-Sayang Nenekku Sayang (I)-

December 22, 2009

Hari ni, hari ketiga nenek pergi kepada Pencipta Yang Abadi. Perasaan aku... ALLAH saja yang tahu. Masa menaip n3 ni pun mata terasa bergenang dengan air. Kalau ditanya pada hati, sampai ke saat ni aku rasa tak percaya yang satu-satunya nenek yang aku ada dah tinggalkan aku dan seluruh keluarga aku yang tentunya sangat sayangkan nenek. Aku benar-benar tak percaya sebenarnya.

Malam 20 Disember 2009, balik dari berkelah kat Tanjung Leman, aku tengok Chik Oja sapu sampah kat beranda rumah nenek. Hati aku tiba-tiba bergetar, ‘Kenapa Chik Oja balik hari Ahad?’. Kalau betul mak cik aku nak balik, tentu hari Jumaat dah sampai sebab cuti awal Muharam. Keluar kereta, terus aku pergi dapatkan dia, “Kenapa balik?” Pertanyaan tu memang agak kurang ajar, tapi masa tu aku memang dah tak tentu arah. Hati rasa tak sedap tiba-tiba sebab yang ada dalam kepala aku hanya nenek, walaupun setahu aku nenek cuma demam biasa. Tak ada apa yang perlu dirisaukan.

“Mak Endek sakit!”

Mak Endek sakit? Ya ALLAH... aku tahu mesti ada yang tak kena. Kalau setakat demam biasa, Chik Oja tentu tak akan balik. “Ucu telefon tadi.” Rasa tak tertarik nafas. Selama ni, nenek yang kami panggil Mak Endek tu tak pernah sakit teruk, bertubuh kecil tapi dia selalu sihat dan kuat walaupun dah berumur 76 tahun. “Dah pergi klinik dengan Ucu dan Chik Anom.”

Malam tu, kami tunggu nenek balik dari klinik depan rumah ramai-ramai. Kalau hati aku tak sedap, hati kaum keluarga yang lain tentu aje sama macam hati aku. Kenapa kali ni aku rasa takut, aku sendiri tak tahu. Tapi memang jauh kat sudut hati aku, aku rasa benar-benar takut, takut kehilangan. Bila kereta sampai, rasa macam dah tak sabar-sabar. Merah mata aku masa tengok tubuh kurus nenek dicempung Chik Anom. Kami terus ikut nenek yang dibawa masuk dalam bilik. Aku tengok Chik Anom dan Ucu nangis dan air mata aku gugur akhirnya. “Mak meracau-racau dalam kereta.” Chik Anom bagi tahu mak aku. Aku dengan Jaja dah tersedu-sedu nangis sebab dah tak boleh tahan. Sudahnya, aku & Jaja kena marah dengan mak aku sebab diaorg takut tangisan kami sampai pada nenek yang terbaring sambil pejam mata. Aku tengok nafas nenek tak seperti biasa. Seingat aku, inilah pertama kali aku tengok keadaan nenek macam tu.

Kali ni rasa senang sangat bagi nenek minum ubat, 3 jenis ubat nenek makan mudah aje bila disuap. Padahal, selalunya nenek akan marah-marah sebab dia kuat dan boleh buat sendiri. Mana taknya, lepas Tok Bah meninggal dunia, nenek yang sara anak-anak dia, termasuk mak su aku yang baru 3 bulan dalam kandungan. Nenek kerja kat estet kelapa sawit dengan tulang empat kerat dia. Sebenarnya terharu sangat, pertama kali sejak aku kenal nenek, pertama kali aku berkesempatan suapkan nenek air, sambil suap air, sambil air mata aku meleleh. Masa tu beberapa kali juga nenek bangun dan baring. Nenek kata, buat apa kami semua datang rama-ramai. Mak Andak kata, ‘Mana ada orang datang ramai, anak cucu mak kan memang ramai.’

Beberapa minit lepas tu, Pak Long datang. Pak Long cium nenek beberapa kali sambil bisikan sesuatu kat telinga nenek, mungkin Pak Long bisikan kalimah syahadah. Pak Long kata, panggil Mak Cik Kinah (mak saudara nenek). Aku dan Jaja yang ditugaskan panggil. Masa Jaja cakap nenek sakit kat mak saudara nenek yang muka sama macam nenek, kami sama-sama meraung. Aku tahu dan aku dapat rasakan kami bakal kehilangan nenek. Kalau keadaan nenek tak teruk, Pak Long tak mungkin suruh panggil orang lain. Dalam masa beberapa minit aje, rumah nenek penuh dengan orang. Masa tu nenek dah tak sedar dan Pak Long suruh pindahkan nenek ke ruang tamu. Dan aku makin pasti, hayat nenek tak akan panjang.

Dugaan aku betul bila akhirnya nenek pergi juga depan semua anak cucu dia. Tenang aje nenek masa tarik nafas terakhir, langsung tak susah. Dan aku, aku dengan Jaja hanya mampu berpelukan sesama sendiri. Ya ALLAH... kalau memang ini kehendak-MU, aku dan seluruh keluargaku rela nenek (Tijah Mohd. Lazim) diambil pergi. Moga roh nenek ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah...

4 comments:

  1. kak leya....sedihnyer baca..effy tiba2 teringatkan seseorang..rasa nak ikut menangis pulak..orang yg kita sayang pergi....susah kan nak terima..sebenarnya akak beruntung sangat dapat jumpa arwah buat kali terakhir...tp effy...jumpa pun x..dah lama meninggal..baru effy dapat tau kak..sampai sekarang effy rs bersalah.sebb x sempat nak minta maaf dengan dia..kak leya...sabarlah..kata nak jd badang kan..mana boleh lemah..arwah nenek akak tntu bahagia kat sana...sama macam kak alia...

    ReplyDelete
  2. salam takziah untuk aleya & keluarga.

    ReplyDelete