- BOLEH SAYA SAYANG AWAK? [1] -

June 18, 2012

Dalam cinta tak ada istilah ‘try and error’. Sekali terjebak, harus menelan istilah, ‘I love you’ sampai hujung nyawa.

PANJANG leher Najihah, cuba mencari kelibat Najid di tengah-tengah meja yang banyak tersusun. Meja yang kebanyakannya dipenuhi dengan penghuni yang masing-masing mahu mengisi perut. Waktu tengah hari begitu, kalau keadaan di gerai yang diberi nama Sup Meletup itu lengang, memang satu keajaiban. Lantaran itu, dia lebih memilih makan di VelodromE, Cheras kerana lebih luas dan banyak pilihan, walaupun terpaksa makan di bawah payung, di bawah pokok. Lagipun sudah beberapa hari dia teringin makan ayam kampung di situ. Bahkan air durian belanda dalam gelas besar di sana, selalu saja menarik langkahnya untuk datang lagi, lagi dan lagi.

Tapi Najid pula tidak mahu. Kata Najid semalam sudah makan di situ. Hari sebelum itu pun sudah makan di situ. Takkanlah hari ini pun mahu makan di tempat yang sama juga? Ah... Najid tu memang cerewet! Dia saja yang nak menang, rungut Najihah dengan bibir mencebik sedikit.

Namun menyedari yang dia seperti sedang mengata diri sendiri, cepat saja bibirnya mengukir senyum. Dibandingkan dia dan Najid, sebenarnya dialah yang lebih cerewet. Kalau permintaan Najid satu, permintaannya lebih daripada 10. Pendek kata, selama ini memang Najid lebih banyak mendengar kata-katanya daripada dia mendengar kata-kata lelaki itu.

“Jahat juga aku ni ya?” tanyanya pada diri sendiri.

“Jiha memang jahat pun!” sampuk satu suara garau tiba-tiba dari arah belakang Najihah. “Selama ini mana pernah Najid kata Jiha baik. Jiha aje yang selalu perasan diri Jiha tu baik,” sambung Najid dalam nada suara yang sama.

Najihah berpaling. Melihat seraut wajah Najid yang tersengih-sengih dengan riak berseri-seri, bibirnya memuncung panjang. Teringat yang tadi semasa menghubungi Najid, dia ada mengajak Najid makan ayam kampung di Velodrome, tapi Najid pula beria-ia hendak makan di gerai Sup Meletup. Alasan Najid, mereka berdua sudah lama tidak makan di tempat makan kegemaran Najid itu. Sudahnya, rela dalam paksa dia akur juga pada permintaan Najid. Itu pun selepas Najid mengugut tidak mahu menemaninya ke majlis hari jadi Ai Ling hujung minggu ini.

“Bila masanya Jiha jahat?”

“Selalu!”

“Bila?” Terjegil sedikit mata Najihah. Sudahlah dia sakit hati melihat meja yang penuh dengan manusia. Kini, Najid seperti sengaja mahu membakar perasaannya di tengah-tengah cuaca yang panas membahang.

“Jiha selalu buli Najid. Jiha selalu suruh Najid ikut cakap Jiha. Tapi Jiha nak ikut cakap Najid sekali pun payah.”

“Oh... kiranya ni Najid mengungkitlah ya? Selama ni Najid tak ikhlaslah ya ikut Jiha ke mana-mana?” Dipandang paras Najid yang kemas berbaju kemeja biru laut dan berseluar slack hitam. Lelaki itu selalu saja kemas di matanya kerana Najid memang jenis lelaki yang mementingkan penampilan diri. Bagi Najid, berbelanja lebih sedikit tidak mengapa asalkan hati sendiri puas.

Dia pula bukan jenis seperti Najid. Baginya, berbelanja lebih atau berbelanja kurang tidak penting. Yang lebih penting, hatinya suka dan puas. Maksud cantik itu pun sangat universal, cantik pada satu orang tidak semestinya cantik pada orang yang lain. Jadi, dia mahu ambil pendekatan memilih apa saja yang hatinya berkenan. Cakap-cakap orang tidak mahu dipedulikan kerana dia tidak akan ke mana-mana jika terlalu memikirkan soal itu.

“Tak kata tak ikhlas pun,” balas Najid selamba. Ada senyuman nipis di ulas bibirnya. Geli hati melihat muncung Najihah yang sudah semakin ke depan.

Dipandang kawasan sekeliling, meja-meja yang ada semuanya dipenuhi dengan manusia yang kelihatan enak menjamu selera. Sedangkan dia dan Najihah, masih berdiri di bawah pokok di hadapan gerai Sup Meletup. Bukannya tidak ada gerai lain yang kosong, cuma dia tidak terasa hendak makan di tempat lain. Sejak daripada pagi, tekaknya teragak hendak makan di situ. Jadi kalau harus menunggu seketika, bukanlah masalah besar baginya.

“Kalau dah mengungkit tu, sahlah Najid tak ikhlas. Kalau ikhlas mesti tak cakap apa-apa punya.”

Najid ketawa kecil. “Marah?” tanya Najid dengan suara tenang. Najihah memang cepat naik angin, tapi secepat mana angin Najihah naik, secepat itu jugalah angin itu akan reda. Tidak perlu menunggu sampai berhari-hari. Ditemani Najihah hampir 25 tahun, membuatkan dia cukup kenal dengan Najihah. Kalaupun bukan kenal 100%, hampir 80%.

“Tengok... tengok tu! Semua meja dah penuh. Macam mana kita nak makan?” rungut Najihah geram.

Najid terus juga ketawa. Rambut Najihah yang ditiup angin yang berhembus sekali lalu, dipandang. Gadis itu bukan hanya comel, tapi sangat manis dipandang. Bukan sekali dua bila keluar dengan Najihah, dia perasan yang Najihah kerap dipandang orang terutama sekali lelaki yang tentu saja sukakan perempuan berwajah menarik seperti Najihah, tapi banyak kali. Jika dia tidak ada di sisi Najihah, dia yakin yang gadis itu tentu saja sudah dihampiri awal-awal lagi.

“Alah... Jiha sabar sikitlah. Kejap lagi mesti dia orang tu tinggalkan meja. Takkanlah nak duduk situ sampai ke petang kan?”

“Tapi perut Jiha dah laparlah,” rungut Najihah geram.

“Tipu.”

“Tipu apa pulak? Dahlah datang lambat, suka-suka hati dia aje kata kita tipu.”

“Alahai... lambat lima minit pun nak berkira ke? Kadang-kadang tu Jiha buat Najid tunggu sampai setengah jam. Najid tak merungut pun.”

Bulat mata Najihah merenung Najid. Bibirnya diketap kuat. “Yang Najid asyik nak mengungkit aje dari tadi ni apa hal?”

Hatinya masih terasa. Beria-ia dia merayu Najid supaya mereka makan ayam kampung hari ini. Tapi Najid tetap juga tidak mahu. Padahal dibandingkan gerai Sup Meletup dengan gerai ayam kampung di Velodrome, gerai ayam kampung lebih hampir dengan pejabat Najid. Entah apa yang sedap benar dengan sup yang dijual di gerai Sup Meletup itu, dia sendiri tidak tahu. Tapi bukanlah bermakna dia tidak suka makan di gerai kesukaan Najid itu, hanya hati yang sakit buat dia sengaja melupakan kesedapan sup yang bukan sekali dua dinikmati itu.

“Yang Jiha nak marah-marah daripada tadi kenapa?”

“Mana ada Jiha marah!”

“Tu... yang muka merah tu apa kalau bukan marah?” Jari telunjuk sengaja ditudingkan ke pipi Najihah yang jelas sudah bertukar warna. Tapi sebenarnya dia sendiri tidak pasti, merah itu tanda marah atau kesan daripada cuaca yang berbahang. Hendak dikata kesan pemerah pipi, mustahil kerana Najihah bukannya jenis gadis yang suka bersolek beria-ia. Kalau ada pun, gadis itu hanya memakai bedak nipis dengan bibir yang hanya dioles dengan pelembap.

Kalau dah cantik, tak solek pun cantik juga, detik hati Najid dalam diam.

Namun senyuman di bibirnya melebar tiba-tiba. Dalam keadaan tidak selesa begini, sempat lagi dia memuji Najihah dalam hati. Hanya pujiannya pada gadis itu ditelan dalam hati. Tidak pernah diluahkan sekali pun kerana dia merasakan tidak ada perlunya dia memuji Najihah. Najihah juga bukannya jenis suka dipuji. Silap-silap, dia mendapat cubitan Najihah sebagai upah atas pujian yang diberikan.

“Najid senyum-senyum ni kenapa? Najid mengata Jiha dalam hati ya?”

“Wah... sejak bila Jiha jadi bomoh ni? Boleh baca-baca hati Najid?”

“Najid jangan... Jiha dah panas ni. Karang Jiha...”

“Abang cari meja kosong ke? Dah ramai pengunjung yang balik. Abang boleh pilih mana-mana meja kosong.”

Serentak Najid dan Najihah menoleh ke arah suara yang menyapa. Hilang terus kata-kata yang mahu Najid luahkan pada Najihah. Kemudian dia membuang pandang ke kawasan sekitar. Benar, sudah banyak meja yang kosong. Mungkin masing-masing sudah kenyang dan mula kembali ke destinasi masing-masing.
--------------------------------------------------------------------------------
“Masih marah lagi?” tanya Najid sebaik saja makanan mereka sampai. Wajah Najihah yang sudah tidak memerah dipandang dalam-dalam. Ada senyuman memujuk di ulas bibirnya. Dia tahu marah Najihah tidak akan ke mana-mana. Mereka sudah lama berkawan rapat dan rapatnya hubungan mereka sama seperti rapatnya hubungan ayahnya dengan papa Najihah. Lantaran itu berpuluh-puluh tahun pun, mereka tidak pernah berpindah rumah. Tetap juga rumah papa Najihah di hadapan rumah ayahnya, walaupun baik ayahnya, mahupun papa Najihah mempunyai rumah lain.

Najihah mencapai sudu dan garpu yang ada di hadapannya dengan wajah tidak ceria. Sengaja tidak mahu peduli pada kata-kata Najid yang bernada lembut. Sengaja juga menunjuk protes pada Najid walaupun geram dan sakit hatinya surut sebaik saja mencecah punggung di kerusi.

“Esok kita makan ayam kampung okey?”

Wajah Najihah yang keruh, tiba-tiba saja bersinar-sinar bagaikan dihadiahkan sejambak bunga mawar. “Betul? Betul esok Najid tak akan ubah fikiran? Tak akan kata, ‘kita makan ayam kampung tu lain kali ajelah’?” tanya Najihah bersungguh-sungguh. Di bibirnya ada senyuman lebar. Suka hati dengan apa yang Najid katakan tadi kerana esok dia tidak perlu memujuk Najid seperti biasa. Entah apa yang sedap makan di Velodrome itu, dia sendiri tidak tahu, sama seperti dia tidak tahu apa yang sedapnya dengan sup di Sup Meletup. Walaupun banyak meja, tempatnya pun kalau hendak diikutkan, tidak begitu selesa kerana kalau lambat, mereka terpaksa makan di bawah payung besar di bawah pokok. Tapi kalau boleh memang hari-hari dia mahu makan di situ.

Najid ketawa sedikit kuat. Memang sudah diduga reaksi Najihah awal-awal lagi. Kemudian dia turut mencapai sudu dan garpu. Sesuap nasi goreng ayam masuk ke mulutnya. Nikmatnya rasa bila keinginan terpenuhi.

“Tiba-tiba aje cerah ya muka Jiha?” usik Najid bersahaja. “Hilang keruh yang tadi macam tak nak hilang.”

“Tak boleh ubah fikiran ya. Kalau esok Najid kata tak jadi, taulah Jiha macam mana nak buat.”

“Jiha nak buat apa kat Najid?” Najid pandang wajah Najihah yang juga sudah mula menyudu makanan ke mulut. Kalau dia memilih nasi goreng ayam dengan semangkuk sup campur sebagai hidangan tengah harinya hari ini, Najihah pula hanya memilih mihun sup. Makanan kegemaran Najihah jika datang ke situ. Jenuh dia menyuruh Najihah menukar menu, namun gadis itu tetap juga tidak peduli.

“Jiha belasah Najid cukup-cukup,” balas Najihah selamba. Mata sengaja dibulatkan sebagai tanda amaran buat Najid.

“Jiha cukup kuat ke nak belasah Najid?” duga Najid sambil angkat kening sebelah.

Najihah ketawa kecil. “Jangan ingat Najid ada black belt Jiha takut ya. Jiha pukul rambang aje nanti sampai Najid tak boleh nak mengelak.”

Semakin besar ketawa Najid. Teringat dulu, dia dan Najihah sama-sama masuk kelab tekwando. Sampai separuh jalan, Najihah menarik diri kerana menyampah dengan jurulatih yang mengajar mereka. Kata Najihah, jurulatih mereka itu gatal dan merenyam. Sudahnya, hanya dia saja yang dapat tali pinggang hitam. Sedangkan Najihah selamba saja berkata dengan adanya dia, Najihah sudah tidak perlukan tali pinggang hitam itu lagi kerana dialah yang akan menjadi tali pinggang hitam untuk Najihah.

Najihah... gadis sebayanya itu memang banyak tingkah. Tapi banyak mana pun tingkah Najihah, tetap Najihah juga yang dicari bila susah mahupun senang. Begitu juga sebaliknya.

“Apa fasal Najid lambat tadi?” tanya Najihah tanpa memandang Najid. Nada suaranya biasa-biasa saja. Bukannya hendak marahkan Najid kerana dia sekadar ingin tahu semata-mata. Memang Najid jarang terlewat kalau sudah berjanji. Tidak seperti dia yang sentiasa saja lewat walaupun sudah berjanji beria-ia. Mujur saja Najid seorang yang penyabar, tidak cepat naik darah dan angin sepertinya.

“Lima minit ajelah. Itu pun nak berkira ke?”

“Jiha tanya ajelah, bukannya nak marah Najid pun. Itu pun nak sentap tak tentu fasal.”

Najid mencapai air tembikai miliknya. Dia tahu makan bersulam air memang tidak elok, tapi cuaca yang panas membahang menuntut dia melakukan amalan tidak elok itu. Kalaulah ayahnya melihat, pasti dia akan ditegur dan Najihah tentu akan mengetawakannya sambil mengangkat ibu jari kanan sebagai tanda ‘padan muka’.

“Tadi ada meeting. Papa Jiha banyak pula cakap hari ni. Selalunya kalau ada meeting cepat aje habisnya.”

“Weh... mengata papa Jiha ya. Tak baik betul Najid ni tau.” Usai berkata-kata, tangan Najid yang berlabuh di atas meja dipukul perlahan. “Kalau macam tu Najid kerja aje dengan ayah,” sambung Najihah sambil menjongket kening berkali-kali.

“Jiha nak ke kerja dengan papa?” duga Najid.

Seketika, pandangan mereka bertaut. Mereka seolah-olah berkata-kata tanpa suara, namun masing-masing seakan-akan sudah mengerti. Beberapa detik kemudian, ketawa kedua-duanya meletus sedikit kuat. Memang agak janggal, tapi kenyataannya Najid bekerja dengan papanya dan dia pula bekerja dengan ayah Najid.

“Jiha tak dapat bayangkan kalau Jiha kerja dengan papa. Mesti Jiha tak dapat belajar banyak benda. Silap-silap Jiha datang pejabat tapi goyang kaki aje nanti,” kata Najihah sebaik saja ketawa mereka reda.

“Najid pun tak nak. Ayah tu... Jiha tahu ajelah. Semua benda tak boleh, tak macam papa. Sporting!”

2 comments: