zalis ada tahi lalat yang cantik di pipi. Selepas itu barulah Zalis tersenyum bangga, seronok dipuji ayahnya.

Kalau dia masih ingat kisah itu, bermakna dia masih ingat pada Zalis. Tapi kenapa dia hanya ingat selepas bertemu muka dengan Zalis? Ke mana kenangan itu bersembunyi selama 18 tahun kebelakangan ini?

“Tak payah kemas. Karang susah pula Zalis cari barang-barang dia.”

“Abang ni siapa?”

“Kawan dia?”

“Tak pernah nampak pun?”
Khilfie senyum lagi. Kali ini senyumannya tampak lebih ikhlas kerana Ayun berjaya mencuit hatinya. “Abang baru pindah ke sini. Tu... rumah kat hujung sana. Itulah rumah abang.”

Mata Ayun mengikut hala ibu jari Khilfie. Melihat beberapa saat sebelum kembali memandang wajah Khilfie. Memang dia ada dengar yang penghuni baru akan tinggal di situ, tapi tidak pula dia tahu siapa. Bahkan ada juga jemputan kenduri daripada tuan rumah itu, tapi dia tidak menunjuk wajah. Yang pergi hanya ibu dan ayahnya kerana dia menjaga restoran. Lantaran itu dia tidak kenal Khilfie.

“Oh... abanglah ya yang bertunang tu ya?” tanya Ayun bagaikan menyakat.

“Mana kamu tahu?”

“Tu, kat jari abang ada cincin,” usik Ayun terus. Terjuih bibirnya ke arah cincin yang tersarung di jari Khilfie.

“Kamu ingat semua orang pakai cincin ni dah bertunang ya?”

Dahi Ayun berkerut sedikit. “Jadi abang ni sebenarnya dah kahwin ya? Berapa orang anak abang?”

Ketawa perlahan Khilfie disebabkan Ayun yang banyak mulut. Gadis itu bersikap seperti agen CSI saja layaknya. Lepas satu, satu lagi disoal tanpa henti. Dia percaya Ayun tidak akan berhenti bertanya selagi tidak berpuas hati dengan setiap jawapan yang diberikan.

“Eh... pandai-pandai aje kamu kata abang ni dah kahwin. Ada anak lagi! Kalau saham abang jatuh, kamu kena bertanggungjawab. Kalau tak ada orang nak kat abang, kamu kena carikan abang calon isteri sebab kamu yang buat perempuan takut nak dekat dengan abang,” gertak Khilfie sambil membuat wajah serius. Manalah tahu dengan cara itu dia mampu mengunci mulut Ayun.

Namun wajah Ayun tetap juga selamba. Kata-kata berupa gertakan itu seperti tidak berkesan langsung. “Abang jangan risau, saya dah ada calon untuk abang kalau abang kena reject,” katanya selamba. Ada senyuman nakal bergayut di bibirnya.

“Siapa?”

Kening Ayun terjongket. “Kak Zalis sebab sepanjang saya kenal dia, dia kosong. Dia baik tau, bang... untung abang kalau dapat dia. Percaya cakap saya, tak ada yang lebih baik daripada Kak Zalis dekat-dekat sini.”

PESANAN PENUH KASIH SAYANG - Ini untuk yang tak pernah atau tak sempat menjengah [DI SINI]. Sudi-sudikanlah berkenal-kenalan dengan Zalis & Khilfie. Bagi yang dah baca di rumah sana, boleh aje kalau nak baca lagi. Terima kasih berjuta-juta lemon sebab sudi mencuri masa mengikuti kisah ini. Jasa kalian dikenang sangat-sangat-sangat, ;-)

- BuAh HaTi SaYa AdA kAt KoReA -

Hoho... macam best aje tajuk N3 hari ni kan? Kat mata automatik macam terbayang-bayang orang mata sepet yang kulitnya putih-putih cantik. Bila senyum, nampak macam cute aje. Rambut pulak macam panjang-panjang sikit macam pelakon yang selalu kita nampak kat dalam TV. Cuma... yang tak bestnya, yang ada di Korea tu bukan buah hati sayalah. Tapi buah hati subang saya.

Subang saya? Agaknya tentu ada yang tertanya-tanya, apa maksudnya subang saya ada buah hati kat Korea kan? Atau pun... saya ada saudara mara nama Subang dan saya mahu berkisah tentang dia? Tapi tidak! Ni bukan cerita fasal orang nama Subang. Ni cerita tentang subang yang melekat di telinga, subang yang mesti dipakai kedua-dua sekali, di telinga kiri dan kanan. Bukan hanya kanan semata-mata, atau kiri semata-mata, atau tak juga di hidung, lidah, pusat dan mana-mana aje yang subang tu boleh hidup.

Ini kisah tentang subang saya, subang di telinga saya. Tapi soalnya, subang saya tu... ada buah hati ke? Boleh ke subang ada buah hati? Ada dan bolehlah! Telinga saya kan ada dua, ada kiri dan juga kanan. Jadinya, subang saya pun mesti ada dua, yang kiri, pasangannya kanan. Hanya... sekarang ni subang yang dibeli abah saya 10 tahun lepas dah tak ada buah hati lagi. Buah hati dia dah tinggal di Korea, negara empat musim itu sejak penghujung tahun 2009 lagi. Bukanlah saya sengaja nak tinggalkan dia, nak pisahkan mereka. Saya tak sekejam itu dan saya tak sebaik itu untuk buang-buang barang berharga macam tu aje. Cumanya, saya ‘terhilangkan’ dan hanya perasan yang di telinga saya hanya ada satu subang sehari selepas balik ke Malaysia dalam percutian ‘jalan-jalan menghabiskan duit’.

Masa tu rasa frust sangat sebab subang tu ada sentimental value yang tersendiri. Itu pemberian abah saya yang saya sangat sayang [lepas ni dah tentu tak dapat sebab dah kerja]. Pernah hilang berkali-kali, tapi akhirnya jumpa juga macam dalam kisah [DI SINI]. Cumanya, itu di rumah, memang boleh dicari. Tapi kalau hilang di Korea, nak cari macam mana? Takkanlah saya kena patah balik semata-mata kerana subang? Dah tu, nak cari di mana? Jeju Island? Nami Island? Seoul? Sudahnya... saya hanya pasrah. Tapi yang buat saya kesal, masa sikat rambut di Korea tu saya tengok kedua-dua subang yang masih melekat di telinga. Hati berdetak, “Subang ni macam nak hilang aje”. Ternyata detak hati saya memang tak silap. Hem... tak apalah memang jodoh saya dengan subang tu hanya setakat itu. Dan kini, subang yang dah tak ada pasangan tu kekal bersama saya. Harap dia pun tak tinggalkan saya macam pasangan dia yang dah jadi warganegara Korea tu.

Tapi yang pasti, ada umur, ada rezeki... saya mahu ke Korea lagi sebab saya sangat sukakan Korea. Setahun lebih masa berlalu, saya masih dapat rasa segarnya udara di sana, sejuknya cuaca di sana dan masih melihat bayang-bayang tempat-tempat yang pernah saya sampai. Harap sangat masih ada kesempatan. Jadi... sebab saya tak pernah masukkan gambar semasa di Korea di sini, hari ni saya nak masukkan. Kalau dah basi pun, boleh kan? Tak ada bau kan? Dan hendaknya, janganlah ada yang muntah ya, ;-)







- Harap satu hari yang masih belum pasti lagi, dapatlah saya dating kat sini dengan orang tersayang. Doakan saya ya, kawan-kawan sebab itu jugalah yang saya cakap masa ada kat sana dulu. Mana tau berkat doa semua, saya betul-betul dapat datang lagi. Kalau tak dapat tu, tak ada rezekilah tu. Kukuikui -





- HaRi BaRu, BuLaN bArU & pErMuLaAn BaRu -

Hai kawan-kawan yang cantik-cantik dan kacak-kacak! Kalau rasa diri tak cantik atau tak kacak pun tak apa sebab cantik dan kacak itukan sifatnya abstrak? Tak cantik dan tak kacak di mata satu orang, tak semestinya sama di mata 3 atau 4 atau 10 orang yang lain. Hanya yang pasti, tiap orang itu biar bagaiman rupanya, tetap ada keistimewaan tersendiri yang mungkin tak ada pada orang lain. Jadinya, silalah berbangga dengan diri sendiri ya. Tapi ingat berbangga dengan diri sendiri bukannya bangga diri sebab itu namanya riak dan ALLAH tak suka orang riak tau.

Tengok tajuk dalam N3 ni, macam gempak kan? Macam saya simpan satu azam yang BESAR kan untuk dicapai tahun ni? Tapi sebenarnya tak ada pun. Bukannya saya jenis yang tak berazam, tidaklah macam tu sekali. Hanya tahun ni saya tak tahu nak letakkan azam apa untuk dicapai. Bimbang azam yang nak dicapai terlalu tinggi sedangkan tangan yang hendak mencapai ternyata tak sampai. Makanya, tahun ni saya memutuskan yang saya tak mahu simpan azam yang terlalu tinggi dan besar. Kalau ada pun biarlah yang kecil-kecil dan sebab terlalu kecil, jadi tak sampai pulak nak kongsi kat sini. Saya simpan dalam hati ajelah ya, simpan untuk makluman diri sendiri.

Sebenarnya, N3 ni saya hanya nak ucapkan selamat tahun baru pada semua, tahun baru 2012, tahun yang masih begitu baru dan tentu aje tahun yang bakal menyaksikan jatuh bangun kita sepanjang melalui tahun yang entah apa dijanjikan untuk kita. Seperti tahun-tahun dulu, saya yakin dan percaya yang perjalanan melewati tahun ni tak akan mungkin lurus. Bengkang-bengkok, pasti ada di mana-mana kerana hakikat hidup memang begitu. Tak ada dan tak akan ada manusia yang tak ditimpa ujian. Sebabnya, manusia dan ujian untuk didatangkan bersekali sebagai pakej lengkap.

Hanya saya berharap, hebat macam mana pun dugaan yang datang, saya dan kawan-kawan mampu terus bertahan. Tahun-tahun dulu tentu aje dah menjadi guru yang paling baik untuk kita. Saya percaya, kita semua cukup kuat untuk menempuhi apa yang didatangkan pada kita. Tapi kalau memang kita lemah dan terasa seperti dah tak mampu, sambutlah huluran tangan yang memang disua untuk kita. Pegang ketat-ketat dan insya-ALLAH kita tentu dapat bangkit kembali seperti biasa. Kalau bagi penulis, komen itu hanya makanan biasa, ujian pula makanan yang juga biasa untuk yang dinamakan manusia.