Pages

December 31, 2009

-Esok Harinya!-

Betul... memang esok harinya kita semua akan melangkah ke tahun baru, Tahun 2010. Pasti ada yang tak sabar menunggu datangnya hari tu, tentu juga ada yang tak mahu tahun 2009 pergi. Masing-masing tentu ada alasan tersendiri. Tapi bagi aku, tahun baru atau lama, tak ada bezanya. Kalaupun yang berganjak mungkin masa sedangkan hidup tetap juga perlu diteruskan. Tetap juga harus menjalani rutin yang tak pernah dan tak akan pernah berhenti. Dan azam... jangan ditanya pasal azam sebab aku manusia yang dah lama tak punya azam (ceh... jiwang karat). Hanya... aku berharap, sangat berharap Tahun 2010 akan lebih baik, lebih bermakna dan lebih menjanjikan kebahagiaan daripada tahun-tahun sebelumnya, untuk aku, keluarga aku, kawan-kawan aku dan semua manusia yang ada dalam dunia ni. Harap juga dunia penulisan aku akan berjalan lancar, lancar, lancar... dan terus lancar...

Untuk semua, SELAMAT TAHUN BARU dan untuk mak dan abah, SELAMAT ULANG TAHUN PERKAHWINAN yang Ke-38 Tahun. Semoga kalian berdua selalu ada dalam rahmat ALLAH.

December 30, 2009

-2 Hari Lagi!-

Ya... 2 hari lagi, segala yang berlaku dalam tahun 2009 akan kekal menjadi sebuah sejarah yang mungkin tak akan terulang lagi. Kalaupun terulang, mungkin sama tapi tak serupa kerana masa yang pergi tak mungkin dapat dibalikkan semula. Mahu atau tak, selamat tinggal tetap harus diucapkan pada tahun 2009.

2009... apa nak dikata tentang tahun ni. Terlalu banyak yang berlaku, ada suka dan ada duka. Tapi yang pasti... tahun ni banyak melihat jatuh bangun aku. Ya... aku jatuh, aku bangun, jatuh lagi dan bangun lagi dan begitulah seterusnya sampai ke hari ini. Kadang-kadang aku terasa macam tak nak bangun pun ada juga, tapi mujur masih ramai yang sudi menghulur tangan, menarik aku supaya tak terus tertiarap gara-gara percaturan takdir. Terima kasih untuk mereka yang tak pernah jemu memberikan sokongan.

2009... antara ketawa dan menangis, rasanya aku lebih banyak ketawa, walaupun ketawa itu bukan bermakna aku suka. Sekurang-kurangnya, aku ketawa sebab aku nak menggembirakan orang yang ada di sekeliling aku. Tapi yang jelas, ada dua peristiwa besar berlaku dalam tahun ni yang membuatkan aku menangis berhari-hari. Sampai-sampai aku pernah bertanya, “Kenapa?” Ah... aku manusia yang khilaf! Sepatutnya aku tak harus bertanya sebab siapa aku kan?

Tapi antara dua peristiwa itu, yang paling berbekas adalah kehilangan nenek. Kehilangan yang tak disangka, rupa-rupanya sangat menyakitkan. Tak ada petanda, tiba-tiba dia pergi buat selama-lamanya tanpa ada pesan. Dan sampai ke hari ini aku masih ralat. Ralat sebab aku berbual-bual dengan dia pada Jumaat (18 Disember 2009), aku duduk dengan dia sambil minum kopi sebab hobi aku memang minum kopi kat rumah dia. Hari tu aku minum dua cawan, tapi anehnya sampai ke saat jari aku bergerak atas keyboard ni aku tak ingat satu pun yang aku bualkan dengan dia. Lebih ralat lagi, aku lebih berminat tengok skrin TV yang menayangkan cerita kartun daripada tatap wajah dia. Padahal, itulah masa yang aku ada untuk tengok dia dekat-dekat sebab lepas tu aku tak akan ada peluang lagi. Ralat juga sebab Sabtu, aku lebih sibuk nak berjoging daripada tengok dia, padahal jarak rumah aku dengan rumah dia tak sampai pun 15 langkah. Kenapa hati aku tak tergerak ke rumah dia Sabtu tu, aku sendiri tak tahu. Ralat aku bertambah bila kenangkan Ahad siangnya, aku dan keluarga aku sibuk berkelah, padahal kalau tak pergi mungkin kami ada masa yang lebih untuk bersama-sama dia.

Cuma sebelum bertolak tu, aku sempat jengah bilik dia, aku tengok dia tidur macam bayi, aku nampak tarikan nafas dia tak seperti biasa. Aku tanya Ucu, “Kenapa nafas Mak Endek macam tu?”. Bila Ucu kata dia memang macam tu dah lama, aku pun tak endahkan sangat. Perkara biasa, apa yang nak dikisahkan. Aku keluar tanpa cuit dia sebab aku fikir tak ada apa yang nak dirisaukan sebab nenek tak sakit. Tapi yang aku tak tahu, hari tu adalah hari terakhir nenek tinggal di dunia ni. Hari terakhir aku dapat tengok wajah nenek.

Sebak dada aku bila kenangkan yang sampai ke saat dah nak pergi, satu-satunya cincin yang ada kat tangan nenek adalah cincin yang aku belikan masa raya hari tu. Nenek tak lucutkan, sedangkan cincin lain dia dah tak pakai. Ya, memang dibandingkan cucu-cucu yang lain, aku lebih rapat dengan nenek. Satu-satunya bilik cucu dia yang pernah jadi tempat tidur dia adalah bilik aku sebab kebiasaan nenek akan lari ke rumah aku bila hari hujan. Mak kata, hari Khamis (17 Disember 2009) itulah kali terakhir nenek tidur dalam bilik aku sebab bermula hari Jumaat, nenek dah tak keluar rumah. Dan aku juga satu-satunya cucu yang peluk dia, cium pipi dia kiri dan kanan. Sambil cium tu aku akan kata, “Pendeknya Mak Endek”. Macam biasa nenek akan tepuk bahu aku. Sekarang ni nenek dah tak ada lagi, tapi selagi aku masih bernafas, aku akan terus mengenang betapa aku pernah punya seorang nenek yang sangat baik. Doa aku untuk nenek, tak akan pernah putus. Al-Fatihah untuk Tijah Mohd. Lazim...

December 29, 2009

-Puteri Harbour...-

Sikap manusia, selalu mengejar yang jauh sebab menyangka yang jauh itu adalah yang sebaik-baik pilihan, sedangkan yang elok ada di depan mata diabaikan. Kenyataan tu tak merujuk pada sesiapa, tapi pada tuan punya jari yang sedang mengetuk keyboard ni. Siapa lagi kalau bukan aku sendiri.

Baru-baru ni, aku, Abang Chik, kakak ipar aku dan Arissa keluar beli barang untuk majlis hari jadi abah. Kami singgah ke Puteri Harbour. Ya ALLAH... cantiknya, itu aje yang dapat aku ucapkan. Dah banyak kali adik aku cakap tempat tu cantik, tapi aku tak pernah peduli. Tempat dekat macam tu siapa yg nak pergi. Yalah... dari kampung aku ke Puteri Harbour tu adalah dalam 7-8 minit. Mungkin sebab tu rasa nak pergi tu tak ada sangat. Lagipun setiap kali nak keluar memang kena lalu, aku jadi tak teruja nak masuk ke dalam. Faktor lain, Puteri Harbour tu masih agak baru dibina.

Tapi lepas ni, aku mesti pergi lagi. Nanti aku nak bawa bekal nasi, ala-ala macam berkelah dan Kak Long pun dah setuju dengan idea aku tu. Tak payah pergi jauh-jauhlah gamaknya lepas ni! Hem... macam Dayang Senandung, dari hitam bertukar putih. Puteri Harbour pula... dari hutan penuh dengan pokok, sekarang dah jadi tempat yang cantik. Aku tumpang bangga...














*** Abaikan tangan yang agak seksa tu dan selipar oren tu...

December 27, 2009

-Ami Sayang Abah...-

Hari ni, 62 tahun lalu dia dilahirkan ke dunia yang penuh dengan warna-warni ni. Pukul berapa, siang atau malam masa kelahirannya, aku tak pernah tanya dan tak tergerak nak tanya. Hanya yang selalu aku tanyakan, macam mana dia masa kecil, masa muda dia dan macam-macam lagi. Dan dia, dia tetap bercerita walaupun dia bukan seorang yang peramah. Dia bukan banyak mulut macam aku yang kadang kala suka sangat merapu itu dan ini pada dia. Tapi dia... dialah hero di hati aku, biar kulit dia gelap dimakan matahari, biar rambut putih lebih banyak dari rambut hitam di kepalanya, biar tangan dia kasar macam berus dawai gara-gara terpaksa menarik bubu, jala, jaring dan macam-macam lagi demi membesarkan anak-anak dia yang seramai 6 orang itu. Dia tetap Hang Jebat di mata aku sebagai anak keempat dia, dan pastinya Hang Jebat juga di mata Kak Long, Abang Ngah, Abang Chik dan adik-adik aku.

Untuk abah yang paling aku sayang, SELAMAT ULANG TAHUN YANG KE-62 TAHUN. Semoga abah panjang umur, murah rezeki, dan seluruh rahmat ALLAH dilimpahi ke atas abah. Ami mungkin bukan anak yang baik, ami mungkin bukan anak yang selalu menggembirakan abah, ami mungkin bukan anak yang dapat menemani abah selama-lamanya, tapi... yang pasti, ami sayangkan abah... sangat sayangkan abah....

Tak ada hadiah masa hari jadi abah, yang ada cuma sebiji kek, makanan penuh meja hasil tangan Kak Long, Aku, kakak ipar dan adik ipar aku. Dan lagi, ada hadiah doa daripada kami semua untuk abah yang tak pernah putus.

Ini pula, hasil paksaan kami semua walaupun abah nampak tak rela buat macam tu. Terpaksa Aqqif jadi kambing hitam. Nak buat macam mana, nasib abah sebab dapat anak-anak, menantu dan cucu yang agak nakal, tapi baik hati, hahaha... Lagipun, setahun hanya sekali dan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, jarang kami tak sambut hari lahir abah sebab kami nak menghargai masa yang ada. Abah dah puas berusaha membesarkan anak-anak, bila anak-anak besar, apa salahnya kami pula yang meraikan abah. Kan, bah?

December 26, 2009

-Ketawa & Menangis-

20 Disember 2009 – Anehnya kehidupan bila manusia boleh ketawa tak ingat dan menangis bagaikan nak rak dalam satu hari. Mana taknya, siangnya mula dari dalam kereta lagi aku, adik aku, adik ipar aku, Abang Chik dan kakak ipar aku ketawa terbahak-bahak masa dalam perjalanan menuju ke Tanjung Leman. Semuanya gara-gara adik ipar dan kakak ipar aku yang sibuk bercerita beza masa bercinta dan selepas berkahwin. Betul... memang banyak bezanya dan aku yang mendengar macam biasa mana surut dengan ketawa. Tapi orang kata, bila banyak sangat ketawa, tandanya kita bakal menangis. Betul... balik dari Tanjung Leman, kami betul-betul menangis bila nenek aku pergi malam tu. Ketawa hanya satu hari, tapi menangis sampai berhari-hari.

Rancang berkelah asalnya hanya antara aku, Kak Azie & anak-anak dia dan Zaimah. Bila kakak ipar aku tahu, dia sibuk nak ikut. Jadi alang-alang dia nak pergi lebih baik angkut semua kaum keluarga aku. Kecuali adik bongsu aku dan isteri dia, yang lain-lain semuanya pergi. Sebelum bertolak, singgah dulu rumah kawan abah sebab anak dia kahwin. Hari ni dalam sejarah, aku pergi rumah orang kahwin pakai seluar jeans dan t-shirt. Selamba aje aku cakap pada kawan abah, ‘Tak pakai baju kurung, nak ke lain lepas ni’. Kawan abah yang memang aku kenal sejak kecil, ketawa aje.

Sampai Tanjung Leman dah petang. Makan-makan, mandi dan terus balik sebab hari hujan. Memang sekejap benar kami pergi. Entah sampai dua jam, entah kurang daripada tu pun aku tak pasti sangat. Tapi memang sekejap sangat. Macam nak cukupkan syarat pun ada juga. Aneh... memang aku rasa agak aneh. Lebih aneh lagi, sepanjang jalan balik kami langsung tak singgah mana-mana dan tak ada hati pun nak singgah. Kalau selalu, masa balik biasanya kami singgah cari buah tangan. Tapi syukurlah sebab tak singgah, kalau singgah mungkin kami semua akan kesal berpanjangan sebab tak dapat tatap wajah nenek kali terakhir semasa dia masih bernafas, tak dapat tengok nenek hembuskan nafas terakhir. Terima kasih... terima kasih TUHAN sebab bagi peluang itu pada kami semua.










Dalam kereta nak balik KL, Abang Ngah tanya, "Lepas ni kita nak pergi mana?". Aku balas, "Mana-manalah asalkan pantai cantik." Tapi dalam hati aku sambut, 'Asalkan bila kita balik, tak ada yang tinggalkan kita.'. Untuk arwah nenek... Al-Fatihah!

December 25, 2009

-Arissa Yo!-






-Zakuan Yang Kecoh...-




-Alahai Aqqif...-







December 22, 2009

-Sayang Nenekku Sayang (I)-

Hari ni, hari ketiga nenek pergi kepada Pencipta Yang Abadi. Perasaan aku... ALLAH saja yang tahu. Masa menaip n3 ni pun mata terasa bergenang dengan air. Kalau ditanya pada hati, sampai ke saat ni aku rasa tak percaya yang satu-satunya nenek yang aku ada dah tinggalkan aku dan seluruh keluarga aku yang tentunya sangat sayangkan nenek. Aku benar-benar tak percaya sebenarnya.

Malam 20 Disember 2009, balik dari berkelah kat Tanjung Leman, aku tengok Chik Oja sapu sampah kat beranda rumah nenek. Hati aku tiba-tiba bergetar, ‘Kenapa Chik Oja balik hari Ahad?’. Kalau betul mak cik aku nak balik, tentu hari Jumaat dah sampai sebab cuti awal Muharam. Keluar kereta, terus aku pergi dapatkan dia, “Kenapa balik?” Pertanyaan tu memang agak kurang ajar, tapi masa tu aku memang dah tak tentu arah. Hati rasa tak sedap tiba-tiba sebab yang ada dalam kepala aku hanya nenek, walaupun setahu aku nenek cuma demam biasa. Tak ada apa yang perlu dirisaukan.

“Mak Endek sakit!”

Mak Endek sakit? Ya ALLAH... aku tahu mesti ada yang tak kena. Kalau setakat demam biasa, Chik Oja tentu tak akan balik. “Ucu telefon tadi.” Rasa tak tertarik nafas. Selama ni, nenek yang kami panggil Mak Endek tu tak pernah sakit teruk, bertubuh kecil tapi dia selalu sihat dan kuat walaupun dah berumur 76 tahun. “Dah pergi klinik dengan Ucu dan Chik Anom.”

Malam tu, kami tunggu nenek balik dari klinik depan rumah ramai-ramai. Kalau hati aku tak sedap, hati kaum keluarga yang lain tentu aje sama macam hati aku. Kenapa kali ni aku rasa takut, aku sendiri tak tahu. Tapi memang jauh kat sudut hati aku, aku rasa benar-benar takut, takut kehilangan. Bila kereta sampai, rasa macam dah tak sabar-sabar. Merah mata aku masa tengok tubuh kurus nenek dicempung Chik Anom. Kami terus ikut nenek yang dibawa masuk dalam bilik. Aku tengok Chik Anom dan Ucu nangis dan air mata aku gugur akhirnya. “Mak meracau-racau dalam kereta.” Chik Anom bagi tahu mak aku. Aku dengan Jaja dah tersedu-sedu nangis sebab dah tak boleh tahan. Sudahnya, aku & Jaja kena marah dengan mak aku sebab diaorg takut tangisan kami sampai pada nenek yang terbaring sambil pejam mata. Aku tengok nafas nenek tak seperti biasa. Seingat aku, inilah pertama kali aku tengok keadaan nenek macam tu.

Kali ni rasa senang sangat bagi nenek minum ubat, 3 jenis ubat nenek makan mudah aje bila disuap. Padahal, selalunya nenek akan marah-marah sebab dia kuat dan boleh buat sendiri. Mana taknya, lepas Tok Bah meninggal dunia, nenek yang sara anak-anak dia, termasuk mak su aku yang baru 3 bulan dalam kandungan. Nenek kerja kat estet kelapa sawit dengan tulang empat kerat dia. Sebenarnya terharu sangat, pertama kali sejak aku kenal nenek, pertama kali aku berkesempatan suapkan nenek air, sambil suap air, sambil air mata aku meleleh. Masa tu beberapa kali juga nenek bangun dan baring. Nenek kata, buat apa kami semua datang rama-ramai. Mak Andak kata, ‘Mana ada orang datang ramai, anak cucu mak kan memang ramai.’

Beberapa minit lepas tu, Pak Long datang. Pak Long cium nenek beberapa kali sambil bisikan sesuatu kat telinga nenek, mungkin Pak Long bisikan kalimah syahadah. Pak Long kata, panggil Mak Cik Kinah (mak saudara nenek). Aku dan Jaja yang ditugaskan panggil. Masa Jaja cakap nenek sakit kat mak saudara nenek yang muka sama macam nenek, kami sama-sama meraung. Aku tahu dan aku dapat rasakan kami bakal kehilangan nenek. Kalau keadaan nenek tak teruk, Pak Long tak mungkin suruh panggil orang lain. Dalam masa beberapa minit aje, rumah nenek penuh dengan orang. Masa tu nenek dah tak sedar dan Pak Long suruh pindahkan nenek ke ruang tamu. Dan aku makin pasti, hayat nenek tak akan panjang.

Dugaan aku betul bila akhirnya nenek pergi juga depan semua anak cucu dia. Tenang aje nenek masa tarik nafas terakhir, langsung tak susah. Dan aku, aku dengan Jaja hanya mampu berpelukan sesama sendiri. Ya ALLAH... kalau memang ini kehendak-MU, aku dan seluruh keluargaku rela nenek (Tijah Mohd. Lazim) diambil pergi. Moga roh nenek ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah...

December 19, 2009

-Siap Sedia...-

Lepak kat rumah, tak ada apa sangat yang aku buat. Niat nak buat novel macam tergendala aje. Balik-balik asyik depan laptop, bukak facebook dan bagi ikan makan aje. Pagi bagi, petang bagi, malam apalagi, lagilah aku rajin. Pendek kata, ikan dekat akuarium tu memang tak ada rasa laparlah sebab tuan dia banyak masa lapang. Sebenarnya, banyak sangat pengaruh kat rumah ni. Kak Long, Ila & Ina... huh, memang pandai meracun fikian aku. Tapi yang jelas, sebelum diaorang racun aku, aku yang racun diaorang dulu.

Sebenarnya, ingatkan bila banyak masa, makin banyak peluang menulis. Tapi apakan daya? Apa pun, biar tak dapat menulis, aku happy sangat sebab duduk kat rumah kat kampung ni. Kat sini ada mak, ada abah, ada anak-anak buah aku yang banyak ragam, ada adik-beradik aku dan ada juga kaum keluarga yang lain. Banyak benar cerita yang nak diceritakan dan disampaikan. Macam tak pernah jumpa, walaupun bukannya setahun sekali aku balik, sebulan sekali atau dua kali sebulan. Tapi ceritanya... tak pernah juga habis.

Tapi yang agak kelakar hari ni, Ila buat karipap untuk persediaan nak berkelah kat Tanjung Leman, esok. Untuk pertama kali dalam sejarah hidup dia. Aku, Kak Long, Ina & Ika tolong kelepetkan karipap tu. Yang kelakarnya, ada macam-macam jenis karipap yang kami buat. Ada yang cantik, ada yang lawan, ada yang nampak comel aje, tapi ada yang sangat buruk sampai nak makan pun macam tak sampai hati pun ada juga. Pertama kali, mana ada yang sempurna kan?

Lepas tu malam keluar pula, pergi cari barang-barang hantaran untuk angah. Tak tanya angah, kami terus aje pilih warna yang kami rasa cantik. Kali ni, warna purple yang jadi pilihan. Habis pilih barang, makan kat restoran Thai. Macam-macam cerita keluar, sampai berair-air biji mata ketawa. Kak Long sampai lupa Zakuan yang kena tinggal kat rumah. Bila balik, mujur aje Angah kata dia tidak kisah. Sebenarnya memang dah tahu yang Angah memang senang nak dibawa berunding...

December 17, 2009

-Teman Tapi Mesra-

Inilah kawan-kawan yang temankan aku setiap kali menaip novel. Kadang-kadang makan satu dah cukup, kadang-kadang makan dua pun tak cukup. Tapi yang pasti, makan tiga dah tentu cukup. Cuma antara yang kuning dan yang biru, aku lebih sukakan yang biru sebab yang biru tu perisa coklat. Tapi, tak apa ke kalau hari-hari makan?





December 16, 2009

-Selamat Ulang Tahun, Dik...-

Dia mungkin bukan adik kandung aku, hanya sepupu, tapi sebab mak jaga dia masa umur 44 hari, bagi aku dia tetap adik aku. Bukanlah mak jaga sepanjang masa, hanya masa mak cik aku pergi kerja, itu pun sampai umur dia 7 tahun. Cumanya, lepas mak tak jaga pun dia tetap datang rumah aku, tetap tidur dan tetap macam ahli keluarga aku yang lain. Dan, aku tetap sayang dia macam adik aku sendiri. Aku tak pernah lupakan dia, walaupun dia dah makin dewasa sekarang dan boleh tahan degilnya. Budak lelaki, ada masa-masanya agak memeningkan kepala juga rupa-rupanya.

Ingat lagi, masa mak cik aku bawa dia ke rumah subuh tu, dia comel sangat, putih dan badan agak berisi. Kadang-kadang, masa mak basuh baju kat perigi, aku yang ambil alih kerja mak, masa tu aku baru 10 tahun. Macam-macam benda jadi, pernah juga aku tersepitkan jari dia dengan penyepit baju. Dia meraung dan kebetulan mak cik aku balik, mak cik aku tanya kenapa, cuak gila masa tu. Tapi aku memang pandai berlakon, mujur juga mak cik aku tak perasan jari dia yang dah merah aku kerjakan.

Masa umur dia 1 tahun, aku curi tiga keping gambar dia dalam album mak cik aku. Tiga keping gambar tu comel sangat. Sampai sekarang ni mungkin mak cik aku tak tahu aku curi gambar tu dan kalau dia suruh pulangkan pun, cencang sampai mati pun, aku tetap tak akan pulangkan. Aku dah simpan gambar tu 18 tahun, mana aci kalau diambil balik.

Sekarang dia dah besar, tapi dia masih lagi keluar masuk rumah aku macam rumah dia, tidur kalau dia rasa nak tidur, makan kalau dia rasa nak makan, pakai baju adik-adik aku macam itu abang-abang kandung dia, masih panggil mak dan abah pada mak dengan abah aku, gelaran yang sama untuk mak dan abah dia dan masih minta duit aku sekali-sekali kalau tiba musim dia kering dan kebetulan dia nampak muka aku yang dia tahu tak mungkin akan kata tidak. Bukan banyak pun, RM10 atau RM5.

Tapi dia dah tak putih macam dulu lagi, dah gelap macam arang. Cumanya, gelap macam mana pun dia, aku tetap sayang dia macam dulu-dulu juga. Aku tetap sakit hati bila ada orang yang sakitkan hati atau badan dia sebab dia adik aku. Aku tetap sakit hati kalau dia buat perangai yang boleh menyebabkan orang sakit hati dengan dia. Pendek kata, aku lebih ingat zaman dia kecil-kecil daripada adik-adik aku sendiri sebab masa dia muncul dalam hidup kami semua, aku dah besar, sedangkan masa adik-adik aku, aku tak besar mana dan kenangan aku agak terbatas.

Apa pun, buat Rahmat Azlan, SELAMAT HARI LAHIR YANG KE-19 TAHUN, moga panjang umur, murah rezeki, selalu ada dalam rahmat ALLAH dan semua kebahagiaan dan kegembiraan akan jadi milik Amat...

December 15, 2009

-Tangkal Azimat...-

“Mulut jaga sikit ya!"

“Sebab aku selalu menjaga mulutlah aku tak pernah menghina orang lain sesuka hati macam yang selalu kau buat.”

“Kau kurang ajar ya?”

Kening Yazeer terangkat sedikit. Ketawanya meletus perlahan. Orang yang selalu bersikap kurang ajar, rupa-rupanya tahu juga marah bila terasa diri dicabar. Sangkanya, gadis itu tidak peduli, seperti mana Zuyyin tidak pernah peduli dengan hati dan perasaan orang lain selama ini.“Tapi aku taklah sekurang ajar kau,” balas Yazeer tenang.

“Kau memang tak guna Yazeer,” marah Zuyyin kuat. Melengking nada suaranya di tingkat tiga itu.

“Kalau kau berguna sangat tolong cepat turun bawah. Semua orang tengah tunggu kau, tak sabar nak tengok muka kau yang cantik macam asam kecut ni,” ejek Yazeer dengan bibir mencebik. Lantaklah kalau Zuyyin hendak terpekik terlolong memarahi dirinya. Dia tidak peduli dan tidak kisah kerana dia sudah begitu biasa melihat Zuyyin begitu. Bahkan rasanya, semua orang dalam rumah itu sudah tahu perangai gadis itu.

“Lain kali kau jangan ketuk pintu bilik aku macam tu lagi. Kalau tak...”

“Kalau tak apa? Kau nak lempang aku?”

Zuyyin merengus, benci bila kata-katanya dipotong oleh Yazeer. Dalam rumah ini, selain mama dan ayahnya, tidak ada orang yang berani memotong kata-katanya. Tapi Yazeer, memang berani. Langsung tidak peduli walaupun Yazeer tahu dia tidak suka kata-katanya dipotong.

“Kau ada cukup duit ke nak ganti balik kalau pintu bilik aku rosak? Pintu bilik ni bukan macam pintu rumah kau yang murah tu,” kutuk Zuyyin. Sengaja ditekankan nada suaranya pada perkataan murah. Hatinya ketika ini sangat sakit, jadi dia mahu membalas rasa sakit itu pada Yazeer. Biar sama-sama sakit hari ini. Mana boleh hanya dia saja yang dikenakan lelaki itu. Lagipun, dia tidak mahu kalah di tangan Yazeer yang bukan siapa-siapa jika hendak dibandingkan dengan dirinya.

Yazeer menarik nafas dalam-dalam. Geram mula mengambil tempat. Kalau hendak diikutkan hati, memang diramas-ramas bibir nipis Zuyyin biar lumat menjadi abu. Benarlah seperti kata Puan Atikah, mulut Zuyyin semakin hari semakin lancang. Gadis itu semakin lama semakin tidak tahu menjaga hati dan perasaan orang lain. Kalau dia di tempat Puan Atikah pun, dia akan berasa terkilan dan kecewa.

“Setidak-tidaknya, aku duduk rumah sendiri, bukan menumpang rumah mak bapak aku,” balas Yazeer dalam nada yang sinis.

December 14, 2009

-Lega...-

Lega... itu yang aku rasa sekarang ni. Rasanya manuskrip yang bakal terbit macam dah tak ada masalah yang besar-besar, kalau ada pun kena tunggu pruf daripada editor, macam biasa. Semalam call editor yang tangani manuskrip tu, kali ni bukan Awin lagi. Dah lima novel aku terbit kat tangan awin & aku hargai semua yang dia buat untuk aku & aku tahu aku berpuas hati dengan kerja-kerja dia. Tapi kalau dah macam tu, tak apalah, janji menyenangkan dua-dua belah pihak kan?

Sekarang, Dila yang ambil alih tugas Awin, dia kata tak ada apa sangat dengan manuskrip tu. Yang sikit-sikit tu akan dinyatakan amsa baca pruf nanti. Dan bagi aku pulak, kalau ada sikit-sikit memang perkara biasa sebab aku kan masih dalam proses belajar & selagi bergelar manusia, proses belajar tu tak pernah akan ada titik akhir. Lagipun, mana ada manusia yang perfect kan? Lagilah aku yang memang ada banyak kurang dan lompang di sana sini.

Minggu lepas pun, segmen ilmu, tinta penulis dan dedikasi dah aku selesaikan. Terima kasih pada Kak Azie yang banyak tolong aku settlekan segmen ilmu tu. Kalau tak, haru juga aku sebab asyiklah nak tertanya-tanya dalam hati. Bila call orang sepatutnya, macam-macamlah pula alasan yang dia beri. Biasalahkan? Tapi bila sampai part dedikasi, sempat jugalah aku garu-garu kepala, lagak orang bingung tak tahu apa-apa. Siapa pulak yang jadi manusia bertuah kali ni ye? Hahaha... apa pun, tunggu ajelah bila dah jadi novel nanti...

December 13, 2009

-Jumaat Lagi...-

Tak macam minggu lepas, kali ni layan dua cerita sekali gus. Sebelum pergi tu, telefon mak sebab takut kalau-kalau mak telefon aku sebab setiap Jumaat malam, memang kebiasaan mak telefon aku (isyh... anak apa ni, asyik mak dia aje yang telefon). Bila aku cakap kat mak yang aku nak pergi tengok wayang, dua movie sekali, mak kata nampaknya aku dah bertukar jadi kaki wayang. Apa nak dikata, aku hanya ketawa besar, mujur aje aku bertukar jadi kaki wayang, kalau bertukar jadi robot tak ke haru. Aku rasa apa yang mak cakap memang ada kebenarannya & kalau boleh, aku nak layan movie kat wayang tu sepanjang hari, 24 jam tanpa henti, tapi... mustahil aje sebab tayangan akhir sampai pukul 12.00 malam. Kalau nak tengok sampai pagi nampaknya kena buka panggung sendiri. Tapi mana nak cari duit pulak kan?

2012... dah lama movie ni kat pawagam, baru aje berkesempatan nak tengok. Agak menakutkan sebab, hem... tak tau nak jelaskan macam mana. Yang pasti, tu cuma sebahagian kecil, sedangkan bila keadaan sebenar berlaku, Hanya DIA Tahu bagaimana gambar sebenar. Pasti lebih dahsyat daripada itu.

Ninja Assassin... ni lagi satu movie yang buat aku seriau. Mana taknya, setiap kali pertempuran berlaku darah keluar memancut-mancut macam air paip. Tapi yang agak anehnya, darah tetap keluar macam air paip walaupun pada bahagian yang bukan pembuluh darah. Tapi tak kisahlah, bukan urusan aku sebagai penonton nak sesakkan kepala fikirkan perkara yang tak sepatutnya aku fikirkan. Bagi aku, cerita ni okey aje walaupun aku rasa plotnya berjalan agak pantas, ada bahagian yang masih menimbulkan tanda tanya & aku rasa tak puas sebab terasa masih ada yang kurang, apa yang kurang tu, aku sendiri tak dapat jelaskan. Lebih daripada itu, kat mata aku, Rain nampak tak comel dalam movie tu. Mungkin sebab muka dia serius kot. Apa pun, bolehlah layan...

December 10, 2009

-Hampir saja...-

Manusia memang ada masa-masanya tak mahu belajar daripada kesilapan & kenyataan hari ni bukan merujuk kepada sesiapa, melainkan diri sendiri. Memang ada kalanya aku akan jadi manusia yang lalai, cuai, culas dan sewaktu dengannya. Tapi kalau nak diikutkan, bukan ada kalanya, tapi selalu sangat.

Semalam... satu lagi kesilapan hampir-hampir berlaku, kalau pun tak kesal selama-lamanya, untuk 2-3 hari, dah tentu aku heret rasa marah, terkilan, geram & apa-apa aje yang sama jenis dengannya ke mana-mana. Tapi nak disalahkan siapa kalau memang diri sendiri yang bersalah.

Satu bab mungkin hanya perkara kecil bagi penulis lain, tapi bagi aku satu bab tu dah begitu berharga. Buka-buka aje PC, masukkan pen drive macam biasa, tapi entah apa kena tiba-tiba PC hang, aku cuba lagi, lagi dan lagi sampai berjaya. Dah okey, teruskan kerja yang memang aku nak buat, dapatlah satu bab & terus nak save. Tapi... entah kenapa lama benar aku tunggu, tetap juga tak boleh save. Masa tu barulah rasa menyesal datang sebab selalunya, aku memang rajin save walaupun hanya beberapa perenggan. Cuma semalam, langsung tak buat padahal awal-awal lagi macam dah ada petanda yang tak kena. Dan... rasa marah pun macam biasa cepat benar ambil tempat dalam hati. Geram tak usah nak dikata & yang jelas, aku dah macam ternampak-nampak pen drive tu aku campak ikut tingkap, PC tu pulak aku ketuk-ketuk, kalaupun tak tendang macam bola. Tapi mujur juga aku cepat-cepat tarik nafas & istighfar dalam hati. Cukuplah sekali dulu aku tendang PC kat kampung gara-gara naik angin sebab hang masa aku tengah buat kerja & sudahnya PC tu terpaksa dihantar ke wad sebab tuan dia kurang sabar. Kalaulah PC ni masuk wad juga, macam mana aku nak buat kerja sedangkan laptop dah aku tinggalkan kat kampung.

Lepas rasa tak dapat diselamatkan & tak larat menunggu sebab dah pukul 12 lebih, aku cabut aje pen drive tu, dalam hati aku masih berharap satu bab tu masih boleh diselamatkan walaupun harapan macam tipis aje sebab tak sempat save. Tutup suis, on balik PC dan pergi kat my recent document dengan penuh debaran & terima kasih Ya ALLAH... satu bab tu masih ada & terima kasih juga pada kawan Abang Meor yang formatkan PC aku dulu. Kalaulah tak dibuat autosave & tak dibuat back-up, memang selamat bab tu. Menggigil jari aku masa save satu bab tu. Huh... syukur sangat & syukur sangat aku tak lepaskan geram kat pen drive & PC tu, walaupun aku hampir saja melakukannya, kalau tak, “Tulah... sekarang siapa yang susah?” Ayat mak masa aku tendang PC 5 tahun dulu, singgah kat telinga.

December 8, 2009

-Kalau Dah Gila Buku-

Hem... inilah dia harta yang sempat aku borong sepanjang minggu lepas. Harta yang mungkin tak bernilai bagi banyak orang yang tentu aje dalam hati tak ada rasa cinta kat novel, tapi tak bagi aku. Pinjam makanan aku, boleh... tapi pinjam buku, hehehe... kalau orang tu aku tak percaya, mungkin payah sikit aku nak bagi. Sebab ada orang pesan pada aku, jangan bagi orang pinjam tiga benda dalam dunia ni sebab confirm tak dapat balik. Pertama, jangan bagi orang pinjam duit, kedua, jangan bagi pinjam buku dan ketiga, jangan bagi pinjam suami/ isteri. Yang ketiga tu, aku tak pasti betul ke tidak dan lebih tak pasti ada ke tak orang nak bagi pinjam suami/ isteri pada orang lain sebab nampak macam mustahil. Tapi yang dua tu, memang dah teruji kesahihannya sebab dah terkena berkali-kali.

Kalau mak aku tengok gambar buku-buku ni, dia tentu akan geleng kepala sebab nampaknya aku memang dah tak boleh ditolong lagi. Minat kat novel memang tak boleh nak dibendung. Kalau adik-adik aku pulak tengok, dia orang akan kata yang aku beli novel orang banyak macam tu, tapi orang tu belum tentu beli novel aku. Apa nak dijawab ye? Hem... orang nak beli atau tak, itu hak diaorang sebab yang bekerja diaorang, suka hati diaoranglah nak buat atau nak beli apa pun. Dalam Malaysia kan, tak masing-masing ada hak sendiri asalkan tak melanggar undang-undang. Hak aku pulak, dah semestinya puaskan hati dan keinginan sendiri. Lagipun, untuk semua buku-buku di bawah tu, aku dapat potongan 35%, siapa nak bagi potongan sebanyak itu kan? Apa salahnya sekali-sekala aku melaram dengan buku lepas aku dah puas melaram dengan baju dan kasut.


Lima buah daripadanya aku beli sebab aku sangat tertarik sebab covernya sangat menarik. Sebuah lagi, aku dapat hadiah daripada seseorang yang sangat baik hati. Terima kasih daun keladi ye, nanti-nanti janganlah lupa bagi lagi. Dah habis pun baca buku yang dihadiahkan tu, menarik & harap akan teruskan usaha lagi, lagi dan lagi sampai dah tak larat nak usah. Dan kepada dua orang lagi insan yang sangat baik hati, nanti jangan lupa bagi tau... hehehehe...


Lima buah buku resipi yang aku capai masa dekat Alaf 21 hari tu. Lawak, kalau diukur pada tahap kerajinan aku kat dapur, sesiapa pun tak akan percaya yang aku akan beli buku-buku ni. Dan rasanya, dah lima buah buku yang hampir sama aku dah beli sebelum ni, boleh juga dikira dengan jari berapa kali aku gunakan. Tapi tak apalah, yang penting dah ada & bila-bila nak guna, kan dah tak payah terkial-kial mencari.
 
Design Downloaded From Free Blogger Templates | Free Website Templates | News and Observers