- BOLEH SAYA SAYANG AWAK? [3] -

June 27, 2012

"Dalam cinta tak ada istilah 'try and error'. Sekali terjebak harus menelan istilah 'I love you' sampai hujung nyawa"

“NI... yang tersenyum-senyum masuk rumah ni apa hal?” sergah Ilham sebaik saja melihat kelibat Najihah yang tersengih-sengih sambil sesekali berpaling ke belakang. Entah apa yang dipandang anak saudaranya itu, dia tidak pasti. Tapi ekspresi wajah yang nakal itu tentu hadir gara-gara Najid.

Najihah dan Najid, memang tidak boleh dipisahkan. Bukannya adik-beradik, tapi selalu bertingkah seperti adik-beradik kandung. Jika seorang diusik, seorang bangkit menjadi pembela walaupun tak pernah dilantik. Anehnya ada masa-masanya, Najihah dan Najid tetap kelihatan seperti anjing dan kucing, pantang bertemu muka ada saja yang nak ditengkarkan. Tapi biasanya yang mencari fasal tentu saja Najihah kerana Najihah dengan sesiapa pun memang jarang hendak mengaku kalah.

Dengan aku, bapa saudara sendiri pun dia hendak menang, apa lagi Najid yang hanya berstatus kawan semata-mata, detik hati Ilham dalam diam.

“Eh... abang! Awal balik hari ni? Jiha tengok kat luar tu masih ada matahari lagi. Demam ke?” Selamba saja Najihah menyindir Ilham. Setahunya, kalau tidak pukul 9.00 malam, bapa saudaranya itu tidak akan ada di rumah. Kemudian dia melabuhkan punggung di hadapan Ilham yang hanya tua lima tahun daripadanya dan hanya dipanggil abang walaupun status mereka bapa saudara dan anak saudara. Jenuh papanya mengajar dia memanggil Ilham pak su, tetapi dia tetap memilih memanggil Ilham dengan panggilan abang kerana Ilham terlalu muda untuk dipanggil pak su. Lebih sesuai jika dipanggil abang, terlanjur pula dia memang tidak ada abang. Lama-kelamaan semua orang turut memanggil bapa saudaranya itu dengan panggilan abang. Ilham pun turut membahasakan diri abang bila bercakap dengannya dan papanya, termasuk dengan Najid dan ayah Najid juga.

“Ke sakit demam kuning?”

Kening dijongketkan. Masih tersengih-sengih mempamerkan barisan giginya yang putih. Geli hati mengingatkan ekspresi wajah Najid. Sampai kakinya melangkah keluar daripada kereta Najid pun, lelaki itu tetap juga tidak puas hati dengannya. Kalau boleh dicekik, tentu awal-awal lagi Najid sudah menamatkan nyawanya hari ini. Tapi hendak diapakan lagi, perkara sudah pun terjadi. Lagipun, kena marah dengan Pak Munawir, bukannya apa-apa sangat kerana tadi bukanlah pertama kali Najid menerima kemarahan orang tua itu. Acap kali benar sampai dia sendiri tidak terkira dengan jari.

“Sindir abang, tak ampun nanti baru tau tak masuk syurga,” balas Ilham juga selamba. Sudah terbiasa melayan Najihah dengan cara kasar, membuatkan dia janggal hendak mengeluarkan kata-kata yang baik untuk hidangan telinga satu-satunya anak saudara yang dia ada itu.

“Abang yang dosa sebab tak ampun. Kan dalam Islam kata...”

Terus Ilham baling Najihah dengan bantal empat segi tepat yang ada di tangannya. Najihah memang pantang diberi kesempatan, memang mulut comel itu akan terus berkicau mengalahkan murai tercabut ekor. Selain daripada Najid dan Datuk Bazli, rasa-rasanya tidak ada sesiapa pun yang tahan dengan mulut Najihah. Dia dan Najihah pun bukannya boleh rapat sangat kerana diakhir perbualan pasti ada tengkar yang wujud. Masing-masing enggan mengalah dan Najihah pun memang terkenal dengan sikap tidak mahu kalah pada sesiapa. Tapi yang jadi soalnya, dia pula tidak akan senang duduk selagi tidak menyakat Najihah.

Mujur sekarang Najihah sudah besar. Kalau dulu, ketika anak saudaranya itu kecil, dia akan memastikan Najihah menangis dahulu, barulah dia berhenti daripada menyakat Najihah. Bukan sekali dua dia ditegur abangnya kerana itu, tapi dia tetap juga menulikan telinga. Melihat Najihah menangis menerbitkan satu kepuasan dalam dirinya. Tapi kini, sakatlah macam mana pun. Najihah tidak akan menangis, sebaliknya Najihah akan membalas balik sehingga dia sendiri yang mati akal.

“Padanlah dengan muka abang!”

Itu kata-kata Datuk Bazli bila melihat masam wajahnya kerana tingkah Najihah. Hanya jelingan yang mampu dihadiahkan kepada abangnya itu. Datuk Bazli memang tidak pernah campur bila dia dan Najihah mula berbalah. Papa Najihah itu hanya menanti, mahu melihat siapa yang kalah dan siapa yang menang sebelum berkata ‘padan muka’ pada dia ataupun Najihah.

“Mulut macam nenek kebayan!”

“Abang tu mulut macam murai!”

“Murai tu Jiha!”

“Abang!”

“Jiha!”

“Abang!”

Datuk Bazli yang baru muncul di ruang tamu, hanya mampu menggeleng dengan wajah pelik. Ilham dan Najihah memang pantang bertemu muka. Dia kemudian meneruskan langkah ke dapur. Daripada melayan kerenah Ilham dan Najihah yang seperti budak-budak, lebih baik dia membasahkan tekaknya yang haus. Ada juga faedahnya.

“Tadi Jiha gelak-gelak tu kenapa? Apa yang Jiha dah buat kat Najid hari ni? Jiha buat dosa kat Najid lagikan?” tanya Ilham. Dia dapat merasakan yang Najihah gembira kerana sudah mengenakan Najid.

“Abang ingat Jiha suka bila kenakan Najid aje ke? Banyak lagilah yang boleh buat Jiha rasa suka.”

“Dah tu apa lagi yang boleh buat Jiha suka selain daripada membuli Najid?”

Najihah senyum meleret. Keningnya sengaja dijongketkan berkali-kali. Lagak mencabar bapa saudaranya itu. “Ada lagi satu yang boleh buat Jiha senyum sampai ke telinga. Abang nak tahu apa dia tak?” Mata, Najihah kelip-kelipkan, sengaja menyayangkan wajah ala-ala comel di hadapan bapa saudara kesayangannya itu.

“Apa?”

“Kenakan abang pun Jiha rasa seronok macam dapat bulan dan bintang tau. Bila tengok muka abang masam, Jiha rasa puas hati sangat.”

Hangat saja perasaan Ilham mendengar kata-kata Najihah kali ini. Yakin yang Najihah memang sengaja mahu menyakitkan hatinya. Tiba-tiba dia terasa mahu melihat Najihah kembali jadi anak kecil kerana pada ketika itu Najihah tidak pernah melawan kata-katanya, jauh sekali mengenakan dirinya. Kalau sudah tidak tahan sangat, Najihah akan menangis sambil menghentak-hentakkan kaki sebagai tanda protes.

“Jiha jadi jahat ya lepas besar.”

“Terima kasih pada abang sebab abanglah yang buat Jiha jadi jahat. Jadi pandai kenakan abang balik. Terima kasih ya abang...”

Najihah ketawa agak kuat. Teringat yang Najid juga ada mengatakan dia jahat di taman permainan tadi. Dalam sehari, dua orang yang dikenakan mengatakan dia jahat, dia benar-benar rasa tercuit hati. Terasa harinya benar-benar bermakna kerana dapat mengenakan dua orang yang sangat rapat dengannya.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
“Abang nak dengar cerita kelakar tak hari ni?”

“Kelakar sangat ke?” tanya Ilham kembali. Sekelip mata rasa sakit hatinya pada Najihah hilang. Dia pun bukannya marahkan Najihah betul-betul, tapi lebih kepada mahu menyakat Najihah. Seperti Datuk Bazli, dia juga tidak boleh kalau tidak mendengar suara dan melihat wajah Najihah. Dia sayangkan Najihah sama seperti abangnya itu sayangkan Najihah. Mungkin kerana dia membesar bersama-sama Najihah selama ini membuatkan rasa sayangkan pada Najihah tidak pernah surut. Bahkan, masanya lebih banyak dihabiskan dengan Najihah dan Datuk Ilham dibandingkan ibu dan ayahnya yang sudah tidak ada di dunia ini lagi.

“Kelakarlah sangat.”

“Kalau tak kelakar abang piat telinga Jiha sampai putus kejap lagi.”

“Kalau nak kena belasah dengan papa, bolehlah abang cuba putuskan telinga Jiha ni.”

“Cepat... cepatlah cerita. Asyik nak membebel aje kerja dia.”

“Tadi Jiha dengan Najid pergi taman permainan,” kata Najihah bersungguh-sungguh. Dia bercerita sambil ketawa-ketawa. Geli hati mengingatkan dia menolak Najid sekuat hati supaya Najid tidak perasan tindakannya, kemudian dia berlari lintang-pukang kerana tidak mahu turut menerima kemarahan Pak Munawir. Orang tua itu kalau sudah bercakap memang susah untuk disenyapkan.

“Setakat cerita Jiha dan Najid ke taman permainan tu, abang tak hairanlah. Tu cerita basi! Kalau tak cerita pada abang pun tak jadi kudis, langsung abang tak akan rasa ralatlah, Jiha,” balas Ilham selamba. Sangkanya betul-betul ada cerita kelakar yang mahu Najihah ceritakan. Balik-balik cerita yang sama saja.

Pergi taman dengan Najid, makan dengan Najid, pergi membeli-belah dengan Najid, tengok wayang dengan Najid dan serba-serbi Najid. Pendek kata, hanya nama Najid saja yang meletus di bibir Najihah. Tidak ada nama orang lain sampai-sampai dia rasa muak dan hendak termuntah. Tapi itu bagi pihak Najihah, kalau pihak Najid pula, asyik-asyik nama Najihah yang disebut. Kalau yang bagus-bagus, semuanya Najihah. Itu kalau hati Najid senang, kalau marah pun Najihah juga yang Najid sebut. Hanya ketika itu, Najid mengutuk Najihah tanpa peduli apa status dia sebagai bapa saudara Najihah.

Memang tepat sekali papa Najihah dan Ayah Najid memberikan nama yang hampir sama pada anak-anak mereka. Dan dia, sungguh-sungguh kagum dengan persahabatan Datuk Bazli dan Datuk Hakkam yang sangat rapat. Malah, anak-anak belum pun keluar, sudah berangan mahu memberikan nama yang dekat-dekat pada anak-anak yang bakal mereka punya. Kini, persahabatan bapa seperti sudah menurun pada anak-anak.

Najid dan Najihah... tidakkah nama itu kedengaran sangat dekat? Tidak ubah seperti adik-beradik.

“Bukan tu ajelah abang. Ada lagi ni yang Jiha nak ceritakan pada abang. Abang janganlah menyampuk macam burung jampuk. Ganggu Jiha nak bercerita aje ni.”

“Jiha lambat sangat. Nak tertidur abang dengar cerita Jiha yang tersekat-sekat dengan ketawa Jiha tu.”

“Tadi Jiha dan Najid berebut nak naik buaian kat...”

“Naik buai lagi?” Terbeliak mata Ilham dengan kata-kata Najihah yang tidak sempat dihabiskan. Sudah berkali-kali Pak Munawir datang ke rumah Datuk Bazli dan Datuk Hakkam gara-gara Najihah dan Najid yang masih menggunakan alat permainan di taman permainan itu walaupun usia dan tubuh badan kedua-duanya tidak mewajarkan mereka berbuat begitu. Sudah berkali-kali juga papa Najihah dan ayah Najid memberi jaminan yang Najihah dan Najid tidak akan lagi naik buaian, main gelongsor, main jongkang-jongket dan semua permainan yang ada di situ. Tapi sampai ke hari ini, Najihah dan Najid tetap juga tidak makan saman.

“Yalah... nak buat apa pergi taman permainan kalau tak boleh main di situ.”

“Jiha dan Najid dah tualah. Dah tak sesuai main dekat situ lagi. Itu tempat budak-budak. Jahanamlah tempat tu kalau Jiha dan Najid asyik gunakan alat permainan yang ada kat situ. Cara Jiha dan Najid boleh digelar sebagai vandalisme tahu tau,” tegur Ilham sambil menggeleng.

“Kami bukannya berat mana pun,” balas Najihah selamba.

Ilham ketap bibir. Bukan Najihah nama anak saudaranya itu kalau tidak menjawab kata-katanya.

“Dah layak jadi mak dengan bapak budak, ada hati nak naik buaian.”

Wajah ceria Najihah masam mencuka. Kata-kata Ilham kali ini berjaya membangkitkan rasa geramnya. “Sebelum Jiha dan Najid jadi mak dan bapak budak, abang patut jadi dulu sebab abang lebih tua daripada kami berdua. Sebelum abang kahwin, jangan berangan nak tengok Jiha atau Najid bersanding atas pelamin.”

Ilham ketawa kuat. Puas kerana dapat membuatkan wajah putih bersih milik Najihah memerah bagai udang kena bakar.

“Abang muda lagilah, tak fikir lagi nak kahwin.”

“Mudah apa kalau tahun ni aje umur abang dah 30 tahun. Patutnya dah lama dah abang beri Jiha kakak.” Kakak yang tentu saja merujuk kepada mak saudara.

“Abang tunggu Jiha kahwin dulu.”

“Merepek!” Bantal yang ada di sisinya, dicapai dan dilontarkan ke arah Ilham. Mujur bapa saudaranya itu sempat mengelak, kalau tidak tentu adegan kejar-mengejar di petang hari akan berlaku di rumah mereka. Bapa saudaranya itu memang teruk. Kalau Ilham mengenakan dia tidak mengapa, tapi kalau dia mengenakan bapa saudaranya itu, cepat saja Ilham hendak membalas perbuatannya.

“Merepek apa pulak? Orang perempuan memang kena kahwin cepatlah. Biar boleh beranak ramai-ramai.”

Bagaikan kapal terbang, pantas Najihah meluru ke arah Ilham. Terus diambil bantal kecil di atas riba Ilham dan dipukul-pukul di bahu bapa saudaranya itu. Rasa geram yang membukit membuatkan dia lupa statusnya sebagai anak saudara kepada Ilham. Tapi sebenarnya bukanlah dia lupa, sengaja buat-buat lupa kerana Ilham pun ada masa-masanya tidak melayan dia seperti anak saudara. Kasarnya Ilham melayannya sama seperti Ilham melayan kawan-kawan Ilham.

Ilham yang dihentam Najihah terus juga ketawa sakan. Akhirnya dapat juga dia membangkitkan kemarahan Najihah.

“Okey... sambung balik cerita kelakar Jiha yang belum sempat Jiha cerita pada abang tadi,” suruh Ilham setelah Najihah melabuhkan punggung di sisinya.

Wajah Najihah dipandang dalam-dalam. Namun setiap kali memandang wajah Najihah, dia selalu dihantui sebak. Dibandingkan dia, Najihah agak malang kerana tidak pernah merasakan belaian kasih sayang seorang ibu. Bukannya ibu Najihah sudah kembali ke alam abadi, tapi ibu Najihah pergi kerana dalam hati ibu Najihah tidak pernah ada cinta untuk papa Najihah.

Bila tidak ada cinta, bila hati sudah tidak bahagia, bukankah berpisah jalan yang terbaik?

Tapi perpisahan itu membuatkan Najihah yang tidak tahu apa-apa menjadi mangsa. Mujur juga Najihah tumbuh menjadi anak gadis yang tidak sasar daripada landasan sebenar. Sampai ke hari ini akhlak dan tingkah Najihah tetap terpelihara elok walaupun ada masa-masanya nakal Najihah masih belum hilang sampai ke saat ini.

“Abang... kenapa? Abang tengok Jiha macam ada yang tak kena aje.”

Ilham geleng dalam senyuman.

“Kalau abang nak tahu, tadi Najid kena marah dengan Pak Munawir,” cerita Najihah. Kemudian dia mula menyingkap dari awal sehinggalah kepada telinganya ditarik Najid. Sambil bercerita, dia turut ketawa.

Besar ketawa Ilham seusai Najihah bercerita, membuatkan Datuk Bazli yang ada di dapur keluar. Mahu tahu apa yang telah mencuit hati adan dan adiknya sehingga begitu kuat ketawa mereka berdua.

“Apa yang kelakar sangat ni Ilham, Jiha?” tanya Datuk Bazli ingin tahu.

“Jiha buli Najid lagi, abang.”

“Tak pa... tak ada, abang tipu. Suka sangat ada-adakan cerita yang tak ada. Saja nak burukkan nama Jiha depan papa.” Terjegil biji mata Najihah ke arah Ilham. Dia memang bercerita pada abangnya, tapi dia tidak berharap bapa saudaranya akan bercerita kepada papanya.

“Jiha memang suka buli Najid, macamlah papa tak tahu.”

Ilham angkat ibu jari kanan ke arah Najihah. “Esok-esok bila Jiha jadi wife Najid, Najid balas dendam kat Jiha. Najid buli Jiha sampai Jiha nangis betul-betul. Masa tu baru Jiha tahu langit tu tinggi atau rendah.”

Jari telunjuk Najihah angkat dan letakkan di sisi dahinya. “Dalam mimpi abang! Jiha tak nak jadi wife Najid. Kami kawan, kawan baik aje. Tak lebih daripada itu okey!”

P/S : KONON-KONONNYA E-NOVEL, ENTAHLAH LABU...

1 comment: