- M. NASIR VS YASSIN! -

April 13, 2012

Satu malam yang tak berapa nak sunyi sebab walaupun semua orang dah tidur, TV depan mata masih terpasang dengan jayanya. Tak tahu nak buat apa, saya layan aje ulangan Maharaja Lawak Terbaik [kalau tajuk tu salah, minta maaf ya sebab tak berapa nak peka]. Sebenarnya dan tengok banyak kali dah, tapi tetap juga tengok sebab tak tahu nak buat apa lagi.

Tiba-tiba, terkedek-kedek budak kurus melidi yang baru mencecah umur 4 tahun depan mata saya.

Saya tanya, “Tak tidur lagi?”

Dia balas, “Tak lagi.”

“Temankan Mak Tam tengok TV boleh?” tanya saya lagi sekali. Masa tu dia dah duduk pun tepi saya dengan muka polos dia.

“Boleh aje,” jawab dia pula.

Maka tengah malam tu, berduetlah mak saudara dan anak buahnya menonton TV walaupun masa tu patutnya kami berdua dah masuk tidur sebab ayam pun dah lama tutup mata. Eh... nak tanya sikit pada yang tau, ayam sebenarnya ada kelopak mata tak ya?. Tapi apa kaitan ayam dengan N3 saya ni ya? Okey... sila abaikan pertanyaan yang entah apa-apa dan kelihatan seperti orang tak cerdik. Tapi, kalau ada yang tau jangan lupa bisik-bisik kat telinga ni tau. Bukannya apa, sekadar nak tambah pengetahuan aje.

Berbalik pada kisah si anak buah dan Mak Tamnya yang menonton TV tadi, tiba-tiba si anak buah yang dipanggil Aqqif itu memecahkan kesunyian malam kami berdua. Katanya pada saya;

“Muka dia... acam Nasir!” Jari dia lurus menunjuk ke wajah yang sedang membebel-bebel di TV.

Saya yang memang suka mengerutkan dahi, tambah berkerut-kerut dahi. Tak faham apa yang dia kata. “Nasir?”

“Ya... muka dia acam Nasirlah.”

Saya tanya lagi, “Nasir mana ni? Pak Long?” Kebetulan abang ipar saya yang Aqqif gelar Pak Long memang bernama Nasir. Saya cuba juga memadan-madankan muka di depan dengan muka abang ipar saya. Tapi sama ada TV saya terbalikkan atau saya yang tengok TV dalam keadaan terbalik, tetap juga saya tak dapat samakan wajah di depan TV dengan Nasir si abang ipar saya.

“Bukan...”

“Habis tu Nasir mana ni? Mak Tam tak tahulah.” Rasa-rasa saya, Nasir yang kami sama-sama kenal, cuma Nasir a.k.a Pak Long. Lain daripada itu, walaupun saya kenal Nasir lain, si kecik tak mungkin kenal sebab saya dan dia memang tak pernah berkongsi kawan yang sama. Orang tua bangka seperti saya, ada kawan yang kecil usia 4 tahun atau orang sekecil Aqqif ada kawan seusia saya, tak ke kedengarannya sangat tak masuk dek akal?

“Alah... Nasir tulah, yang boleh terbang tu.”

Habis aje dia berkata, saya terus ketawa besar. Memanglah tak sampai tergolek-golek tapi sempatlah mata saya berair. Tiba-tiba melintas satu dialog di telinga dan mata saya.

“Ini... M. Nasir kan?”

“Hang Tuah!"

Ternyata iklan kit kat yang berkesudahan dengan M. Nasir makan coklat kit kat sebelum terbang ke udara, bukan hanya berjaya mencuit hati saya, tapi... hati anak-anak kecil juga. Saya tak boleh lupa iklan tu sebab saya geli hati bila M. Nasir yang selalu nampak serius sanggup berlakon iklan tu. Sedangkan di mata budak-budak, saya tak tahu mana yang menarik pada iklan tersebut.

Cuma soalnya, patut ke muka Yassin yang terkenal dengan lawak jenaka, disamakan dengan M. Nasir yang sangat pandai menggubah lagu tu? Entah kat mana persamaan mereka sampai anak buah saya sanggup ‘mengkembarkan’ mereka berdua, saya sungguh-sungguhlah tak dapat cari jawapan sampai ke saat ini. Atau pun, di mata budak 4 tahun, muka serius dan lawak tu sama ya? Adoi... tiba-tiba aje terasa nak masuk ke dunia kanak-kanak semula. Nak tengok mana yang miripnya M. Nasir dan Yassin ni.


7 comments:

  1. ayam mmg ada kelopak mata. dulu selalu tengok masa nak cabut bulu ayam lepas ayam kena sembelih..

    ReplyDelete
  2. hahahhaha .. wat lawak lah aqqif ... hhehe . omeyh tol ..

    ReplyDelete
  3. hehhehe .. alolo .. tomeyh nya aqqif... wat lawak sokmo :)

    ReplyDelete
  4. hahaha... comel la, yassin sama dgn M. Nasir.. lps ni klau tgk M. Nasir kat TV mesti ingt yassin sekali:P

    ReplyDelete
  5. : KAK AZIE - hahaha, kita sungguh-sungguhlah tak perasan. nanti kte tengok lagilah... ;-)

    ReplyDelete
  6. EPONG - aqqif mmg pandai buat kelakar, tapi sweet sangat... ;-)

    ReplyDelete
  7. SRIKANDI UTARA - tulah, sekarang ni tengok M. Nasir dengan Yassin, mesti nak gelak, kelakar bertul... ;-)

    ReplyDelete