- MEREKA DATANG LAGI… -

April 5, 2012

Kredit kat Kak Fatin sebab ni gambar dia, saya ada juga tangkap gambar hari tu, tapi... entah kat mana silapnya, jadi tak cantiklah pulak, ;-)

Terasa macam agak lama saya tak bercerita tentang keluarga saya sebab akhir-akhir ni yang banyak saya kisahkan tentang hidup kalut yang saya jalani sejak kebelakangan ni, novel baru berjudul TERUS CINTAI AKU, juga tentang drama CINTA BUAT EMELDA yang diadaptasi daripada novel KASIH ANTARA KITA. Sedangkan saya sangat suka bercerita tentang mereka semua. Bukanlah terlupa tentang mereka, tidak dan tentu aje tidak mungkin kerana sepenting mana pun novel-novel saya, seexcited mana pun saya dengan novel yang sudah menjadi drama itu, keluarga saya tetap duduk di takhta teratas dalam hati saya. Macam lagu Si Najwa Latif tu, Carta Hati.

Berbalik pada cerita keluarga saya, baru-baru ni mereka datang lagi ke rumah saya yang saya dan kawan-kawan gelar Rumah Pink. Tak macam biasa, kali ni tak semua ikut datang. Keluarga Angan dah Kak Long tak dapat datang sebab Angah tak dapat cuti gara-gara baru aje balik Sabah bulan lepas. Kak Long pula, sebab abang ipar saya agak sibuk akhir-akhir ni, maka diam-diam aje duduk kat rumah. Kalau ditanya pada anak-anak buah saya yang tinggal, terutamanya Kakak dan Adik, memanglah diaorang menggeletek nak ikut. Itu pun memang sengaja saya tak bagitahu pada mereka berdua yang Atuk dan Nenek datang rumah saya, kalau tak… mesti ada yang menangis guling-guling sebab frust. Dan saya, memang sangat suka tengok Si Adik bila nangis sebab dari kecik sampai usia 10 tahun, cara dia menangis memang lain daripada yang lain, sekali pandang tak ubah macam puntianak mengilai tak dapat darah. Yalah… sambil menangis dia menjerit dan kami yang mendengar hanya ketawa-ketawa, mengejek dia.

Mereka sampai rumah saya dekat-dekat pukul 2.00 pagi sebab adik saya balik kerja lambat. Bila dah sampai mulalah kalut mencari makan. Awalnya nak masak walaupun saya memang tak ahli dalam bab masak-memasak ni. Tapi bila kakak ipar saya kata tak payah masak sebab mak bawak banyak makanan, saya terus simpan bahan-bahan yang nak dimasak. Yang sempat saya masak hanya kerang dan goreng ikan aje. Itu pun sebab dah termasak, kalau tak semua sekali saya simpan. Kembang setaman hati saya bila tengok diaorang makan kek yang saya beli daripada kawan kat pejabat dengan penuh selera. Sungguh… kek tu sangat sedap, apa lagi bila di atasnya tertulis perkataan, “Welcome to Rumah Pink”. Kenapa Rumah Pink? Sebab… rumah sayakan bajunya warna pink.

Pagi Sabtu tu anak-anak buah saya berselang-seli buat konsert macam selalu. Kejap-kejap ada yang menjerit sebab kena cubit, kejap-kejap ada yang menjerit sebab kena gigit dan kejap-kejap ada pula yang main tarik-tarik rambut. Tapi jangan salah faham ya, bukan kami yang dewasa ini yang cubit, gigit dan tarik rambut anak-anak kecil yang comel tu, tapi diaorang mencubit, menggigit dan menarik rambut sesama sendiri. Saya tengok kadang-kadang ikut senyum dan ketawa, kadang-kadang pula saya menjerit sama macma diaorang. Sakit hati sebab tak henti nak bergaduh. Tapi sebenarnya tak guna pun menjerit sebab mereka cuma tenang untuk masa beberapa detik sebelum kembali menjerit dan menangis.

Siap semua, kami bergerak ke Port Dickson sebab saya ada Sesi Temu Mesra Penulis di Kolej Uniti pukul 11.00 pagi sampai 2.00 petang. Sampai-sampai aje, saya diberitahu tempat yang sepatutnya saya dan kawan-kawan duduk ditimpa hujan, jadinya kena pindahkan ke dalam dewan. Saya pun berborak ajelah dengan Kak Haiza Najwa dan Kak Sri Diah. Agak lama lepas tu baru bergerak ke dewan. Mulanya macam tak ada yang datang, tapi lepas makan pembaca mula datang. Sayangnya saya tak boleh lama sebab nak bergerak ke Rembau rumah ayah kakak ipar saya. Dan saya rasa terharu sebab tiba-tiba masa duduk dekat khemah luar dewan, ada orang tanya saya, “Aleya Aneesa ke?” Saya angguk aje sebab saya dah lama juga duduk kat situ tunggu anak-anak buah saya entah main permainan apa. Yang tanya pulak tu ayah kepada salah seorang remaja perempuan. Di tangan remaja tu ada novel HANYA DIA TAHU.

Kemudian kami bergerak ke Rembau, singgah duduk, makan, borak-borak dan anak-anak buah saya gaduh-bergaduh lagi. Kemudian kami meneruskan kembali perjalanan balik ke rumah saya. Mulanya plan nak ke mana-mana tapi sebab Abah saya macam tak sihat, kami singgah ke Gerai Sup Meletop dekat-dekat rumah sewa saya dulu. Entahkan disampuk apa, memang keluarga saya sangat suka makan kat sana. Kalau tak banyak kali pun, sekali pun cukuplah singgah, selagi tak pergi, selagi itulah bising.

Ahad pun duduk rumah aje sebab masing-masing penat, tapi anak-anak buah saya terjun kolam dengan senang hati. Petangnya, sebuah kereta bertolak balik ke JB sedangkan sebuah lagi tinggal dan yang turut tinggal Mak dan Abah saya. Dan saya, tentulah orang yang paling gembira bila Mak dan Abah saya tak jadi balik. Ikutkan hati saya nak diaorang duduk lama kat sini. Tapi… sekarang ni Abah saya dah tak sesihat dulu, saya tak berani nak nak tahan mereka berdua. Bimbang kalau-kalau saya akan menyusahkan diaorang.

Tapi Isnin tu, malam… rela dalam paksa saya lepaskan juga Mak dan Abah saya balik. Kalau selalu saya nangis bila diaorang balik, kali ni saya tak nangis. Bukanya saya tak sedih, tapi… saya tak nak tangisan saya buat Mak dan Abah saya berat hati nak tinggalkan saya. Berbanding perasaan sendiri, saya lebih pentingkan kesihatan Abah saya. Kalau di JB, abang-abang dan adik-adik saya ada, tapi… di sini hanya ada saya sorang. Kalau tiba-tiba Abah tak sihat, maunya saya yang pengsan sebab panik. Bukanlah sakit yang teruk sangat, tapi mungkin sebab dah biasa sangat buat kerja berat masa muda, bila tua sakitnya ketara.

Esoknya, Mak saya kata yang masa dalam kereta, Abah saya cakap kat dia, “Tak sampai hati nak balik tinggalkan dia”. Dan saya… akhirnya banjir hanya dengan ayat itu. Cengeng kan? Ya, memang cengang sebab akhir-akhir ni, Abah saya seperti tak boleh kalau tak tengok saya dalam jangka masa yang lama. Bahkan dia sanggup suruh ipar-ipar saya telefon saya suruh balik. Kata dia, "Balik sehari pun tak apa". Lebih buat saya sebak, bila semua orang dalam rumah kata muka Abah nampak berseri-seri bila saya balik dan selera makan dia pun kembali pulih. Sungguh... saya sangat sedih bila dengar!

Sekarang ni, yang saya harapkan sangat-sangat, biarlah Mak dan Abah saya sentiasa diberikan kesihatan yang baik. Biarlah umur mereka dipanjangkan ALLAH sebab… ada begitu banyak yang mahu saya berikan pada mereka berdua. Membalas jasa mereka mungkin saya tak mampu, jadinya… saya hanya mahu memberikan apa yang saya terdaya, ;-)

4 comments:

  1. Sedihnya pula baca entri awak nie... teringat pula ayah akak kat rumah pun selalu sakit2 sekarang nie...walaupun duduk serumah... x per banyak2 berdoa untuk mereka berdua... terima kasih juga tempah kek ngan akak...

    ReplyDelete
  2. Sebaknya... banyak2 berdoa buat mereka berdua semoga diberikan kesihatan yang baik.. terima kasih sudi wat tempahan kek ngan akak...lepas nie cuba yang lain pulak yer...heheheh

    ReplyDelete
  3. Terharu baca n3.....
    Sbb tu klu kita baca semua2 novel Aleeya mesti diselitkan ikataan kasih sayang keluarga.
    "Terus Cintai Aku" bila akak baca teringat n3 Aleya yg lalu pasal abg2 Aleya.....
    Bagi akak kekuatan cerita "Terus Cintai Aku" terletak pada hubungan keluarga yg sgt rapat dan memahami diantara satu sama lain.

    ReplyDelete
  4. : kak fatin - orang tua, kesihatan tak tentu, kejap ok kejap lg dh tak ok. bila tengok diaorg tak sihat, hati jadi tak sampai pulak. mujurlah sekarang ni dah ok sikit. kek... dh semestinya sb kte ni mmg hantu kek...

    : kak noor - tulah, sy x reti nk buat pasal cinta aje dr mula sampai habis. mungkin sb sy mmg rapat dengan adik-beradik dan ipar-ipar, sebab tu cerita saya selalu ada kaitan dengan hubungan kekeluargaan, ;-)

    ReplyDelete