- CINTAKU TAK MAHAL [BAB 1] -

July 13, 2012

KASUT hitam di dalam rak putih dipandang lama. Penuh minat. Terkesan seperti ada yang tak kena, lantas kasut hitam itu ditarik keluar. Kemudian dibawa semakin dekat dengan matanya. Sah. Kasut yang semalam masih bertumit elok, masih cantik tersarung di sepasang kakinya, hari ini sudah tak lagi bertumit. Kalau sebelah saja hilang tumitnya, masih boleh diterima. Tapi kalau dua-dua belah tak ada, pasti ada yang tak kena.

Memandang kembali ke dalam rak yang hampir menyamai ketinggiannya, rengusan kasar terbit dari ulas bibir Nadra. Seraut wajah sinis terbayang-bayang di ruang matanya. Sakitnya hati bukan kepalang!

“Kasut aku, kasut kesayangan aku,” kata Nadra sebak bercampur geram. Tetap juga menatap kasut di tangan.

Beberapa saat kemudian, kasut yang sudah cacat itu diletakkan kembali ke dalam rak. Kasar saja tingkahnya kerana ketika ini dia membayangkan kasut kesayangannya itu melayang di atas kepala Idlan. Ini bukan kasut pertama yang dirosakkan si adik ipar bertuah itu tapi kasut keempat. Sejak tiga bulan lalu, dia asyik berulang-alik ke kedai kasut. Sedangkan dulu, dia hanya akan ke kedai kasut bila kasutnya sudah benar-benar tidak boleh digunakan kerana terlalu kerap dipakai.

Menolak kuat pintu rak yang langsung tak bersalah, dia berpusing dan mengatur langkah. Besar-besar langkahnya, malah anak-anak tangga dilangkau sekali dua. Dalam keadaan hati membara, dia jadi lupa bagaimana caranya hendak menjaga keselamatan. Bertembung dengan Raqib di anak tangga paling atas pun, dia buat-buat tidak nampak. Terus juga melangkah menuju ke bilik Idlan.

“Idlan!” Kuat nada suara Nadra memecahkan suasana pagi yang sedikit hening. Turun naik nafasnya kerana geram bercampur penat memanjat tangga. Lupa juga yang dia sepatutnya sudah bertolak ke pejabat. Sudah tak mampu lagi terus bersabar. Kalau asyik dia yang terkena, sampai bila dia boleh bertahan?

Idlan yang sedang mengulang kaji pelajaran di meja belajar, berpaling. Melihat wajah merah padam Nadra, dia tersenyum. Sinis. Yakin, usaha yang dibuat ketika semua orang sedang tidur malam tadi membuahkan hasil. Kalau tak, tak mungkin kakak iparnya itu muncul di muka pintu biliknya awal pagi begini. Siap dengan pakaian kerja. Sungguh, dia puas melihat wajah menyinga Nadra. Lagi wajah putih bersih itu memerah lagi darjah kepuasannya bertambah.

“Ya, ada apa-apa yang Idlan boleh tolong kakak pagi-pagi buta macam ni?” tanya Idlan dengan wajah selamba. Ada sindiran dalam nadanya, walaupun kelihatan seperti tak berperasaan.

“Idlan buat apa dengan kasut kakak?” tanya Nadra geram.

“Idlan buat apa?”

Semakin meningkat darjah kemarahan Nadra. Geram bila Idlan yang bersalah sengaja buat-buat tidak bersalah. Macam dia yang datang menyerang adik iparnya itu tanpa sebab yang kukuh. Macam mengganggu ketenteraman Idlan yang sedang belajar pun ada juga. Padahal kalau bukan sebab Idlan yang merosakkan kasutnya, dia pun tidak mahu mencari fasal dengan Idlan.

Kalaulah Idlan itu adik kandungnya, memang berbirat pipi itu ditampar. Biar lain kali Idlan lebih beringat. Lebih menghormati dia yang lebih tua, apalagi kini berpangkat kakak ipar. Bukannya adik ipar Idlan.

“Kenapa Idlan patahkan tumit kasut kakak? Kenapa Idlan rosakkan kasut kakak sekali lagi?”

Semakin sinis raut wajah Idlan. Namun jauh di sudut hati, dia rasa sangat-sangat gembira pagi ini. Kalau Nadra tak ada di hadapannya, mahu juga dia ketawa berguling-guling sebab geli hati. Dendamnya pada Nadra yang semalam kelihatan tenang selepas melakukan kesalahan padanya berbalas juga. Bukannya susah sangat pun hendak membangkitkan kemarahan isteri abangnya itu. Mudah saja. Tapi siapa yang suruh Nadra mencari fasal dengannya? Kan, dah susah sendiri!

“Kakak ada bukti ke nak tuduh Idlan ni? Kakak nampak ke Idlan yang patahkan tumit kasut kakak tu? Kalau kakak tak ada bukti, tak nampak... jangan nak tuduh-tuduh Idlan. Fitnah orang tu berdosalah kakak. Lebih besar daripada dosa membunuh orang,” kata Idlan dalam nada tenang. Sengaja mempamerkan tingkah begitu demi memancing kemarahan Nadra.

“Tak payah bukti pun kakak tahulah memang tu kerja Idlan! Bukannya sekali pun Idlan rosakkan kasut kakak.”

Dahi Idlan berkerut. Kemudian dia ketawa perlahan tapi tetap sinis nadanya. “Abang Raqib... kahwin dengan bomoh ke apa ni? Kalau bukan bomoh tak mungkin boleh tahu apa yang berlaku walaupun tak nampak.”

“Kakak tak main-main tahu!”

“Ada ke Idlan kata yang kakak tengah main-main? Ada Idlan sebut perkataan main-main ke tadi?”

“Apa yang Idlan tak puas hati sangat dengan kakak ni?” tanya Nadra masih dalam nada yang tinggi. Darjah kemarahannya masih belum surut. Mujur di rumah hanya ada dia, Idlan dan Raqib. Kalaulah ibu mentuanya ada, entah apa anggapan wanita itu padanya. Tentu malu dia kerana bertingkah seperti budak-budak sedangkan dia sudah terlalu dewasa. Malah sudah pun bergelar isteri Raqib sejak tiga bulan lalu.

Tapi soalnya, Idlan sudah keterlaluan. Makin dia diam, makin seronok saja adik Raqib itu membulinya. Kalau tak menyindirnya, habis barang-barangnya dirosakkan Idlan. Tak mustahil satu hari nanti kepalanya bakal dipijak Idlan.

“Idlan tak kata apa pun kan?”

“Berhenti berlakonlah Idlan! Kalau betul Idlan tak puas hati dengan kakak, bagi tahu aje terus terang. Tak payah nak serang-serang kakak dari belakang macam ni!” kata Nadra bagaikan menengking.

Memang tidak masuk akal, dia yang berusia 27 tahun bertengkar dengan remaja lelaki berumur 16 tahun. Sudahlah begitu, remaja tersebut adik iparnya sendiri. Adik kepada suaminya. Namun remaja yang satu ini lain daripada tingkah remaja yang lain. Nampak lembut pada wajah, tapi dalam hati sarat dengan dendam kesumat. Selagi tak dapat membalas rasa sakit hati padanya, selagi itulah akan dicuba sedaya upaya. Sedangkan ada masa-masanya, dia tidak sengaja dengan apa yang dilakukan. Malah dengan rendah hati memohon maaf kerana dia tahu dia bersalah.

Tak tahu di mana silapnya. Dia di mata Idlan, tak pernahnya betul. Setiap masa jika Idlan ada, pasti ada saja yang tidak diingini berlaku. Mujur adik iparnya itu hanya pulang ke rumah pada hujung minggu. Kalau Idlan tak duduk di asrama, mungkin ketika ini dia sudah pun tinggal di Tanjung Rambutan gara-gara tingkah Idlan.

“Sebenarnya kakak yang tak puas hati dengan Idlan kan? Sebab itu pagi-pagi macam ni pun sanggup serang Idlan. Padahal kakak dah tau dah yang Idlan tengah belajar,” provokasi Idlan bagaikan mengejek.

Terjegil mata Nadra. Idlan memang kurang ajar!

“Idlan yang rosakkan kasut kakak. Idlan yang patahkan tumit kasut kakak. Kalau tak, kakak pun tak naklah datang bilik Idlan ni. Idlan ingat kakak suka sangat ke kacau masa Idlan macam sekarang ni? Ingat kakak dah tak ada kerja lain ke?”

“Tapi kakak tak ada bukti kan? Kakak tak tahu ke kalau kat mahkamah, kakak tak boleh main tuduh-tuduh macam sekarang ni? Silap-silap kakak yang kena saman nanti.” Sekali lagi Idlan menunjukkan kepandaiannya. Sengaja mengenakan Nadra yang nampak terlalu beremosi hanya gara-gara sepasang kasut.

“Idlan sengaja nak balas dendam pada kakak sebab kakak terpijak kasut sukan Idlan semalam kan? Kakak bukannya sengaja pun. Berapa kali kakak nak cakap pada Idlan yang kakak terpijak? Kalau kakak tak minta maaf tak apa juga tapi kakak dah minta maaf banyak kali. Apa lagi yang Idlan nak dendamkan pada kakak?”

Penekanan pada perkataan terpijak, jelas kedengaran di telinga Idlan. Tapi dia tidak peduli lagi. Kasut itu, kasut kesayangannya. Kasut hadiah hari lahirnya yang diberikan Raqib tahun lepas. Sedikit kotor pun tidak pernah dibiarkan, apalagi kalau sudah tercap seluruh tapak kasut Nadra.

Mata Nadra bukannya sepet, malah masih terletak elok di tempat asal. Tidak cukup dengan itu, cermin mata pun kakak iparnya tidak pakai. Tapi tetap juga tak nampak kakinya yang mengenakan kasut sukan berdiri di sisi. Kalau kakak iparnya rabun atau buta, dia masih dapat menerimanya. Sudahnya kerana marah dengan apa yang berlaku, dia tidak jadi mengikut Raqib dan Nadra menonton wayang sedangkan dialah yang beria-ia mengajak Raqib menonton filem The Hobbit itu.

“Tuduh lagi! Entah-entah kakak sendiri yang rosakkan kasut tu tapi tak nak mengaku. Sengaja nak letakkan kesalahan pada Idlan. Bukannya Idlan tak tahu yang selama ini kakak selalu kenakan Idlan. Entah apa yang kakak tak puas hati sangat dengan Idlan, Idlan memang tak tahu. Dengki benar!” tuduh Idlan beria-ia. Tak mungkin dia mahu mengaku selepas melakukan kesalahan.

Aku yang tak puas hati dengan dia, atau dia yang tak puas hati dengan aku? Aku dengkikan dia?

Nadra sungguh-sungguh tidak dapat menerima tuduhan Idlan.

“Semalam kakak masih pakai kasut tu. Sikit pun tak rosak. Tapi hari ni dah rosak. Dua-dua belah tumit dia tak ada. Mana ada orang lain dalam rumah ni selain daripada kita berempat. Tak mungkin umi nak buat kerja tak berfaedah tu. Takkanlah abang Idlan pula yang pergi cabut dua-dua tumit kasut tu sedangkan dia yang belikan kasut tu untuk kakak?” marah Nadra panjang lebar.

Entah apa yang ada dalam hati Idlan, dia sungguh-sungguh hendak tahu. Tapi tetap juga gagal kerana Idlan tidak pernah berterus terang. Bukannya tak pernah ditanya, Idlan yang tak mahu menjawab. Sengaja mengelak bila diajak untuk berbicara dari hati ke hati supaya hubungan mereka lebih baik daripada sebelumnya. Kalau betul dia yang bersalah, dia akan cuba memperbaiki kesalahan yang dilakukan supaya tak berulang lagi.

Sejak dia masih bergelar kawan kepada Raqib, sampai sudah menjadi isteri, Idlan tak pernah suka padanya. Hanya, dulu tidaklah teruk sangat. Malah tahap tidak suka Idlan semakin meningkat sebaik saja dia berpindah ke rumah ini. Rumah yang sudah dianggap sebagai syurganya kerana di sinilah dunianya. Dia mahu menjadi isteri dan menantu yang baik. Kalau boleh, mahu juga menjadi kakak ipar yang baik.

Cumanya, bagaimana dia hendak menjadi kakak ipar yang baik kalau Idlan tak pernah menerima dia sebagai kakak ipar? Tak pernah memberikan peluang padanya untuk membuktikan yang dia bukan hanya boleh menjadi kakak ipar semata-mata, malah dia boleh juga menjadi kawan yang baik buat adik iparnya.

Idlan terdiam. Kenyataan yang kasut hitam itu dibeli Raqib, menyakitkan hatinya. Kalau dia tahu abangnya yang beli, awal-awal dulu kasut itu dirosakkan biar kakak iparnya membeli kasut baru.

“Idlan tahu tak, kakak sayangkan kasut tu sebab itu hadiah daripada abang Idlan. Kalau betul Idlan nak balas dendam pada kakak, Idlan rosakkan barang-barang kakak yang lain. Tapi... bukan kasut tu,” kata Nadra. Kali ini nada suaranya merendah sendiri. Dia berundur ke belakang dan tersandar di dinding. Keluhan kesal dilepaskan perlahan. Berterusan menatap muka tanpa perasaan milik Idlan, dia lelah sendiri. Sedih kerana sejak menjadi isteri Raqib, hanya dia yang berusaha menjaga hati dan perasaan Idlan sedangkan adik iparnya itu tetap juga tidak berubah. Hendak melemparkan senyuman padanya pun payah, jauh sekali melayan kata-katanya.

Dia buntu. Tidak tahu cara apa lagi yang harus dilakukan demi merapatkan hubungan mereka yang berjarak.

“Idlan tak nak tahu!” kata Idlan keras.

“Idlan kena tahu supaya lain kali Idlan tak bertindak yang bukan-bukan!” Mendengar nada suara Idlan yang tadinya selamba berubah keras, darahnya naik kembali.

“Idlan nak buat apa pun itu Idlan punya suka. Kakak tak ada hak nak larang Idlan sebab ni rumah umi Idlan. Kakak bukannya siapa-siapa di sini. Orang luar!”

Rumah umi? Bukan siapa-siapa di sini? Orang luar?

Mata Nadra berkaca tiba-tiba dengan kata-kata itu. Tidak menyangka Idlan tergamak menggores hatinya sampai begitu sekali. Begitukah anggapan Idlan padanya selama ini? Hanya orang luar! Padahal, dia awal-awal lagi sudah mengisytiharkan pada dirinya yang Idlan itu adiknya. Bukan adik ipar tapi adik yang tarafnya menyamai adik kandung. Terlanjur dia sendiri tidak punya adik. Yang dia ada hanyalah Fawwaz semata-mata. Hanya alongnya itu saja yang dia ada sekarang ini. Tapi Idlan? Adik Raqib itu hanya menganggap dirinya bukan siapa-siapa.

“Kakak... kakak ipar Idlan. Bukan orang luar,” kata Nadra perlahan. Hampir-hampir tidak kedengaran. Hatinya yang tadinya sarat dengan kemarahan, bertukar sedih. Merenung dalam-dalam ke muka Idlan, dia menggeleng kesal. Kemudian dia berpaling. Melihat sekujur tubuh Raqib berdiri di muka pintu, sedihnya jadi berkali-kali ganda. Terasa tewas walaupun belum habis berjuang.

“Iha dah kata yang dia tak pernah terima Iha dalam keluarga abang. Tapi... abang tak pernah percaya. Abang kata Iha suka anggap yang bukan-bukan. Abang kata Iha suka besar-besarkan keadaan. Sekarang ni abang dah dengar sendiri kan apa Idlan kata tadi?”

Dia terus berlalu. Hatinya luruh berkeping-keping.

“Iha!” Raqib memanggil, namun Nadra langsung tidak berpaling.

5 comments:

  1. nice story... tunggu nukilan seterusnya pula..
    eheh..suka baca story akak..=D

    ReplyDelete
  2. terima kasih, terus berikan sokongan ya... ;-)

    ReplyDelete
  3. sian nye kat fariha,nape idlan sanggup wat kakak ipar cam tu!!!

    ReplyDelete
  4. Eeeiii... sakitnya hati dengan idlan tu. Melampau!

    ReplyDelete
  5. tertanya-tanya kenapa idlan tak suka nadra sejak nadra berkawan dengan Raqib..

    ReplyDelete