- KAMU, SUDAH BERUBAH, DIK... –

April 29, 2012

Sejak blog yang dah lama tak berganti cat ni saya buat tanpa ada paksaan daripada sesiapa, jarang benar saya berkisah tentang adik bongsu saya yang keluarga saya beri nama HALMI. Bukannya saya tak suka dia, tapi... entah kenapa saya tak tahu nak berkisah apa tentang diri dia. Bukannya tak ada apa yang menarik tentang dia, tentulah ada... kalau pun tak di mata orang, di mata saya dan keluarga saya pastilah ada.

Cumanya... mungkin, sikap dan raut muka dia yang selalu aje serius buat saya rasa tak tahu bagaimana nak bercerita tentang dia. Opsss... kelihatannya saya sangat suka berkisah tentang keluarga saya, kan? Yup, memang tak dinafikan saya suka bercerita tentang keluarga saya. Bukannya ada niat apa-apa bila saya rajin tulis N3 tentang keluarga saya, sekadar mahu mengabadikan setiap apa yang berlaku dan apa yang saya rasa supaya saya tak lupa apa yang berlaku dan supaya saya ingat setiap rasa yang datang, biar pun masa berlalu meninggalkan apa yang berlaku.

Sebab saya suka mencatatkan sejarah keluarga saya dan saya tau tak semua orang suka baca kisah keluarga, makanya... saya wujudkan beberapa LABEL untuk pilihan pembaca. Bagi yang nak tau dunia penulisan saya, boleh klik pada label “DALAM PROSES” dan “DUNIA NOVEL”. Bagi yang nak tau apa yang saya buat dan apa yang dah jadi dengan diri saya, boleh pula klik pada label “KISAH SAYA”. Pada yang mahu tau betapa kalutnya saya dan anak-anak buah saya, juga serabutnya saya dan ipar-ipar saya, atau meriahnya saya dengan adik-beradik saya dan sayangnya saya pada Mak dan Abah saya, bolehlah klik label “DIARI KELUARGA”.

Pendek kata, saya tak pernah paksa kalau orang tak mahu baca blog atau setiap N3 yang saya tulis kerana saya memang bukan jenis orang yang suka memaksa. Hidup tanpa paksaan, bukan ke lebih indah? Kalau kena paksa, dah tentu-tentu dalam hati wujud rasa tak ikhlas.

Berbalik pada adik bongsu saya tadi, dia adik yang sangat serius, tak banyak cakap dan tak banyak senyum dan ketawa. Tapi dalam pada seriusnya muka dia, kadang-kadang ada juga lawak yang dia buat secara spontan. Cumanya, dia tak ketawa bila dia buat lawak, yang ketawanya orang lain dan tentulah saya yang lebih-lebih ketawa sebab saya memang suka ketawa. Kadang-kadang pulak, dalam saya duduk diam-diam, tiba-tiba aje saya terasa rambut saya ditarik orang atau bahu saya ditumbuk dia. Kadang-kadang pulak, dia mengutuk saya sesedap rasa macam hati saya dibuat daripada kayu. Kesimpulannya, cara dia bergurau memang kasar dan saya pula, tak pernah tak membalas balik bila saya dikasari, tapi kesudahannya... sayalah yang terjerit sebab saya selalu aje kalah.

Tapi... itu dulu! Sejak dia berkahwin dan ada anak yang diberi nama Muhammad Hafiy Darwisy, saya sebagai kakak melihat banyak perubahan berlaku pada dia dan perubahan itu semuanya ke arah positif. Dia dah jadi lebih banyak cakap walaupun masih tak sebanyak saya. Dia dah boleh diajak ke mana-mana pada bila-bila masa aje. Kalau dulu, dia jarang-jarang benar nak ikut ke mana-mana, ajak pergi Melaka cuci mata tanpa keluarkan duit walaupun sesen, macam nak bergaduh baru dia nak pergi. Bila pergi pulak, muka macam tak siap. Memang nampak ketara muka tak nak pergi dia tu. Sekarang ni bila ajak datang KL, dia siap cakap kat isteri dia supaya tinggal aje kalau rasa tak nak pergi, dia tetap nak pergi rumah kakak dia [Sayalah tu].

Kalau dulu nak bergurau-gurau dengan anak-anak buah saya pun agak payah, tapi sekarang... dia jadi suka menyakat anak-anak buah saya. Kadang-kadang, disakat sampai menangis. Bila dah nangis, siap diejek-ejek lagi supaya tangisan yang ada bertambah hebat. Malah, dia jadi selamba aje dukung anak-anak buah saya. Kalau dulu, jangan harap dia nak buat. Dan lebih buat saya tersentak, bila dia dengan selambanya tanya pada sepupu saya bagi pihak anak buah saya yang sibuk nak main PSP sedangkan charger tertinggal kat rumah. Kalaulah dulu situasi yang sama berlaku, mati hidup semula pun dia tak akan tanyakan pada sepupu saya semata-mata sebab anak-anak buah saya.

Dan perubahan yang paling saya suka, dia jadi lebih rajin kerja sebab dia tahu tanggungjawab sebagai suami dan anak tak begitu mudah. Bahkan dia tak peduli dengan rasa penat asalkan anak isteri tak susah dan dia sangat pandai berjimat cermat. Malah, saya pernah berkali-kali suruh dia berhenti kerja bila melihat betapa penatnya dia kerja tapi tak dihargai orang. Berkali-kali juga saya kata cari kerja lain sebab hati saya yang lebih-lebih rasa sakit bila adik saya dizalimi orang. Saya siap kata, banyak lagi kerja dalam dunia ni walaupun saya tahu bukannya mudah nak mencari kerja sekarang ni. Tapi... akhirnya dia berhenti juga, bukan sebab paksaan saya tapi sebab dia sudah tak ada hati bekerja di bawah lembayung ketua yang tak pernah tahu menjaga hati anak-anak buah. Kalau dulu, dia tak kisahkan soal kerja sebab nak apa aje, mintak pada saya dan Kak Long saya. Mintak motor, saya belikan motor, mintak jam tangan, saya belikan, baju raya pun saya bagi duit sebab kalau saya belikan, sah-sah tak kena dengan selera dia. Malah, jam tangan dia berganda-ganda lebih mahal daripada saya. Kalau dah semudah itu, buat apa kan nak kerja teruk-teruk? Dan saya pula, memanglah pantang kalau adik-adik saya merengek mintak dibelikan apa-apa.

Sungguh, saya sukakan perubahan adik bongsu saya tu dan saya harap perubahan tu akan kekal untuk selama-lamanya. Harap juga adik saya dan keluarga dia akan berbahagia dunia dan akhirat, ;-)

2 comments:

  1. seronok kan biler dapat berkisahkan tentang keluarga kita ... saya suka keluarga =)

    ReplyDelete
  2. keluarga, ibarat air dicencang tak akan putus sampai bila-bila... ;-)

    ReplyDelete